pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Isnin, 28 Disember 2015

BACK TO SCHOOL : SEDIKIT SEBANYAK PAS CUBA BANTU RINGANKAN BEBANAN RAKYAT !

Program Kebajikan : Back to School Dppk Bagan Datoh 2016 ( 5 )
PAS BERSAMA RAKYAT.

SG. NIPAH BAROH : PAS terus bersama rakyat. Demikian itu, PAS merasai perasaan serta jiwa rakyat ketika ini yang pastinya mengalami bebanan kos sara hidup yang tinggi.
Sebagai langkah membantu, pihak PAS kawasan Bagan Datoh dengan usaha Dewan Pemuda PAS Kawasan meneruskan agenda kebajikan rakyat yang dibawa oleh PAS sebagaimana tahun lalu. Serahan bantuan sumbangan berupa beg sekolah dan peralatan tulis telah disampaikan oleh YDP, Ust . Misbahul Munir Masduki di Sg. Nipah Baroh.
Selain cawangan tersebut, ianya juga melibatkan 2 cawangan berhampiran iaitu Sg. Balai Baroh dan Sg. Betul/ Sg. Ular. Seramai 7 orang penerima di kawasan ini.
Turut serta dalam misi kali ialah pimpinan PAS kawasan , Dppk dan Dmpk.
" BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN "




Program Kebajikan : Back to School Dppk Bagan Datoh 2016 ( 4 )
PAS Memacu Perubahan.
BAGAN DATOH : Alhamdulillah, misi penyerahan bantuan sumbangan berupa beg sekolah dan peralatan tulis diteruskan pada sebelah petang tadi yang diketuai sendiri oleh YDP, Ust. Misbahul Munir Masduki.
Bermula jam 3 petang berpusat di rumah Pak Talab iaitu di Bagan Cina Bagan Datoh. Seramai 12 orang penerima telah menerima sumbangan dengan rasa gembira serta terima kasih kepada pihak PAS Kawasan Bagan Datoh .
Tidak ketinggalan beberapa orang anak masyarakat India dan Cina turut menerima sumbangan kali ini. Walaupun sumbangan yang diperolehi ala kadar namun tetap menggembirakan hati kerana sedikit sebanyak mengurangkan bebanan dalam menghadapi sesi persekolahan tahun 2016.
Turut hadir sama Setiausaha PAS Kawasan, Sdr. Fauzi Hashim serta beberapa pimpinan PAS kawasan , Dppk dan Dmpk.
" BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN "



Program Kebajikan : Back to School Dppk Bagan Datoh 2016 ( 3 )
ANAK YATIM DIBANTU
SG. BALAI DARAT : Misi penyerahan bantuan sumbangan Back to School kali ini diteruskan lagi ke lokasi 3 iaitu di Sg. Balai Darat bertempat di Surau Al - Kamaliyah. Seramai 7 orang penerima telah menerima sumbangan beg dan alatan tulis yang disampaikan oleh Bendahari PAS Kawasan, Ust. Ahmad Jailani Abd Hamid.
Antara yang menerima bantuan sumbangan tersebut adalah anak yatim. Bantuan adalah hasil kutipan dana sumbangan orang ramai daripada kalangan ahli PAS.
Pihak Dppk Bagan Datoh mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh penyumbang dan juga penerima yang sudi menerima walaupun ala kadar barang yang diberikan. Mudah-mudahan sedikit usaha ini akan memberi manfaat bersama di dunia dan akhirat.
" BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN "



Program Kebajikan : Back to School Dppk Bagan Datoh 2016 ( 2 )
PAS For All.
SG. TIANG DARAT : Lokasi kedua untuk program kebajikan pada hari ini iaitu penyerahan sumbangan beg dan peralatan tulis adalah di Cawangan Sg. Tiang Darat. Kali ini melibat 3 buah cawangan iaitu Cawangan Selekoh, Sg. Tiang Darat dan Sg. Tiang Baroh.
Kira- kira seramai 11 orang penerima amat berterima kasih kepada pihak PAS Kawasan Bagan Datoh atas sumbangan yang diberikan. Menurut mereka, walaupun sumbangan yang diterima ala kadar namun tetap memberikan sedikit kelegaan menghadapi sesi persekolahan tahun hadapan.
Turut hadir dan menerima sumbangan adalah daripada masyarat india dan cina. Mereka rasa berbangga atas usaha pihak PAS dalam membantu masyarakat serta tidak meminggirkan masyarakat yang bukan Melayu dan Islam. Ianya membuktikan bahawa PAS sebuah parti yang menjaga semua kaum.
Sumbangan telah disempurnakan oleh TYDP, Ust. Rozie Imani dan Bendahari PAS kawasan , Ust. Ahmad Jailani Abd. Hamid.
" BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN "





Program Kebajikan : Back to School 2016 Dppk Bagan Datoh ( 1 )
SG. BATANG, SELEKOH : Alhamdulillah pada hari ini telah berlangsung program kebajikan sempena persediaan sesi persekolahan untuk tahun hadapan. Atas rasa Keprihatinan kepada masyarakat pada hari ini yang dibebani kos sara hidup yang tinggi, maka sedikit usaha bantuan bagi meringankan sedikit keperitan tersebut cuba dilakukan oleh pihak Dppk dengan kerjasama PAS Kawasan Bagan Datoh.
Lokasi pertama adalah di Kg. Sg. Batang serta melibatkan beberapa cawangan berhampiran iaitu Tebuk Hj. Tahir, Sg. Hj. Muhammad dan Tebuk Bengkang.
Penyampaian tazkirah dan pemberian barang sumbangan telah dijayakan oleh Timbalan YDP PAS Kawasan Bagan Datoh, Ust. Ahmed Rozie Imani.
Terima kasih kepada seluruh penyumbang.
" BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN "


PROGRAM KEBAJIKAN : BACK TO SCHOOL BUKTI PAS TERUS ISTIQAMAH

Program Kebajikan : Back to School Dppk Bagan Datoh 2016 ( 6 )

PAS TERUS ISTIQAMAH
SIMPANG EMPAT RUNGKUP : Walau pun situasi politik ketika ini agak mencabar khususnya serangan ke atas PAS, namun gerak kerja dakwah, tarbiyah tetap diteruskan. Prinsip perjuangan PAS pastinya menuntut keredhaan Allah dalam perjuangan ini.

Tidak ketinggalan, misi kebajikan PAS turut diteruskan oleh pihak PAS Kawasan Bagan Datoh pada tahun ini. Back to School yang sudah masuk tahun ke 3 penganjurannya serta bermatlamat membantu mereka yang memerlukanya.

Pada petang tadi berakhir misi penyerahan bantuan sumbangan berupa beg sekolah dan peralatan tulis di Cawangan Rungkup. Melibatkan 3 cawangan berhampiran iaitu Rungkup Kechil, Simpang 4 Rungkup dan Sg. Lanchang. Seramai 7 orang penerima menerima sumbangan tersebut.

Terima kasih diucapkan kepada seluruh pihak serta penyumbang yang membantu menjayakan misi kebajikan pada kali ini. Tidak dilupakan kepada seluruh penerima.

Sebelum barang sumbangan disampaikan kepada penerima, ucapan serta sedikit tazkirah disampaikan oleh Ustaz Misbahul Munir.


Majlis ringkas penyerahan barang sumbangan telah pun disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Misbahul Munir Masduki.

" BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN "

KENYATAAN MEDIA : PAS BAGAN DATOH TETAP ISTIQAMAH BANTU RAKYAT

 KENYATAAN MEDIA / BERITA
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH

TEMPAT : BAGAN DATOH / TARIKH : 28 DISEMBER 2015

PAS BAGAN DATOH HULUR SUMBANGAN

Beri sumbangan kepada golongan yang memerlukan sebagai persiapan menghadapi sesi baharu persekolahan 2016


1-Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK Bagan Datoh ) sekali lagi pada tahun ini telah berjaya menganjurkan sebuah program kebajikan yang dinamakan “ Back To School “ atau Kembali Ke Sekolah sebagai mana tahun-tahun yang lalu.

2-Bertemakan “ Yang Berat Sama Dipikul, Yang Ringan Sama Dijinjing ” , program penyerahan barang sumbangan tersebut telah berlangsung pada 24 Disember 2015 dan bertempat di beberapa cawangan sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Rungkup.

3-Seramai 60 orang murid yang menerima sumbangan tersebut melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas bantuan diterimanya. Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada pihak PAS Kawasan Bagan Datoh atas usaha membantu serta meringankan sedikit bebanan dalam persiapan untuk menghadapi sesi persekolahan tahun hadapan.

4-Barang sumbangan yang diberikan adalah berupa beg sekolah serta peralatan tulis. Majlis penyerahan di lakukan di beberapa cawangan/ kampung sebagai langkah memudahkan penerima mengambil barangan tersebut.

5-Antara cawangan/kampong yang terlibat ialah Kampung Sungai Batang, Kampung Sungai Tiang Darat, Kampung Sungai Balai Darat, Pekan Bagan Datoh, Kampung Sungai Nipah Baroh dan Simpang Empat Rungkup.

6-Matlamat utama penganjuran program adalah membantu golongan fakir miskin dan anak yatim serta mereka yang memerlukan.

7-Menurut pengarah program, Muhamad Nizam bin Khairi berkata : “ Bahawasanya pihak Pemuda PAS menyedari keadaan rakyat yang dibebani kos sara hidup yang tinggi ketika ini, demikian itu pihak kami mengambil sedikit langkah untuk membantu mengurangkan bebanan mereka yang memerlukan ”.

8-Selain itu, pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh menyatakan bahawa penganjuran program sebegini adalah sebagai membuktikan PAS tetap komited serta bersungguh membantu masyarakat khususnya golongan fakir miskin dan anak yatim.

9-Penyempurnaan penyampaian sumbangan bantuan telah dilakukan sendiri oleh pimpinan PAS Kawasan Bagan Datoh. Antaranya Yang Dipertua PAS, Ustaz Misbahul Munir Masduki , Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Rozie Imani, Setiausaha PAS Kawasan, Ahmad Fauzi Hashim, Bendahari, Ustaz Ahmad Jailani Abdul Hamid dan pimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Dewan Muslimat PAS Kawasan.

10-Dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut turut melibatkan semua golongan masyarat tanpa mengira agama,bangsa dan fahaman politik di sekitar kawasan terbabit.

11-“ Kita berikan sumbangan ini kepada semua golongan yang difikirkan perlu dibantu. Tidak kira agama, bangsa serta fahaman politik. Memang tujuan kita adalah membantu meraka yang susah. Contohnya kita pilih juga mereka yang dari kalangan bangsa India dan Cina. Ini sebagai membuktikan PAS adalah sebuah parti politik untuk semua masyarakat .Sebagaimana tema “ PAS For All” yang dicanangkan sebelum ini.” Demikian menurut Muhamad Nizam bin Khairi selaku pengarah program.

“ BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN ”

Sekian, Terima Kasih

Disediakan oleh :

MUSTAID BIN SAIFUDDIN
Setiausaha

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh

Jumaat, 11 Disember 2015

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS : SYARIAT ISLAM ASAS PENYATUAN UMMAH.

