pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Isnin, 31 Julai 2017

PAS PERAK TERUS KOMITED MENDEKATI RAKYAT, SEDIA MEMERINTAH

PAS Perak Komited Mendekati Rakyat



Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria telah menyatakan beberapa persediaan PAS Perak untuk berhdapan dengan Pilihanraya Umum 14. Berikut adalah pandangan yang diberikan beliau.
Situasi di Negeri Perak mempunyai iklim politik berbeza dengan negeri-negeri yang lain kerana ia dibezakan dengan komposisi kaum.
Oleh kerana itu, pendekatan di Perak harus berbeza dalam memenangi hati pengundi.
Pendekatan pilihanraya di Perak mengambil kira kepentingan semua kaum yang sebahagianya hampir seimbang. Bukan bermakna segala polisi dan dasar parti kita pinggirkan semata-mata memenangi pengundi yang tidak Islam. 

Komposisi kaum yang pelbagai etnik ini adalah peluang yang terbaik untuk PAS perkenalkan Islam sebagai penyelesai terhadap kemelut ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya.

Transformasi politik hendaklah dijelaskan kepada rakyat bahawa Islam adalah terbaik untuk semua.
Ruang yang ada mesti diambil kesempatan untuk semua peringkat parti menganjurkan program silang budaya, dialog peradaban agama, forum antara agama, ziarah mahabbah ke gereja, kuil dan tokong. 

Setiap perkara yang berkaitan dengan pendekatan politik hendaklah bersifat untuk memenangi hati rakyat.

Pimpinan parti bermula di peringkat negeri hingga cawangan hendaklah merakyat bersama kehidupan rakyat, menyelami permasalahan rakyat, memberi harapan kepada rakyat, dan menjiwai setiap nadi dan denyut rakyat.
Menyantuni rakyat dalam kontek hubungan etnik hendaklah merentasi batasan kaum dan agama, semua rakyat adalah sasaran dakwah kita.
PAS bukan sahaja parti politik tetapi juga gerakan dakwah. Semua petugas PAS adalah pegawai pemasaran kepada parti, produk utama yang kita hendak pasarkan adalah Islam yang memberi rahmat dan adil untuk semua.
Santuni dan dekatilah rakyat dengan mempelbagaikan pendekatan dakwah yang berkesan. Semua pintu rumah hendaklah diziarahi oleh PAS samada untuk menyalurkan bantuan, menyampaikan maklumat, bertanya khabar dan sebagainya.
Dalam pilihanraya, semua rakyat dan pengundi adalah sasaran kita.
PAS HULURKAN SUMBANGAN KEPADA WAK SANAH

Wak Sanah Ucapkan Terima Kasih dan Menghargai Keprihatinan Pihak PAS Kawasan Bagan Datoh

Seorang ibu tunggal yang lebih dikenali mesra panggilan Wak Sanah yang tinggal di Tebuk Hj. Husin, Sg. Tiang Darat meluahkan rasa syukur kerana terselamat daripada menjadi korban setelah rumah yang dihuninya terbakar pada Khamis ( 27 Julai 2017 ) lalu. 


Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 malam dipercayai akibat kesan kerosakkan litar pintas, menyebabkan seluruh rumah Wak Sanah habis hangus dijilat api. Namun beliau sempat menyelamatkan diri setelah menyedari kehadiran api yang marak menyala di dalam rumahnya.

Semalam, pihak PAS Kawasan Bagan Datoh yang diwakili oleh Yang Dipertua ( YDP ) Kawasan, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki telah berkesempatan menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada Wak Sanah. Turut bersama ialah anggota Jabatan AMAL Kawasan Bagan Datoh membantu mengemas tapak rumah tersebut.

Dalam ziarah itu, Wak Sanah mengucapkan jutaan terima kasih dan juga menghargai sumbangan pihak PAS serta semua pihak yang sudi membantu sekali gus meringankan sedikit bebanan dan ujian menimpanya.





