pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 24 Jun 2014

ALMARHUM USTAZ...DIA MURABBI, PEMIMPIN DAN TEMAN...

Dia murabbi, pemimpin dan teman

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

PAGI yang indah ini, aku terasa longlai tak bermaya dengan berita yang menyentap tangkai hati, kepulangan ke alam abadi sosok pejuang kental dari negeri Tok Ku Paloh, Almarhum Ustaz Datuk Abu Bakar Chik. Terbayang lebih dua dekad menjadi anak didiknya semenjak zaman kampus, memasuki Dewan Pemuda, saya sempat dua kali menghadiri mesyuarat pemuda Pusat ketika beliau memimpin Dewan itu, seterusnya bersama almarhum dalam Pas Pusat. Berusrah bersama almarhum semenjak zaman 'anak muda kail sejengkal' saya sehingga melepaskan zaman pemuda yang serba indah. Terbayang renungan matanya yang tajam dan kesungguhan almarhum apabila berbicara, dakapan tubuhnya setiap kali bersua termasuk arahan demi arahan untuk memastikan jamaah ini tidak kontang daripada amal tarbawi.

Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 70-an bersama Dr Abu Bakar Abdullah, Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh regim BN pada tahun 1991. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu.


Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Pernah juga bermukim ilmu di Universiti Islam di Sudan dalam bidang Bahasa Arab (1995-1996) dan juga sebuah Universiti di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1987 sehingga 1988. Kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jemaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli tentang tasawwur perjuangan Islam.

Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi DUN Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga ketua Pemuda Pas Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984. Sekali lagi namanya mencuat untuk ditahan dalam operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke-13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan pelbagai lagi.

Ustaz menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di DUN Batu Rakit, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu dan memegang Potfolio Pertanian. Beliau tidak kering idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma. Saya teringat almarhum menemankan saya makan tengahari usai, program Seminar Gejala Sosial di MTT Tok Jiring, anjuran Itqanul Muluk, sebuah badan pemikir yang almarhum sendiri asaskan. Lontaran idea beliau untuk menjadikan parti Islam sebagai wadah intelektual ummah, membaca unjuran strategik perjuangan Islam di negara ini seolah-olah beliau masih memimpin Dewan Pemuda Pusat. Usia 64 tahun bukanlah alasan untuk bermalasan dan memberikan alasan, itulah kekanda saya, ustaz ABC. Saya tertampar malu jika berada bersamanya, dalam apa jua kondisi, tidak mampu menandingi semangat juang yang tersepuh puluhan tahun.

Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bersama Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar, Ustaz Hussein Awang dan menjadi sebuah sekolah kader terbesar PAS. Beliau juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa Kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulama Terengganu. Kecintaan almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jemaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat.

Almarhum begitu sinonim dengan demonstrasi kebangkitan rakyat, bermandi tembakan air kimia FRU dan disiram gas pemedih mata, beliau tak lelah menyemangati anak -anak muda, bahkan program terakhirnya ialah bersama ARC, sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu bersama anak muda Islam di Selangor. Generasi pemuda PAS di era beliau ialah yang paling cemerlang, menjuarai isu ummah, menjadi pendesak yang berkesan, mencetak kader-kader dakwah PAS dalam dan luar negara, membina jaringan sivil sebagai jambatan PAS dengan masyarakat serta meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama gerakan.

Terlalu banyak yang perlu saya coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baik saya ini, namun saya mengejar masa untuk menziarahi jenazah almarhum di Terengganu. Sejujurnya, Datuk Abu Bakar adalah sumber inspirasi yang tidak pernah malap, sehingga kami generasi pemuda Islam dekad 90-an, menggelarkannya secara diam "al-Fatihah", kerana almarhum pantang berkumpul lebih tiga orang, akan terus membuka majlis dengan ummul kitab. Maknanya kami akan terus bermesyuarat untuk merancang pelbagai program jamaah Islam tercinta ini. Al-fatihah buat maestro perjuangan, kami akan terus menyambung legasi perjuangan Islam ini sehingga nafas terakhir.

MINTA JUMPA PRESIDEN, RUPANYA PERMINTAAN TERAKHIR ALMARHUM USTAZ...

Permintaan terakhir Ustaz Abu Bakar Chik

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .

TEPAT jam 8 pagi semalam (Ahad, 22 Jun 2014) saya menerima panggilan telefon daripada arwah Ustaz Abu Bakar Chik.

Dalam keadaan terdesak, beliau minta saya menguruskan pertemuannya dengan ayahanda saya di Shah Alam, "Khalil, ana nak ziarah ayah sekejap, boleh anta tolong uruskan?" Suaranya masih tergiang-giang di telinga saya sehingga ke saat ini.

Alhamdulillah, beliau sempat berjumpa dengan Tuan Guru Presiden.

Jam 5 pagi tadi, setelah bangkit dari tidur saya terus buka telefon bimbit saya dan mesej pertama yang saya baca ialah "Ustaz Abu Bakar Chik telah meninggal dunia kerana kemalangan dekat LPT Bukit Besi."

Saya terkedu kerana hanya baru beberapa jam lepas bersama-sama dengannya di dalam program Santai Anak Muda Bersama Murabbi anjuran DPPN Selangor di Shah Alam.

Rasa macam tak percaya, dalam keadaan sedih dan hiba saya menahan emosi mengenangkan saat-saat terakhir bersama-sama dengan sang murabbi ini.

"Lama ke Ustaz jumpa dengan ayah?" saya bertanya.  "Alhamdulillah, ana puas hati, banyak topik yang kami berkongsi khususnya berkait dengan perkembangan Gerakan Islam peringkat antarabangsa," jawabnya.

Saya mengenali arwah sejak kecil lagi kerana persahabatannya dengan ayah sangat akrab. Memori yang tidak dapat dilupakan ialah ketika beliau menjadi tetamu di rumah kami selama sebulan ketika Operasi Lalang dilaksanakan sekitar tahun 1985.

Hubungan kami sangat rapat kerana saya sentiasa menjadi temannya mendengar radio perkembangan semasa Operasi Lalang pada ketika itu. Saya boleh bayangkan perasaannya berjauhan dengan keluarga khususnya anak-anak kerana menjadi buruan pihak berkuasa.

Bagi saya jasa almarhum sangat besar khususnya ketika memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat. Jika sekiranya jasa Datuk Mustafa Ali di dalam pemuda memartabatkan institusi Kepimpinan Ulama di dalam PAS, tidak keterlaluan jika disebut di sini jasa Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik pula ialah memperteguhkan institusi itu di dalam PAS.

Jasanya di dalam memartabatkan institusi pendidikan di dalam PAS sangat besar. PASTI, Institut Berakan dan Maahad Tahwiz wa Tarbiyah adalah antara institusi pendidikan yang mendapat sentuhannya yang melahirkan kader-kader yang bergerak di dalam PAS di semua peringkat di seluruh pelusuk negara.

Beliau bukan sahaja seorang yang komited di dalam memartabatkan pendidikan di dalam PAS, dalam masa yang sama beliau juga adalah seorang yang tidak pernah jemu di dalam menuntut ilmu.

Saya sentiasa perhatikan jika sekiranya beliau berjumpa dengan Tuan Guru Presiden tanggannya tidak akan berhenti mencatat setiap apa yang dibincangkan. Ketika usianya yang sudah lanjut beliau masih sempat mengambil cuti dalam satu tempoh yang lama untuk mendalami Bahasa Arab di Sudan.

Jabatan Amal yang menjadi kebanggaan PAS pada hari ini ditubuhkan pada zaman beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS. Satu institusi yang sangat berjasa dan memberikan kesan yang sangat besar kepada PAS khususnya di persada dakwah secara langsung  di dalam negara.

Almarhum tidak pernah mengenal penat dan lelah di dalam melaksanakan gerak kerja Islam. Bagi sesiapa yang rapat dengan beliau pasti akan mengakuinya. Beliau seorang yang sentiasa bersemangat jika membincangkan soal ummah.

Jika berbincang dengannya beliau tidak akan mengakhirinya melainkan dengan tindakan yang akan dilakukan. Komitmennya begitu tinggi, kalau nak ajak berbincang berkait dengan jemaah bila-bila masa beliau akan menyahutnya walaupun sudah larut malam.

