Pas yakin setengah juta sertai Bersih 3.0
KUALA LUMPUR - Pas yakin perhimpunan Bersih 3.0 bagi menuntut reformasi pilihan raya di Dataran Merdeka pada 28 April ini akan disertai sekitar setengah juta orang.
Ia diadakan susulan kepada himpunan Bersih 2.0 dan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya yang dibentangkan di Dewan Rakyat kelmarin.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan mengerahkan seramai mungkin ahlinya untuk menjayakan perhimpunan itu.
"Saya menyeru ahli dan penyokong Pas dan Pakatan Rakyat turun beramai-ramai bagi menuntut pilihan raya yang bersih.
"Saya menjangkakan setengah juta akan hadir pada 28 April ini," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Rani Osman; Setiausaha Dewan Pemudanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud dan aktivis mahasiswa Adam Adli.
Kelmarin, Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, himpunan kali ini berkonsepkan 'Duduk Bantah’, yang akan diadakan di Dataran Merdeka.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, himpunan Bersih 3.0 diadakan lanjutan dari tuntutan yang dibuat, tidak dipenuhi kerajaan.
Katanya, cadangan PSC tidak dibahaskan dan ia membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN).
“Kita menjangkakan lebih ramai rakyat datang ke himpunan Bersih 3.0 berbanding himpunan yang lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya menyokong perhimpunan "Duduk-Bantah" Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau 3.0 sebagai ungkapan demokrasi rakyat Malaysia yang menuntut pilihan raya yang bersih dan adil serta Malaysia yang selamat dan bebas daripada pencemaran radioaktif.
"DAP menyokong tiga tuntutan utama oleh penganjur Bersih 3.0," kata beliau dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, panel SPR mesti meletakkan jawatan manakala proses pemilihan mestilah bersih sebelum pilihan raya yang akan datang disebabkan kegagalan PSC dalam penambahbaikan sistem pilihan raya bagi menangani isu-isu kritikal seperti audit daftar pemilih yang tidak lengkap, penyalahgunaan berhubung undi pos, kesalahan pilihan raya, kegagalan untuk menangani politik wang, tiada akses yang bebas dan penuh dalam media cetak dan siaran dan tiada langkah-langkah untuk menamatkan politik kotor.
Katanya, DAP juga mahu pemerhati antarabangsa dibenarkan untuk memantau pilihan raya.
Guan Eng berkata, laporan akhir PSC berhubung penambahbaikan sistem pilihan raya menunjukkan kelemahan yang serius berhubung komitmen untuk menangani isu-isu asas reformasi pilihan raya bagi memastikan Pilihan Raya Umum ke-13 yang bebas dan adil.
"Laporan akhir oleh PSC untuk penambahbaikan sistem pilihanraya yang telah diluluskan secara 'bulldoze' melalui Parlimen tanpa perbahasan dan tidak membenarkan laporan minoriti dimasukkan menyerlahkan lagi kegagalan PSC untuk memastikan pilihan raya yang bersih dan adil.
"Kelemahan yang paling serius berhubung laporan ini adalah keengganan untuk memaparkan kelemahan asas dalam daftar pemilih. Penyalahgunaan daftar pemilih telah meningkat sejak pilihan raya umum Mac 2008 dan pelbagai bukti telah didedahkan oleh pelbagai pihak seperti Merdeka Center, Institut Nasional Integriti Pilihan Raya (NIEI) dan Bersih," kata beliau lagi.
Guan Eng berkata, DAP bersetuju dengan kenyataan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee yang menegaskan keperluan untuk memeriksa daftar pemilih, "PSC ditubuhkan untuk 'nominal nod' dengan merujuk kepada audit ringkas berhubung daftar pemilih oleh agensi kerajaan Mimos yang telah dilaksanakan dalam lingkungan parameter yang sangat terhad."
"Usaha yang dilakukan oleh Mimos hanyalah untuk memeriksa alamat yang mempunyai lebih daripada 50 pengundi yang berdaftar dan mengabaikan banyak kawasan yang lebih berpotensi untuk dimanipulasi dan kesilapan yang wujud dalam daftar pemilih.
"Yang lebih mengecewakan adalah hakikat bahawa Ketua PSC adalah (Datuk Seri Dr) Maximus Ongkili, di mana partinya sendiri iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) telah kehilangan kuasa di Sabah akibat kemasukan bilangan pengundi yang mengejutkan dalam daftar pemilih termasuk banyak pendatang asing tanpa izin yang telah diberikan kad pengenalan palsu untuk membolehkan mereka untuk mendaftar dan mengundi," katanya.
Guan Eng juga berkata, DAP amat mebantah kegagalan Speaker Dewan Rakyat untuk tidak membenarkan pengenalan laporan minoriti yang mendedahkan beberapa masalah utama dalam daftar pemilih.
Katanya, kegagalan PSC untuk memasukkan hasil kajian laporan minoriti dalam laporan akhir PSC dan sikap Speaker yang memperkenalkan satu dokumen yang berasingan di Parlimen menunjukkan kurangnya komitmen daripada pihak kerajaan untuk menempatkan mekanisme yang bermakna dan langkah-langkah untuk membersihkan daftar pemilih.
"Memandangkan kekurangan komitmen untuk memastikan pilihan raya umum akan datang yang bersih dan bebas, DAP menyokong sepenuhnya panggilan Bersih 3.0 bagi menyatakan hasrat rakyat untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13 yang bersih, bebas dan adil.
"DAP juga mengulangi sokongan bagi pelaksanaan penuh lapan tuntutan Bersih 2.0 di mana salah satu – penggunaan dakwat kekal - telah ditangani dalam laporan PSC," kata beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan