pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Jumaat, 30 September 2011

UMNO- BN MAKIN TERDESAK : PEMUDA PAS

BAGAN DATOH : Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ( DPPK ) berpendapat bahawa Umno- BN makin tenat dan terdesak kini. Berdasarkan isu – isu yang cuba dibangkit mereka hanyalah semata – mata meraih dan mengharap simpati sokongan rakyat pada pilihanraya nanti. Sebagai persediaan Pilihan Raya Umum ke 13, Umno- BN telah menggunakan segala isu memburukkan PAS khususnya dan amnya Pakatan Rakyat ( PR ).


Menurut Setiausaha Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh, Sdr. Ahmad Nordin b. Samrin episodnya telah bermula dengan isu kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj. Mohammad bin Sabu berkait sejarah perjuangan seorang tokoh Melayu yang bernama Mat Indera. Kononnya Mat Sabu ( Mohammad ) dan PAS menyokong perjuangan Komunis sehingga Timbalan Presiden PAS itu kini  didakwa di mahkamah. Mereka juga menuduh bahawa PAS dan Pakatan Rakyat ( PR ) sengaja membawa isu ini sebagai menarik sokongan orang Melayu, sedangkan Umno – BN yang menjadikan isu ini untuk menghentam Pakatan Rakyat.

Melihat kesan isu Mat Sabu yang gagal menarik minat orang Melayu untuk menyokong Umno – BN malahan sokongan kepada PAS dan Mat Sabu semakin kukuh, kini mereka pula membangkit semula isu hukuman hudud. Mereka pula mengatakan PAS sengaja membawa isu ini kerana meraih simpati orang Melayu. Sebaliknya mereka yang sebenarnya menjadikan isu ini untuk meriah sokongan dan memecah belahkan Pakatan Rakyat.

Malangnya, isu ini juga kelihatan hampir gagal dan mereka pula kini terperangkap sendiri apabila Umno ( Najib ) mendapat ugutan daripada MCA dan Gerakan untuk keluar BN sekiranya Umno mahu melaksanakan hukuman hudud di Malaysia.



Penolong Setiausaha 2 Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh, Ustaz Hamir Hamzah b. Ibrahim juga menyokong serta berpendapat bahawa segala isu – isu yang dibangkitkan Umno- BN gagal mengkaburi rakyat. Langkah mereka ini dianggap hanyalah sekadar melindungi masalah dalaman  Umno – BN dan kepincangan sistem pilihan raya di Malaysia. Bermula apabila Pemuda PAS membongkar senarai nama – nama pengundi “ hantu ” dan pemberian kad pengenalan dan taraf kerakyatan kepada bangsa asing dengan segera. Walaupun ianya cuba dinafikan SPR dan JPN, segala bukti sudah mencukupi bahawa berlaku kepincangan.

“ Sesungguhnya pemuda PAS menyokong hukuman hudud dilaksanakan di Malaysia kerana ianya adalah tuntutan agama. Bukan kerana Mursyidul Am ( Nik Aziz ) atau parti itu sendiri. Ianya adalah wajib bagi umat Islam.” Katanya lagi mengenai hukuman hudud yang bakal dilaksanakan oleh PAS.

Sebagai sokongan, Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh akan sentiasa berdiri teguh bersama kepimpinan PAS dalam memperjuangkan Islam di Malaysia ini.

Khamis, 29 September 2011

AHLI PAS MESTI FAHAM PERJUANGAN PARTI : UST. SYED QADIR

BAGAN DATOH : Perjuangan PAS sebagai sebuah parti politik Islam adalah memperjuangkan akidah dan syariat agama islam itu sendiri. Seluruh ahli dan penyokong PAS seharusnya faham dan mengerti dasar perjuangan parti bukanlah hanya sekadar berpolitik dalam pilihanraya semata - mata di negara ini. Demikian tegas Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Syed Abdul Qadir Al - Joofree ketika menyampaikan pembentangan kertas kerja berjudul Tahaluf Siyasi anjuran Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh.

Bertempat di Markaz Tarbiyyah PAS Selekoh, Dewan Pemuda PAS telah menganjurkan Liqa' Gabungan Pemuda PAS Bagan Datoh pada 26 September 2011 ( Isnin ) yang lalu. Pada majlis tersebut, pemuda PAS telah menjemput Ustaz Syed Abdul Qadir Al - Joofree yang merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau yang juga merupakan penceramah  jemputan program Tanyalah Ustaz di TV9 dan radio IKIM FM telah membentangkan kertas kerja daripada Majlis Syura Ulamak PAS.











Selasa, 27 September 2011

KEJAHILAN ZAHID BERKENAAN HUDUD : DPPK

BAGAN DATOH : Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkenaan cadangan perlaksanaan hukuman hudud oleh PAS dilihat sebagai satu penghinaan dan menunjukkan ' kejahilan ' beliau sendiri. Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh amat kesal dan kecewa terhadap kenyataan tersebut.


Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Pertahanan Malaysia menyatakan bahawa hukuman hudud belum sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana berdasarkan masyarakat majmuk. Oleh itu beliau melihat dan berpendapat perkara ini adalah penyebab hukuman hudud terpaksa ditangguh perlaksanaannya di negara ini.

" Mungkin beliau tidak faham dan kurang pengetahuan agama. Jadi kenyataan sebegini keluar dari mulut seorang pemimpin melayu Islam Umno." Demikian pendapat seorang Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh, Tn. Hj. Mohd Haidzir b. Ajid.

Sebagai menjawab isu ini, Pemuda PAS mengharapkan masyarakat khususnya pengundi di kawasan Bagan Datoh tidak terpedaya dan terpengaruh kenyataan " jahil " Ahmad Zahid. Ini kerana, hukuman hudud adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk melaksanakannya. Bukanlah kerana politik semata - mata meraih undi dan menarik sokongan rakyat terhadap PAS. Perjuangan PAS adalah bukan politik semata - mata, sebaliknya dakwah Islam menjadi tunjang serta matlamat utama.

Menyangkal kenyataan tersebut juga, Pemuda PAS mengajak penyokong Umno terutamanya Ahmad Zahid melihat dan belajar serta mendalami  sirah Nabi Muhammad SAW dalam melaksanakan hukuman hudud di Madinah. Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin utama kerajaan Islam Madinah berjaya melaksanakannya walaupun ketika itu wujud pelbagai bangsa dan agama. Ini adalah sebagai bukti kukuh tiada halangan melaksanakan apa sahaja yang diperintah Allah SWT.

Dewan Pemuda PAS melihat kenyataan tersebut sebagai keputusan terdesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan Umno terutamanya Datuk Najib Razak apabila mendapat ugutan MCA dan Gerakan untuk menarik diri daripada Barisan Nasional sekiranya Umno mahu melaksanakan hukuman hudud di Malaysia.


Ahad, 25 September 2011

BICARA AGAMA BERSAMA AF. UST. SYED ABDUL QADIR

DEWAN PEMUDA PAS BAGAN DATOH 
MENJEMPUT DAN MEMPERSILAKAN

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT
KE


MAJLIS BICARA AGAMA BERSAMA 
AL- FADHIL UST. SYED ABDUL QADIR AL-JOOFREE
( Penceramah Rancangan Tanyalah Ustaz TV9 dan Radio IKIM FM )

PADA : 26 September 2011 / Isnin
MASA : 9.00 Malam
TEMPAT : Markaz PAS Selekoh, Bagan Datoh

SEMUA DI JEMPUT HADIR



NAJIB SUDAH MELAMPAU : DPPK

BAGAN DATOH : Mungkin kerana kejahilan agama menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak mengeluarkan kenyataan " bodoh " berkaitan hukuman hudud yang diperjuangkan PAS. Beliau berucap ketika dalam sebuah program rakyat di Perak menyatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan melaksanakan hukum hudud sebagaimana tuntutan agama.


Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ( DPPK ) amat terkejut dan kesal terhadap kenyataan Najib sebagai seorang Melayu dan Islam sanggup menghina dan memperlekehkan hukum Islam. Beliau berkata walaupun hukuman hudud adalah hukum tuhan, namun perlaksanaannya ( undang - undang Islam )  mestilah berdasarkan realiti ketika ini dan mengambil kira hal persekitaran. Katanya lagi, kerajaan mengambil kira prinsip “Maqasid Syariah” iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. 

Seorang Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh, Tn. Hj. Mohd Haidzir bin Ajid menyatakan bahawa mungkin kekeliruan dan kejahilan agama dalam diri pemimpin tersebut menyebabkan perkara ini berlaku. Sedangkan undang - undang Islam hukumnya mesti dilaksanakan berdasarkan petunjuk al - Quran dan Hadis. Mewakili Pemuda PAS Kawasan, beliau meminta supaya Najib bertaubat dan belajar  mendalam lagi tentang Islam dan Iman.

Terdapat sesetengah pihak mengatakan isu ini sahaja dipermainkan oleh PAS kerana ingin mengharap simpati rakyat demi meraih undi dalam pilihan raya umum nanti. PAS ingin menegaskan bahawa hukum hudud bukan modal atau kempen PAS meraih simpati sebaliknya sebagai tanggungjawab dakwah dan penerangan kepada umat Islam.

Sabtu, 24 September 2011

BANTAH FILEM HINA ISLAM : DPPK

BAGAN DATOH : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ) mengutuk dan membantah terhadap penayangan filem Malaysia yang mempunyai unsur - unsur menghina dan memperlekeh agama Islam. Ini berikutan isu yang berlaku sebagaimana sebuah filem komedi melayu berjudul ' Hantu Bonceng ' baharu - baharu ini . Namun pelakon utama filem tersebut telahpun meminta maaf atas kesilapan dan kesalahan berikut. Pemuda PAS amat berterima kasih dan memuji sikap pelakon  yang  juga pelawak tersebut atas keberanian mengakui kesalahannya.


Perkara ini bukanlah kerana Pemuda PAS berhasad dengki apatah lagi kepentingan politik semata - mata, sebaliknya perkara ini melibatkan akidah umat Islam. Walaupun ada setengah pihak mempertikaikan dan memperlecehkan Pemuda PAS, dakwah dan tarbiah mesti diteruskan. Rakyat dan masyarakat perlu faham soal akidah bukanlah masalah kecil sebaliknya adalah berat dan menjadi tanggungjawab bersama mempertahankannya. 






Menurut seorang Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh, Sdr. Mohd Al - Farouk b. Hj. Hussein, Pemuda PAS tidak langsung ingin meminggirkan dunia perfileman dan hiburan di negara ini tetapi haruslah menjaga sensitiviti dan perlulah menghormati agama Islam itu sendiri. Berdasarkan gegala sosial khususnya dikalangan remaja semakin teruk dan tidak dapat untuk dinafikan penayangan filem - filem yang berunsurkan negatif menyumbang kepada gejala tersebut.


Walaupun wujud Lembaga Penapisan Filem ( LPF ) yang berfungsi menapis segala filem daripada perkara yang tidak sepatutnya berlaku seperti menyentuh sensitiviti agama dan mengancam keselamatan negara. Namun sehingga kini, kebanyakkan adegan - adegan negatif masih lagi dapat ditonton dalam filem - filem melayu. Apakah sebenarnya fungsi Lembaga Penapisan Filem di Malaysia ini.


Baharu - baharu ini, LPF dengan bongkahnya mengatakan lembaga tersebut tidak perlu kepada badan Syariah untuk menapis filem berbentuk keagamaan atau tahyul sebagaimana cadangan Pemuda PAS. Pengerusinya, Datuk Raja Azhar b. Raja Abdul Manap berkata bahawa LPF mempunyai 76 ahli Lembaga penapisan yang arif dalam bidang keagamaan. Mereka adalah terdiri daripada pesara pegawai JAKIM yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun.


Pihak Pemuda PAS amat mengharapkan kepada pihak - pihak yang bertanggungjawab dalam industri perfileman dan hiburan di Malaysia ini perlulah bertindak dengan berlandaskan perkara terbaik. Janganlah semata - mata untuk memungut keuntungan dan kekayaan, hukum agama dan budaya ketimuran terpaksa digadaikan.



Khamis, 22 September 2011

PERLU TELITI FILEM HANTU BONCENG: MAPIM

Mapim minta teliti Hantu Bonceng 

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meminta kerajaan meneliti semula tayangan filem Hantu Bonceng sekiranya ia jelas mempunyai unsur menghina agama Islam. 

Setiausaha Agongnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun filem ini bersifat komedi dan berunsur khayalan namun ia tidak boleh mempermainkan kalimah syahadah yang merupakan isu sangat sensitif di sisi Islam. 

Beliau berkata, Mapim dengan tegas menuntut agar pihak berkuasa meneliti semula kelulusan layak tayang yang dikeluarkan kepada penerbit filem tersebut. 

Menurutnya, Mapim berpendirian tegas bahawa kelulusan pihak berkuasa untuk membenarkan filem tersebut ditayang di layar awam akan turut dilihat sebagai kelulusan yang memandang remeh terhadap unsur mempersendakan agama. 

“Pada hal Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) yang dikatakan mempunyai panduan penapisan filem seharusnya dapat menghalusi dan melihat implikasi hasil daripada penayangan setiap filem yang hendak diberi kelulusan tayangan. 

“Mapim berharap jangan hendaknya industri filem di negara ini mulai cenderung untuk menghasilkan karya secara bebas seperti pengusaha filem Barat sehingga sensitiviti agama dan nilai sakral yang ada pada masyarakat timur diketepikan hanya kerana mahu bersaing dan setaraf dengan industri perfileman negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, semalam. 

Mohd Azmi berkata, Mapim berpendapat Malaysia akan dijadi momokkan masyarakat Barat yang melihat negara ini tidak layak mempunyai asas merasa moral lebih tinggi daripada aspek agama dan budaya sedangkan ia sendiri mempunyai nilai yang sama dengan budaya hidup mereka iaitu kebebasan untuk berkarya tanpa terlalu me-ngambil kira soal pantang larang agama. 

Beliau berkata, panduan LPFM yang kini sudah disemak semula perlu memberi perhatian serius kepada soal unsur agama yang sering menjadi aspek terpencil dalam pembikinan filem tempatan kerana ghairah untuk memenuhi selera penonton dan menjadikannya filem bertaraf box office. 

Katanya, jika benar ada sekitar 2,500 filem sebulan dan 100 filem yang terpaksa ditapis sehari LFPM, Mapim berpendapat lembaga ini perlu ada kemampuan yang sangat tinggi untuk menyemak setiap lakonan , skrip dan aksi yang hendak dipaparkan berdasarkan kriteria digariskan. 

Menurutnya, Mapim sangsi semada LFPM ada kemampuan tersebut atau tidak sekaki gus pertubuhan itu juga mempersoalkan sejauh mana panel LFPM itu sendiri mempunyai kepakaran yang mencukupi untuk menilai sesuatu karya itu mempunyai unsur yang boleh memberi implikasi buruk terhadap agama. 

“Mapim mencadangkan LFPM dilengkapi pelbagai pakar yang dapat menilai mesej sesuatu filem sehingga tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat berbilang kaum dan agama,” tegasnya.

Rabu, 21 September 2011

BENDERA MALAYSIA DIJAMIN KEKAL : PAS

Jamin tak ubah bendera 

SHAH ALAM - Pas memberi jaminan bendera Malaysia tetap digunakan, sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah negara dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), walaupun ada pihak menyarankan untuk menukarkannya. 

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada keperluan menukar bendera kerana ia lambang kedaulatan negara. 

Menurutnya, bendera negara perlu dipertahankan dan tidak boleh dipelekehkan. 

“Isu utama bukanlah bendera, tetapi slogan Barisan Nasional (BN), 1Malaysia yang menggunakan lambang bendera Malaysia. 

“BN hanya menggunakan slogan itu sebagai penyedap kata, umpama zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam Hadharinya dan kini Datuk Seri Najib Razak dengan 1Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan dari DAP yang akan menukar corak bendera Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat (PR) me-nang dalam pilihan raya nanti. 

Tuan Ibrahim berkata, slogan diperkenalkan kerajaan, gagal difahami oleh bijak pandai termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan bagaimana pula rakyat di negara ini. 

Beliau berkata, isu ini tidak perlu dipolitikkan, apa yang penting Pas tidak menyokong cadangan sedemikian. 

“Fokus utama pemimpin dan ahli Pas adalah untuk menumbangkan kerajaan sekarang, kerana mahu memberi pembaharuan kepada rakyat untuk mendapat jaminan masa depan lebih baik,” katanya.

Isnin, 19 September 2011

SUKANEKA PASTI & SAMBUTAN AIDILFITRI MERIAH

SELEKOH, BAGAN DATOH : Jabatan PASTI kawasan dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Bagan Datoh telah menganjurkan Majlis Sambutan Aidil Fitri dan Sukaneka PASTI Kawasan Bagan Datoh 1432/ 2011.


Majlis tersebut yang telah berlangsung pada 17 September 2011 ( Sabtu ) dan bertempat di Padang Madrasah Jamiah Islamiah, Sg. Tiang Darat, Selekoh telah disempurnakan perasmiannya oleh Al Fadhil Ustaz Mohd Misbahul Munir bin Hj. Masduki, Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh.

Buat julung kali pertamanya, majlis sedemikian yang dianjurkan secara bersama itu telah menarik minat para ibu bapa murid - murid PASTI serta seluruh penduduk sekitar untuk menghadiri bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Kehadiran barisan kepimpinan PAS kawasan dan cawangan juga menambah kemeriahan dan keseronokan pada majlis itu.

Kelewatan perasmi, Ustaz Mohd Misbahul Munir tidak menghalang perjalanan majlis berikutan masalah teknikal yang dihadapinya. Sebaliknya majlis dimeriahkan dengan lintas langsung perbarisan kontinjen - kontenjin PASTI yang bertanding. Seterusnya adalah ucapan alu - aluan dari Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh, Ustaz Ahmad Najib b. Sapar. Beliau menyarankan anak - anak di hantar ke PASTI sebagai langkah terbaik pendidikan awal kanak - kanak dalam ucapannya.

Antara acara yang dipertandingkan ialah kutip gula - gula, jalan itik, lari 30 m, hantar bola berirama dan banyak lagi. Selain acara kanak - kanak PASTI, acara dewasa juga diadakan antaranya sepak raga ratus dan lontar peluru yang dikhaskan untuk lelaki terbuka. Manakala acara muslimat adalah menganyam ketupat.


Sementara dalam ucapan perasmian oleh Ustaz Mohd Misbahul Munir menjelaskan peranan PASTI dalam membentuk dan melahirkan masyarakat dan umat Islam yang gemilang di masa hadapan. Beliau juga mengingatkan kepada pengundi agar tidak ketinggalan berkaitan isu - isu terkini yang bermain di sekeliling. Antara isu terkini adalah rentetan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tn. Hj. Mohamad bin Sabu ( Mat Sabu ) tentang perjuangan Mat Indera.

Ketika berucap beliau juga menyeru seluruh rakyat jangan mudah terpedaya dengan mainan politik kotor Umno - BN dalam menarik undi. Sesungguhnya segala isu yang dibawa mereka tidak lain hanyalah untuk mengkaburi dan mangalih perhatian rakyat dari isu kelemahan dan kepincangan dalaman dan pilihab raya di negara ini.

Di  akhir majlis, para tetamu dijamu dengan hidangan yang disediakan pihak penganjur.



Ahad, 18 September 2011

LAPORAN POLIS OLEH DPPK TERHADAP ZAINAL KLING

BAGAN DATOH : Satu laporan Polis terhadap Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara ( MPN ), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling telah dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ) di Ibu Pejabat Polis Daerah Teluk Intan pada hari Jumaat ( 16 Sept ) lalu.