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
10 Disember 2015 / 28 Safar 1437 M

“Syariat Islam Asas Penyatuan Ummah”


1) Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah organisasi yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah, Ijma' ulama dan Qiyas sebagai rujukan dalam menentukan prinsipnya termasuklah dalam gerakerja dan tindakan untuk membina masa depan yang sejahtera.
2) Lebih enam dekad PAS berjuang membawa Islam dan syariatnya. PAS mengambil pelbagai ruang dan peluang untuk menyedarkan masyarakat termasuk pemimpin politik dan negara agar meletakkan agama sebagai teras pemerintahan dan penyatuan ummah untuk kesejahteraan rakyat seluruhnya. PAS juga terus berjuang menolak mungkar politik, amalan salah guna kuasa dan tadbir urus, dan kerosakan akhlak serta rasuah dalam praktis bernegara.
3) Pastinya apabila ada suara positif yang selari dengan kepentingan Islam, negara dan rakyat majmuk keseluruhannya, PAS selamanya berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap hasrat perpaduan dalam bermasyarakat berteraskan syariat Allah SWT dengan mana - mana pihak, samada Islam atau kalangan bukan Islam.
4) Berdasarkan prinsip inilah, maka sebarang perkembangan baharu dalam gerak politik PAS akan dinilai, dibincang, dan diputuskan diberbagai peringkat proses dalaman parti, termasuklah perbincangan oleh Jawatankuasa PAS Pusat sehingga mencapai keputusan secara kolektif.
5) PAS juga ingin membuat seruan, betapa kini masa yang sangat sesuai untuk UMNO kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya, samada politik, sosial mahu pun ekonomi. PAS beriman kepada Allah bahawa pintu taubat tidak pernah ditutup dan rasa keinsafan yang murni adalah kunci mendapat keampunan dari Allah SWT.
6) PAS ingin menegaskan bahawa pada waktu ini, PAS adalah rakan Tahaluf Siyasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan komited dengan kerjasama ini sebagaimana yang dicapai dalam Muktamar dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama PAS Pusat.
ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Khamis, 29 Oktober 2015

KENYATAAN MEDIA : DPPK BAGAN DATOH BERISTIQAMAH DAN MENYOKONG PENUH KEPIMPINAN PAS HARI INI.

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH

Tarikh : 29 Oktober 2015 / Khamis

 
“ PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH TERUS BERISTIQAMAH BERSAMA PERJUANGAN DAN KEPIMPINAN PARTI ”

1-Perkembangan politik yang berlaku ketika ini khususnya bagi Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) telah merubah sedikit sebanyak landskap politik di negara ini. Sehubungan itu, ianya juga memberi beberapa kesan baik dan buruk kepada pengurusan dan pentadbiran parti.

2-Namun bagi Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh, disini ingin menyatakan pendirian kami iaitu akan terus beristiqamah bersama pimpinan parti yang telahpun dipilih secara sah oleh perwakilan melalui Muktamar Agung PAS yang lalu. Maka tiada sebab dan alasan untuk kami menolak apatah lagi menjatuhkan kepimpinan parti yang ada pada hari ini.

3-Kami juga secara jelas dan teguh berpendirian akan terus menyokong penuh Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang serta seluruh saff kepimpinan PAS Pusat. Selain itu, kami menyatakan keyakinan kepimpinan Presiden PAS hari ini mampu untuk menjaga keaslian dasar perjuangan parti.

4-Pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh turut berjanji akan menjadi pendokong kuat untuk bersama-sama kepimpinan parti dalam gerak kerja dan usaha memenangkan PAS di persada dakwah, tarbiyah dan politik negara.

5-Berkenaan penubuhan parti baharu serpihan daripada PAS, iaitu Parti Amanah Negara ( AMANAH ), pihak kami hanya boleh menyatakan bahawa perkara tersebut adalah menjadi hak mereka. Namun, pihak kami masih mengharapkan kepada bekas pimpinan dan ahli PAS yang telah mengisytiharkan keluar parti untuk bersama parti baharu itu untuk memikirkan semula tindakan mereka. Adakah ianya hanya untuk kepentingan diri sendiri atau untuk Islam ?