PRESIDEN PAS : BERILAH PELUANG KEPADA ISLAM

BERILAH PELUANG KEPADA ISLAM


Seluruh agama dan ideologi menentang kemungkaran di semua peringkat dan lapangan, sama ada peringkat individu, keluarga, masyarakat sehinggalah alam sekitar, atau melibatkan sistem kehidupan, politik, ekonomi dan lain lain. Hanya segelintir manusia yang berfikir diluar tabie dan menganut fahaman seperti falsafah Mazdak atau Zoroaster di Zaman Parsi Purba atau golongan yang dikenali Hippie di zaman kini. Mereka menghalalkan semuanya di atas nama kebebasan tanpa batas dan menjadikan manusia yang berakal lebih bodoh dan lebih ganas daripada binatang. Mereka berpegang kepada konsep kebebasan yang salah sehingga terbabas melampaui batas atau konsep persamaan dalam semua perkara tanpa melihat adanya sudut fitrah dan kemampuan yang berbeza.
Manusia yang berkonsepkan fitrah ciptaan Allah dilantik berperanan di bumi dan menjadi pilihan Allah dikalangan makhluk-Nya. Walaupun mereka berbeza agama dan ideologinya, namun tetap menerima hakikat wajib adanya undang-undang yang dapat mengawal keharmonian individu, keluarga dan masyarakat yang kecil dan besar, sehingga peringkat antarabangsa diadakan undang-undang dan mahkamah. Bukan sahaja memelihara keselamatan manusia dan keharmoniannya, bahkan alam sekeliling, termasuk menjaga binatang dan alam sekitar yang luas. 
Ibnu Khaldun yang diiktiraf oleh semua dan menjadi Bapa Ilmu Ijtima’ (sosiologi), menegaskan bahawa manusia itu bukan sahaja bernalurikan fardiah (individualistik), bahkan mereka juga bersifat secara naluri bermasyarakat dan madani. Malangnya ramai kalangan ilmuan barat mengambil pandangan Ibnu Khaldun secara tidak sempurna dengan meninggalkan aspek Islam yang dinyatakan, khususnya naluri spiritual yang tidak putus dengan rukun kehidupan manusia.
Ini ditegaskan oleh Islam mengikut huraian ilmu Maqasid Syariah, dinamakan menjaga maslahah yang berkait dengan perkara yang menjadi rukun keperluan manusia mengikut fitrahnya iaitu wajib menjaga agama (mengikut takrif Al-Din), nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta. Rangkaian rukun-rukun ini membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Ada maslahah yang ditetapkan oleh Allah secara fitrah seperti perkara wajib, halal dan haram. Ada juga yang ditetapkan oleh akal yang lemah, maka dibatalkan oleh Islam, seperti menyalahgunakan arak dan dadah untuk ketenangan, begitu juga menghalalkan judi kerana ekonomi dan pelancongan, kerana mudaratnya lebih besar.
Allah menciptakan manusia dengan jati diri yang lengkap, adanya jasad, akal dan roh yang bercirikan individu berpancaindera. Berbeza dengan makhluk yang lain, termasuk para malaikat yang paling taat kepada Allah, tetapi naluri para malaikat itu bersifat rohani tanpa jasad, tiada nafsu dan keperluan dan tidak layak menjadi khalifah di bumi. Berbeza pula dengan binatang, ada nafsu tanpa akal dan makhluk beku yang tidak bergerak sendiri.
Ternyata kita menghadapi gejala negatif yang berleluasa dalam masyarakat kini, bermula daripada masalah peribadi seperti keruntuhan moral, jenayah kecederaan, jenayah yang merosakkan akal seperti gejala dadah yang menjadi wabak masyarakat, wabak keganasan rumahtangga sehinggalah kesalahan pemerintah yang melakukan kemungkaran dan kezaliman, salah urus tadbir, rasuah dan lain-lain, ditambah pula dengan gejala melampau di peringkat negara-negara besar dan maju dengan kekayaan harta yang melimpah ruah dan pembangunan kebendaan yang pesat sehingga mahu mencakar langit dan meneroka angkasa lepas. Namun, semuanya gagal mengatasi masalah yang dialaminya.
Walaupun semua agama mengharamkan segala kemungkaran tersebut, tetapi agamanya tidak lengkap kerana berpisah daripada urusan duniawi, khususnya dalam urusan berpolitik. Selain itu juga, semua ideologi pemerintah dan pembangkang bersepakat menentang kemungkaran, tetapi tetap terpisah daripada agama dan bertuhankan kebendaan sahaja.
Semua negara menguatkuasakan undang-undang sendiri, termasuk Kerajaan Komunis di Korea Utara yang paling ganas menjatuhkan hukuman bunuh terhadap pesalah kecil. Apa kurangnya undang-undang hukuman mati terhadap kesalahan dadah dikebanyakan negara termasuk Malaysia. Ada Negara Komunis yang menghukum mati terhadap pesalah rasuah dan lain-lain, hukuman yang sangat keras, tetapi gagal mengatasinya. Terdedah pula dengan undang-undang berkonsepkan sarang labah-labah yang hanya bertindak ke atas golongan yang kecil dan lemah sahaja, namun golongan yang berkuasa bebas mengatasi undang-undang dan penyangak besar bermaharajalela melakukan jenayah yang lebih parah dan besar kesannya kepada masyarakat dan negara.
Ternyata kelemahannya apabila didapati tidak memenuhi semua aspek naluri manusia, memisahkan di antara satu sama lain dan tidak seimbang di antara jasad, roh, akal, individu, keluarga, masyarakat dan hubungannya dengan Allah Tuhan Pencipta Alam dan makhluk lain yang diamanahkan kepada manusia supaya mengurusnya.
Allah memberi amaran:
“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)
Adapun Islam wajib dilihat dan difahami dari segi ajarannya secara menyeluruh, merangkumi keperluan fitrah dan naluri, wajib dilaksanakan sepenuhnya dengan sempurna dan tidak memisahkan di antara aqidah, syariat, akhlak dan nizam (sistem urusan kehidupan). Islam pernah berjaya di zaman keemasannya beberapa abad, sehingga penjenayah bertaubat atau menyerah diri tanpa ditangkap. Bukan dilihat kepada penganut Islam hari ini yang sudah terpesong daripada Islam yang sebenar, akibat dipengaruhi fahaman sekularisma dalam politik dan ekonomi serta berbagai-bagai ideologi dan teori bukan Islam yang memisahkan agamanya dengan cara hidup, atau melaksanakan Islam yang tidak sebenar tanpa menyeluruh dan tanpa feqah (berilmu dan faham) terhadap seluruh ajaran Islam dan cara pelaksanaannya yang sempurna itu.
Perlu difahami juga perbezaan Islam dengan agama lain dan ideologi ciptaan manusia, apabila Rukun Iman atau aqidah adalah asas penting ajaran Islam dan pelaksanaannya yang tidak ada pada yang lain. Aspek ini bergantung rapat dengan hati sanubari dan akal manusia yang menggerakan jasadnya mengikut perhitungan dosa dan pahala yang berkait dengan kepercayaan kepada Allah dan Hari Pembalasan, adanya balasan selepas kematian dan di Hari Akhirat yang lebih mencabar daripada kehidupan dunia. Kalau terlepas di dunia kerana ada kuasa atau pandai menipu, namun tidak selamat selepas kematian dan dihukum dengan lebih keras di Hari Akhirat.
Apabila aspek tersebut tidak ada dalam agama dan ideologi lain atau teori ciptaan manusia, menyebabkan tiada perhitungan dosa dan pahala dan tiada  kepercayaan adanya balasan selepas kematian dan Hari Akhirat dalam urusan dunia yang tidak ada kaitan dengan ibadat yang menjadi urusan dengan Allah. Semua urusan dunia dianggap tiada kaitan dengan Allah.
Agama yang lain daripada Islam memisahkan urusan dunia dengan agamanya sehingga melemahkan aspek rohani dengan amalan jasad, hanya perhitungan dunia sahaja tanpa balasan di Hari Akhirat. Walaupun ada agama yang memberi penekanan dalam aspek rohani sehingga mahu meletakkan manusia seperti malaikat dengan mengharamkan kepada paderi atau saminya berkahwin, berpakaian lengkap dan makanan yang lazat. Namun gagal manghalang nafsu yang menjadi naluri manusia.
Islam menegaskan bahawa peranan manusia bukan sahaja menerima hukuman di dunia, bahkan ada lagi Mahkamah Allah di Hari Akhirat yang Maha Adil. Walaupun Allah Maha Mengetahui, Maha Mendengar dan Maha Melihat, namun Mahkamah Allah di Hari Akhirat itu dibawa saksi daripada jasad diri sendiri dan para malaikat dengan catatannya yang termasuk dalam Rukun Iman. Hukumannya pula keras dan menyeksakan.
Firman Allah:
“Pada Hari itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yaasin: 65)
Namun, Islam menggalakkan konsep taubat sebelum meninggal dunia atau pengampunan di luar mahkamah alam dunia. Kalau sudah dihukum di dunia akan dibebaskan daripada hukuman Akhirat. Allah meluaskan pintu taubat kepada orang yang beriman dan bertukar menjadi budiman. Pintu taubat itu dibuka seluas-luasnya sehingga hampir saat kematian apabila nyawa sampai di kerongkong dan matahari naik dari arah barat.
Rasulullah SAW mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai ketika berlakunya peristiwa Fathu Makkah yang berjaya membebaskan Kota Makkah daripada kuasa jahiliyah, termasuklah kalangan yang disenaraikan penjenayah besar apabila mereka menyerah diri dan bertaubat. Keadaannya berbeza dengan kejayaan revolusi-revolusi di negara dunia moden sama ada Kapitalis, Sosialis dan Komunis. Kemenanganya memakan korban yang sangat besar dan menggerunkan, di mana hukumannya lebih berkonsepkan dendam, kerana tiada kawalan batasan dosa dan pahala dan menggalakkan taubat dan pengampunan berpahala seperti ajaran Islam.
Keadaan di negara kita Malaysia sudah ada asas untuk kembali kepada Islam seperti sebelum kedatangan penjajah yang merosakkannya, kerana kejayaan generasi awal pejuang kemerdekaan telah meletakkan Islam di dalam perlembagaan negara. Adapun konsep pentadbiran dan kehakiman warisan Inggeris pula lebih terpengaruh dengan Islam hasil pemikiran para Orientalis yang mengkaji Islam, tetapi dicacatkan kerana dibuang roh aqidah dan iman yang menjadi teras kepada syariat Islam. Mereka juga meninggalkan dalam perlembagaan kita fasal-fasal sampingan yang menghalang pelaksanaan Islam yang tidak menjadi dasar kepada perlembagaan negara. Kalau selepas kemerdekaan telah dilakukan beberapa pindaan yang tertentu kerana ada kepentingannya, juaranya pula sudah meninggalkan kerajaan.
Ketepikan golongan yang mewarisi penjajah itu yang sengaja diletakkan supaya menjadi penyakit dan penghalang kepada islah yang wajib diperjuangkan. Ketepikan juga mereka yang mempertahankan kegagalan sistem penjajah walaupun keadaannya semakin bertambah parah. Sesungguhnya kembali kepada kebenaran Islam adalah lebih baik daripada berterusan dalam kesalahan dan dosa.
Firman Allah:
“Dan segeralah kamu kepada  keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang dapat menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (134) Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya) (135) Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (136)” (Surah Ali-Imran: 133-136)

“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Zulkaedah 1438H / 29 Julai 2017

Sabtu, 29 Julai 2017

DPPN PERAK : TAMPIL UNTUK TAWARAN ANAK MUDA

Pemuda PAS Perak Tampil Untuk Tawaran Anak Muda


Perubahan landskap pentadbiran Negeri Perak perlu direalisasikan demi melihat masa depan anak muda di negeri ini mampu diterjemahkan melalui Pilihanraya Umum 12 akan datang.
Justeru Pemuda PAS Perak tampil untuk memberikan tawaran khas untuk anak muda .Tiada janji kosong yang diungkapkan, bukan retorik yang dijanjikan, Pemuda PAS Perak meletakkan azam seandainya PAS memerintah di Perak, nasib dan hak anak muda Perak akan kami perjuangkan. DPPN Perak meletakkan asas pendidikan, ekonomi dan sara hidup, perumahan juga sukan sebagai tawaran buat anak muda.
Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin dalam temubual khas berkaitan persediaan PAS Perak menghadapi PRU 14 .
Beberapa tawaran yang direncanakan Pemuda PAS Perak sekaligus bakal menjadi manifesto dalam PRU akan datang.
Tawaran tersebut seperi berikut :
1.Perancangan Pendidikan 
2.Ekonomi dan Sara hidup 
3.Keperluan Perumahan
4.Pembangunan Sukan Anak Muda


1.Perancangan Pendidikan

Ilmu merupakan asas yang sangat penting bagi kehidupan. Melalui pelaburan ilmu, memberi pulangan yang besar kepada sesebuah kerajaan. Keputusan peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM secara tidak langsung menjadi ukuran prestari pendidikan negeri, maka perkapita sekolah khususnya sekolah agama bawah kerajaan negeri harus ditingkatkan.
Melalui peruntukan yang lebih tinggi, dapat memastikan infrastruktur dan kelengkapan sekolah dapat ditambahbaik sekaligus memberi keselesaan untuk menuntut ilmu.
Sehubungan dengan itu juga, DPPN Perak melihat keperluan menaiktaraf Sekolah Menengah Agama Negeri (SARJANA, SERATA, IZZUDIN). Malahan sekolah ini juga akan terus dipertahankan dibawah kerajaan negeri Perak dan tidak diletakkan bersama SABK. Selain itu, DPPN Perak memandang serius kondisi Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan.
Dalam perkembangan pendidikan pelajar SMTDR yang saban tahun semakin mendapat keputusan cemerlang, status menumpang bagi 4 buah SMTDR perlu diselesaikan segera.
Kita meletakkan matlamat untuk memastikan 4 buah sekolah ini dibangunkan dan tidak lagi menumpang dengan mana-mana sekolah. Turut diambil perhatian berkenaan dengan Sekolah Agama Rakyat di Perak yang perlu dibantu bagi membangunkan infrastruktur yang lebih baik.
Pemuda PAS Perak juga melihat keperluaan menaiktaraf kedudukan Maahad Tahfiz Perak yang kini menumpang di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). Maahad Tahfiz yang melahirkan huffaz di negeri Perak ini perlu diiktiraf sebagai sebuah kolej universiti yang bernaung terus dibawah kelolaan Negeri Perak.
Penubuhannya sudah lama namun masih menumpang di INTIM dan perlu mengambil peperiksaan di Darul Quran. Seandainya hasrat murni ingin menaiktaraf Maahad Tahfiz Perak kepada Kolej Tahfiz Perak dengan kompleks pendidikan tersendiri dapat dilaksanakan, nescaya semakin ramai para huffaz al-quran yang mengamalkan kandungannya dapat dilahirkan.
Dalam masa yang sama, DPPN Perak mengikuti rapat perkembangan pembangunan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Seharusnya USAS menjadi tapak melahirkan cendiakawan dan ilmuwan anak Perak yang boleh kembali berbakti kepada pembangunan negeri Perak. Maka kebajikan pelajar melalui yuran pembelajaran juga penginapan, serta keselesaan pembelajaran melalui infrastruktur yang baik harus diberi penekanan.
Malahan istilah Islam yang ditarik keluar dari nama asalnya KUISAS seharusnya tidak menjadi penghalang suburnya nilai Islam di kampus dengan akhlaq dan pengamalan ajaran Islam.
Pembudayaan ilmu dengan sinergi tenaga pengajar dari dalam negara dan jemputan khas pensyarah pelawat luar negara sebulan sekali dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mahasiswa.

2.Ekonomi dan Sara hidup

Mendepani peningkatan kos sara hidup, PAS telah mengambil langkah dengan mengeluarkan suatu kaedah penyelesaian melalui buku “Dokumen Hijau” dalam menyelesaikan permasalahan ekonomi negara. Dokumen Hijau menjadi panduan ketika pentadbiran negeri Perak oleh PAS kelak.
Dalam masa yang sama, DPPN Perak juga melihat beberapa perkara penting yang perlu diperjuangkan. Antara tawaran yang ingin disediakan adalah pemerkasaan zakat dan wakaf negeri Perak.
Bagaimana kerajaan negeri dan Pusat berkempen untuk membayar cukai pintu dan GST, malahan sampai tahap mencari bersungguh-sungguh jika tidak dibayar. Itulah yang seharusnya dilaksanakan bagi menarik pembayar zakat melaksanakan ibadah mereka. Malahan kempen wakaf terutamanya wakaf korprat harus digerakkan.
Dalam masa yang sama, perlaksanaan kaedah pemberian juga harus lebih mesra dan lebih mudah. Seandainya ini dapat dilaksanakan dan hasil negeri semakin bertambah, cukai GST dapat dihapuskan dari membebankan rakyat.
Selain itu, dalam membantu meringankan beban golongan muda yang ingin berkahwin, kita akan mengenakan kadar sewa yang jauh lebih rendah dari kebiasaan bagi dewan-dewan dibawah kelolaan majlis daerah.
Malahan program perkahwinan perdana bagi setiap daerah turut akan dilaksanakan. Melalui pendekatan ini dapat mengurangkan kos belanja kahwin dan mengurangkan kadar kemaksiatan dan zina di Perak.
Mendepani isu pengangguran dan migrasi penduduk negeri Perak ke luar negeri, Pemuda PAS Perak merasakan keperluan tawaran dan peluang pekerjaan yang lebih banyak. Malahan usaha menarik pelabur asing membuka kilang dan syarikat harus dipergiatkan.
Tambahan juga, pemberian pinjaman tanpa faedah buat belia yang ingin membuka perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) dan bantuan juga latihan menjadi usahawan tani dalam memanfaatkan tanah pertanian di Perak dapat diadakan.
Pancing yang diberi bukan sekadar BR1M yang menjadi umpan. Kebajikan guru KAFA dan guru subjek Azhari juga menjadi perhatian Pemuda PAS Perak dalam tawaran yang ingin disediakan. Elaun semasa yang diterima masih dilihat tidak setimpal dengan pengorbanan dan jasa yang diberikan oleh guru-guru .
Sehubungan dengan itu, penstrukturan elaun dengan penambahan elaun dan penyelarasan kemasukan elaun yang tetap seperti kemasukan gaji kakitangan kerajaan akan dilaksanakan. Dalam masa yang sama, elaun bagi guru dakwah dan takmir juga perlu dipertimbangkan untuk dinaikkan.
Malahan bilangannya juga perlu ditambah terutamanya dalam usaha dakwah kepada masyarakat orang asal yang memerlukan bimbingan para asatizah.
Dalam masa yang sama, kerajaan Negeri Perak perlu lebih memperkasakan “research & development” dalam membangunkan ekonomi negeri.
Pemuda PAS Perak menjanjikan kumpulan teknokrat yang “competent” untuk melakukan pembangunan dan penyelidikan bagi membawa Perak kearah lebih maju dan berdaya saing.
3.Keperluan Perumahan
Anak muda kini berdepan dengan hambatan kewangan yang keterlaluan. Ini termasuk dengan situasi tanah yang semakin tinggi harganya, menyebabkan anak muda kini tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Ditambah dengan permasalahan kegagalan membuat pinjaman perumahan lebih meranapkan impian anak muda memiliki rumah dibawah usia 40 tahun.
Justeru itu, Pemuda PAS Perak bertekad memastikan rumah mampu milik yang pertama dapat dimiliki oleh semua anak muda di Perak.
Perlaksanaan pembinaan perumahan dibawah seliaan kerajaan negeri perlu dipantau agar pembinaannya siap tepat pada masanya. Dalam masa yang sama, konsep sewa beli bagi rumah mampu milik boleh dilaksanakan.
Melalui konsep ini, belia di Perak InshaAllah dapat memiliki rumah sendiri dengan kadar tanggungan yang tidak terlalu membebankan dalam tempoh yang tidak capai usia warga emas mereka.
4.Pembangunan Sukan Anak Muda
Sukan merupakan platform dekat kepada anak muda. Perkembangan sukan di Perak kini semakin baik.
Kejayaan Khairul Idham Pawi dalam sukan permotoran dan terbaru kemenangan pasukan Perak dalam “Sepak Takraw League” sangat membanggakan.
Namun begitu ianya tidak selari dengan sukan-sukan yang lain di Perak terutamanya sukan bola sepak yang tidak pernah mencapai kejuaraan Piala Malaysia hampir 17 tahun.
Perbalahan dalaman menimbulkan kegusaran dan marah penyokong. Dengan kebangkitan The Boss Gaurus, pemecatan Karl Heinz Weigang dilihat sangat tidak wajar dan hanya memuaskan hati segelintir pihak berkepentingan tanpa memikir kesan kepada pemain dan semangat para penyokong.
Pemuda PAS Perak memandang serius pada perkembangan bola sepak dan bidang sukan lain di Perak.
Suntikan modal, pemilihan jurulatih juga pemain, pemulihan stadium, gelangang-gelangang, kolam renang dan velodrum, serta kelengkapan infrastruktur menjadi keutamaan Pemuda PAS Perak dalam mentadbir kelak.
Malahan pembangunan sukan dan program cungkil bakat di sekolah dan universiti perlu digiatkan lagi.

USTAZ HJ. IDRIS AHMAD : WAKTU BERKUASA, BUATLAH APA SAHAJA !


Waktu Berkuasa, Buatlah Apa Sahaja.
Hj Idris Hj Ahmad
Naib Presiden PAS
28/7/17 



Buatlah apa sahaja waktu kita berkuasa. Sapu apa yang ada. Buat pekak ja apa orang hendak gelar. Apa yg penting anak pinak dan kroni kita kaya dan kenyang. TV kita kuasai. Media yg garang, kita beri amaran. Kita ada kuasa, siapa berani lawan kita. Lawan sahaja kita sumbat jel. Buat demo, sembur dengan gas FRU. Apa cadangan pembangkang kita tolak. Siapa yang tidak undi kerajaan, ini pelampau kaum dan pelampau agama. Ini hujah apabila ada kuasa Lebih-lebih lagi memang sudah lama berkuasa. Kalau boleh hendak mati sambil berdiri di dalam pejabat Perdana Menteri. 

Apabila kita tidak ada kuasa maka macam- macam pula kita kritik dan balun orang yang sedang berkuasa kerana masalah peribadi, bukan maslahat rakyat. Pada hal ini semua produk yang dihasil oleh acuan yang sama. Acuannya ialah apabila berkuasa, bukan hendak laksanakan amanah kepada rakyat tetapi untuk tunjuk aku yang paling berkuasa. 

Begitu murah nilai politik di negara ini. Perut sudah kenyang, kroni sudah kaya. Sekarang berpesta pula maki hamun orang yang kita benci kerana masalah peribadi. Sewaktu berkuasa dahulu berapa ramai rakyat dizalimi. Berapa ramai kontraktor bankrap akibat pilih kasih. Berapa ramai kakitangan kerajaan tidak naik pangkat dan ditukar tempat kerja. Berapa banyak gas FRU yang disembur ketika demontrasi. Berapa ramai yang kena sepak ketika demo.