Ketua Jabatan Pilihan raya Pemuda Kawasan, Tn. Hj. Muhd Haidzir bin Ajid bersama Penolong Setiausaha 3 Pemuda Kawasan, Mustaid bin Saifuddin selaku DPPK telah membuat laporan tersebut pada jam 3.30 petang dan selesai segala urusan laporan serta keluar dari IPD jam 6.00 petang. Laporan polis tersebut dilakukan terhadap Prof. Datuk Dr. Zainal kerana kenyataan beliau yang mengatakan “ jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar”.

Kenyataan beliau itu dilakukan ketika dalam satu sidang akhbar di Putrajaya pada 9 September 2011 lalu. Pemuda PAS amat terkejut dengan kenyataan tersebut yang dikeluarkan oleh seorang yang berpengaruh dan dikatakan pakar dalam bidang sejarah sejarah tanahair malah dinyatakan beliau mewakili Majlis Profesor Negara.

DPPK juga melihat kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini telah mengganggu gugat kestabilan dan mengelirukan segenap lapisan masyarakat yang telah sekian lama diajar dan difahamkan bahawa British adalah penjajah negara dan kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 merupakan kemerdekaan dari penjajahan Bristish.


Sekaligus juga kenyataan ini menafikan pengorbanan para pejuang – pejuang kemerdekaan tanahair yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Tok Jaggut, Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Dol Said, Rosli Dhobi dan lain – lain lagi.

Sehubungan dengan itu, DPPK menuntut agar Prof. Datuk Dr. Zainal Kling disiasat dan didakwa di mahkamah kerana jelas telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan atau berita yang telah menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam yang boleh medorong dan atau mengapikan mana- mana pihak untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang – undang.


DPPK NAFI KENYATAAN PEMUDA UMNO PERAK

BAGAN DATOH : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ) yakin bahawa isu yang dibangkitkan oleh Umno – BN berkaitan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tn. Hj. Mohamad bin Sabu mengenai perjuangan Mat Indera adalah hanya semata – mata kepentingan politik kotor mereka. Ianya juga sebagai langkah dan gerakan terancang pihak mereka dalam mengalihkan perhatian rakyat dari isu kepincangan dan kelemahan pilihan raya.

Sebagai menafikan kenyataan ketua Pemuda Umno Negeri Perak, Khairul Azwan bin Harun yang mendakwa kononnya Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu dan PAS menjadi keldai tunggangan dalam Pakatan Rakyat ( PR ) terutamanya Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat ( PKR ).

Menurut Ketua Jabatan Pilihan Raya Pemuda Kawasan, Tn. Hj. Muhd Haidzir bin Ajid bahawa kenyataan tersebut adalah merupakan langkah kurang cerdik ketua Pemuda Umno itu. Ini adalah berikutan isu yang sebenarnya berlaku dikalangan pihak Umno – BN kerana demi menutup dan mengkaburi perhatian rakyat tentang perkara tersebut.

Rakyat pastinya dapat melihat bagaimana pihak media pro-Umno, setiap waktu memberikan gambaran yang negatif berkaitan isu tersebut. Perkara ini bukan satu isu besar yang seharusnya ‘ dihangatkan’ oleh Umno – BN. Tetapi oleh kerana kepentingan politik jahat mereka, sanggup menjadikan kenyataan Timbalan Presiden PAS tersebut sebagai alasan untuk diputar belitkan demi mendapat sokongan rakyat.

PAS tidak pernah untuk menghebah dan menghangatkan ‘ isu Mat Sabu’ ini semata – mata untuk mengkaburi pandangan rakyat apatah lagi sebagai tunggangan kepada rakan Pakatan Rakyat terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebaliknya Umno- BN yang beriya – iya dan bersungguh – sungguh mengutuk dan mengata PAS menyokong perjuangan Komunis di media seperti akhbar dan televisyen. Sedangkan PAS menolak fahaman dan idealism Komunis, mana mungkin akan menyokong apatah lagi menerima perjuangan Komunis di Tanah melayu suatu ketika dahulu.

DPPK melihat dan berpendapat kenyataan Khairul Azwan tersebut sepatutnya di tujukan kepada Umno- BN itu sendiri. Ini kerana mereka yang cuba mengalihkan perhatian rakyat sebagai menutup segala kelemahan serta kepincangan Umno- BN terutamanya ketika persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang ini.

Rabu, 14 September 2011

ZAHID DAN HISHAM TIDAK TAHU MALU: DPPK


BAGAN DATOH - Kenyataan dua orang Naib Presiden Umno yang juga merupakan menteri memohon tandatangan sokongan dari persatuan bekas polis dan tentera dilihat satu tindakan terdesak Umno dalam meraih sokongan rakyat khususnya di kawasan Bagan Datoh. Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ) menyifatkan tindakan pemimpin tersebut sebagai kurang cerdik dan menyebabkan rakyat semakin menyampah kepada Umno - BN.

"Biarlah rakyat melihat dan menilai sendiri isu Mat Sabu ini. Mengapa sampai memohon sokongan bekas polis dan tentera. Seolah - olah mereka ( Umno - BN ) sahaja cari pasal." kata seorang Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kawasan, Saudara Nizam.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi menyatakan perkara tersebut secara bersama Datuk Seri Hishammuddin bin Tun Hussein yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri. Kenyataan tersebut sebagai mengulas isu kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tn. Hj. Mohammad bin Sabu berkaitan perjuangan Mat Indera yang dikatakan mereka sebagai  perjuangan Komunis.

Kedua menteri itu juga akan berjumpa dengan ahli persatuan bekas polis dan tentera minggu hadapan untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu itu.

Terdahulu, mereka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri Umno - BN Bahagian Bagan Datoh di perkarangan Wisma Umno Bahagian Bagan Datoh, Simpang Empat.

Selasa, 13 September 2011

KARNIVAL SUKAN PASTI DAN JAMUAN HARI RAYA PAS KAWASAN BAGAN DATOH

KARNIVAL SUKAN PASTI DAN JAMUAN HARI RAYA 
PAS KAWASAN BAGAN DATOH 2011



Tarikh :
17 SEPTEMBER 2011 / 19 SYAWAL 1432 ( SABTU )
Masa :
8.00 PAGI 
Bertempat :
 PADANG SAR. SUNGAI TIANG DARAT, SELEKOH

PELBAGAI ACARA MENARIK AKAN BERLANGSUNG!!

Perasmian oleh : 
Ust. Mohd Misbahul Munir Bin Hj. Masduki 
( Yang Dipetua PAS Kawasan Bagan Datoh )


SEMUA DI JEMPUT HADIR!!

IJTIMA' TARBAWI DEWAN PEMUDA PAS PERINGKAT KEBANGSAAN


SELURUH PEMUDA DI JEMPUT MENYERTAI IJTIMA' TARBAWI DEWAN PEMUDA PAS PERINGKAT KEBANGSAAN PADA 28, 29 DAN 30 OKTOBER 2011 DI SHAH ALAM, SELANGOR DARUL EHSAN.

PEMUDA PAS TOLAK DAKWAAN MT UMNO

BAGAN DATOH - Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh menyelar dan menafikan dakwaan kononnya PAS menciplak dan meniru manifesto Barisan Nasional berkaitan Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS. Dakwaan ketinggalan zaman dan basi itu cuba dibangkitkan oleh seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris bin Harun.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menyatakan bahawa PAS ketinggalan apabila membawa manifesto yang diguna pakai Umno sejak 54 tahun lalu. Dakwa beliau lagi idea Negara kebajikan  yang kononnya diciplak PAS daripada Umno semata – mata untuk meraih sokongan bukan Islam dalam pilihan raya nanti.

Kenyataan Idris ( Harun ) ini merupakan satu penyataan yang dianggap oleh pemuda PAS sebagai mengharap ehsan dan simpati rakyat bagi mengkaburi kelemahan Umno- BN sendiri. Sekian lama isu Negara kebajikan sunyi, tiba – tiba Ahli Majlis Tertinggi Umno tersebut mengeluarkan dakwaan berikut.

Isu negara kebajikan ini telah diperjelaskan oleh PAS melalui buku karangan Tuan Guru Datuk Seri Hj. Abdul Hadi bin Awang selaku Presiden PAS. Persoalannya, mengapa golongan Umno dan ProUmno masih tidak faham dan terus cuba mainkan isu ini. Ini tidak lain tidak bukan hanya untuk mengkaburi rakyat tentang isu tersebut.

Datuk Idris ( Harun ) juga mendakwa kenyakinan Umno tidak akan tergugat berkaitan manifesto yang dibawa PAS iaitu Negara Berkebajikan. Makanya mengapakah perlu Umno- BN sibuk dan bimbang dengan manifesto PAS tersebut. Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh amat terkilan kenyataan beliau yang disiarkan melalui akhbar Sinar Harian kelmarin.

Saudara Mazlan Adha bin Jalal, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Kawasan ini menyatakan, tidak seharusnya pihak Umno – BN terus cuba memainkan isu ini. Menurutnya, istilah yang digunakan jauh berbeza sebagaimana didakwa Umno- BN. Manifesto PAS ialah NEGARA BERKEBAJIKAN bukan NEGARA KEBAJIKAN. Ianya memberi dua perkataan yang berbeza maksud dan makna. Negara kebajikan Umno – BN adalah merupakan satu kegagalan mereka dalam memberi keadilan dan kesaksamaan harta dan nikmat negara kepada rakyat.

ILMUAN TIDUR DALAM USUS PENJAJAH - NIK AZIZ

Nik Aziz sindir ahli akademik 

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ahli akademik, Profesor Datuk Dr Zainal Kling sebagai ilmuan ‘tidur dalam usus penjajah’. 

Beliau berkata, kenyataan Zainal mendakwa negara ini, tidak pernah dijajah sebaliknya hanya dinaungi dan dilindu-ngi British juga boleh diumpamakan seperti kisah ‘Ashabul Kahfi’ perihal sekumpulan pemuda yang ditidurkan selama 300 tahun di dalam gua. 

“Orang seperti Zainal apabila dia celik, bangun dari tidur, dia berasa penjajah tolong dia. Kalau ikut dia, ertinya tidak ada penjajah dalam dunia ini, Belanda pun tolong Indonesia, Inggeris tolong Melayu, Perancis tolong Eropah, tidak ada penjajah,” katanya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sekembali dari Kuala Lumpur. 

