pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Jumaat, 18 Ogos 2017

RAYUAN SUMBANGAN KOS PEMBEDAHAN BAYI

RAYUAN SUMBANGAN KOS PEMBEDAHAN BAYI KEPADA GURU PASTI



Rayuan sumbangan kewangan ini bagi menampung kos pembedahan bayi kepada Cikgu Musmiah Mustain, Guru PASTI Sandakan* yang menghidap penyakit Hernia (Lapisan Perut Berlubang).

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun di bawah :

Bank Islam PASTI KAWASAN SANDAKAN
10016010061688
Maklumkan ke 0165505740

Keterangan lanjut seperti yang terdapat di dalam poster.

Tolong bantu sebarkan mesej ini. Terima kasih.

MINDA PRESIDEN : POLITIK ISLAM DAN PERKAUMAN


POLITIK ISLAM DAN PERKAUMAN



Kewujudan pelbagai kaum adalah hikmah Allah, Yang Maha Pencipta Alam bagi merealisasikan konsep Masyarakat Madani yang memakmurkan dunia untuk mencapai objektif kalimah Al-Din dan Tamadun. 

Perkataan Madani daripada Al-Din adalah Islam yang sempurna, meyakini bahawa Kuasa Allah yang menyeluruh ke sekalian alam, tidak boleh dipertikai sifat Rahmat, Adil, Bijaksana dan segala sifat Kesempurnaan bagi-Nya, dan peranan manusia yang diciptakan berjasad, berakal, punya aspek rohani dan hidup bermasyarakat. Maka Syariat Allah adalah paling sempurna dan tidak mampu dipenuhi oleh agama lain, teori dan ideologi ciptaan manusia. 

Manakala Madani daripada perkataan Tamadun pula adalah memerlukan mereka berkemampuan secara bermasyarakat, tanpa bersendirian dan berasingan. 

Oleh itu, wajib digabungkan kedua-duanya dalam membina Masyarakat Madani dengan Hidayah Allah, Yang Maha Penyayang terhadap makhluknya bersumberkan daripada Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah. 

Sirah Rasulullah SAW juga menamakan negara pertama dengan sebutan ‘Madinah’ untuk memberi makna bahawa merakyatkan masyarakat Majmuk dalam Negara Islam. 

Perkara tersebut ditegaskan dalam firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣ الحجرات 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu bertaaruf (berkenalan dan berhubungan antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih Takwanya di kalangan kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (berkenaan diri dan urusan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

Ayat ini menunjukkan bahawa adanya pelbagai kaum, bangsa dan suku sakat adalah ciptaan Allah yang mengandungi hikmah yang Maha Agung. Semua mereka berasal daripada ibu bapa yang sama, iaitu Adam dan Hawa. Inilah kenyataan sebenar daripada Al-Quran yang wajib diimani oleh penganut Islam. 

Setelah berlalu beberapa abad mereka ditempatkan ke seluruh pelosok dunia di atas muka bumi, menjadikan mereka pelbagai bangsa dan budaya dengan perbezaan cuaca, hasil pertanian, galian dan ilmu pengetahuan. 

Namun, keperluan hidup manusia yang berhajat kepada banyak bahan (daripada hasil tersebut bagi keperluan makanan, pakaian, tempat kediaman, alat perhubungan perjalanan dan maklumat) memerlukan semua bahan ciptaan Allah itu digabungkan, diwajibkan bermuamalat (pergaulan) dan pertukaran yang memerlukan saling bertaaruf dan mengenali antara satu sama lain bagi melaksanakan konsep Al-Din dan Masyarakat Madani.

Bagi mencapai tujuan ini, maka diwajibkan urusan politik, ekonomi dan kemasyarakatan supaya konsisten atas dasar kesaksamaan mengikut sempadan hak masing-masing dan persamaan dalam beberapa perkara dan tidak sama dalam perkara lain kerana perbezaan kejadian, tempat dan suasana. Semuanya berpandukan petunjuk Allah Pencipta Alam. 

Namun, terdapat kalangan manusia yang degil mencipta teori dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah kerana di luar kemampuan diri manusia, menyebabkan kemusnahan diri sendiri dan alam sekelilingnya. Allah Yang Maha Penyayang sangat murka terhadap golongan ini.

Firman Allah:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١ الشورى

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (Surah As-Syura: 21)

Dalam aspek perkauman, Islam tetap menegaskan bahawa fitrah manusia adanya kaum dan ada perasaan kecintaan seseorang kepada keluarga dan kaumnya yang tetap diizinkan dan diwajibkan. Namun, kecintaan itu ada sempadannya, iaitu diharamkan dijadikan sebagai aqidah perjuangan apabila sampai ke tahap fanatik yang mencetuskan kezaliman di antara satu sama lain. 

Tegasnya, Islam mewajibkan hubungan silaturrahim di kalangan keluarga dan bangsa. Pada masa sama, Islam juga mewajibkan menjaga hubungan persaudaraan kemanusiaan. 

Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١ النساء 

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisa: 1)

Dalam aspek kekeluargaan pula, Islam mewajibkan berbuat baik terhadap keluarga khususnya ibu bapa walaupun mereka bukan Islam. Namun tegas mempertahankan aqidah Islam apabila ditentang. Firman Allah:

وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٖ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ ١٤ وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٥ لقمان 

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) (14) Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku(Allah) dengan sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (Islam). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan (15)” (Surah Luqman: 14-15) 

Dalam konsep dakwah yang tidak dipisahkan daripada politik, Allah menetapkan para Rasul membina kedudukan bersama kaumnya. Firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ إبراهيم 

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4) 

Allah menceritakan kisah Nabi Lut A.S tanpa kaum bersamanya:

قَالَ لَوۡ أَنَّ لِي بِكُمۡ قُوَّةً أَوۡ ءَاوِيٓ إِلَىٰ رُكۡنٖ شَدِيدٖ ٨٠ هود

“Nabi Lut berkata: Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)” (Surah Hud: 80)

Allah berfirman kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang diutuskan kepada seluruh manusia:

وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ ٢١٤ الشعراء

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat” (Surah As-Syuara’: 214)

Maka, mesej Rasulullah SAW dimulakan dengan peranan kaum, bangsa dan keluarganya di kalangan Arab daripada Qabilah Quraisy, sehingga menjadi qabilah yang dominan di kalangan masyarakat majmuk di zaman permulaan negara Islam dan menjadi ciri penting yang diambil kira dalam kepimpinan negara selepas wafatnya baginda SAW. 

Perkara ini dikuatkan dengan sabdanya:

الأئمة من قريش 

“Para pemimpin utama hendaklah daripada kalangan Quraisy”

Hadis ini dilaksanakan dalam pemilihan Khalifah daripada kalangan kaum Quraisy selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. 

Selain itu, aqidah Islam dapat memelihara keadilan mutlak dalam masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama kerana firman Allah di dalam Al-Quran yang wajib diamalkan semuanya secara menyeluruh:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ النساء 

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat” (Surah An-Nisa: 58)

Para ulama Islam berpegang kepada konsep dominan kaum dalam kepimpinan negara dengan sifat anjal dan fleksibel kerana perubahan dunia, di mana Ketua Negara Islam mengalami perubahan mengikut dominan kaum yang menganut Islam. 

Dalam politik Malaysia, hendaklah diambil kira Bumiputera Melayu beragama Islam yang menjadi kaum dominan dilantik sebagai tonggak kepimpinan negara dengan peneguhan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara dan Raja Berperlembagaan yang terdiri daripada penganut Islam Melayu. 

Begitu juga jawatan teras dalam negara seperti Bidang Kehakiman, Pentadbiran, Keselamatan dan Pertahanan kerana kehaibatan dan keunggulannya di kalangan rakyat sangat penting. Kehaibatannya hilang sekiranya berada di tangan kalangan kaum yang tidak dominan. 

Kaum lain yang beragama bukan Islam sepatutnya tidak merasa khuatir dengan adanya jaminan keadilan dan hak mengikut Al-Quran dan Perlembagaan Negara yang sentiasa diislahkan. Sebaliknya kalau aspek ini diganggu boleh mengancam kedudukan semuanya.

Apa yang dibimbangkan hari ini adalah keberanian melulu di kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, Raja dan hak istimewa yang boleh mencetuskan ketegangan yang merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik. 

Begitu juga ada kalangan orang Islam yang bebal beraliran bebas setelah kehilangan jati diri Islam dan kebangsaannya turut berperanan merosakkan konsep dan peranan dominasi ini. Rakyat pelbagai kaum dan agama hendaklah menolak kalangan ini dalam Pilihanraya Umum (PRU) demi kebaikan semua pihak dan mengatur hari muka yang bahagia dan tiada kecelakaannya.

Maka PAS tetap menolak mereka yang mempertikaikan konsep ini atau tidak mempedulikan akan kepentingannya. 

PAS menegaskan bahawa Melayu Islam yang wajib diperkasakan politiknya bersama Islam, adalah teras kepada negara Malaysia bermasyarakat majmuk dan menjadi tonggak kepimpinan negara, kerana Melayu adalah dominan dan Islam itu adil terhadap semua dengan kewajipan beraqidah Islam. 

Jika Melayu bersama Islam semuanya selamat, Melayu tanpa Islam semuanya tidak selamat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 25 Zulkaedah 1438H / 18 Ogos 2017M

Khamis, 17 Ogos 2017

GAGASAN SEJAHTERA : APAKAH ITU GAGASAN SEJAHTERA ?

KENALI APAKAH ITU GAGASAN SEJAHTERA ?
[ PAS & IKATAN ]


BLOK KETIGA :-

- Blok persefahaman politik
- Menawarkan pilihan terbaik yang membawa kesejahteraan kepada negara dan rakyat seluruhnya

MATLAMAT :-

- Membina negara yang bersatu padu, aman makmur dan kompetitif
- Mendokong prinsip perlembagaan negara
- Melalui pendekatan politik matang yang membawa kesejahteraan rakyat dan negara

TAWARAN PILIHAN :-

- Pendekatan budaya baharu-BPMS
- Pilihan terbaik rakyat yang bosan dengan politik melampau, korupsi, yang membawa kepada ketidakstabilan sosial & ekonomi

Rabu, 16 Ogos 2017

HEBAHAN PROGRAM : HIMPUNAN SEJAHTERA BERSAMA ISLAM [ PAS NEGERI PERAK ]

HIMPUNAN SEJAHTERA BERSAMA ISLAM
[ PAS NEGERI PERAK ]
Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke 60/ 2017


Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) Negeri Perak akan menganjurkan sebuah program himpunan yang dinamakan " HIMPUNAN SEJAHTERA BERSAMA ISLAM " :

Berikut adalah butiran maklumat berkenaan program himpunan tersebut :-

Tarikh : 27 Ogos 2017 / 5 Zulhijjah 1438
Hari : Ahad
Tempat : Bagan Serai, Perak
Masa : 9. 00 pagi - 12. 00 malam

Tentatif program :-

09.00 pagi : Bacaan Yassin, Munajat & Taujihat [ Dipimpin oleh Al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Sidek Noor - Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak ]

10.30 pagi : " Politik Islam Sejahtera Ummat " [ Panelis :- Tn. Hj. Razman bin Zakaria/ YB. Ustaz Mohamad Zawawi Abu Hassan / YB. Ustaz Mohd Radzi bin Zainon / YB. Hjh. Mumtaz Md. Nawi ]

01.00 tenghari : Kenduri Rakyat

02.30 petang : " Muslimat Tonggak Kekuatan Negara " [ Panelis :- Tn. Hj. Razman bin Zakaria/ Ustazah Nuridah binti Salleh / YB. Hjh. Mumtaz binti Md. Nawi ]

05.00 petang : " Amanat Pimpinan " [ YB. Ustaz Idris bin Hj. Ahmad - Naib Presiden PAS ]

09.00 malam : " Diambang Merdeka 2017 " [ Panelis :- Tn. Hj. Razman bin Zakaria/ Tn. Hj. Subky bin Abdul Latiff/ YB. Ustaz Nasaruddin bin Daud / YB. Ustaz Mohamad Zawawi bin Abu Hassan

Semua Ahli PAS, Penyokong, Pendokong Politik Islam, Simpatisan, Kumpulan Atas Pagar, DIJEMPUT HADIR !

Masuk Percuma.

GAGASAN SEJAHTERA : 12 TERAS PERJUANGAN

GAGASAN SEJAHTERA : 12 TERAS PERJUANGAN



1- Mempertahankan Prinsip Perlembagaan Negara
2- Meningkatkan Toleransi dan Keharmonian Masyarakat Berbilang Kaum
3- Mempertahankan Islam Sebagai Agama Persekutuan dan Kebebasan Amalan Beragama
4- Mempertahankan Kedaulatan dan Keselamatan Negara dan Rakyat
5- Mempertahankan Prinsip Raja Berpelembagaan
6- Mengangkat intergriti Dan Kecekapan Sistem Pentadbiran Negara.
7- Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi, Ilmu dan Perpaduan Negara
8- Memperkasakan Sistem Pendidikan Negara
9- Memperkasakan Prinsip dan Semangat Federalisma
10- Memartabatkan Negara Sebagai Sebuah Kuasa Ekonomi yang Disegani Dunia
11- Mengangkat Hak Keistimewaan orang Melayu, Bumiputra dan hak sah Kaum di Negara ini
12- Keadilan Sosio-ekonomi Kepada Semua Kaum Tanpa Mnegira Agama, Keturunan dan Daerah

DR. RIDUAN : 32 TAHUN TRAGEDI MEMALI - SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA PERLU DISEGERAKAN


32 TAHUN TRAGEDI MEMALI: SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA PERLU DISEGERAKAN


OLEH: DR RIDUAN MOHAMAD NOR


Seharian ini alam siber berdecak dengan isu Memali ekoran daripada keganasan yang tercetus di program Tun Mahathir, Nothing to hide di Shah Alam petang 13 Ogos. Soalan berkaitan tragedi Memali dikatakan permulaan detik huru hara dalam program mantan Perdana Menteri yang kini mengetuai blok Pakatan Harapan,sehingga Tun diselamatkan oleh petugas keselamatan. Tragedi Memali yang telah terpahat selama 32 tahun adalah mercu tanda kezaliman BN di zaman pemerintahan Tun Mahathir, segalanya sangat rahsia seperti membuka kotak pandora yang malu. Generasi muda yang kritis membuncah rasa ingin tahu apakah sebab kematian sebenar empat orang anggota keselamatan yang terlibat dan apakah yang dimaksudkan SOP pihak keselamatan oleh Tun, yang menyebabkan 14 orang rakyat menjadi korban tragedi ini.

Baling sekali lagi melakar sejarah, namun dengan lebih tragis dan merobek jantung hati dengan berlakunya peristiwa berdarah Memali pada 19 November 1985. 14 penyokong PAS dan empat orang polis terkorban akibat kerakusan dan kesilapan regim BN menanggani peristiwa ini yang mengundang kritikan berpanjangan sepanjang tiga dekad ini. Dekad 1980an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat.

Tokoh utama yang menjadi watak tragedi ini ialah assyahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli Libya. Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang . Ustaz Ibrahim berkerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.

Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat dikalangan masyarakat Utara Semenanjung. Beliau pernah bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1978 di DUN Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, juga Pengerusi ABIM daerah Baling. 

Pada tahun 1984 , berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda pas dibawah ISA , antaranya ustaz Abu bakar Chik, ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. UMNO kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah dimana sahaja beliau dijemput.

Dalam perhimpunan Agong UMNO pada tahun 1985, sekali lagi wakil UMNO Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan UMNO di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihanraya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda .

Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat , manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengistiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

Peristiwa Memali tetap utuh bersemayam ditangkai hati kita yang cintakan kebenaran. Walaupun terabai di mahkamah dunia namun mahkamah akhirat pasti kezaliman ini disingkap tirainya yang berlapis-lapis. Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ikon perlawanan diantara hak dan batil, juga keteladanan dijalan dakwah yang penuh dengan hamparan mehnah dan ibtila'. Sosok pendakwah yang mengorbankan kesenangan hidup untuk menjadi lantera dalam kegelapan pekat kejahilan masyarakat desa Baling. " Daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati bergalang tanah" frasa kata itu terpacul daripada mulut almarhum sebagai manifestasi menyintai kebenaran dan tidak akan bermanis muka dengan kebatilan. 
Semoga kita semua tidak melupakan tragedi berdarah Memali 32 tahun lalu walaupun Pakatan Harapan sedang menggema ratih ke Putrajaya. Pencinta-pencinta keadilan dan kebenaran tetap tidak dapat melupakan tragedi Memali yang sebenarnya menjadi siraman kepada baja perjuangan!

[ Penulis ialah Pengerusi Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat ]

PRESIDEN PAS : MEMALI - KECOH NOTHING TO HIDE 2.0


MEMALI : KECOH NOTHING TO HIDE 2.0


Semua pihak menunding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali. PAS adalah mangsanya apabila diserang hebat sehingga mengorbankan salah seorang pemimpinnya, Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakan.

Terima kasih diucapkan kepada mereka yang meminta penjelasan berkenaan peristiwa Memali. Kepada yang tidak mampu menjawab sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak membuat kekecohan. Anak-anak muda sahaja tidak sepatutnya dipersalahkan, sepatutnya juga dipersalahkan yang menjadi penyebabnya.

Ketika peristiwa itu masih panas darah yang mengalir, para ulama PAS mengisytiharkan syahidnya mereka yang menjadi mangsa kerana dibunuh dengan zalim dan mereka mempertahankan Islam yang ditegakkan.

Ketika itu Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya dipersalahkan, bukan pula dipersalahkan orang yang selalu menghina Islam dan hukumnya yang sangat dimarahi oleh Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan.

PAS mempunyai pendekatan sebagai parti yang berdakwah, bukan menghukum kafir mengkafir kerana kejahilan umat terhadap Islam, yang mengharamkan pendekatan itu. Akhirnya PAS berjaya membendungnya secara ilmu dan mereka yang paling kuat mengkafirkan Umno pula akhirnya ramai yang masuk Umno atau diam sahaja. Hari ini dapat diwujudkan kerjasama PAS dan Umno dalam perkara Islam. Malangnya ada pihak yang marahkan pendekatan ini.

Ramai kakitangan kerajaan, polis dan Umno tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan sehingga mengorbankan polis yang dipaksa dan Ustaz Ibrahim dan rakan-rakannya yang diserang. Kita mengharapkan yang dipaksa juga mendapat syahid, inilah hukum Islam.

Namun ramai yang melempar batu menyembunyikan tangan dalam mengulas isu sejarah hitam ini. PAS hanya menyebut pepatah Arab yang berbunyi:

ضربني وبكى , ظلمني واشتكى

"Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu"

Tiada guna mengungkit cerita lama sejarah hitam itu tanpa bertaubat dan meminta maaf sekiranya bersalah, dan tanpa membetulkan keadaan dengan membayar yang perlu dibayar dan mengganti yang perlu diganti.

Apa yang terbaik adalah melaksanakan nasihat daripada Allah:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفٗا مِّنَ ٱلَّيۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ ١١٤ هود .

"Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat" (Surah Hud: Ayat 114)

"Sejahtera Bersama Islam"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 23 Zulkaedah 1438H / 15 Ogos 2017

Isnin, 14 Ogos 2017

GAGASAN SEJAHTERA : OBJETIF GAGASAN SEJAHTERA

GAGASAN SEJAHTERA
[ PAS & IKATAN ]

OBJEKTIF GAGASAN SEJAHTERA



1- Memimpin pentadbiran negara dan negeri bagi mencapai matlamat Gagasan

2- Membina budaya berpolitik matang dan bertanggungjawab.

3- Menolak budaya politiking melampau termasuk budaya menjatuhkan melalui manipulasi serta gerakan jalanan.

4- Mengutamakan serta meningkatkan keharmonian rakyat pelbagai kaum.

5- Memperjuangkan kepentingan hak semua pihak sesuai dengan Perlembagaan Negara.

Sabtu, 12 Ogos 2017

BACAAN YAASIN & SOLAT HAJAT UNTUK ADIK-ADIK UPSR, UPKK DI RUNGKUP BERSAMA CIKGU MOKHERI

BACAAN YASIN DAN SOLAT SUNAT HAJAT BUAT CALON-CALON UPSR,UPKK & SRAI DI RUNGKUP 

Cikgu Mokheri Memang Dikenali di Rungkup, Pernah Berkhidmat di SMK Rungkup


Pada malam Jumaat lalu ( 10 Ogos 2017 ) , Penyelaras DUN Rungkup , Tn. Hj. Mokheri Abdul Jalil telah bersama-sama jemaah di Surau Simpang 4 Rungkup dalam majlis bacaan yaasin dan solat hajat khas buat anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR,UPKK dan SRAI.

Turut hadir sama dan mengetuai bacaan surah yaasin ialah Ustaz Fairos Ashaari, AJK PAS Kawasan dan Setiausaha, Sdr. Ahmad Fauzi Hashim.






PAS : POLIMEK AKTA 164 - CADANGAN PENYELESAIAN

Kenyataan Media Penerangan. 
151/22
11 Ogos 2017 / 18 Zulqaedah 1438

1. Meskipun Pindaan Akta 164 telah diluluskan di Parlimen Malaysia pada 9 Ogos 2017 yang lalu, pertikaian terhadap beberapa perkara masih berlarutan.

2. Namun terlebih dahulu saya menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana mendengar desakan dan tuntutan PAS, para mufti, alim ulamak, pengamal undang-undang Islam, Ngo dan ummat Islam untuk mengeluarkan cadangan Seksyen 88A dari draf pindaan Akta 164 baru-baru ini biarpun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk DAP dan PAN.
3. Bagi menangani situasi pertikaian dan perselisihan yang masih wujud, kami mengambil beberapa langkah dan inisiatif seperti berikut :

Pertama : kami akan mengangkat beberapa cadangan terhadap pindaan Akta 164 kepada pihak kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman sebelum ia dibawa ke Dewan Negara demi menjaga kemaslahatan agama dan ummatnya. Pertemuan dengan YB Menteri akan diatur dalam masa terdekat.

Kedua : berikutan langkah kerajaan yang telah menubuhkan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS), PAS menyarankan supaya Kluster Pengharmonian Undang-Undang Sivil-Syariah boleh dijadikan platform yang tuntas untuk membincangkan semula isu berbangkit dari Pindaan Akta 164 agar hak Islam sebagai agama negara terpelihara dan polemik antara agama dan kaum dapat diharmonikan.

Keanggotaan kluster ini boleh dilibatkan semua stakeholder dan pihak yang berkepentingan.

4. Insyaallah, PAS sekali lagi akan menggunakan platform Dewan Negara melalui senatornya untuk mengemukakan gesaan kepada kerajaan supaya meneliti semula secara holistik Pindaan Akta 164, agar terlebih dahulu mengambil kira beberapa pandangan yang dikemukakan oleh PAS dan pakar perundangan Islam sebelum ianya dimuktamadkan.

5. PAS juga akan menganjurkan Muzakarah Perundangan dalam masa terdekat melibatkan alim ulamak, ahli akademik, pakar perundangan, ngo Islam dan pihak berkenaan bagi melihat secara lebih terperinci kesan daripada Pindaan Akta 164 ke atas ummat Islam dan rakyat keseluruhannya.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian

TUAN GURU PRESIDEN PAS : BPMS - POLITIK PENYELAMAT BUKAN POLITIK GERAM


BPMS: POLITIK PENYELAMAT BUKAN POLITIK GERAM



Rasulullah S.A.W adalah pemimpin teladan sebenar pilihan Allah yang mendapat wahyu dan tarbiyah secara langsung daripada Allah S.W.T, maka ahli politik Islam tidak boleh menjadikan yang lain daripadanya sebagai ikutan dan teladan yang sebenar khususnya dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). 

Para ulama merakamkan sabda Rasulullah S.A.W. dengan menyatakan sikap terhadap pihak lain:

أحبب حبيبك هوناً ما، عسى أن يكون بغيضك يوماً ما، وأبغض بغيضك هونا ما، عسى أن يكون حبيبك يوماً ما. (الترمذي. وقال الألباني جيد أسانيده رجال مسلم وقيل موقوف لعلي بن أبي طالب)

“Kasihlah terhadap seseorang yang disayangi dengan berpada-pada (jangan melampau), kerana kemungkinan di satu hari nanti dia menjadi musuh yang paling dimarahi, marahlah terhadap seseorang dengan berpada-pada, kerana dia boleh menjadi kekasih di satu hari nanti” 

Jangan terpengaruh dengan budaya politik melampau amalan jahiliyah yang tersebar luas dalam dunia kini. Budaya yang sangat menggoda khususnya melalui media sosial tanpa sempadan dan akhlak yang tidak mengambil kira dosa dan pahala. Pendekatannya lebih banyak menyerang daripada menerang, menyebarkan fitnah, memburukkan lawan dan kawan tanpa sempadan akhlak dalam mencegah kemungkaran. 

Islam memandu kita walaupun kemungkaran itu sebenarnya berlaku, tetapi diutamakan menyelamatkan kedua-dua pihak, pelaku dan mangsanya, kerana manusia itu boleh berubah. Kalau tidak akan berubah, itu adalah urusan Allah, bukan urusan kita. Maka dalam mencegah kemungkaran itu, jangan melampau sehingga mencetuskan fitnah yang lebih parah dan lebih buruk akibatnya. Laksana memberi ubat terlebih dos sehingga menjadikan penyakit lebih parah dan boleh membawa maut. 

Pendekatan ini berpandukan hadis Rasulullah S.A.W: 

انْصُرْ أخَاكَ ظَالماً أَوْ مَظْلُوماً. فَقَالَ رجل: يَا رَسُول اللهِ، أنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُوماً، أرَأيْتَ إنْ كَانَ ظَالِماً كَيْفَ أنْصُرُهُ؟ قَالَ: تحْجُزُهُ - أَوْ تمْنَعُهُ - مِنَ الظُلْمِ فَإِنَّ ذلِكَ نَصرُهُ. رواه البخاري 

“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Seorang sahabat bertanya: “Saya nampak kalau saya menolong kalau dia dizalimi. Apakah pandangan Rasulullah kalau dia si zalim? Bagaimana cara saya menolongnya? Sabdanya: Kamu halang atau cegahnya daripada berlaku zalim, itulah cara menolongnya” 

Politik hidayah Allah yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W ada batasan akhlak mulia, sempadan baik dan buruk serta perhitungan halal dan haram. Caranya lebih bersifat menjadi penyelamat rakyat dan mereka yang terjerumus ke dalam dosa. Tujuannya adalah mengislahkan bukan terus dibiarkan menjadi rosak atau lebih merosakkan lagi. Di zaman pendekatan ini diamalkan, ia telah menjadikan pengikut Islam makin bertambah apabila mereka menyaksikan pelaksanaanya bukan untuk mencipta musuh seramai-ramainya. 

Pendekatan ini juga tidak hanya melihat dari sudut kesalahan seseorang sahaja sehingga menafikan sudut kebaikannya, atau menentang sesuatu pihak untuk dijatuhkan semata-mata ingin mendapatkan peluang mengambil kuasa untuk diri sendiri dan puaknya sahaja, selepas itu tidak mempedulikan rakyat dan menegakkan jahiliyah di atas runtuhan jahiliyah. 

Islam adalah rahmat kepada seluruh alam, sebagaimana ditegaskan oleh Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧ الأنبياء 

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” (Surah Al-Anbia’: 107) 

Mesej politik Islam adalah mengajak manusia bersama Islam, menjadi penyelamat dan mengemukakan penyelesaian terhadap semua masalah yang dihadapi oleh masyarakat, termasuk diri orang yang melakukan kesilapan, bukan sahaja menyelamatkan mangsanya. 

Islam menunjukkan bahawa punca dan sebab paling utama adalah masalah aqidah dan akhlak, tetapi aspek ini tidak diminati oleh masyarakat umum hari ini untuk diselesaikan kerana mereka hanya berfikir di perut, bukannya berfikir di kepala dan hanya mengutamakan masalah kehidupan yang sangat menekan. Jauh sama sekali memahami bahawa punca segala masalah disebabkan oleh kefahaman yang rosak.

Peranan PAS adalah menjadi penyelamat bersama Islam supaya yang salah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat, bukan sekadar mahu merampas jawatan semata-mata atau sekadar membalas dendam terhadap yang menjatuhkan dan mengambil semula jawatan dengan penuh geram kerana pernah dijatuhkan, dikalahkan dan dipecat. 

Kita tegas dengan keyakinan bahawa hanya pemimpin yang beriman, benar aqidah, budiman dan luhur akhlaknya dapat menyelamatkan rakyat dengan contoh dirinya, sehingga berjaya mendidik rakyat menjadi beriman dan budiman. Bukannya laksana ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Sifat pemimpin itu dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran:

وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بَِٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤ السجدة

“Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah As-Sajadah: 24) 

Semua para Rasul A.S mengajak para pemimpin dan kaum masing-masing dengan pendekatan menjadi penyelamat terhadap yang paling zalim dan keras, walaupun terpaksa memakan masa yang panjang sehingga kebanyakan mereka tidak sempat menyaksikan hasil perjuangan semasa hidup di dunia, tetapi kejayaannya disaksikan oleh generasi yang meneruskan perjuangan mereka. 

Allah mewahyukan perintah-Nya kepada Nabi Musa A.S yang dipilih Allah, supaya menghadapi Firaun yang paling dimurkai Allah kerana sikap melampau dalam aqidah, mengaku dirinya Tuhan dan melakukan kezaliman politik dan ekonomi, menyembelih anak yang dilahirkan dan memperhambakan rakyat, namun Allah berfirman kepada Rasul-Nya Musa dan Harun A.S: 

ٱذۡهَبَآ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ ٤٣ فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلٗا لَّيِّنٗا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ ٤٤ طه 

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya (43) Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut (44)” (Surah Taha: 43-44)

Allah juga menamakan para Rasul-Nya adalah saudara kepada kaumnya walaupun kaumnya sesat dan zalim. 

Firman Allah:

۞وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمۡ هُودٗاۚ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَٰهٍ غَيۡرُهُۥٓۚ أَفَلَا تَتَّقُونَ ٦٥ الأعراف

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepadaNya?” (Surah Al-A’raf: 65)

Firman Allah:

وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَآ إِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمۡ صَٰلِحًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ فَإِذَا هُمۡ فَرِيقَانِ يَخۡتَصِمُونَ (النمل - 45) 

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Soleh (menyeru mereka dengan berkata): Sembahlah kamu akan Allah! Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah.” (Surah An-Naml: 45)

Firman Allah kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya:

ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ (فصلت ٣٤) 

“Tolaklah (kejahatan yang dilakukan terhadapmu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seorang sahabat penyayang” (Surah Fussilat: 34)

Maka Rasulullah S.A.W mendahulukan kemaafan dan menggalakkan bertaubat, bukan yang paling diutamakan untuk menjatuhkan hukuman sehingga mewajibkan syarat-syarat yang memayahkan, jauh sama sekali untuk membalas dendam.

Walaupun dalam keadaan paling tegang, keras dan berkuasa, namun Allah menegaskan wajib berlaku adil juga terhadap musuh. 

Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ المائدة

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah: 8)

Allah menunjukkan kepada Rasulullah S.A.W tentang cara-cara untuk menghadapi mereka yang melakukan dosa paling besar iaitu melantik tuhan selain Allah:

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٠٨ الأنعام.

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An’am: 108)

Beginilah Allah melarang sikap melampau dalam mencegah kemungkaran. Walaupun kemungkaran itu benar tetapi tidak dibenarkan meledakkan kemungkaran yang lebih besar daripadanya. 

Oleh kerana Islam beristiqamah dengan aqidah dan akhlaknya, maka semua tahaluf (persefahaman politik) bersama pihak lain dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. dalam keadaan kedudukan Islam yang lebih kuat, memimpin dan memerintah, bukan dalam kedudukan yang lemah dan mudah di arah oleh pihak yang lain sehingga menjadikan kumpulan Islam terikut dengan budaya pihak lain yang tidak matang dan sejahtera. 

Hanya Islam dengan jati diri pendokongnya sahaja mampu menangani pertembungan dalam masyarakat majmuk dengan panduan Allah:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ الحج.

“Mereka yang diusir daripada kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), rumah-rumah ibadat kaum Yahudi dan tempat-tempat sembahyang), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (40) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (41)” (Surah Al-Hajj: 40-41) 

Walaupun dihalau daripada tanah air kesayangannya, dibunuh keluarga dan para sahabat tersayang, Rasulullah S.A.W. menunjukkan sifat wasatiyyah (tidak melampau) apabila berjaya mencapai kemenangan Fathu Makkah (membebaskan Makkah) tanpa membalas dendam terhadap musuhnya, walaupun kedudukannya kuat berkuasa. 

