PENGKALAN CHEPA - Sementara negara sudah mula bersiap sedia untuk melangsungkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan Pas bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR) sudah bersedia untuk menggalas amanah yang lebih besar bukan sahaja di peringkat negeri bahkan pusat - menggantikan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Presiden Pas memberi keyakinan bahawa peralihan kuasa akan berjalan dengan lancar sekiranya PR diberi mandat.
"Pas percaya dan yakin bahawa peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat akan berlaku dengan lancar dan aman sekiranya rakyat memberikan amanahnya kepada kita.
"Kepada rakyat keseluruhannya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik.
"Maka, sekiranya kita gagal melaksanakan amanah itu, rakyat bolehlah menghukum kami dalam pilihan raya yang seterusnya," kata Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan Negara Berkebajikan Teras Perpaduan pada Muktamar ke-58 parti itu di sini, hari ini.

Ia muktamar terakhir Pas sebelum PRU13 dipanggil. PRU13 disebut-sebut akan dipanggil bila-bila masa sementara mandat Kerajaan Pusat akan berakhir secara automatik pada 28 April.
Pas bersama DAP dan PKR membentuk PR sejak Mac 2008. Kerjasama ketiga-tiga parti itu membawa kepada kemenangan di lima negeri selain penguasaan 84 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2008.
Keyakinan itu, menurut Abdul Hadi, tentunya berpaksikan kepada sokongan rakyat dan keahlian Pas yang merangkumi pelbagai bidang kepakaran,  selain dari kalangan teknokrat yang boleh bekerjasama dengan kerajaan Pas dan PR.
"Sekiranya diberi amanah ini, maka Pas juga akan mengusulkan supaya dimansuhan akta-akta yang zalim, mengembalikan kewibawaan institusi penting dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), institusi pendakwaan dan kehakiman, Parlimen, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.
"Perjalanan pilihan raya yang lebih adil dan bebas akan terus diperjuangkan oleh Pas, walaupun setelah kita sampai ke Putrajaya nanti kerana inilah ciri sebuah negara demokrasi yang sihat," katanya lagi.
Menyedari bahawa tinggal beberapa lama sahaja lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pimpinan Pas digesa untuk mempertahankan negeri-negeri yang sudah dimenangi pada pilihan raya lalu dengan penuh keazaman.
"Kita juga menyedari bahawa sudah tentunya tempoh hampir lima tahun ini tidak mencukupi untuk kita lakukan perubahan yang besar yang kita citakan di negeri yang kita perintah, kerana dalam masa yang sama kita berdepan dengan konsep federalisme songsang yang memberikan kuasa negeri yang terhad.
"... campur tangan dan tekanan secara tidak adil oleh Kerajaan Pusat terhadap pemerintahan kita, tidak sempatnya kita menukar sistem pentadbiran menyusahkan rakyat yang berakar umbi dari peninggalan kerajaan BN sejak sekian lama, selain dari beberapa kelemahan kita sendiri yang perlu dibaiki secara berterusan dengan seni menyelesaikan masalah secara penuh hikmah," katanya lagi.
Abdul Hadi dalam pada itu mengingatkan pimpinan Pas supaya bersiap sedia ke tahap paling tertinggi untuk menghadapi PRU13 terutama dalam mendepani mainan nakal serta provokasi media dan seteru politik parti itu yang akan menggunakan pelbagai cara untuk menggugat hubungan baik bersama PR.
"Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa.
"Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat," katanya.
Seluruh pimpinan dan perwakilan kemudiannya diarah oleh Abdul Hadi untuk melaksanakan tugas pilihan raya dengan penuh hikmah.
"Bukan musuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan dan mendapat keredhaan ALLAH s.w.t," kata Abdul Hadi.