Riduan Mo­hd Noor
SHAH ALAM - Pemuda Pas bertegas akan mengadakan himpunan Bersih 3.0, jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membu­bar­­kan Parlimen sebelum Ja­wa­tan­kuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) sem­pat menambahbaik pilihan raya umum.



Ketua Penerangannya, Riduan Mo­hd Noor berkata, Najib perlu me­nyatakan pendirian rasmi sama ada mahu membubarkan Parlimen tanpa menunggu PSC atau bergantung kepada hasil resolusi PSC.


Menurutnya, pendirian rasmi Najib penting, supaya rakyat boleh mengukur keikhlasan dan kesungguhan beliau dalam memastikan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berlangsung dalam keadaan bersih dan adil.

“Jika beliau (Najib) sentiasa menafikan atau berdiam diri seperti sekarang, rakyat akan menganggap pentadbiran beliau lemah, malah jauh lebih teruk daripada pentadbiran perdana menteri sebelum ini.

“Jika Najib membubarkan Par­limen sebelum tempoh PSC sempat menjalankan tugasnya, jelaslah beliau hanya beretorik dan tidak beradab kerana tidak menghormati Parlimen dan penubuhan PSC dilihat sekadar kosmetik bagi mengaburi mata rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Selain itu, Riduan berkata, jika Najib bertindak demikian, rakyat akan hanya menganggap PSC sebagai tempat ‘melepas batuk di tangga’ bagi mengelak lebih banyak sera­ngan dihalakan kepada beliau.

Menurutnya, rakyat tidak sanggup menghadapi PRU13 dalam suasana penuh penipuan, penyelewe­ngan dan penyalahgunaan kuasa.

Oleh itu, Pemuda Pas mencabar Najib untuk mengumumkan segera tarikh PRU13 bagi mengetahui sama ada PSC sempat menghabiskan tugasannya atau tidak.

“Jika tidak, sia-sia semua pihak memberikan kerjasama dengan memberikan keterangan kepada PSC dengan niat agar PRU13 nanti benar-benar suatu pembaharuan.

“Jika pembaharuan dalam pilihan raya tidak dibuat sebelum PRU13, kami akan menggerakkan himpunan Bersih 3.0, yang pastinya lebih besar dengan penglibatan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh politik dan negarawan yang cintakan keadil­an,” katanya.