7 Amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Ucapan Perasmian Muktamar PAS Pusat kali ke 61.
Bertitik tolak di atas tema “Beristiqamah Hingga Kemenangan” ini, maka
marilah sama- sama kita pada hari ini memahaminya dan menggerakkan
jemaah ini untuk menghadapi apa juga cabaran yang sedang menunggu di
hadapan dengan penuh yakin kepada dasar dan prinsip perjuangan ini
dengan mengambil tindakan-tindakan berikut :
1. Marilah sama-sama pada hari ini kita menyatakan kesetiaan kita
kepada perjuangan Islam dengan penuh istiqamah, berdasarkan kepada
panduan al- Quran dan as-Sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah ﷺ
dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT.
2. Marilah kita
memahami maksud kemenangan yang dinyatakan oleh Allah SWT. Kemenangan
yang mahu dicapai adalah sebahagian dari usaha mendapatkan redha Allah
SWT. Kita berjuang siang dan malam adalah kerana mencari redha Allah
SWT. Justeru itu, marilah kita pastikan diri kita semua, dan jemaah yang
menjadi platform perjuangan kita memenuhi syarat kemenangan yang telah
digariskan oleh Islam dengan makna kemenangan yang sebenar.
3.
Marilah kita sama-sama memantapkan tarbiyah ahli dan kepimpinan, dengan
setiap dari kita bersungguh-sungguh melibatkan diri dalam program
tarbiyah yang dijalankan oleh jemaah. Tarbiyah inilah yang akan
menyediakan diri kita untuk lebih faham dan yakin terhadap fikrah
perjuangan ini yang sempadannya bukan sahaja di dunia tetapi hingga ke
akhirat.
4. Marilah kita mengemaskini pentadbiran parti di
semua peringkat, semua Dewan- Dewan dan Lajnah, termasuklah Cawangan,
Kawasan dan negeri. Saya menyeru kepada semua perwakilan dan pemerhati
supaya merapatkan saf perjuangan bersendikan fikrah perjuangan yang
jelas dan tulen, melipat gandakan gerakkerja amal jamaie dan Islammi,
dengan tumpuan kepada halatuju perjuangan untuk meraih kemenangan di
dunia melalui dakwah dan siasah berpilihanraya, serta menang pula di
akhirat iaitu mendapat syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT.
5. Marilah kita membawa mesej Islam sebagai penyelesaian kepada
masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita ini. Semua pihak dan
peringkat dalam organisasi ini mestilah memahami fiqhul-waqie, dengan
merujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah yang ditinggalkan oleh
Nabi Muhammad ﷺ.
6. Marilah kita meneruskan kerjasama Tahaluf
dalam Pakatan Rakyat dengan rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh
Islam mengikut panduan al-Quran dan as- Sunnah, dan berta’awun dengan
semua pihak dalam perkara kebaikan umat Islam dan bukan Islam dalam
negara kita, serta tidak bertolak ansur dalam perkara kezaliman dan
kemungkaran.
7. Marilah kita mengukuhkan kedudukan dan peranan
PAS di peringkat antarabangsa, membela pihak yang dizalimi, mengusahakan
penyelesaian konflik di rantau ini dan antarabangsa untuk mewujudkan
dunia yang lebih aman, dan menolak campurtangan kuasa besar dalam
konflik di dunia umat Islam.
Rebung buluh dibuat ulam,
rumpun diikat dengan getah,
berpegang teguh bersama Islam,
Membujur lalu menentang patah.
"Beristiqamah Hingga Kemenangan"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan