pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Sabtu, 25 Januari 2014

KALAU DI PALESTIN ADANYA SYEIKH AHMAD YASSIN, DI MALAYSIA ADANYA TG. HARUN TAIB..

“Dr… Minta maaf, ana nak menyusahkan doktor sikit,” suara sahabat baik saya, Haji Hassan Wahid yang berkhidmat sebagai pembantu peribadi Almarhum Ustaz Datuk Harun Taib kedengaran di hujung talian telefon sehari sebelum menjelang Muktamar Tahunan PAS ke-56 pada Jun 2010 yang berlangsung di Kota Bharu.

“Silakan Haji… kalau ana boleh tolong, insya Allah ana bantu,” jawab saya penuh rasa ukhuwwah dan persahabatan.

“Macam ni Dr, klinik Dr ada tak kerusi roda. Ustaz nak pinjam untuk guna masa Muktamar nanti. Kerusi roda yang guna di rumah sekarang dah rosak,” pinta sahabat saya ini.

“Ooo…minta maaf, kerusi roda tu tak ada di klinik sekarang. Tapi Haji jangan bimbang. Serah pada ana, ana akan cari sampai dapat. Esok bila dah sampai di Kota Bharu, call ana dan mari ambik kerusi di klinik.”

Kalau tak silap saya, masa tu dah petang hari khamis. Esoknya Jumaat semua kedai tutup. Saya terus menelefon Dr Ramli Mamat, sahabat baik yang memiliki sebuah klinik di Wakaf Che Yeh untuk bertanya kalau-kalau beliau memiliki sebuah kerusi roda yang boleh dipinjamkan sementara. Sekarang YB Dr Ramli Mamat adalah Exco Kerajaan Kelantan. 

“Wheel chair tu, ambo ada Dr Man, tapi buruk sangat. Dok tergamok nak bagi pinjam ko Ustaz…” jawab Dr Ramli. 

“Ginilah…Dr Man tolong cari dengan supplier, kosnya biar ambo bayar,” Dr Ramli menawarkan khidmatnya bila saya maklumkan, yang nak guna wheel chair itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

“Tak apa Dr Li, terima kasih banyak-banyak. Bukan masalah kos. Cuma masa semput sangat, takut tak sempat nak cari.” 

Lantas saya menelefon beberapa orang pembekal peralatan perubatan. Alhamdulillah, seorang daripadanya memiliki barang yang saya hajati ini. Ada lagi masalahnya, sekarang beliau berada di luar Kelantan dan hanya akan sampai balik ke Kota Bharu menjelang tengah malam. 

“Tak apa… tengah malam atau dinihari, bila sampai call saya, saya akan pergi ambik!”

Syukur kepada Allah, hajat seorang ulama yang sebenarnya terlalu murah nilainya dapat saya tunaikan. Apa sangat nilai kerusi roda RM300 untuk kegunaan seorang mujahid sejati yang sedang keuzuran ketika itu.

Sebenarnya Almarhum Ustaz Harun sudah lama uzur sebelum dari Muktamar PAS tahun 2010 lagi. Tapi beliau tetap menggagahkan diri untuk hadir walaupun ucapannya dibacakan oleh Timbalannya. Seingat saya yang masih agak baru di dalam saf kepimpinan PAS dan menjadi perwakilan ke Muktamar, hanya Almarhum seorang yang berada di atas pentas dalam keadaan berkerusi roda.

Pernah kedengaran di telinga saya orang yang merungut, “Ustaz Harun tu dah uzur, masih nak pegang jawatan lagi. Berilah kepada orang lain yang lebih sihat.” 

Saya menjelaskan dengan rasa sedikit terkilan atas anggapan sebegitu. 

“Kita selalu bangga bila menceritakan perjuangan Syeikh Ahmad Yassin yang berkerusi roda dan memimpin Hamas berhadapan dengan Israel sehingga syahid. Kenapa kita tidak boleh bangga dengan Ustaz Harun yang berkerusi roda tetapi masih sedia berjuang. Sepatutnya awak yang sihat malu dengan diri awak sendiri. Tubuh saja sihat, tetapi dengan kesihatan yang awak ada, mana bahagian untuk Islam?”

Bagi saya, insan hebat sepertinya, bukan setakat berkerusi roda, kalau terbaring di tempat tidur pun, kita masih perlukan buah fikirannya sekalipun jasadnya sudah tak berdaya. Lemahnya sekujur jasad seorang pejuang di jalan Allah adalah kerana tenaga yang telah dicurahkan demi untuk melihat syariat Allah ditinggikan.

Buat Almarhum Tuan Guru Datuk Harun Taib… Pulanglah kepangkuan Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Dengan rahmat Allah, kamu adalah dalam kalangan hamba yang soleh dan tempatmu adalah di syurga.

Tiada ulasan:

Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008