pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 6 Februari 2018

KEMPEN UNDI ROSAK : MUSUH ISLAM DAN MUSUH NEGARA


Kenyataan Media Presiden PAS

KEMPEN UNDI ROSAK: MUSUH ISLAM DAN MUSUH NEGARA


Politik disebut dalam ilmu syariat dengan perkataan Khilafah, Siyasah, Imamah atau Mulk, semuanya perkataan sinonim dan menjadi sebahagian daripada Islam sebagai Al-Din yang sangat berbeza dengan takrif perkataan agama dalam bahasa yang lain, kerana Islam adalah petunjuk Allah yang sempurna kepada alam ciptaan-Nya termasuk makhluk manusia. Ini menjadikan Islam lebih luas daripada agama dan ideologi, dan ditegaskan bahawa politik menjadi sebahagian daripada tujuan manusia diciptakan. 

Firman Allah:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ [البقرة: 30]

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".” (Surah Al-Baqarah: 30)

Khalifah itu ialah menegakkan Islam dan mentadbir urusan politik dengan Islam. Maka semua para Rasul A.S yang berdakwah menyatakan Islam yang sempurna, termasuk juga dalam urusan politik. Kesemua mereka memimpin umat supaya beribadah kepada Allah dan menghadapi ketua negara dan Al-Malaa (para pemimpin dan pemerintah) yang terpesong daripada petunjuk Allah. 

Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah bagi menegakkan negara yang mendaulatkan Islam. Apabila berlaku kewafatan Baginda S.A.W setelah Al-Quran disempurnakan, maka para sahabat R.A dan pengikutnya yang setia berhimpun, sehingga sebahagian besarnya tidak menyertai upacara pengebumian Baginda S.A.W. Mereka mengemukakan tiga calon, akhirnya dipilih Saidina Abu Bakar R.A. iaitu calon paling layak yang berilmu dan berakhlak daripada Qabilah Quraisy, kaum yang mendominasi masyarakat majmuk pada zamannya. 

Kehadiran mereka dalam perhimpunan memilih khalifah itu adalah pilihan raya umum yang kewajipannya sehingga lebih penting daripada pengebumian jasad Rasulullah S.A.W yang sangat mulia. Para ulama tafsir, hadis dan feqh menegaskan bahawa perkara ini menjadi wajib berdasarkan nas Al-Quran, Hadis Mutawatir, Ijma’ ulama, para sahabat dan tabien. 

Pada awalnya ilmu politik Islam menjadi sebahagian daripada ilmu feqh, kemudiannya diasingkan dalam kitab dan pengajian yang khusus. Al-Mawardi, Abu Yaala dan Imam Al-Haramain mengarang kitab yang khusus. Imam Al-Ghazali meletakknya dalam bab aqidah. Adapun Sheikh Daud al-Fathani, pengarang kitab jawi meletakkan dalam Kitab Musolli. 

Adapun teori yang memisahkan politik daripada agama berasal daripada ajaran yang sesat daripada ajaran Allah yang diamanahkan kepada para Rasul A.S. Fahaman yang salah ini disebut dalam kitab Injil yang telah dipesongkan. Di antaranya disebut:

“Render to Caesar the things that are Caesar’s and to God the things that are God’s” (Huraiannya dalam Injil Mark 12; 13-17)

(Berikanlah kepada Kaisar apa yang wajib kamu berikan kepada Kaisar dan kepada Tuhan apa yang wajib kamu berikan kepada Tuhan)

Mereka memisahkan hukum kenegaraan dan undang-undang yang ada di dalam Taurat yang diwajibkan juga beriman kepadanya, kerana Isa A.S diutuskan kepada Bani Israel yang telah berpegang kepada Kitab Taurat. 

Kesesatan berlaku apabila sebahagian besar Bani Israel tidak beriman kepada kerasulan Nabi Isa A.S dan apabila ajaran Injil dibawa kepada umat lain dengan cara yang tidak sempurna. Firman Allah:

وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ٤٨ وَرَسُولًا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنِّي قَدْ جِئْتُكُمْ بِآيَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ أَنِّي أَخْلُقُ لَكُمْ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ فَأَنْفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ وَأُحْيِي الْمَوْتَى بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ٤٩ [آل عمران: 48-49]

“Dan Allah akan mengajarnya (Isa A.S) ilmu Kitab, dan hukum-hukum aturan agama, dan juga kandungan Kitab-kitab Taurat dan Injil. (48) Dan (akan melantiknya (Isa A.S.) menjadi Rasul kepada Bani Israel, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya Aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu Aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian Aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) Dengan izin Allah; dan juga Aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan Aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan Aku juga boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman. (49)” (Surah Ali-Imran: 48-49)

Fahaman yang salah selepas ajaran Nabi Isa A.S dibawa pula oleh penjajah ke negara kita, supaya meninggalkan ajaran Islam yang wajib diimani dan ditegakkan syariatnya, dan membiarkan penjajah itu memerintah negara dengan cara mereka. 

Para orientalis yang masuk ke dalam masyarakat Islam ditugaskan supaya membawa ajaran salah ini ke dalam masyarakat Islam. Di antaranya nama yang tersohor di rantau ini, Snouck Hurgronje (Orientalis asal Belanda), yang menegaskan usaha yang mesti dilakukan oleh penjajah barat terhadap Islam ialah menjauhkan penganutnya daripada Islam, secara khususnya ajaran politik. Tujuannya supaya membiarkan ajaran penjajah terus menakluk umat Islam. 

