BANYAK pihak meragui keupayaan kepimpinan baharu Pas Perak yang diterajui Razman Zakaria kerana terdiri daripada muka-muka baharu dan hanya mengekalkan beberapa muka lama.

Malah, ketika Razman diumum sebagai Pesuruhjaya Pas Perak menggantikan Abu Bakar Hussain, ada pihak yang berpandangan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin lebih layak menjawat jawatan itu.

Bagaimanapun, jika dilihat secara mendalam dan secara keseluruhan, gandingan kepimpinan kali ini boleh dikatakan serba lengkap untuk Pas Perak.

Melihat kepada ahli jawatankuasa baharu yang dipilih, hala tuju Pas Perak dilihat menjurus kepada pemantapan dalaman parti.

Pemilihan Razman yang juga Yang Dipertua Pas Lenggong mungkin berdasarkan penglibatan beliau dengan masyarakat melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa).

Jadi, tidak hairanlah salah satu daripada empat bidang keberhasilan utama Pas Perak termasuklah menguasai segmen masyarakat melalui NGO.

Di samping itu, Razman yang juga berlatarbelakangkan golongan profesional memecahkan pandangan luar bahawa golongan ulama atau agamawan mendominasi kepimpinan Pas di negeri ini.

Bagi jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, tiga individu yang dilantik sememangnya layak memegang jawatan berkenaan berdasarkan hala tuju mereka pada penggal ini.

Biarpun dilihat Pas Perak menumpukan usaha pemantapan dalaman parti, kerja-kerja ke arah pilihan raya yang menjadi perkara penting tidak diabaikan.

Pemilihan Adun Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Timbalan Pesuruhjaya sebagai tindakan tepat.

Dengan pengalaman sebagai menteri besar yang pernah berhadapan dengan krisis politik Perak selepas PR hanya memerintah selama 11 bulan, khidmat Mohammad Nizar masih ditagih.

Seorang lagi timbalan pesuruhjaya, Idris Ahmad, pemilihan beliau dilihat lebih tertumpu pada usaha memantapkan tarbiah selain hubungan erat beliau dengan jawatankuasa Pas Pusat.

Sebagai individu yang sebelum ini banyak terlibat dengan Pas Pusat, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mampu mencorakkan sesuatu dalam kepimpinan Pas Negeri.

Idris juga bukanlah asing dalam Pas Perak kerana sebelum ini pernah menerajui Pas Bukit Gantang dan pernah menjadi calon pilihan raya kecil Dun Changkat Jering pada tahun 1995.

Pengalaman beliau ketika menjadi AJK Pas Pusat pada penggal lalu pastinya mahu diguna pakai Pas Perak bagi memantapkan parti itu.

Bagi Noh Ahmad (timbalan pesuruhjaya 3), beliau bukan asing dalam Pas Negeri kerana merupakan antara orang lama yang kembali semula dalam saf kepimpinan tertinggi Pas Negeri.

Yang Dipertua Pas Lumut itu sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Perhubungan Pas Negeri ketika zaman Tuan Guru Sabran Asmawi sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Pilihan raya Negeri Perak dan seangkatan dengan Ketua Dewan Ulama Pas Perak, Kamaruddin Awang Bakri dan Ketua Penerangan Pas Perak, Misbahul Munir Masduki.

Namun, kehadiran beliau tidak begitu menonjol memandangkan tumpuannya lebih kepada kerja pengurusan sistem parti.

Jadi, gandingan Pesuruhjaya dan Timbalan Pesuruhjaya untuk penggal 2013 hingga 2015 memberikan tumpuan kepada kekuatan dalam parti yang diterjemahkan sendiri melalui bidang keberhasilan utama yang diumumkan Pas Perak sebelum ini iaitu pertama, memenangi PRU14; kedua, mengemas kini pentadbiran dan pengkalan data parti; ketiga, mengukuhkan kedudukan kewangan parti dan terakhir, memperkasakan ukhuwah jemaah.

Gandingan Razman bersama ketiga-tiga timbalannya mungkin tidak begitu agresif seperti mana pimpinan sebelum ini tetapi usaha ke arah memantapkan pengurusan parti yang menjadi tumpuan akan berjaya dilaksanakan.