Contoh ini diteladani oleh generasi kemenangan Islam di zaman keemasan selama beberapa abad. Ramai kalangan musuh yang paling ganas terhadap Islam bertukar menjadi penganutnya yang setia, ikhlas menyebarkan Islam dan membangun negara bersama Islam. Golongan bukan Islam pula lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam.

Dalam menghayati konsep demokrasi untuk mendapat dokongan rakyat, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) secara Islam wajib berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W supaya mencapai fadhilat menyelamatkan rakyat bersama Islam dengan petunjuk Allah yang sempurna dan berwawasan di dunia sehingga akhirat. 

Sabda Rasulullah S.A.W.

لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم . (متفق عليه)

“Demi sesungguhnya seseorang mendapat hidayat Allah dengan sebabmu lebih baik daripada kenderaan termahal harganya” (Muttafaqun ‘Alaih)

Kita wajib beriman kepada Qadar dan takdir Allah terhadap alam yang boleh berubah termasuk manusia, maka sikap yang anjal (fleksibel) dalam berpolitik dan berdakwah dalam perkara yang tidak ada nas yang tetap, sangat penting untuk kita berijtihad bagi melaksanakan konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bersama Islam.

Sikap begitu bukannya bererti lemah, namun kekuatannya tetap dibuktikan apabila pihak musuh Islam melampaui batas. Rasulullah S.A.W bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بالصُّرَعَةِ، إنَّمَا الشَدِيدُ الَّذِي يَملكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ. مُتَّفَقٌ عَلَيهِ

“Bukanlah orang yang hebat gagah perkasa itu yang cepat bertindak membelasah secara melulu. Sesungguhnya yang hebat itu ialah orang yang dapat mengawal diri ketika terlalu marah”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 18 Zulkaedah 1438H / 11 Ogos 2017


DPPM : " NIK NAZMI KELIRU, KUTIP SUARA PICISAN "


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
11 Ogos 2017 | 18 Zulkaedah 1438

“NIK NAZMI KELIRU, KUTIP SUARA PICISAN”



1.    Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dinasihat memberi perhatian kepada PKR dan ahlinya berbanding sibuk membuat tanggapan dan dakwaan melulu dari sumber picisan yang tidak menjejak realiti. Terlalu dangkal dan tidak matang untuk Nazmi mengukur ‘trend’ sokongan kepada pimpinan PAS berdasar ‘pungutan suara’ dari sampel rawak atau kelompok terhad.

2.    Sewajarnya beliau bersandarkan pada data yang empirik, realiti, berkredibiliti dan berintegriti antaranya Mesyuarat Agung atau Muktamar PAS atau keputusan pilihan raya. Sekadar mengutip maklumat tepi jalan, lebih baik beliau audit PKR dan ahlinya sendiri. Juga lebih banyak perhatian untuk beliau teliti ‘trend’ sokongan terhadap kepimpinan PKR sejak dari Langkah Kajang dahulu.

3.    Tindakan yang membawa banyak hiruk pikuk dalam politik itu menimbulkan pertikaian tidak sedikit, selain terjadinya isu-isu tidak berasas hingga berakhir dengan permohonan maaf di mahkamah untuk menamatkan fitnah-fitnah dilakukan. Apakah anda tidak sedar rakyat menilai dan melihat kematangan ahli-ahli politik dalam menentu hala tuju dan kestabilan negara, bukannya pembodohan.

4.    Atau beliau yang tergugat dengan kerencaman wacana terbuka rakyat, tetapi angkuh untuk melihat kelemahan dan mencermin diri? Jangan kerana ingin meraih populariti politik, beliau memilih memburukkan PAS. Sedangkan PAS telah membuktikan keterbukaan dan medannya untuk akar umbinya menyatakan sesuatu. PAS parti yang bebas dan terbuka untuk ahli bertemu dan menegur pimpinan.

5.    PAS juga tidak emosi dan sentimen atau mengambil kesempatan dalam melaksanakan mandat kepercayaan rakyat. Pendirian dan tindakan PAS jelas berdasarkan prinsip serta dasar parti yang tidak berubah atas sebarang kepentingan, namun cermat dan bijak dalam pendekatan. Kerana itulah PAS masih mengekalkan sokongan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

6.    Terbatalnya ‘tahaluf siyasi’ bersama PKR adalah dalam konteks ikatan rasmi kerjasama antara parti. Tetapi hubungan berkaitan kepentingan rakyat dan rutin kehidupan adalah tanggungjawab yang tidak terputus sama sekali. Jika Nazmi keliru antara perbezaan ini bermakna anda terlalu mentah dalam politik dan tidak komited terhadap amanah yang terpikul selaku ahli politik.

7.    Sedang PAS, konsisten memperjuang hak rakyat dan negara secara adil dan sejahtera untuk semua tanpa mengira latarbelakang sokongan parti. Selaku ahli politik sama ada dari pembangkang atau kerajaan, sewajibnya mengambil inisiatif ‘win-win’ dalam menuju penyelesaian setiap isu dibangkitkan rakyat. Kerana itu, dalam kerjasama berkaitannya, PAS terbuka menerima mana-mana pihak.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Khamis, 10 Ogos 2017

PROGRAM ZIARAH PAS KAWASAN BAGAN DATUK KE TANAH LALANG

PAS TERUS DEKATI DAN SELAMI HATI RAKYAT DI BAGAN DATUK
PAS Kawasan Bagan Datuk Ziarah dan Dekati Rakyat Di Kg. Tanah Lalang

Alhamdulillah, petang semalam ( 9 Ogos 2017 ) diberikan kesempatan pihak Dppk Bagan Datoh bersama-sama Penyelaras DUN Rungkup ( Tn. Hj. Mokheri Abdul Jalil ) dan Penyelaras DUN Hutan Melintang ( Tn. Hj. Ata Muniem Hasan Adli ) dan beberapa orang AJK PAS Kawasan telah menziarahi beberapa orang penduduk di Kg. Tanah Lalang.

