Mufti Pahang: Mengundi itu wajib
KUANTAN - Tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya umum adalah sesuatu yang wajib, kata Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman.
Beliau berkata mereka yang layak mengundi wajib berbuat demikian dalam membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama dan keamanan.
"Pada zaman Rasulullah SAW dahulu ketika baginda wafat, waktu untuk pengebumian terpaksa ditangguh sebentar sebelum dikebumikan bagi melantik seseorang yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah.
"Daripada situ kita sudah dapat melihat betapa penting pelantikan khalifah itu kepada masyarakat untuk melaksanakan agenda seterusnya ke jalan yang benar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata mengundi adalah satu fardu kifayah, bagaimanapun sekiranya ramai tidak melaksanakannya sehingga boleh menjejaskan pembentukan sesebuah kerajaan, maka tanggungjawab itu akan menjadi fardu ain.
Beliau berkata Islam juga tidak melarang umatnya untuk mengundi orang bukan Islam dalam pilihan raya sekiranya tidak menimbulkan larangan dan pelanggaran terhadap ajaran agama itu sendiri.
"Diharuskan pula mengundi orang bukan Islam yang akan membantu pembangunan Islam dan dalam masa yang sama boleh menjaga umat Islam itu sendiri.
"Kita sesama Islam hendaklah bertolak ansur dan bersatu serta tak perlu berkeras dengan orang yang bukan Islam," katanya.
Mengenai bai'ah, Abdul Rahman berkata ia merupakan satu pengakuan taat setia yang dibuat dan sekiranya seseorang itu melanggar perjanjian tersebut maka orang berkenaan kelak akan menerima balasan atau musibah.
"Pengakuan bai'ah juga tidak boleh timbul dalam bentuk paksaan dan sekiranya berlaku perjanjian yang berbentuk paksaan maka perjanjian taat setia atau bai'ah itu terbatal," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan