pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Khamis, 30 Januari 2014

KP : 6 AGENDA PEMUDA UNTUK TERUS DI HADAPAN.

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menggariskan enam fokus bagi memastikan mereka terus berada dihadapan dalam persada politik tanah air.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, beliau menyedari bahawa Pemuda PAS dilihat kurang berkesan dalam mendepani isu rakyat dan penyelesaian kepada perkara itu menjadi fokus utama.

"Kita mahu Pemuda PAS menguruskan isu-isu rakyat dengan lebih konsisten dan berkesan dan ini bertujuan agar pemuda lebih mendepani isu tersebut dan menyelesaikannya sehingga peringkat akhir," jelasnya dalam satu temubual bersama Harakah danHarakahdaily.

Kedua, Pemuda PAS juga ujarnya akan meneruskan agenda yang dibuat pemimpin sesi sebelumnya.

"Pemuda juga akan memberi fokus kepada pengundi Melayu terutamanya golongan muda, yang memerlukan satu mekanisme dan menggerakkan agenda bersepadu dalam urusan tersebut. 

"Dalam urusan membabitkan pengundi muda kita telah menubuhkan Jabatan Pendidikan politik," sambung beliau.

Menurut Suhaizan, pemuda juga akan menjadikan pendekatan dakwah baru sebagai agenda penting mereka.

Katanya, pemuda akan menerokai dimensi dakwah baru dengan konsep yang lebih kreatif dan berkesan, dan bagi tujuan itu Lajnah Dakwah dan Penerangan dipisahkan untuk gerak kerja yang lebih fokus.


Menurut beliau, melalui penekanan ini pendakwahan yang dijalankan adalah bertujuan untuk memberi penerangan tentang Islam kepaada masyarakat pelbagai kaum yang mengamalkan konsep santai.

"Pemuda juga menetapkan konsep tarbiyah dan perkaderan, ini merupakan perkara paing asas dalam parti, generasi baru yang memerlukan sentuhan yang lebih dinamik.

"Perkaderan, memang kita melahirkan ramai pertugas-pertugas tetapi itu hanya meliputi peringkat bawah dan hanya di dalam parti, mulai sekarang kita akan memberi fokus di mana pemuda akan melahirkan pemimpin yang bukan sahaja berwibawa di peringkat parti tetap juga di peringkat nasional.

Selain itu katanya, pemuda juga memberi tumpuan kepada sistem pengurusan yang lebih sistematik di semua peringkat.

"Kita perlu ada satu mekanisme yang yang betul serta rangka kerja yang lebih selaras bagi tujuan kerja yang lebih efisyen," kata beliau lagi.

Turut serta pada sesi temubual itu ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Mohd Nasaie Ismail.

Selasa, 28 Januari 2014

LIQA'UL FIKRI PAS KAWASAN : AHLI PAS MESTI FAHAM DAN KEMBALI KEPADA KEASLIAN PERJUANGAN.

LIQA'UL FIKRI PAS KAWASAN BAGAN DATOH ( JANUARI 2014 ) BERSAMA USTAZ SHUHAIMI ABDUL WAFIR - AJK DEWAN ULAMAK PAS PERAK.








ALLAHYARHAM DR. ABDUL KARIM ZAIDAN : PEMERGIANNYA SATU KEHILANGAN BESAR DUNIA ISLAM.

Tuan Ibrahim dan Nik Muhammad Zawawi menziarahi Dr Abdul Karim di Yaman, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Dunia dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh ulama dan pemikir Islam yang agong iaitu Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan ke rahmatullah, semalam.

Jenazahnya dikebumikan di San'a, Yaman, bumi yang terakhir menjadi tempat beliau bernaung selepas terpaksa keluar meninggalkan bumi kelahiran beliau iaitu Iraq. 

Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan takziah atas pemergian beliau kepada seluruh umat Islam, khususnya  keluarga almarhum, anak-anak murid beliau dan warga Univesiti Iman, San'a di bawah naungan Syeikh Abdul Majid Zandani yang menjadi pusat ilmu di mana beliau menjadi salah seorang maha gurunya. 

“Pemergian tokoh ulama Islam ini merupakan kehilangan besar bagi ummat,” ujar Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.


Dr Abdul Karim dilahirkan di Baghdad pada tahun 1921. Berkelulusan Ijazah Pertama dari Fakulti Undang-undang Universiti Baghdad, Master dan Phd dalam Pengajian Islam Universiti Kaherah tahun 1962.

Beliau yang merupakan bekas Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Iraq pernah mengasaskan Fakulti Pengajian Islam di hujung 60-an dan berjaya melahirkan graduan namun kemudiannya ditutup oleh Parti Sosialis Iraq dan beliau sendiri dikenakan seumpama tahanan rumah. 

Beliau terus ditekan sebagai seorang tokoh ulama sehingga akhirnya terpaksa berhijrah meninggalkan Iraq pada awal 90-an.

Beliau pernah menjawat jawatan Profesor Undang-undang Islam dan Ketua Jabatan Syariah, Fakulti Undang-undang, Universiti Baghdad dan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Baghdad.

Antara karya beliau yang terkenal ialah ensiklopedia hukum-hakam berkaitan Wanita dan Keluarga Muslim sebanyak 11 juzuk yang mendapat Anugerah Antarabangsa Raja Malik Faisal pada tahun 1997M/1417H.

Antara tulisan beliau yang terkenal dan menjadi rujukan di banyak fakulti pengajian Islam di seluruh dunia ialah Hukum-hakam Zimmi dan Musta'min Dalam Negara Islam, Pengenalan Pengajian Syariah Islam, Usul Dakwah, Al-Wajiz - Syarah Qawaid Fiqhiyyah dan Sistem Kehakiman Dalam Islam.

“Semoga Allah merahmati roh beliau dan memberikan ganjaran terbaik untuknya di alam barzakh dan di Hari Akhirat. 

“Semoga kita juga berjaya mengikut jejak langkah beliau sebagai orang berilmu dan beramal dengan ilmunya,” kata Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

BENARKAH RON 95 AKAN NAIK ?

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka akan menaikkan lagi harga petrol RON 95 dan diesel serta kadar tol sebelum pengagihan BR1M 3.0 kepada 7.9 juta rakyat pada pertengahan Februari 2014 ini. 

“Pengurangan subsidi terhadap big ticket items iaitu seperti petrol, diesel, tol serta elektrik mampu menjana penjimatan yang besar kepada kerajaan,” kata Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, menurut anggaran Pemandu, kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel seharusnya dinaikkan sebanyak 10 sen seliter setiap 6 bulan. 

Katanya, kenaikan tersebut akan disusuli dengan pelbagai langkah mitigasi untuk meringankan beban rakyat dan kerajaan akan menikmati lebih penjimatan setiap tahun. 

Bagi tol, ujarnya kenaikan akan tetap berlaku sepertimana dalam perjanjian konsesi.


Beliau menambah, beberapa signal awal telah diberikan oleh kerajaan antaranya kenyataan Perdana Menteri berhubung langkah pemberian subsidi bersasar khususnya mengenai petrol RON 95. 

Menurutnya lagi, pihak Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia juga telah membuat tinjauan yang mendakwa kos pengangkutan awam akan naik antara 25 peratus hingga 30 peratus sekiranya kadar tol akan dinaikkan tidak lama lagi.

Walaubagaimanapun, ujar beliau ia bergantung kepada tahap pengawalan defisit dan hutang kerajaan. 

“Cuma apa yang dibimbangkan ialah peningkatan hasil yang diperoleh oleh kerajaan tidak disalurkan secara tepat bagi memulihkan kewangan awam,” katanya. 

Contohnya, kata beliau Laporan Ekonomi 2013/2014 menunjukkan kerajaan mempunyai peningkatan perolehan hasil, namun lebihan tersebut tidak digunakan secara efisyen untuk mengurangkan beban hutang, sebaliknya menambah perbelanjaan mengurus kerajaan.

Tambah beliau, biasanya ramai yang menelah, strategi dan pendekatan kerajaan adalah 3+2 atau 4+1. 

Beliau berkata, tiga tahun selepas pilihanraya umum diadakan adalah tempoh terbaik untuk mendapat pulangan daripada menekan rakyat, manakala dua tahun selepas itu adalah tempoh memujuk serta membeli undi rakyat. 

“Jika kenaikan ini berlaku, maka terbukti bahawa kerajaan melakukan pengkhianatan terhadap segala janji yang ditaburkan. Diharap rakyat tidak mudah lupa dan bingkas menuntut keadilan,” ujarnya.

PETISYEN BAGAN DATOH : TARIKH 19 FEB SEBAGAI KEPUTUSAN BANTAHAN..

KUALA LUMPUR: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menetapkan 19 Feb untuk memutuskan bantahan awal dikemukakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap petisyen bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh yang difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hakim Pilihan Raya Datuk Hasnah Mohammed Hashim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan peguam Edmund Bon yang mewakili calon PKR Madhi Hasan dan peguam Chong Kok Yew yang mewakili seorang pengundi Azmi Sulaiman.


Madhi dan Azmi memfailkan petisyen terhadap Ahmad Zahid yang memenangi kerusi Bagan Datoh dengan majoriti 2,108 undi dalam pilihan raya umum ke-13, memohon keputusan bagi kerusi itu diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

Pada 23 Dis tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya difailkan oleh dua pempetisyen itu diremit semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk mendengar merit kes itu selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan PKR.

PKR memfailkan rayuan di Mahkamaha Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Ipoh menolak petisyen pilihan raya itu. - Bernama

Ahad, 26 Januari 2014

ANTARA TANGISAN SEDIH DAN GEMBIRA..PEMERGIAN SEORANG MURABB..

KUALA LUMPUR: Pemergian Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib ditangisi kesedihan oleh ribuan pendukung dakwah yang pernah menerima tarbiyah walau sejenak dan pernah menjadi anak didik beliau dan juga rakan seperjuangan almarhum.

Ketua Penerangan dewan itu, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, ribuan menghadiri solat jenazah almarhum dari seluruh pelosok negara. 

Ribuan juga mengiringi janazahnya yang diusung ke kubur sehingga memenuhi jalan sepanjang 1.5 km.

“Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi antara yang benar-benar merasai kehilangan Tuan Guru Harun Taib kerana almarhum disifatkan sebagai sayap kanan beliau dalam perjuangan dakwah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus. 

Tambahnya, sangat ketara kesedihan Tuan Guru Abdul Hadi di kala mengimamkan solat jenazah Ustaz Harun dan berdoa di kubur sejurus dikebumikan.


Namun, katanya tidak dinafikan ada pula yang keriangan terutamanya munafik gerakan Islam atau musuh dakwah. 

Beliau berkata, bagi mereka pemergian Ustaz Harun bererti perginya seorang ‘tokoh ulama konservatif’ yang masih memperjuangkan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang syariah Islam di negara ini yang menjadi penghalang kepada keterbukaan PAS. 

Namun, tegas beliau hakikat yang perlu diketahui ialah agenda perjuangan beliau akan terus digalas oleh puluhan ribu anak didik almarhum yang akan terus memperjuangkan kelangsungan pemerintahan dan politik berasaskan Islam. 

Beliau menegaskan bahawa Ustaz Harun adalah sebahagian mata rantai perjuangan dakwah dan siyasah yang panjang.

Sementara itu, Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) merasakan kehilangan Ustaz Harun sebagai seorang tokoh ulama yang banyak berjasa dalam perkembangan dan pembangunan Islam di tanah air.

“Beliau seorang yang amat prihatin dan senang didekati serta tidak mudah menyerang lawan apatah lagi kawan seperjuangan. 

“Malah seingat saya, beliau tidak pernah menolak jemputan Perantau  Terengganu untuk bertemu atau berdialog dengan beliau walaupun selepas tidak lagi menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu,” ujar Setiausaha Perantau, Suhaimi Embong  dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily. 

Katanya, ramai perantau yang bergegas pulang ke Terengganu untuk bersama  memberikan penghormatan yang terakhir kepada almarhum, semalam.

“Kami, Perantau mendoakan semoga roh beliau dilimpahkan dengan kebaikan dan ditempatkan di kalangan para syuhada dan solihin,” ujarnya.

Sabtu, 25 Januari 2014

KALAU DI PALESTIN ADANYA SYEIKH AHMAD YASSIN, DI MALAYSIA ADANYA TG. HARUN TAIB..

“Dr… Minta maaf, ana nak menyusahkan doktor sikit,” suara sahabat baik saya, Haji Hassan Wahid yang berkhidmat sebagai pembantu peribadi Almarhum Ustaz Datuk Harun Taib kedengaran di hujung talian telefon sehari sebelum menjelang Muktamar Tahunan PAS ke-56 pada Jun 2010 yang berlangsung di Kota Bharu.

“Silakan Haji… kalau ana boleh tolong, insya Allah ana bantu,” jawab saya penuh rasa ukhuwwah dan persahabatan.

“Macam ni Dr, klinik Dr ada tak kerusi roda. Ustaz nak pinjam untuk guna masa Muktamar nanti. Kerusi roda yang guna di rumah sekarang dah rosak,” pinta sahabat saya ini.

“Ooo…minta maaf, kerusi roda tu tak ada di klinik sekarang. Tapi Haji jangan bimbang. Serah pada ana, ana akan cari sampai dapat. Esok bila dah sampai di Kota Bharu, call ana dan mari ambik kerusi di klinik.”

Kalau tak silap saya, masa tu dah petang hari khamis. Esoknya Jumaat semua kedai tutup. Saya terus menelefon Dr Ramli Mamat, sahabat baik yang memiliki sebuah klinik di Wakaf Che Yeh untuk bertanya kalau-kalau beliau memiliki sebuah kerusi roda yang boleh dipinjamkan sementara. Sekarang YB Dr Ramli Mamat adalah Exco Kerajaan Kelantan. 

“Wheel chair tu, ambo ada Dr Man, tapi buruk sangat. Dok tergamok nak bagi pinjam ko Ustaz…” jawab Dr Ramli. 

“Ginilah…Dr Man tolong cari dengan supplier, kosnya biar ambo bayar,” Dr Ramli menawarkan khidmatnya bila saya maklumkan, yang nak guna wheel chair itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

“Tak apa Dr Li, terima kasih banyak-banyak. Bukan masalah kos. Cuma masa semput sangat, takut tak sempat nak cari.” 

Lantas saya menelefon beberapa orang pembekal peralatan perubatan. Alhamdulillah, seorang daripadanya memiliki barang yang saya hajati ini. Ada lagi masalahnya, sekarang beliau berada di luar Kelantan dan hanya akan sampai balik ke Kota Bharu menjelang tengah malam. 

“Tak apa… tengah malam atau dinihari, bila sampai call saya, saya akan pergi ambik!”

Syukur kepada Allah, hajat seorang ulama yang sebenarnya terlalu murah nilainya dapat saya tunaikan. Apa sangat nilai kerusi roda RM300 untuk kegunaan seorang mujahid sejati yang sedang keuzuran ketika itu.

Sebenarnya Almarhum Ustaz Harun sudah lama uzur sebelum dari Muktamar PAS tahun 2010 lagi. Tapi beliau tetap menggagahkan diri untuk hadir walaupun ucapannya dibacakan oleh Timbalannya. Seingat saya yang masih agak baru di dalam saf kepimpinan PAS dan menjadi perwakilan ke Muktamar, hanya Almarhum seorang yang berada di atas pentas dalam keadaan berkerusi roda.

Pernah kedengaran di telinga saya orang yang merungut, “Ustaz Harun tu dah uzur, masih nak pegang jawatan lagi. Berilah kepada orang lain yang lebih sihat.” 

Saya menjelaskan dengan rasa sedikit terkilan atas anggapan sebegitu. 

“Kita selalu bangga bila menceritakan perjuangan Syeikh Ahmad Yassin yang berkerusi roda dan memimpin Hamas berhadapan dengan Israel sehingga syahid. Kenapa kita tidak boleh bangga dengan Ustaz Harun yang berkerusi roda tetapi masih sedia berjuang. Sepatutnya awak yang sihat malu dengan diri awak sendiri. Tubuh saja sihat, tetapi dengan kesihatan yang awak ada, mana bahagian untuk Islam?”

Bagi saya, insan hebat sepertinya, bukan setakat berkerusi roda, kalau terbaring di tempat tidur pun, kita masih perlukan buah fikirannya sekalipun jasadnya sudah tak berdaya. Lemahnya sekujur jasad seorang pejuang di jalan Allah adalah kerana tenaga yang telah dicurahkan demi untuk melihat syariat Allah ditinggikan.

Buat Almarhum Tuan Guru Datuk Harun Taib… Pulanglah kepangkuan Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Dengan rahmat Allah, kamu adalah dalam kalangan hamba yang soleh dan tempatmu adalah di syurga.

KENANGAN MANIS BERSAMA AL-MARHUM TG. HARUN TAIB TIDAK AKAN DILUPAKAN- RAJA ISKANDAR

 
Ustaz Harun Taib nama yang sering menjadi sebutan oleh ahli PAS. Pandangan pedas dan tegas. Saya mula mengenali ayahanda Ustaz Harun secara dekat sejak mula bertugas sebagai Pegawai di Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) pada tahun 1998. (Penulis berbaju batik)

Rata-rata orang ramai apabila disebut nama Ustaz Harun Taib seperti menikus kecuakan. Mungkin dari raut wajah dan pakaiannya kelihatan seperti seorang yang garang. Tapi itu adalah persepsi sahaja bagi siapa yang tidak mengenalinya. 

Ketika itu kebanyakan kami petugas di pejabat DPPP menjadikan konsep “pejabatku rumahku”. Maka sememangnya segalanya di Markaz PAS Taman Melewar. Pejabat DPPP terletak di tingkat atas manakala Pejabat Dewan Ulama Pas pula terletak tingkat bawah. Selalunya almarhum Ustaz Harun akan bermalam di pejabat DUPP setiap kali selepas mesyuarat DUPP atau Jawatankuasa Harian PAS Pusat. Maka tiap kali almarhum tidur di pejabat, maka menjadi kelaziman kami akan diajak  makan tengah malam. Faiz Nawi, Fadli Ghani dan Yusapiza adalah ahli minum malam tetap bersama almarhum. Wajah garang yang sering diwar-warkan tidak langsung terbit apabila kami bersama. Banyak sangat perkara kami berkongsi tatkala keluar minum malam. 


Apabila Allah beri kemenangan kepada PAS memerintah Terengganu, ayahanda Ustaz Harun dilantik menjadi Exco Pendidikan dan Dakwah Kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tatkala itu saya merasakan mungkin suasana akan berubah, almaklumlah almarhum sudah menjadi Exco Kerajaan Negeri, kereta Mercedes model lama berlampu petak bertukar kepada kereta Mercedes masterpiece Exco, tetapi ternyata sangkaan saya dan sahabat meleset apabila masih mendapat panggilan telefon beliau mengajak kami untuk minum malam bersamanya. Banyak perkara kami kongsi terutama pandangan saya sebagai petugas parti terhadap kerajaan Terengganu yang almarhum sebagai salah seorang Exconya. Saya antara yang sering berkomunikasi dengannya, mungkin kerana atas sifat saya sebagai Setiausaha Politik Ketua Pemuda ketika itu.

Tahun 2003, saya mengambil keputusan untuk meneruskan pelajaran saya ke peringkat PhD ke Manchester. Antara pimpinan yang menghubungi saya menyokong hasrat itu adalah Ustaz Harun. Beliau juga berhasrat untuk menghantar anaknya sendiri ke United Kingdom bagi menimba ilmu di sana.

Setelah saya berada di bumi UK hampir 5 bulan. Tiba-tiba telefon saya berdering, terpapar nombor tidak dikenali dari Malaysia. Apabila saya jawab," Assalamualaikum Raja, Harun ni." Saya pelik.. ish sapa pulak Harun ni, jawab saya, " Harun mana ni", barulah dia balas Ustaz Harun. Malu rasanya bila tak kenal suaranya. Tapi itulah Ustaz Harun tidak pernah memperkenalkan diri dengan gelaran Datuk atau Ustaz kepada sesiapa yang dijumpainya. Panggilan telefon tadi rupanya nak memaklumkan kepada saya bahawa dia nak hantar sejumlah pelajar anak Terengganu bagi melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Pesannya pada saya, tolong tengok-tengokkan mereka setibanya di UK.

Sepanjang saya di UK, rumah saya adalah antara rumah persinggahan tetap pimpinan PAS. Antara yang sering dan wajib singgah adalah Ustaz Harun sendiri. Nasi lemak ayam masakan isteri saya antara kegemarannya. Kambing panggang antara makanan kegemarannya juga yakni saya selalu membawanya ke kedai kebab Pakistan di Cheetham Hill.

Setiap kali Ustaz Harun bertandang ke UK, sudah pasti kami menganjurkan program bersamanya. Jika tempohnya kehadirannya lama, maka program tamrin kami aturkan untuk dikongsi dengannya.

Saya antara yang gembira jika Ustaz Harun datang menziarahi anak-anaknya di UK. Pernah sekali Ustaz Harun meluangkan masanya selama 6 jam bermula 8 malam hingga 2 pagi ketika musim sejuk berdiskusi dan bertukar pandangan dengannya. Hanya saya dan dia tanpa gangguan di rumah anaknya di Wigan kira kira 40 minit perjalanan dari Manchester. Begitu juga ketika Ustaz Harun menziarahi anaknya di Birmingham pada musim bunga. Saya tak lepaskan peluang bertemu dengannya bagi mendapat isu terkini dan penjelasan isu semasa terutama selepas PRU12.

Selepas saya pulang ke tanah air. Antara pimpinan yang saya hubungi  sudah pastinya ustaz Harun Taib. Seperti biasa, nasihat dan pandangan dihembuskan kepada telinga saya sebagai kekuatan penerus perjuangan. Selepas dipilih dalam muktamar 2009 sebagai Exco dan ditaklifkan sebagai Exco Antarabangsa DPPP. Ustaz Harun adalah salah seorang guru antarabangsaku, Ustaz Harun antara yang disegani oleh dunia islam. Gerakan Ikhwan Mesir terutamanya memanggilnya Maulana Harun Tayyib sebagai menghormati ilmu dan kepimpinannya. Tatkala beliau ke UK, saya antara yang mengiringi beliau dalam pertemuan dengan pihak luar.

Semasa menjadi Naib Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Harun sering menghubungi saya bagi mendapatkan penjelasan bagi beberapa tindakan saya terutama isu DAP. Begitu juga selepas muktamar baru ni, Ustaz Harun antara yang sering menasihati saya agar terus istiqamah. Kali terakhir saya bertemu ayahanda ustaz Harun ketika mesyuarat PAS Pusat bulan Januari di KUIZM dan itulah kali terakhir tangannya ku cium. Semoga ciuman terakhirku menjadi azimat perjuanganku. Selamat jalan ayahandaku. Moga Allah tempatkan ayahanda ustaz Harun dikalangan yang terpilih.

AL-FATIHAH...

Penulis adalah Penolong Setiausaha Agung PAS merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Perak.

KU NAN SUDAH BANKRAP IDEA..RON 95 UNTUK GOLONGAN MISKIN !

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) berkaitan cadangan menjual bahan api RON 95 hanya untuk golongan miskin.

Menurutnya, kenyataan itu disifatkan satu lagi cakap-cakap pemimpin kerajaan yang sudah bankrap idea untuk melihat mekanisme yang terbaik bagi meringankan beban rakyat selepas mereka sendiri yang mencetus punca kenaikan kos sara hidup rakyat.

Baginya, itulah satu lagi cakap-cakap pemimpin kerajaan yang melalut dan pekak badak. 

“Mereka tak fahamkah masalah dan keluhan rakyat rakyat di bawah yang mana melihat harga minyak RON 95 itu sendiri pada masa ini sudah begitu mahal yang telah naik dari masa ke semasa,” katanya pada sidang media di Markas PAS Derga, dekat sini semalam.


Tambahnya, tidak adil untuk mengklasifikasikan penggunaan kenderaan itu berdasarkan kereta berkuasa kuda kecil atau besar. 

“Orang kaya sendiripun mungkin mempunyai beberapa buah kereta termasuk kereta kecil. Kalau kereta kecil maka mereka pun layak membeli minyak RON 95," jelasnya.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat itu lagi, isu pokok yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan ialah harga bahan api di negara ini khusunya RON 95 sudah cukup membebankan rakyat, bukan sahaja golongan miskin malahan kepada seluruh rakyat.

"Tengku Adnan kena ingat, kalau dia guna kaedah orang kaya guna RON 97 dan  orang miskin guna RON 95, orang kaya ni kebanyakannya adalah golongan pengusaha atau peniaga.

"Bila golongan ini pula terbeban, mereka akan memindahkan beban itu kepada golongan pengguna di peringkat bawah termasuk golongan miskin. Maka bebanan ini akan berterusan dan bertingkat-tingkat," katanya lagi.

PEMERGIAN TG. HARUN TAIB ADALAH KEHILANGAN BESAR KEPADA PAS- TG. MURSYIDUL AM.

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kembalinya Ketua Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib ke rahmatullah sebagai satu kehilangan besar kepada PAS. 

“Semoga Allah SWT merahmati para ulama yang telah pergi dan menggantikan mereka dengan barisan ulama yang tidak kurang hebatnya untuk memikul amanah tanggunggjawab memimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS), insya Allah,” tulis beliau di facebook awal pagi ini.

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz, almarhum sempat bersama-samanya di dalam saf kepimpinan Dewan Ulamak semasa beliau memikul tanggungjawab sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dahulu.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat yang berterusan ke atas roh beliau,” ujarnya. 


Sesungguhnya, kata beliau almarhum merupakan tokoh yang banyak berjasa khususnya di dalam memimpin Dewan Ulamak PAS Pusat. 

AL-FATIHAH BUAT TUAN GURU USTAZ HARUN TAIB...KEMBALI KE RAHMATULLAH.

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam ini.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

 
“Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat  insya Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala,” ujarnya lagi.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut.

KERAJAAN UMNO/BN SEMAKIN MERAPU..RON 95 UNTUK SI MISKIN ?

KUALA LUMPUR: Rakyat bakal sekali lagi menjadi mangsa penipuan kerajaan apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) mengumumkan dasar harga baru RON95 akan berkuatkuasa pada Mei atau Jun tahun ini.

Dengan menggunakan alasan 'memastikan semua subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia yang layak', satu mekanisma akan diperkenal yang membolehkan hanya golongan susah mendapat subsidi petrol. 

“Gesaan ini pasti menimbulkan kegelisahan kepada golongan pertengahan apabila pemansuhan subsidi RON95 menjadi agenda sebenar,” ujar Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduann dalam satu kenyataan.

Justeru, tegasnya SAMM menolak sebarang usaha kerajaan menaikkan harga petrol RON95 walau dengan apa pun alasan. 


Katanya, rakyat sudah cukup menderita dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup yang melambung dan berita pemotongan subsidi ini sangat tidak membantu meredakan keresahan rakyat.

Tambahnya, SAMM percaya mekanisma bakal disusun akhirnya menjadikan rakyat Malaysia dipaksa tunduk kepada kerajaan. 

“SAMM jangkakan rakyat akan diarah memohon kad subsidi dan hanya yang bergaji tertentu sahaja layak memiliki kad tersebut. 

“Pada tahun 2011, Ismail Sabri ketika itu menjadi menteri bertanggungjawab pernah mencadangkan penggunaan mykad sebagai token pengantara untuk menikmati subsidi petrol,” katanya lagi. 

Apa pun mekanismanya, ujar beliau SAMM menyeru kerajaan melihat kembali bagaimana ketirisan besar berlaku dalam agihan subsidi kepada nelayan. 

“Jika ketirisan subsidi diesel untuk nelayan tidak mampu dibendung, bagaimana pula agihan subsidi terhadap belas juta pemandu di Malaysia?” tanya beliau.

Rakyat, katanya seolah-olah terpaksa mengemis di bumi sendiri untuk sesuap subsidi.

Ini, katanya kerana pengagihan subsidi ini juga akan menjadi sebuah lagi 'BR1M' yang memaksa rakyat akur terhadap pemerintah sampai bila-bila.

“Cukup sudah duga-menduga perasaan rakyat, SAMM yakin kali ini rakyat akan bangkit secara luar biasa setelah pemerintah tidak henti-henti mempermainkan rakyatnya. Lebih ramai yang akan memilih jalanraya, dan mungkin Putrajaya,” katanya.

Khamis, 23 Januari 2014

KALI KE BERAPA PUN DAH TAK INGAT..BANYAK SANGAT KEMALANGAN NI.

USTAZ MISBAH KEMALANGAN RINGAN KETIKA MAHU MENGHADIRI MESYUARAT PAS NEGERI AHAD LALU.

Kemalangan kecil dan lari itu berlaku ketika beliau menaiki motorsikal menuju ke Pejabat Perhubungan PAS Negeri Perak, hanya alami luka dan kecederaan kecil.

IPOH, 19 Jan- Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Misbahul Munir bin Masduki telah terbabit dalam kemalangan kecil di sebatang jalan di Ipoh. Beliau yang menaiki sebuah motorsikal jenis EX5 menuju ke Pejabat Perhubungan PAS Negeri Perak dikatakan mengekori sebuah teksi yang berada di hadapannya. Secara tiba-tiba teksi tersebut dikatakan membelok ke arah kiri setibanya di persimpangan jalan.

Lantaran itu, Ustaz Misbah yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh yang berada dibelakang teksi tersebut tidak sempat mengelak dan menghentikan motorsikalnya lalu melanggar bahagian belakang teksi itu. Ekoran ensiden itu, beliau terjatuh dan terbabas ke tepi jalan. Namun beliau hanya mengalami kecederaan ringan dan luka luaran serta mendapat rawatan luar di Hospital Ipoh.

Teksi yang terlibat sebaliknya terus meninggalkan Ustaz Misbah berada di lokasi kejadian tanpa berhenti dan memberi bantuan.

Terdahulu sebelum ini, beliau juga pernah terlibat dalam beberapa siri kemalangang jalan raya yang mengakibatkan kecederaan parah dan ringan. Menurutnya, beliau merasakan syukur kerana masih lagi diberikan kesihatan dan keselamatan oleh ALLAH SWT. Jelasnya lagi, ini lumrah kehidupan dan perjuangan dalam menegakkan syiar dan agama Islam. Bahkan kemalangan kali ini adalah kali keberapa pun beliau sendiri  tidak pasti.



NEGARA MAJU : RAKYAT HANYA JADI MANGSA IGAUAN STATUS TERSEBUT.

KUALALUMPUR: Impian status negara maju sepatutnya memberi nilai tambah kebahagiaan hidup kepada rakyat namun yang berlaku adalah sebaliknya, kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri (gambar).

“Hari ini ia menjadi igauan ngeri rakyat kerana mereka akhirnya menjadi mangsa yang mesti dikorbankan menerusi peningkatan kos sara hidup yang tidak terkawal,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Impian status negara maju sepatutnya memberi nilai tambah kebahagiaan hidup kepada rakyat namun yang berlaku adalah sebaliknya. Hari ini ia menjadi igauan ngeri rakyat kerana mereka akhirnya menjadi mangsa yang mesti dikorbankan menerusi peningkatan kos sara hidup yang tidak terkawal.

Empat bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (September), Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen. Sebulan selepas kenaikan itu (Oktober), harga pula dinaikkan sebanyak 34 sen. Menjelang tahun 2014 (Disember), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 4.99 sen.

Adakah ‘pakej kenaikan’ ini munasabah? 


Walaupun perbahasan kenaikan ini agak kompleks, cukuplah jika ia dikatakan adalah berpunca daripada polisi rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan beban kewangan awam demi untuk mengejar status negara maju dan berpendapatan tinggi 6 tahun lagi.

Kerajaan Malaysia menjadi umpama ketam mengajar anak berjalan betul. Jika kerajaan menyalahkan rakyat kerana sikap dan gaya hidup menyebabkan tekanan kewangan peribadi, maka tabiat buruk yang sama sebenarnya diwarisi daripada kerajaan.

Persoalannya, beban kewangan negara yang sedang dipikul oleh kerajaan hari ini siapakah penyebabnya? 

Beban kewangan awam adalah akibat daripada pengurusan kerajaan yang tidak pruden. 

Mengapa perbelanjaan tambahan 2012 diluluskan sebanyak RM12.17 bilion pada pertengahan tahun lalu? 

Mengapa ketirisan yang didakwa oleh Menteri Kewangan Kedua dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 berjumlah RM1.5 bilion? 

Mengapa hutang kerajaan konsisten meningkat dari tahun 2001 sehingga mencapai kemuncak paling tinggi pada tahun 2012 iaitu RM502.4 bilion bersamaan 53.7% daripada KDNK? 

Setiap rakyat menanggung hampir RM17,000. 

Mengapa indeks komposit FTSE Bursa Malaysia jatuh sebanyak 22.46 mata pada Julai lalu? 

Mengapa dalam tempoh yang hampir sama, nilai ringgit ditutup pada kadar paling rendah berbanding dolar Amerika sejak 3 tahun lalu?

Tiba masanya rakyat bangkit menolak polisi dan dasar ekonomi membebankan yang sedang dilaksana dan dipraktikakan oleh kerajaan. 

Pilihanraya masih jauh. Namun ia tidak bererti rakyat perlu berdiam diri dan tunduk pada apa yang berlaku. 

Protes sekurang-kurangnya di alam maya perlu digerakkan menggambarkan ketidakpuasan hati rakyat. Kerajaan perlu diberi peringatan oleh rakyat!

jambori amal kuala kangsar 2008