Tn. Hj. Mokheri Abdul Jalil yang juga merupakan Timb. YDP PAS Kawasan juga mengambil kesempatan memberi khidmat rawatan Syifa kepada Sdr. Idris dan isterinya yang mengalami penyakit strok.

Dalam ziarah semalam juga, pihak PAS Kawasan menyelami kehidupan penduduk di sini dan menyampaikan sedikit sumbangan sebagai tanda kasih sayang dan keprihatinan pihak PAS.

Manakala bagi Tn. Hj Ata Muniem Hasan Adli selaku Ketua Penerangan PAS Kawasan meluahkan rasa simpati dan sedih bila mana melihat sendiri keadaan dan nasib beberapa penduduk di sini yang boleh dikatakan serba kekurangan serta memerlukan perhatian pihak berwajib.

Oleh itu, pihak PAS yang mengamalkan konsep politik matang dan sejahtera akan memastikan bantuan serta sumbangan selayakan diberikan tidak kira apa fahaman politik sekali pun.






" 1MDB : KETEPIKAN SENTIMEN & KESEMPATAN POLITIK DEMI KEPENTINGAN NEGARA"


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
10 Ogos 2017 | 17 Zulkaedah 1438

“1MDB: KETEPI SENTIMEN & KESEMPATAN POLITIK DEMI KEPENTINGAN NEGARA”



1. Pertikaian beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap penjelasan dan pendirian PAS berhubung isu 1MDB rentetan dari pertemuan dan sidang meja bulat khas bersama Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda ternyata disengajakan, serta dilihat masih bersikap mahu mempolemikkan keadaan. Sedangkan kematangan dalam menuju kepada solusi seharusnya diwujudkan agar masalah dapat ditangani.

2. Pendirian asas dan semasa untuk menyiasat segala skandal serta menggerakkan langkah penyelesaian menerusi pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan pelan penstrukturan; sewajarnya dipersetujui secara terbuka dan lapang dada demi kepentingan negara, tanpa diemosikan oleh sentimen negatif atau bermotif meraih kesempatan politik.

3. PAS sebagaimana juga pihak lain, turut mengakui bahawa 1MDB adalah antara skandal kewangan terbesar negara sebagaimana perkara seumpama yang banyak terjadi dan menjadi liabiliti kepada rakyat dan negara sebelum ini. Bezanya, 1MDB melibatkan pelbagai agensi dan negara serta jumlah dana sangat besar, sehingga menjadi perhatian kritikal seantero dunia.

4. PAS turut mengambil maklum dan menghormati laporan penyiasatan dari Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, termasuk tindakan-tindakan berkaitan oleh negara asing lainnya, sebagai di bawah bidangkuasa negara berkenaan. Namun, pengadilan dengan undang-undang negara ini mestilah diutamakan sebagai junjungan terhadap kedaulatan yang dimiliki.

5. Semua proses dan bentuk tindakan undang-undang yang di lakukan demi keadilan dan menyelamatkan wang serta ekonomi negara mestilah didokong. Manakala konflik kepentingan melibatkan pihak yang disiasat oleh kekurangan kuasa oleh BNM, SPRM atau PDRM, diteguhkan dengan gesaan supaya RCI dibentuk dan bukannya mengundang pihak luar atau asing.

6. Arul Kanda seharusnya diberi peluang untuk berperanan membetulkan kesilapan dan kepincangan 1MDB dan bersikap tidak memihak, sebaliknya adil, jujur serta amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya. Beliau dan pasukannya perlu berusaha menjayakan pelan rasionalisasi memandangkan hutang yang dijamin oleh Kementerian Kewangan Malaysia secara tidak langsung membabitkan kantung kewangan negara.

7. Kami percaya, usaha dilaksanakan adalah ke arah merungkai kesilapan lalu dari memberi musibah dan kemungkinan lebih buruk, selain kembali untuk bangun semula. Walaupun kami berpuashati dengan penjelasan diberi, namun tetap berpegang kepada prinsip sama bahawa tegas tidak mahu wang mahupun aset negara digunakan lagi bagi menampung operasi mahupun hutang 1MDB.

8. PAS mahu setiap individu yang bertanggungjawab di heret ke muka pengadilan ‘without fear or favour’ dan jika didapati bersalah, dihukum sewajarnya atas perbuatan dilakukan yang sangat memalukan rakyat dan negara. PAS tidak mahu beban 1MDB menjejaskan ekonomi negara dan secara tidak langsung kepada rakyat secara keseluruhannya, apatah lagi di saat ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu.

9. Kewangan negara perlu utuh untuk menampung perbelanjaan mahupun defisit, demi kelangsungan pertumbuhan negara. Kemelut 1MDB secara tidak langsung menjejaskan kepercayaan pelabur luar kepada negara yang turut memainkan peranan di dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan nilai pelaburan cukup besar, di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

10. PAS mahu kemelut ini diselesaikan segera, setelah bebanan lampau warisan BN yang masih terbeban hingga kini, di mana rakyatlah yang membayar semua hutang tersebut melalui pelbagai instrument percukaian. Maka, sewajarnya kerajaan dan parti yang korup ini diturunkan dari tampuk pemerintahan, seterusnya dibina masa depan negara lebih gemilang dengan menggantikan sistem berteraskan Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008