6-Justeru itu, pihak kami menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha perpecahan dan pengkhianatan dalam perjuangan PAS. Demikian itu, pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh menyokong keputusan PAS Perak yang meminta Ahli Parlimen ( MP ) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) daripada PAS yang telahpun keluar parti dan telah bersama-sama parti baharunya iaitu AMANAH untuk meletakan jawatan tersebut. Ianya adalah bertepatan sebagaimana bai’ah ( sumpah ) yang telah dilafazkan oleh setiap mereka yang menjadi calon dan bertanding dalam pilihanraya atas nama PAS mestilah meletakkan jawatan sekiranya telah meninggalkan PAS.

7-Manakala daripada sokongan serta keyakinan ahli dan rakyat kepada PAS, pihak kami berkeyakinan bahawa PAS masih lagi relevan dan utuh walaupun diuji dengan pelbagai cara dan pihak. Antara buktinya ialah kehadiran peserta di Himpunan Fastaqim yang telah berlangsung di Kota Bharu dihadiri lebih daripada sasarannya iaitu melebihi 60 ribu orang. Selain itu, kemasukan daftar ahli baharu juga semakin meningkat daripada semasa ke semasa.

8-Akhirnya, sekali lagi pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh menegaskan akan terus memberi sokongan dan dokongan penuh kepada kepimpinan parti serta beristiqamah dalam perjuangan ini. Kami juga menolak sebarang usaha merosakkan parti seperti perpecahan dan pengkhianatan

" BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN "

Oleh :

USTAZ AMIR HAMZAH BIN IBRAHIM

Ketua,
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH



Ahad, 20 September 2015

CATATAN DHUHA BERSAMA USTAZ IDRIS AHMAD.

CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS/ MP Bukit Gantang
( 30 Zulkaedah - 06 Zuhijjah 1436 )


Catatan Dhuha

Pendakwah yang mendapat sambutan baik, yang cergas dan berbakat sentiasa terdedah kepada cacian lidah orang yang hasad. Mereka dengki pada ilmu dan kelebihan yang ada pada para du'at. Mereka berusaha untuk mencari peluang menjatuhkan imej para du'at dengan apa cara sekali pun, tetapi masih gagal. Akhirnya penghasad diserang sakit jiwa. Ust Hj Idris Hj Ahmad 30 Zulqaedah 1436. 14 Sept 201 Isnin.



Catatan Dhuha
Mereka silap membuat perhitungan, andaian untuk menjatuhkan maruah pejuang tulin. Walau pun menggunakan berbagai gerak saraf namun tidak berjaya. Pendakwah masih tenang dan senyum yang sakit jiwanya penghasad. Pedakwah tegar seperti emas tulin, selagi dibakar dengan api yang kuat maka akan tambah berkualiti . Ust Hj Idris Hj Ahmad 1 Zulhijjah 1436. 15 Sept 201 Selasa.



Catatan Dhuha
Ahli Pas tulin mereka tidak boleh diancam, terus mereka bangkit bersatu dan mempertahankan jamaah yang mereka sayang. Ancaman sebagai panggilan untuk mereka bangkit mempertahnakan parti dan memperkukuhkan parti. Sejarah membuktikan, ikatan ukhwah dan semangat pengorbanan yang tinggi akan dizahirkan apabila suasana terancam. Ust Hj Idris Hj Ahmad 2 Zulhijjah 1436. 16 Sept 201 Rabu.



Catatan Dhuha
Apa motif Malaysian Insider yang menyiarkan berita YB Ustaz Nik Abduh, kononnya berada di lokasi himpunan merah semalam. Sikap tidak cermat atau adakah Malaysian Insider mempunyai agenda yang tersembunyi terhadap Pas. Kalau pun tidak suka dengan Pas, jangan gadaikan prinsip kewartawanan. Kami tidak minta dipuji, tetapi kami tuntut kejujuran dan amanah. Ust Hj Idris Hj Ahmad 3 Zulhijjah 1436. 17 Sept 2015 Khamis.


Catatan Dhuha
Tugas Pas ialah mendidik ummah supaya menjadi manusia yang berilmu dan beramal, dengan ini akan melahirkan kebijaksanaan. Mereka bijak menggunakan ilmu untuk manfaat diri dan ummah. Tidak ada makna mempunyai ilmu tetapi tidak tahu membezakan antara hak dan batil.
Ust Hj Idris Hj Ahmad 
4 Zulhijjah 1436. 18 Sept 2015 Jumaat.



Catatan Dhuha
Pendengki akan menjadi batu api dalam masyarakat dan jamaah. Syaitan menghasut mereka jangan menghentikan kerja ini seolah-olah ini merupakan amalan baik dan berfaedah. Banyak tuduhan palsu disebarkan untuk mengobarkan kebencian dan permusuhan sesama sendiri. Pelaku ini tidak mengambil kisah mengenai amaran dan ancaman daripada Allah SWT. Ust Hj Idris Hj Ahmad 5 Zulhijjah 1436. 19 Sept 2015 Sabtu.



Catatan Dhuha
Pas sebagai Harakatul Ummah ( Gerakan Massa) dianggotai oleh berbagai lapisan manusia. Ada yang cerdik, ada yang jahil, ada yang wara', ada yang kurang, ada yang berkelulusan universiti, ada yang sekolah atap, ada yang kuat, ada yang lemah. Inilah dinamiknya Pas. Apa yang penting, kita mesti meletakkan diri kita diposisi yang boleh memberi sumbangan kepada perjuangan. Ust Hj Idris Hj Ahmad 6 Zulhijjah 1436. 20 Sept 2015 Ahad.

Rabu, 16 September 2015

USRAH FUTSAL DPPK BD, SIHAT BADAN AKAL CERDAS.

USRAH FUTSAL : DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH ANJURKAN USRAH SAMBIL BERSUKAN

Selaian memperoleh pengisian jiwa, tubuh badan juga perlu sihat.


PARIT 4, SG. SUMUN : Lajnah Tarbiyyah & Pengkaderan DPPK Bagan Datoh dengan kerjasama Lajnah Keseniaan, Kebudayaan & Sukan telah mengadakan Usrah Mingguan DPPK tersebut dengan acara beriadhah iaitu bermain futsal.

Matlamatnya ialah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dikalangan anak-anak muda khususnya Pemuda PAS di kawasan Bagan Datoh.

Sebahagian pemain bergambar kenangan setelah selesai aksi di atas gelanggang.

Berehat setelah kepenatan. Sebahagian pemain duduk sambil berehat setelah bermain kira-kira 20 minit.

Aksi menarik para pemian di atas gelanggang.


Sesi tazkirah oleh KP, Ustaz Amir Hamzah.




KONGRES RAKYAT : DEKLERASI RAKYAT SHAH ALAM

KONGRES RAKYAT : MEMBINA MALAYSIA SEJAHTERA
DEKLERASI RAKYAT SHAH ALAM


Kongres Rakyat bertemakan MEMBINA MALAYSIA SEJAHTERA dengan ini mengisytiharkan:

1- Bersatu untuk membentuk sebuah Malaysia yang makmur dalam kerangka integrasi nasional dan bersama-sama menggembelingkan tenaga bagi menangani krisis yang sedang melanda negara.

2- Bertindak menyedarkan rakyat ke arah mengembalikan semula tunjang-tunjang sistem ketatanegaraan yang adil dan saksama melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan dan mengkaji semula semua undang-undang yang memeras rakyat.

3- Bertindak mewujudkan amalan politik yang tulus dan telus seterusnya mengawal kegiatan politik dan perilaku ahli-ahli politik agar tidak menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

4- Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting ke arah memupuk kesedaran rakyat dalam membuat perubahan sosial, ekonomi dan politik, demi mengelakkan pendekatan yang boleh menghuru-harakan negara.

5- Berusaha sedaya upaya membela golongan rakyat yang terpinggir dari arus pembangunan seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pekebun kecil, golongan miskin, golongan yang tidak mampu bekerjaya dan lain-lain.