Oleh itu DS Najib tidak risau dengan maki hamun yang dihambur sekarang. Dia sudah ada guru yang mengajarnya. Nanti apabila sudah tidak jadi Perdana Menteri, maka naik atas pentas pembangkang balun pemimpin yang sedia ada pada waktu itu. . Ketika itu semua kesalahan selama ini akan suci seperti air mutlak, suci lagi menyucikan. 

Tidak perlu minta maaf dan mengaku kesilapan yang lampau. Akhirnya rakyat yang paling malang. Negara tidak diurus dengan baik, hutang pula bertimbun. Politik seperti ini akan mendatang musibah kepada anak kecil kita yang akan mewarisi negara. Betullah acuan baulu tidak akan hasil kueh kacang. Rakyat perlu tukar dasar, bukan orang. Kalau tidak, pi mai, pi mai tang tu ja. Sejahtera Bersama Islam.

Selasa, 25 Julai 2017

TIMBALAN PRESIDEN PAS : INSENTIF KEPADA FELDA SEBAGAI TANDA KIAN HAMPIR PRU 14

INSENTIF KEPADA FELDA PETANDA HAMPIRNYA PRU-14 : TIMBALAN PRESIDEN PAS
PAS menyambut baik pelbagai insentif kerajaan kepada peneroka Felda, dan ia adalah petanda hampirnya pilihanraya umum ke 14.
Sebahagian dari insentif itu akan melegakan peneroka buat seketika, sebelum ianya kembali kepada keadaan asal. Ia ibarat pesakit yang tengah sakit, akan merasa lega apabila diberi ubat penahan sakit.
Pemberian insentif khas sebanyak RM5,000 diterima dengan penuh rasa syukur. Alangkah baiknya kalau pemberian begini dilaksanakan setiap tahun sambutan Hari Peneroka, lebih beruntung kalau ada pilihanraya kecil di kawasan Felda, tentu banyak lagi anugerah yang akan menhujani peneroka.
Manakala sebahagiannya yang lain adalah perisa tambahan bagi menyedapkan makanan. Secara asasnya, budaya menganugerahkan pelbagai pemberian menjelang PRU masih menjadi budaya kerajaan Umno-BN.
Insentif kepada Felda bukanlah lahir dari kajian teliti bagi mengatasi pelbagai masalah rakyat secara mampan. Akibatnya, ia akan hanya menimbulkan pelbagai permasalahan yang lain.
Sebagai contoh, tindakan kerajaan melupuskan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.
Keputusan itu melahirkan suara kekesalan dari sesetengah peneroka yang berjaya melangsai segala hutang mereka. Apakah mereka tidak layak diberi ganjaran sebagaimana kerajaan memberi ganjaran kepada pemimjam hutang pembelian saham FGV?
Kalau kerajaan sanggup memberi kepada 1,626 peneroka yang telah melangsaikan bayaran saham FGV dengan ganjaran tunai RM1,820, bagaimana pula dengan para peneroka yang berjaya melunaskan hutang dengan Felda mengikut jadual?
Memberi anugerah hanya kepada peneroka yang menyerahkannya kepada Felda adalah sesuatu yang sangat tidak adil kerana sekalipun mereka membuat pilihan untuk menanam sendiri, segala hasil ladang mereka juga dihantar ke kilang Felda dan potongan hasil terus dilaksanakan.
Sementara itu, langkah memberi kelulusan kepada warga Felda bagi mendirikan lebih dari sebuah rumah di atas satu tapak adalah satu pengakuan kerajaan secara tidak rasmi akan kegagalannya dalam menyediakan perumahan untuk generasi kedua sebagaimana diwar-warkan sebelum ini.
Apapun, PAS menyokong langkah ini meskipun ia sesuatu yang sepatutnya dibuat dari awal.
Susulan itu, saya menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan tindakan menyekat bekalan eletrik kepada kedai atau rumah kediaman yang berlaku di wilayah Jengka diharap dapat ditarik balik serta-merta. Tindakan zalim ini bukan sahaja menyekat peluang generasi kedua mencari rezeki, bahkan menyebabkan warga asing dilihat menerima layanan dan kemudahan yang lebih baik dari generasi kedua dan ketiga Felda.
Apapun pemberian anugerah ini, PAS percaya ia tidak akan menjadikan warga Felda menjadi penyambung tali hayat Umno. Kebangkitan warga peneroka sejajar dengan majunya teknologi maklumat tidak mampu dibendung lagi dengan pemberian-pemberian sebegini setiap kali menjelang pilihanraya.
Warga peneroka akan bangkit untuk masa depan warga Felda yang lebih berjaya. Dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak didarab dengan kesedaran politik dan semangat perubahan yang kini ditunjukkan oleh warga Felda khasnya generasi kedua dan ketiga, mereka sedar bahawa pelbagai anugerah ini hanya datang apabila Umno berada di dalam keadaan tersepit atau memerlukan undi mereka.
Apakah anugerah terbaik untuk para peneroka? Berdikari, dan diharap berubah ke PAS, dan kita sama-sama membangun dengan Islam.
Seperti kata Almarhum Tuan Guru Dato Nik Aziz, Pas lebih gemar menggunakan pendekatan ilmu dalam mengajak orang ramai berkumpul, sebaliknya Umno didakwa menggunakan pendekatan mengagihkan wang untuk menarik perhatian rakyat.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
24 Julai 2017