Walaupun beliau sudah lama meninggalkan Dewan Pemuda PAS tetapi semangat juangnya sentiasa segar. Pantang dijemput untuk menghadiri program-program Dewan Pemuda PAS beliau tidak akan menghampakannya. Alhamdulillah, Allah mengakhirkan riwayat hidupnya selepas memberikan pengisiannya di dalam program pemuda. Hampir satu jam setengah beliau memberikan taujihaat kepada anak muda dengan penuh semangat.

Selepas program dengan arwah malam tadi saya sempat berbual dengan Ustaz Syarhan, Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor dan menyarankan kepadanya supaya menjemput lagi Ustaz Abu Bakar Chik untuk program anak muda selepas ini. Namun, apakan daya ternyata Allah lebih sayang kepadanya.

Firman Allah di dalam Surah al-Fajr :

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !

Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia

Dan masuklah ke dalam SyurgaKu"

Al-Fatihah.

Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Timbalan Ketua DPPM

USTAZ ABU BAKAR MENINGGAL DUNIA : PAS RAKAM TAKZIAH, KEHILANGAN BESAR BUAT GERAKAN ISLAM.

PAS rakam takziah, kehilangan besar buat gerakan Islam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan ahli keluarga Almarhum Ustaz Datuk Abu Bakar Chik yang telah pulang ke rahmatullah pada pagi ini.

"Sesungguhnya pemergian beliau adalah amat mengejutkan, merupakan suatu kehilangan besar bukan sahaja kepada parti tetapi kepada dunia gerakan Islam seluruhnya. 

"Semoga jasa dan ilmu yang disampaikannya kepada kita menjadi amalan soleh yang berterusan di sisi Allah SWT," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berdoa semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan para pejuang Islam dan solihin.

Ustaz Abu Bakar yang juga AJK PAS Pusat meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan di Lebuh raya Pantai Timur pagi tadi, -HARAKAHDAILY 23/6/2014

AL-FATIHAH : USTAZ ABU BAKAR CHIK MENINGGAL DUNIA...

Ustaz Abu Bakar Chik meninggal dunia

KHAIRUL AZLAM MOHMAD | .
KUALA TERENGGANU: AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik dan pembantunya, Hasmizi Hasan terlibat dalam kemalangan di KM 390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil jam 3.16 pagi tadi.

Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu sementara pembantunya cedera.

Kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang.

Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar.

Jenazah akan dibawa balik dari Hospital Hulu Terengganu ke Maahad Tahfiz wal Tarbiyah (MTT) Tok Jiring untuk disolat dan dikebumikan.

Biodata

Tarikh Lahir: 18 Ogos 1950
Tempat Lahir: Kg. Masjid Tepoh, Kuala Terengganu
Nama Isteri: To’ Puan Zaitun Binti Salleh
Bil. Anak: 8 Orang (5 Lelaki, 3 Perempuan)
Alamat Rumah: 1026, KM 14 Jalan Kelantan, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu
Alamat Email: ust_abc@yahoo.com


Pendidikan

1973 – 1977: Ijazah Sarjana Muda (Hons) Pengajian Islam (Syariah) Dan
Diploma Pendidikan UKM.
1987 – 1988: Melawat Sambil Belajar Bahasa Inggeris Di Fort Wayne Community College, Indiana, USA
1995 – 1996: Melawat Sambil Belajar Bahasa Arab Di Jami’ah Afriqiyyah Alamiyyah, Khourtoum, Sudan.
2011 – 2012: Ijazah Master Pengajian Islam, Open Universiti Malaysia (OUM)


Pengalaman Kerja

1977 – 1981: Pengetua Institut Berakan. Kuala Terengganu.
1982 – 1986: Wakil Rakyat (ADUN Jeram), Terengganu
1997 – 1999: Pengarah Urusan Ilmu Amal Sdn. Bhd, Pemilik Rangkaian Sek. Rendah Islam Pintar (SRIP)
1999 – 2004: Exco Pertanian & Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu
2000 – 2004: Pengerusi Ladang Rakyat Terengganu
2004 – Kini: Pengerusi Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT) 
2008 – Kini: Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Teknologi Hijau Negeri Kelantan


Politik

1981: Menyertai Parti Islam Semalaysia (PAS)
1984 – 1986: Tahanan Politik (ISA) Di Kem Tahanan Kemunting
1989 – 1999: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ke- 13
1999 – 2011: Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu
2000 – Kini: Ahli Jawatankuas PAS Pusat
2000 – 2007: Pengerusi JK Pertanian & Pembangunan Luar Bandar PAS Pusat
2007 – Kini: Timbalan Pengerusi Lujnah Tarbiyah PAS Pusat
2008 – Kini: Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat


Kegiatan Pelajar & Belia

1968 – 1970: Setiausaha Gabungan Pelajar Islam Terengganu.
1975 – 1977: Naib Presiden Persatuan Mahasiswa UKM
1976 – 1977: Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM
1977 – 1981: Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Kuala Terengganu & Negeri Terengganu.


Kegiatan Kemasyarakatan & Pendidikan

1979 : Mengasaskan Pusat Pendidikan Pra Sekolah TASKI ABIM
1983: Mengasaskan Maahad Darul Quran, Terengganu
1987: Mengasaskan Pusat Pendidikan Islam Darul Taqwa, Terengganu
1989 – 1999: Pengerusi PASTI Malaysia
2006 – 2008: Penasihat (Luar) Yayasan Amal Malaysia
2009 – Kini: Timbalan YDP Yayasan Kebajikan & Pembangunan Pendidikan (YAKEP)
2013: Pengerusi Majlis Kebajikan Dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (MAKPEN)


Kegiatan Antarabangsa

1989: Ahli Persidangan Buruh Antarabangsa, Karachi, Pakistan
1989 & 1993: Pengarah Ijtima’ Perpaduan Ummah Antarabangsa Kali 1 & 2
1994, 1995 & 1996: Ahli Persidangan Perpaduan Masyarakat Islam Antarabangsa, Turki
1997 & 1998: Anggota JK Nadwatul Shabab Al-Alami, Khortoum, Sudan.
2003: Ahli Persidangan Islamic Development Bank, Tajikistan & Uzbekistan
2005 – 2013: Presiden AFMY
2007: Mengasaskan  Internasional Muslim Busines Network (IMBNet)


Penulisan Buku

1987: Individu Muslim Dan Jamaah Islam – Angkatan Edaran Sdn Bhd
1998: Ketahanan Gerakan Islam – Ilmu Amal Sdn Bhd
1999: Al Hizbul Islami Al Malizi (Bahasa Arab) – Darul Biarak, Beirut, Lubnan
2007: Pilihanraya: Satu Tuntutan Jihad – Pustaka Damai
2011: PAS 60 Tahun – Pustaka Damai
2013: Negara Berkebajikan Menurut Pandangan Syed Qutb – Pustaka Damai


Darjah Kebesaran & Anugerah Tokoh

2002: Setia Mahkota Terengganu (SMT)
2003: Dato’ Setia Mahkota Terengganu (DSMT)
2003: Anugerah Tokoh Sempena Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Trg
2003: Anugerah Tokoh Tarbiyyah Sempena Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Pusat
2009:Tokoh PASTI Malaysia

Sabtu, 14 Jun 2014

PIALA DUNIA 2014 BRAZIL : PARA BINTANG MUSLIM BERAKSI DI RIO..

Bintang Muslim dalam Piala Dunia Brazil

HARAKAHDAILY | .

PIALA Dunia FIFA 2014 baru sahaja bermula pagi tadi. Demam bola sepak ini melanda seluruh dunia melangkaui batas agama, bangsa, dan keturunan. Semuanya akan duduk semeja untuk meraikannya, itulah keunikan sukan ini.

Di sebalik kemeriahannya, terdapat beberapa pemain bintang yang beragama Islam bermain mewakili negara bukan Islam. Perlu diingat juga, terdapat pemain bukan Islam yang mewakili negara Islam. Namun, seperti yang dinyatakan awal tadi, faktor agama bukanlah isu utamanya. Yang penting setiap mereka akan berjuang bersungguh-sungguh memenangkan negara yang diwakili.

Yang berikut beberapa pemain muslim bertaraf bintang yang turut serta dalam Piala Dunia kali ini.

1. Edin Džeko

Džeko dilahirkan pada Mac 1986 di Sarajevo, Bosnia. Sekarang bermain untuk Manchester City. Penglibatannya dalam bola sepak bermula sebagai  pemain tengah dalam pasukan remaja Željezničar. Dia dianggap pemain paling berbakat di kelabnya dan pada November 2009, Džeko menjadi pemain Bosnia pertama dilantik sebagai duta UNICEF.