Mursyidul Am Pas itu berkata demikian, ketika diminta mengulas kenyataan Zainal yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara (MPN) yang menyatakan, tiada tercatat dalam Perjanjian Pangkor (1874) bahawa British akan berperanan sebagai penjajah, sebaliknya hanya menaung dan melindungi. 

Nik Aziz berkata, beliau akur dengan keputusan Pas, sama ada masih mahukannya bertanding ataupun tidak pada pilihan raya akan datang. 

“Saya letak atas parti, parti kata tanding, saya bertanding, kalau parti kata cukup, saya tak bertanding. Saya pemimpin sebuah jemaah, ikut apa parti nak,” katanya. 

Sabtu lalu, seorang penulis blog propembangkang, Wan Ji Wan Hussin pada satu bual bicara penulis bersama pe-mimpin kerajaan Kelantan mencadangkan supaya Nik Aziz tidak lagi bertanding pada pilihan raya umum akan datang sebaliknya menumpukan siri penjelajahan ke selu-ruh negara sebagai pemimpin utama Pas. 

Wan Ji yang menggunakan blog http://g-82.blogspot.com/ berkata, Nik Aziz tidak sepatutnya dibebankan dengan tugas sebagai menteri besar lagi kerana ia sudah boleh diserahkan kepada individu lain.

Isnin, 12 September 2011

HANYA FITNAH UMNO SAHAJA

Pejuang Islam, bukan komunis: Mat Sabu 

SHAH ALAM- Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menegaskan beliau adalah pejuang Islam sejak kecil lagi dan bukan penyokong komunis seperti didakwa sesetengah pihak. 

Beliau berkata, pegangannya tidak pernah berubah sejak daripada dahulu lagi apabila menyertai banyak pertubuhan Islam ketika zaman remaja. 

“Itu adalah tidak benar sama sekali. Dulu, kini dan selamanya saya akan berjuang untuk Islam. 

“Saya pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menjadi pelampau agama, tetapi kini mereka tuduh saya pejuang komunis pula,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurutnya, zaman remaja beliau menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). 

Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau menjadikan ulama dan peluang Islam Syed Qutb, Jamaludin Al-Afghani dan Iman Hasan Al-Banna sebagai idolanya dalam menyampaikan pidato. 

“Tetapi hari ini, mereka tuduh saya komunis. Sampai hati mereka kata begitu. Saya sedih kerana tidak pernah terlintas untuk menyokong komunis. 

“Saya cintakan tanah air Malaysia, tempat tumpah darah saya,” katanya. 

Mat Sabu, dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu mendakwa Mohamad Indera yang terlibat dalam isu tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar. 

Susulan ceramah itu, Mat Sabu dikecam banyak pihak kerana dianggap menyokong perjuangan komunis kerana didakwa mengangkat individu yang bersama pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) menyerang Bukit Kepong. 

Beliau turut berkata, Umno menggali lubang mereka sendiri apabila memperbesarkan isu yang kononnya beliau menyokong perjuangan komunis. 

“Saya tidak takut dan tidak akan berganjak daripada pendirian saya. Dalam ucapan itu saya tidak menyebut menyokong komunis,” katanya.

Jumaat, 9 September 2011

MAUT KERANA LAGU

Maut hanya kerana lagu Hindi 
TELUK INTAN - Hanya kerana lagu Hindi yang tidak boleh dimainkan, seorang lelaki maut selepas dibelasah sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati dengan keadaan itu, di sebuah kelab Bandar Baru, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku pada 31 Ogos lalu apabila mangsa yang dikenali sebagai Beh Chin Hooi, 33, cuba meleraikan pergaduhan di antara seorang lelaki dan penjaga kelab.

Menurutnya, sebelum itu, seorang lelaki bersama rakannya telah meminta penjaga kelab itu memasang lagu hindi mengguna ‘pendrive’ yang diberikan mereka.

“Namun begitu, ‘pendrive’ ini gagal berfungsi menyebabkan timbul salah faham di antara kedua-dua pihak.

“Lelaki ini dikatakan memukul penjaga kelab itu, tetapi berjaya dileraikan oleh mangsa yang juga pemilik kolam udang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa datang semula ke kelab itu bersama enam rakannya menyerang mangsa di hadapan kelab itu.

“Salah seorang daripada kumpulan itu menyerang mangsa menggunakan senjata tajam iaitu parang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi dan kepala,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mendapat rawatan awal dan menerima 12 jahitan di kepala sementara empat jahitan di sebelah mata kirinya sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Setelah beberapa hari menerima rawatan di hospital, mangsa meninggal dunia awal pagi semalam,” katanya.

Katanya, pihaknya telah memberkas dua lelaki berusia 28 hingga 29 tahun dan akan di reman bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat boleh dikenakan hukuman mandatori, hukuman gantung sehingga mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.