6- Bertindak mendesak kerajaan mengembalikan sistem pemisahan kuasa antara eksekutif , legislatif dan kehakiman bagi menjamin integriti dan ketelusan dalam urus tadbir negara.

7- Bertindak untuk menggesa kerajaan supaya diwujudkan segera satu badan perunding ekonomi negara yang lebih inklusif, mewakili semua golongan rakyat dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak demi untuk menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku.

Maka dengan ini, setelah menerima usul-usul dari akar umbi rakyat, mendengar secara langsung pandangan dari seluruh sektor masyarakat dan mengambilkira pandangan tokoh-tokoh masyarakat, Kongres Rakyat mengumumkan pembentukan satu Jawatankuasa Penggubal Pelan Tindakan Rakyat yang akan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres, dan diuruskan oleh sekretariat. PELAN TINDAKAN ini akan dilancarkan pada 1 Muharam 1437 hijrah nanti.

KONGRES RAKYAT : FOTO -FOTO MENARIK SEPANJANG KONGRES BERLANGSUNG.

KONGRES RAKYAT : MENCARI PENYELESAIAN

Membina Malaysia Sejahtera.

















HARI MALAYSIA 52 : PERUTUSAN OLEH PRESIDEN PAS

PERUTUSAN HARI MALAYSIA PRESIDEN PAS

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."
(Surat Al-Hujurat, ayat 13)

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat negara ini, bersempena dengan penubuhan sebuah negara hasil gabungan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu hinggalah terbentuk dengan nama Malaysia pada 16 September 1963.

Perlu difahami, kita semua adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara yang wujudnya kepelbagaian etnik yang berasal daripada berbagai bangsa dan datang dari pelbagai negara. Ditambah pula dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sekian lamanya.
Adalah menjadi naluri buat manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad atau akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan. Tidak ada orang yang waras akalnya mahu hidup di bawah belenggu penjajahan, apatah lagi lagi dikawal minda dan tindakannya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin menegaskan, sebagai pendokong dan penyokong kepada perjuangan Islam pastinya akan menentang segala bentuk penjajahan sama ada berbentuk sekularisme, liberalisme dan sebarang ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam.

PAS sangat menghargai peranan yang telah pun dimainkan oleh semua pihak dan tokoh terdahulu seperti Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lain lagi, yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka yang terdahulu, telah pun meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak setuju kerana kelemahannya yang tersendiri. Namun, segala kelemahan orang lalu yang telah meninggal dunia ini tidak wajar untuk dibalas dengan kata nista, yang wajar kita lakukan adalah dengan sentiasa memohon kepada Allah SWT agar mereka dikurniakan keampunan.

Perlu difahami semua, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala. Sebarang kelemahan atau kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara pula perlulah diperbaiki oleh kita yang masih dipinjamkan nyawa ini dan pastinya ia juga menjadi tanggungjawab generasi akan datang. Kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud di Malaysia ini, pastinya mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara yang benar-benar menitikberatkan perihal kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang menyaksikan betapa kerajaan UMNO-BN yang ada ini sudah diberi peluang memerintah lebih 50 tahun, namun ia sangat parah apabila kerajaan UMNO-BN ini kian membawa negara kepada virus yang membebankan rakyat melalui kenaikan kos hidup yang kian meningkat, kadar mata wang yang merundum jatuh, penyelewengan wang di institusi-institusi tertentu kian parah, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan berpaksikan Islam kian dipinggirkan dan 1001 lagi kerosakkan yang berlaku, maka tentulah menjadi tanggungjawab buat kita semua untuk melakukan perubahan dengan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW.

PAS juga pastinya akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum yang ada dengan berasaskan Islam yang sebenar-benarnya menerusi Al-Quran dan As-Sunnah, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan Malaysia itu sendiri.

Justeru, PAS menggesa kepada semua rakyat Malaysia untuk meyakini jalan yang benar-benar menyelamatkan kita semua sama ada di dunia mahupun akhirat pastinya adalah dengan bersama Islam.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
02 Zulhijjah 1436 H / 16 September 2015 M

HARI MALAYSIA KALI 52 : PERUTUSAN DARI DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK.