Maka seruan ke arah memulau pilihan raya atau undi rosak adalah sebahagian daripada agendanya, supaya kuasa politik umat Islam dilemahkan atau diserahkan kepada pihak lain, sama ada memilih bukan Islam atau memberi peluang kepada pihak lain menguasai negara melalui pilihan raya. Ini berlaku apabila beranggapan politik tidak penting atau dikatakan sebagai amalan kotor yang mesti ditinggalkan oleh umat Islam. 

Para ulama Islam yang muktabar termasuk Imam Al-Ghazali yang banyak menulis kitab Tasawuf yang dikira tidak peduli politik, tetapi menegaskan di dalam kitab Aqidah:

الدين أس والسلطان حارس، وما أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع (الاقتصاد في الاعتقاد) 

“Al-Din (Islam) adalah asasnya, kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawasnya. Apa yang tidak ada asasnya menjadi runtuh (binasa) dan apa yang tidak ada pengawas menjadi hilang” (Iqtisad Fi I’tiqad)

Ini menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan urusan politik adalah meruntuhkan agamanya dan menghilangkan kewibawaan umatnya serta meninggalkan syariat Allah. Walaupun alasannya kerana tidak bersetuju dengan amalan pilihan raya hari ini yang disalah fahamkan sehingga dikira tidak ada dalam urusan agama Islam. Inilah bahaya yang telah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W:

لينقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تثبث الناس بالتي تليها، فأولهن نقضا الحكم وآخرهن الصلاة (المسند إمام أحمد بن حنبل)

“Demi sesungguhnya akan dirungkai ikatan ajaran Islam yang kukuh, satu demi satu. Setiap satu simpulan itu dirungkai, nescaya manusia berselerak terpaksa berpegang kepada simpulan yang masih ada berikutnya. Pertama-tama dirungkai ialah hukum hakam dan yang terakhir ialah solat” (Musnad Imam Ahmad bin Hanbal)

Semua para Rasul A.S diperintah bertemu dengan pihak pemerintah pada zaman masing-masing walaupun tidak ada pilihan raya di zamannya, dengan bersikap positif terhadap kebaikan dan menentang kemungkaran secara berhadapan, bukannya pemulauan atau mengasingkan diri daripada masyarakat atau melarikan diri daripada kewajipan berpolitik. 

Pilihan raya adalah alat bagi memilih pemimpin yang wajib dalam kehidupan bermasyarakat dan menjadi sebahagian daripada syariat Islam, sama ada mewakilinya menjadi pemerintah secara langsung atau mewakili dalam kewajipan amar maaruf dan nahi mungkar yang menjadi teras kepada jati diri umat Islam dan manusia seluruhnya yang wajib dipimpin oleh umat Islam. Allah telah mewajibkan adanya kumpulan dalam kalangan umat Islam yang melaksanakannya. Firman Allah:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ١٠٤ [آل عمران: 104]

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan Amar makruf dan Nahi Munkar (menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran: 104)

Allah telah melaknat kaum Bani Israel apabila tidak menunaikan kewajipan ini melalui firman-Nya:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ٧٨ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ٧٩ [المائدة: 78-79]

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampau batas. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (79)” (Surah Al-Maidah: 78-79)

Dalam Feqah Muamalah Politik, Islam mendahulukan cara aman dan damai, menarik sebanyak mungkin dalam dakwah yang dilindungi oleh negara, dan membuktikan Islam itu adil terhadap semua, maka konsep demokrasi adalah paling tepat. Kebetulannya pula pembaharuan demokrasi barat adalah dipengaruhi oleh Feqah Politik Islam, hasil kajian para orientalis yang menciplak ajaran Islam, walaupun tidak sempurna. 

Adapun kelemahan dan salah lakunya pula hendaklah dibetulkan, bukannya membatalkannya atau dipulaukan. Di mana tindakan pemulauan atau merosak kertas undi adalah menempah kepada keburukan yang lebih besar mudaratnya, apabila melakukan pilihan lebih besar mudaratnya kepada negara dan umat. Laksana kebodohan terhadap seorang yang memilih perjalanan meredah hutan rimba yang sukar dan berbahaya kerana tidak bersetuju dengan jalan raya yang tidak diturap dengan sempurna. 

Para ulama Islam dalam huraian Maqasid Syariah menegaskan:

ما لا يدرك كله لا يترك كله

“Apa yang tidak didapati semuanya tidak boleh ditinggalkan semuanya”

Dan menegaskan kaedah:

ارتكاب أخف الضررين

“Mengambil kemudaratan yang lebih ringan di kalangan adanya dua yang memberi mudarat”

Memulau pilihan raya atau merosak undi bermakna jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik kepada yang lebih baik kalau memerintah atau berpeluang menjadi pembangkang yang menasihat yang menjadi jihad paling afdal kebajikannya kepada rakyat dan negara. 

Memulau pilihan raya juga mendedahkan kepada pilihan yang merosakkan negara dan rakyat, sama ada secara bersendiri atau mengundang campur tangan asing yang menjajah semula. 

Haram bagi umat Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosak undi kerana menarik diri daripada menjadi teras kepimpinan umat yang wajib demi menegakkan Islam dalam pemerintahan negara. Inilah ketetapan Allah:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ١١٠ [آل عمران: 110]

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang maaruf (baik dan berkebajikan) dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (salah, buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali-Imran: 110)

Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar. Perkara inilah yang sangat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam negara atau di luar negara. Maka kalangan yang melaksanakan kempen memulau pilihan raya sama ada kerana bodoh dan jahilnya atau kesediaannya menjadi alat bagi memberi laluan mudah kepada musuh Islam dan musuh negara. 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 17 Jamadil Awal 1439 / 3 Februari 2018

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008