Ketika pusingan kelayakan, Džeko menjadi penjaring terbanyak bagi kumpulan G iaitu 10 gol dan Bosnia mencipta sejarah layak kali pertama ke pusingan akhir di Brazil. 

2. Mesut Özil 

Mesut Özil, bermain untuk Jerman dan Arsenal. Dia mewakili pasukan remaja Jerman sejak 2006 dan kemudiannya untuk pasukan kebangsaan Jerman sejak 2009.

Kelibat Özil di peringkat antarabangsa mula menyerlah ketika mewakili Jerman semasa Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan – dia dianugerahkan Anugerah Bola Emas– untuk pemian terbaik kejohanan.

Pada tahun lepas ketika berusia 24 tahun, Özil  menjadi ahli sukan termuda di Jerman yang dibina patung lilin di Muzium Berlin.

3. Sami Khedira

Sami Khedira, pemain tengah Real Madrid merupakan rakan sepasukan Özil. Dia dilahirkan pada April 1987 dan pernah bermain untuk VFB Stuttgart sebelum pindah ke Real Madrid.

4. Karim Benzema

Karim Benzema merupakan rakan sepasukan Sami Khedira dalam kelab Real Madrid tetapi mewakili Perancis dalam Piala Dunia kali ini. 

Ketika usianya 19 tahun, pada 2007, dia menjadi penjaring terbanyak dalam Liga Eropah. Sebelum itu, pada usia 17 tahun dia telah menjaringkan gol yang cantik ketika turun kali pertama mewakili kelabnya Lyon.

Benzema kemudiannya membantu Lyon mempertahankan juara liga bagi tahun 2005, 2006 dan 2007.

Persembahan cemerlangnya ketika piala UEFA 2007 menarik perhatian kelab ternama seperti Real Madrid, Barcelona, AC Milan dan Inter Milan.

5. Mamadou Sakho

Keluarga Mamadou Sakho berasal dari Senegal. Dia kini mewakili Perancis sebagai pemain pertahanan tengah dan bermain untuk Liverpool.

Kerjayanya bermula pada tahun 2003 apabila dipilih bermain dengan kelab Paris Saint-German (PSG) pada usia 12 tahun. Pada tahun 2007, dia memulakan bermain sebagai pemain profesional dengan PSG dan perlawanan pertamanya ialah menentang kelab Valecien yang berkesudahan seri – dan menjadi ketua pasukan termuda dalam liga.

6. Yaya Toure

Pemain tengah Manchester City ini mewakili Ivory Coast dan merupakan kemunculan kali ketiga dalam Piala Dunia. Pertama kali mewakili negara pada tahun 2004 dan telah memenangi pelbagai kejuaran kelab termasuk dua kali juara liga Sepanyol, dua kali juara liga Inggeris, juara Super Greek, dan Piala Juara-juara 

7. Kolo Toure

Adik-beradik Yaya Toure  ini mewakili kelab Liverpool dan sehingga kini telah mewakili Ivory Coast 107 cap. Kali pertama mewakili negara ialah ketika pertemuan Ivory Coast menentang Nigeria pada Julai 2000. Sebagai pemain pertahanan, keupayaannya menjaringkan 6 gol setakat ini begitu membanggakan.

8. Sulley Muntari

Pemain yang mewakili Ghana ini dilahirkan pada Ogos 1984 dan telah memperoleh 81 cap. Dia turut bermain dalam dua Piala Dunia sebelum ini. Ketika Piala Dunia 2006, dia menjaringkan gol bagi membantu Ghana memperoleh kemenangan pertama dalam Piala Dunia ketika menewaskan Republik Czech. Pada Piala Dunia di Afrika Selatan 2010 dia menjaringkan gol penting ketika menewaskan Uruguay untuk layak ke suku akhir.

Di peringkat kelab, Dia kini bermain untuk AC Milan, Itali.

9. Ahmed Musa

Ahmed Musa dilahirkan di Nigeria pada Oktober 1992 dan mula mewakili negaranya pada September 2010 menentang Madagascar. Dia kini bermain untuk kelab CSKA Moscow. Ahmed memulakan kerjaya profesionalnya pada tahun 2008 dengan kelab Nigeria  JUTH F.C. - HARAKAHDAILY, 13/6/2014

jambori amal kuala kangsar 2008