Ketua Umno Cawangan Kampung Parit Jerman, Mohd Jaini Lan, 62, berkata, masalah itu berpunca daripada tekanan air yang rendah dan tidak mampu menyalurkan air dengan baik ke paip-paip rumah penduduk.
Menurutnya, akibatnya penduduk menjadi mangsa apabila pelbagai aktiviti harian terjejas disebabkan masalah air berkenaan.
“Tekanan rendah ini berkemungkinan disebabkan sebuah kilang yang mula beroperasi awal tahun ini. Penggunaan pam penyedut air bertekanan tinggi menyebabkan kawasan rumah penduduk menghadapi masalah bekalan air.
“Faktor penyebab lain, keadaan saluran paip ke rumah penduduk yang kecil tidak mampu menarik air dengan kuat," katanya.
Sebanyak 64 rumah penduduk mempunyai masalah tekanan air rendah di kampung berkenaan.
Sementara itu, masalah sama turut berlaku di surau kampung berkenaan yang kini mengundang pelbagai masalah lain.
Mohd Jaini berkata, pengunjung yang singgah bersembahyang dan menggunakan tandas pasti
meninggalkan sisa-sisa najis begitu sahaja.

“Kami tidak dapat menyalahkan mereka kerana surau berada di tepi jalan, sudah tentu ramai yang mahu menggunakan tandas tetapi masalah air menyebabkan keadaan itu berlaku.
“Perkara ini sudah diadukan kepada pihak berkaitan namun masih tidak ada jalan penyelesaian,” katanya.
Penduduk, Asharudin Leman, 52, pula berkata, dia terpaksa membeli sebuah tangki bagi menyimpan bekalan air disebabkan masalah itu.
“Paling bermasalah apabila waktu tengah hari dan juga maghrib menyebabkan suasana menjadi kelam-kabut apabila anak-anak mahu mandi.
“Air yang keluar terlalu sedikit dan perlu menunggu lama untuk memenuhkan satu baldi, kadang-kala langsung tidak keluar,” katanya.
Katanya, pihak berkenaan perlu mengambil tindakan sewajarnya supaya masalah itu dapat diatasi segera.
“Pelbagai kerja termasuk memasak dan membasuh perlu dilakukan setiap hari,” katanya.
Kamariah Habib, 47, berkata, perusahaan bengkel kerepek yang diusahakannya juga turut berdepan masalah itu.
“Perusahaan ini memerlukan banyak air, jadi agak jika masalah air terus berlarutan.
“Ia turut memberikan kesan kepada pengeluaran kerepek kami,” katanya.
Katanya, kerja-kerja membasuh baju juga terpaksa dilakukan pada waktu tengah malam kerana hanya pada waktu itu sahaja air akan laju.
“Kami juga mahu berehat tetapi apakan daya hanya pada waktu itu sahaja air laju.
“Diharap masalah air ini dapat diatasi kerana banyak kerja yang terbantut disebabkan perkara itu,” katanya.