HIKAYAT : NASIHAT UNTUK PEMIMPIN KERAJAAN

SUATU ketika Khalifah Harun ar Rashid telah meminta nasihat daripada sufi Syaqiq al - Bakhi lalu dinasihati dengan pelbagai pengajaran dan diakhiri nasihatnya Syaqiq memberi perumpamaan.


" Wahai Amirul Mukminin! Seandainya tuanku sedang berada di tengah padang pasir, lalu merasa amat haus dan sekiranya tidak mendapat air, tuanku akan binasa. Lalu datang orang menawarkan secawan air. Berapakah harga yang sanggup tuanku bayar? Tanya Syaqiq. Harun ar - Rashid menjawab " Sudahlah tentu aku akan bayar sebanyak mana yang dia mahu." " Jika orang itu meminta setengah daripada kerajaan tuanku, apakah tuanku sanggup juga?" tambah Syaqiq. " YA" jawab khalifah.

Syaqiq bertanya lagi" Setelah tuanku mendapat secawan air tersebut tiba - tiba datang musibah lagi iaitu air yang telah berada di dalam perut tuanku tidak dapat keluar dan tuanku tidak dapat kencing sehingga ia menjadi satu penyakit. Dalam keadaan demikian berapakah bayaran yang tuanku sanggup bayar kepada seorang doktor pakar yang dapat menyelesaikan masalah tuanku itu? " " Aku sanggup membayarnya berapa sahaja yang dia minta" Jawab Khalifah. " Jika dia meminta setengah daripada kerajaan tuanku, adakah tuanku bayar?" soal Syaqiq lagi. Khalifah menjawab " YA ". 

Setelah mendengar jawapan Khalifah Harun ar - Rashid itu Syaqiq berkata " Nah, sekarang tuanku telah tahu berapa nilai kerajaan yang sedang tuanku tadbir ini. Mengapa tuanku masih membanggakan diri dengan sebuah kerajaan yang harganya sama seperti secawan air yang tuanku minum dan upah untuk mengeluarkannya setelah menjadi kencing?" Khalifah tertunduk mendengar nasihat tersebut. Terbayang oleh beliau betapa besar nilai nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia.

MUAMMAR GADDAFI DIKEPUNG

Lokasi persembunyian Gaddafi dikepung 

TRIPOLI - Sehingga kini, lokasi persembunyian pemimpin Libya yang digulingkan, Muammar Gaddafi masih menjadi tanda tanya banyak pihak terutamanya kumpulan pemberontak. 

Dalam perkembangan terbaru, kumpulan pemberontak semalam, mendakwa mereka berjaya mengepung tempat Gaddafi bersembunyi selepas jejak terakhirnya dikesan di selatan Libya. 

Bagaimanapun, mereka enggan mendedahkan lokasi persembunyian sebenar pemimpin itu, selepas Gaddafi dikesan menggunakan hasil maklumat perisik dan alat pengesan berteknologi tinggi. 

Terdahulu, konvoi disertai antara 200 dan 250 kenderaan tentera diiringi tentera Niger menuju ke Burkino Faso, Afrika selepas negara tersebut didakwa menawarkan perlindungan kepada Gaddafi. 

Namun, Menteri Komunikasi, Alain Edouard Traore menafikan tawaran perlindungan tersebut kerana kedatangan Gaddaf i sememangnya tidak diundang.

MAJLIS JAMUAN AIDIL FITRI DAN TAKLIMAT ISU MAT SABU : YDP


BAGAN DATOH - PAS Kawasan Bagan Datoh telah menganjurkan majlis jamuan Aidilfitri dan taklimat serta penjelasan berkaitan isu Mat Sabu bertempat di Markaz Tarbiyyah PAS Selekoh semalam. Majlis tersebut telah dihadiri saf kepimpinan PAS kawasan bersama rakyat di kawasan tersebut. Turut sama menceriakan majlis ialah kehadiran Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Mohd Misbahul Munir bin Masduki.

Majlis dimulakan dengan solat fardhu Isyak secara berjemaah dan diteruskan dengan jamuan makan. Kehadiran para tetamu memeriahkan lagi majlis jamuan hari raya bersama YDP tersebut.

Majlis tersebut diteruskan lagi dengan ucapan dan penerangan berkaitan isu ' panas ' terkini iaitu isu berkaitan kenyataan dari Timbalan Presiden Pas, Tn. Hj. Mohammad bin Sabu oleh Ustaz Mohd Misbahul Munir selaku Yang Dipertua kawasan.

" Isu panas ini sahaja ditimbulkan kononya Mat Sabu ( Mohammad bin Sabu ) menyokong komunis. UMNO menggunakan media semata - mata memburukkan Timbalan Presiden PAS." ulas beliau berkaitan kenyataan Hj. Mohammad bin Sabu.

" Banyak fakta sejarah sebenar telah disembunyikan untuk menipu rakyat. Kononnya mereka ( UMNO ) sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan. Hakikatnya, bukan tetapi mereka dakwa merekalah pejuang." jelas beliau apabila UMNO mendakwa berjuang menuntut kemerdekaan.

Majlis tersebut berakhir jam 11.30 malam.

jambori amal kuala kangsar 2008