tsunami_jepun
TOKYO - Setahun selepas bencana berganda melanda Jepun dan menyebabkan kemusnahan teruk, negara itu kini sedang berusaha untuk memulihkan semula dan membina infrastruktur serta menstabilkan loji nuklear yang didakwa telah mencetuskan krisis nuklear terburuk sejak bencana Chernobyl pada 1986.
Pada 11 Mac 2011, negara matahari terbit itu digemparkan dengan kejadian gempa berkekuatan 9.0 skala Richter yang turut mencetuskan tsunami paling dahsyat dalam sejarah negara itu.
Lebih 15,000 orang terkorban manakala 3,271 lagi dilaporkan masih hilang dalam insiden tersebut.
Wilayah di timur laut Jepun, Iwate, Fukushima dan Miyagi adalah paling teruk terjejas.
Pengendali loji nuklear, Tokyo Electric Power (Tepco) turut dikecam kerana didakwa gagal menangani masalah di beberapa reaktor sehingga berlaku kebocoran radiasi pada tahap kritikal beberapa bulan selepas kejadian bencana berganda tersebut.
Usaha pemulihan secara berperingkat oleh kerajaan juga dilihat gagal memuaskan hati banyak pihak kerana ratusan ribu penduduk dilaporkan masih lagi hidup seperti pelarian kerana tidak dapat pulang ke rumah masing-masing atas faktor-faktor keselamatan terutamanya mereka yang tinggal di zon lingkungan kebocoran radiasi.
Sektor ekonomi dan pasaran saham Jepun juga pulih secara perlahan selepas mengalami kemerosotan mendadak pada tahun lalu.
Kebanyakan syarikat pembuatan dan pengeluar barangan elektronik terkemuka telah mula beroperasi seperti biasa pada tahun ini walaupun mengalami kerugian mencecah berbilion ringgit akibat bencana berganda tersebut.