pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Sabtu, 3 September 2011

PERUTUSAN I'EDUL FITRI 1432 : KETUA DPPK


PERUTUSAN I'EDUL FITRI 1432 / 2011
Oleh :
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh

SYAWAL BULAN KEMENANGAN UMAT ISLAM

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, WALILLAHILHAMDULILLAH..

ASSALAMUALAIKUM WBT..

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh, saya ingin mengucapkan selamat hari raya  I'edul Fitri kepada seluruh umat Islam, dengan harapan kita telah menyempurnakan ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang menjadi medan tarbiah untuk melahirkan manusia yang bertaqwa. 

Bukan sekadar kita dapat menunaikan kewajipan berpuasa dan mengisi ibadah lain di bulan Ramadhan, tetapi dapat membentuk jati diri bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai manusia di muka bumi ini.

I'edul Fitri adalah simbol kemenangan umat Islam di sepanjang zaman. Ianya diraikan saban tahun sebagai mercu tanda bahawa Islam adalah sebuah cara hidup yang diiktiraf malah mempunyai daulatnya yang tersendiri jesteru ia adalah wahyu Allah SWT tuhan yang maha mencipta untuk mengatur sistematika kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Setelah sebulan mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Kini tiba masanya untuk umat Islam merayakan hari kebesaran Iduf fitri. Hari di mana kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana kemenangan melawan nafsu.

Sudah pasti kegembiraan Idul fitri di pagi Syawal disulami rasa sedih dan sayu kerana perginya Ramadhan. Bulan penuh berkat, bulan ibadah dan bulan penuh ganjaran. Adakah kita berpeluang untuk sekali lagi menyambut Ramadhan  di tahun - tahun akan datang? Hanya Allah SWT yang mengetahui tentang semua kejadian.

Setiap kali tiba hari raya, kita menyaksikan banyak perkara mungkar dan amalan - amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang dilakukan oleh masyarakat kita. Perkara sedemikian perlu dihentikan contohnya seperti amalan pembaziran, bermain mercun dan bunga api yang berbahaya, serta hiburan yang melampau dan sebagainya, yang mana perkara - perkara tersebut adalah bercanggah dengan tujuan menyambut dan merayakan aidilfitri sebagai hari kebesaran Islam.

Sambutlah Aidilfitri dengan perkara - perkara makruf dan tinggalkan perkara - perkara mungkar. Perbanyakkanlah zikir di malam lebaran dengan bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Kumandangkanlah takbir hari raya Aidil fitri bermula dari terbenam matahari akhir Ramadhan sehinggalah sebelum solat sunat aidilfitri didirikan.

Sempena Aidilfitri tahun ini, marilah kita menghayati semangat Aidilfitri menurut perspektif yang benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki syariat, jesteru Aidilfitri tidak boleh dicemarkan dengan kelalaian dan kealpaan, keangkuhan dan kemegahan, kemewahan dan kesombongan. Sebaliknya Aidilfitri mesti diserikan dengan kesyukuran dan keinsafan, kesedaran dan penghayatan.

Khususnya pemuda pemudi di kawasan Bagan Datoh ini, suka untuk kita sama - sama beringat dan mencari apa yang terbaik dalam menyambut Aidilfitri. Kepada perantau yang akan kembali dan  pulang ke desa diharapkan berhati - hati dan menjaga keselamatan di jalan raya .

Semoga lebaran Aidilfitri kali ini memberikan sinar kemenangan kepada seluruh umat Islam khususnya menentang dan membebaskan kezaliman dan kekejaman di masa kini. Janji tuhan pasti dan sebagai manusia jangan mudah putus asa dan hilang pedoman. Pemuda sebagai pemangkin kebangkitan Islam, semoga Syawal ini akan memberikan kejayaan kita semua. InsyaAllah.. TAKBIR!!

Ikhlas daripada :

Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh.




Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008