pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Ahad, 13 Oktober 2013

BULAN ZULHIJJAH : KELEBIHAN 10 HARI AWALNYA...

Kelebihan 10 hari awal Zulhijjah

Imam muda Asyraf,08 Okt 2013

Apabila tibanya Zulhijjah akan tergambar dalam pemikiran umat Islam ibadah cukup besar dalam syariat iaitu ibadah haji, rukun Islam terakhir wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim yang berkemampuan.

Pada bulan ini juga hati umat Islam semakin terpanggil untuk menunaikan ibadah haji di Baitullah dengan penuh rasa perhambaan kepada-Nya. Sesungguhnya Zulhijjah adalah bulan mulia kerana ia bulan ibadah bagi mereka yang menunaikan haji mahupun tidak.

Jika pada Ramadan, Allah SWT menyediakan 10 malam terakhir untuk hamba memperbanyak ibadah qiyam, maka pada 10 awal Zulhijjah adalah sepuluh hari (siang) terbaik untuk setiap Muslim memperhambakan diri kepada-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi waktu fajar dan demi 10 malam.” Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim berpendapat ‘10 malam’ disebutkan Allah SWT bermaksud 10 hari awal Zulhijjah. Ini juga pandangan sahabat dan tabiin antaranya Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair dan Mujahid.

Lafaz pujian 10 hari awal Zulhijjah

Sepuluh hari awal Zulhijjah juga hari-hari mulia untuk melafazkan puji-pujian kepada Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Surah al-Haj, ayat 27-28)

Ibn ‘Abbas menyatakan, hari tertentu dimaksudkan dalam ayat ini ialah 10 awal Zulhijjah. Pada hari itu syiar Islam terserlah dengan pengucapan lafaz pujian kepada Allah SWT terutama lafaz tahmid dan takbir.

Pada 10 awal Zulhijjah ini umat Islam digalakkan memperbanyakkan kalimah takbir (Allahu Akbar), tahlil (La ilaha illallah) dan tahmid (Alhamdulillah). Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda: “Tiada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan tiada amalan yang lebih disukai-Nya kecuali pada 10 hari ini (awal Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah padanya takbir, tahlil dan tahmid.” (Riwayat Imam Ahmad)

Maka perbanyakkanlah lafaz pujian kepada Allah SWT dengan mengucapkan ketiga-tiga zikir ini. Sahabat dan salaf al-soleh akan memperbanyakkan zikir pada sepuluh hari ini dengan takbir sehingga ia kedengaran jelas di pasar dan premis perniagaan.

Diriwayatkan, Nabi SAW menerangkan secara jelas kelebihan 10 hari awal Zulhijjah. Daripada Ibnu ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amalan pada siang hari yang lebih mulia berbanding hari-hari ini (iaitu 10 awal Zulhijjah). Sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah? Jawab Baginda SAW: “Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) dengan nyawa dan hartanya dan tidak pulang dengan sesuatu pun (daripada kedua-duanya).” (Riwayat Abu Daud)

Detik manis ditunggu jemaah haji


Bagi mereka yang menunaikan ibadah haji, hari-hari terakhir pada 10 awal Zulhijjah adalah detik manis dan amat ditunggu-tunggu. Pada 8 Zulhijjah yang juga dikenali sebagai hari Tarwiyah, jemaah haji akan memulakan perjalanan sama ada ke Mina mahupun Arafah dalam memenuhi tuntutan manasik haji.

Mereka akan mula berangkat daripada tempat penginapan di Makkah al-Mukaramah dengan berpakaian ihram serba putih untuk menyahut seruan Ilahi dengan laungan talbiah memenuhi langit Makkah.

Hari Arafah pada 9 Zulhijjah dipenuhi amal ibadahkepada Allah SWT, tidak kira bagi mereka yang menunaikan haji atau tidak. Hari Arafah antara hari kebesaran bagi umat Islam.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Hari Arafah, Hari al-Nahr (Aidiladha) dan hari-hari Tasyrik adalah hari perayaan kita sebagai umat Islam. Ia hari untuk makan dan minum.” (Riwayat Abu Daud)

Antara kelebihan hari Arafah ialah umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji disunatkan berpuasa. Nabi SAW bersabda: “Dengan berpuasa pada hari Arafah aku berharap padanya supaya Allah ampunkan dosa-dosa tahun yang lepas dan juga tahun akan datang.” (Riwayat Muslim)

Hari Arafah juga diterima setiap doa hamba-Nya yang memohon permintaan dan keampunan. Malah doa dipinta kepada Allah SWT pada hari itu adalah sebaik-baik doa dan semulia-mulia waktu untuk diperkenankan oleh-Nya. Sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat Imam al-Tirmizi).

Gunakanlah sebaik-baiknya sama ada bagi mereka yang menunaikan haji mahupun tidak untuk berdoa menadah tangan kepada Allah SWT dengan penuh rasa perhambaan kepada-Nya.

Hajjatul wada’

Pada hari Arafah juga berlakunya hajjatul wada’, Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Allah SWT menandakan lengkapnya risalah yang dibawa Baginda kepada seluruh umatnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini Aku telah lengkapkan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan ke atas kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam sebagai deen (agama) kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Aidiladha yang diraikan pada 10 Zulhijjah pula hari kebesaran dan kegembiraan bagi umat Islam. Pada hari itu umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban bermula sehingga hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Ibadah korban syiar perhambaan kepada Allah SWT. Malah ibadah korban membuka ruang amal kebajikan bagi mereka yang berkemampuan dengan menyalurkan daging sembelihan kepada fakir miskin, anak yatim, jiran tetangga, rakan taulan dan sanak saudara.

http://imamudasyraf.com

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008