Perutusan Hari Malaysia Dewan Pemuda PAS Perak



Alhamdulillah bersyukur di atas kurnia Allah S.W.T dengan nikmat Islam,Iman dan bernegara yang diberikan,masih lagi kita mengecapi kehidupan yang harmoni di Malaysia. Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Al Hujurat :13)

Islam menyeru dalam kehidupan bernegara seharusnya membuka ruang yang luas untuk kita berkenalan, beramah-mesra, berurusan dan saling membantu tanpa mengira jantina, bangsa dan keturunan. Tiada perbezaan dalam kehidupan melainkan hanya ketaqwaan kepada Allah sahaja.

Cabaran ekonomi telah menghimpit Malaysia berada dalam tekenan yang dahsyat berpunca dari sifat tidak amanah kepimpinan Kerajaan. Dalam membentuk satu Malaysia yang sejahtera, rakyat harus bersatu menyatakan kebenaran dan membuat perubahan. Kepimpinan dalam Islam amat menekankan konsep amanah, keadilan, berkebajikan,bijaksana dan integriti. Seandainya Malaysia diurus tadbir dengan pendekatan Islam yang syumul, nescaya keamaan dan kesejahteraan akan terbina.

Dewan Pemuda PAS Perak terus istiqamah menyuburkan dakwah, membina keperibadian pemuda dan dalam masa yang sama secara konsisten memerangi kezaliman dan penipuan terhadap Rakyat.

Dewan Pemuda PAS Perak menyeru kepada semua rakyat khususnya di Perak agar menyambut Hari Malaysia dengan aman dan semangat patriotisme yang tinggi tanpa sentimen perkauman malahan disambut dengan dasar ketaqwaan kepada Allah SWT.


Mohd Akmal Bin Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak

2 Dzulhijjah 1436H / 16 September 2015

DPPN PERAK : JEREBU PERLU DITANGANI DEMI RAKYAT


KENYATAAN MEDIA DPP PERAK
[JEREBU PERLU DITANGANI DEMI RAKYAT]



1) Keadaan jerebu di Perak semakin membimbangkan. Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pada bacaan 150 ke atas telah melanda beberapa kawasan.

2) Sehingga jam 12pm hari ini, bacaan IPU di kawasan SK Jalan Pegoh dan Jalan Tasek Ipoh melebihi 180 selain dari Seri Manjung yang turut mempunyai bacaan IPU yang tinggi.

3) Lebih membimbangkan pesakit yang mempunyai penyakit jangkitan saluran pernafasan diantara 6 hingga 13 September meningkat kepada 1,584 kes berbanding hanya 1,079 kes antara 30 Ogos hingga 5 September.

4) Jerebu boleh mengakibatkan gejala seperti bersin, kerengsaan mata, hidung berair, batuk dan sakit tekak disebabkan oleh kehadiran bahan pencemar di udara semasa jerebu. Sebahagian dari mereka terutama yang mempunyai masalah perubatan, mungkin mengalami gejala yang lebih teruk seperti kesukaran bernafas dan sakit dada

5) Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Perak menasihatkan agar masyarakat menjaga kesihatan diri dan keluarga. Penggunaan mask N95, perbanyakkan minum air serta mengurangkan aktiviti di luar amat penting ketika ini. Dalam masa yang sama doa terus dipanjatkan agar Allah SWT melindungi kita.

6) Dewan Pemuda PAS Perak juga mendesak kerajaan Negeri bersama Kerajaan Pusat menyelesaikan isu jerebu ini yang mana saban tahun kita menghadapinya. Masalah jerebu perlu ditangani dengan segera demi memastikan kesihatan rakyat lebih terjamin.


Mohd Akmal Bin Kamaruddin 
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak

1 Zulhijjah 1436H / 15 September 2015

jambori amal kuala kangsar 2008