TG. PRESIDEN PAS : SERUAN SELAMATKAN AL-AQSA

SERUAN SELAMATKAN AL-AQSA

Berita terkini negara haram Israel sedang mengganas di Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya, yang menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum Ka’abah, tanah suci ketiga bagi umat Islam selepas Kota Suci Makkah dan Madinah, destinasi Israk Rasulullah S.A.W. dan bermulanya Mikraj apabila dijemput menjadi tetamu Allah. Peristiwa yang wajib diimani oleh umat Islam, kerana kisahnya dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis yang sahih lagi mutawatir.
Bumi dan sekelilingnya dinamakan bumi para anbia’ yang dimuliakan semuanya oleh umat Islam, Kristian dan Yahudi. Mengikut Islam bukan hanya Musa dan Isa sahaja yang disanjung. Maka, umat Islam menjadi pemegang amanah yang dapat memeliharanya dengan baik dan memberi hak kepada penganut semua agama yang memuliakannya, khususnya penganut Yahudi dan Kristian, sejak Islam membebaskannya daripada penjajahan Rom Byzantine yang menyekat pihak yang lain yang tidak seagama dan semazhab.
Allah berfirman:
“Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” (Surah Al-Hajj: 40)
Kini tanah suci ini ditakluk oleh Zionis Yahudi dengan sokongan Zionis Penjajah Barat melalui Perjanjian Balfour yang telah genap 100 tahun peristiwanya. Langkah yang ditentang juga oleh Mazhab Ortodok Yahudi (Natorikarta) yang berpegang dengan kitab Taurat yang asal mengharamkan penubuhan negara itu, kerana menjadi sebab berkuburnya bangsa Yahudi.
Namun, kalangan Zionis yang fanatik perkaumannya tetap berjuang bagi menegakkan negara impian keagungan bangsa Yahudi bersimbolkan Empayar Nabi Sulaiman yang menakluk dunia. Dengan menguasai ekonomi, mereka berjaya menguasai politik dan media, khususnya di negara besar seperti Amerika dan kebanyakan negara Eropah, sehingga memaksa semua pemimpinnya menyokong Israel dan melindunginya yang dikemukakan dalam setiap kempen pilihanraya dan setelah berkuasa sehinggalah melindungi negara haram itu melalui pertubuhan  antarabangsa, serta menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dan mempengaruhi Mahkamah Antarabangsa untuk menjaga keselamatan Israel dan menjaga pengkalan tentera barat yang ditempatkan disekitarnya.
Malangnya negara umat Islam khususnya negara Arab yang berkedudukan geografi, demografi dan menguasai sumber kekayaan bumi dan tenaga manusia gagal menghadapi cabaran yang membahayakan Masjid Al-Aqsa yang diancam sehingga untuk dirobohkan bagi mendirikan di atas runtuhannya Kuil Yahudi yang dinamakan Haikal Sulaiman.
Paling malang dan melucukan lagi, ketika penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitarnya sanggup mempertahankan Tanah Suci itu dengan senjata si miskin atau tangan kosong, tiba-tiba negara Arab yang kaya-raya itu menganjurkan Sidang Kemuncak Riyadh bersama Presiden US Donald Trump dengan dijemput sama pemimpin negara Islam, menyusuli Sidang Kemuncak Negara Teluk sebelumnya bersama PM British Teresa May.
Seterusnya diisytiharkan pula Resolusi Riyadh, dikatakan tanpa kehadiran kebanyakan para pemimpin yang hadir kerana sudah pulang. Resolusinya penubuhan Nato Al-Islam yang bertujuan menghadapi bahaya Iran, bukannya Israel. Adapun pelaksanaannya pula mengepung Qatar yang kerdil, bukannya Iran. Oleh sebab Qatar menyokong Hamas yang dikira pengganas kerana berjihad hanya di Palestin dan memerintah Gaza melalui pilihanraya secara demokrasi, tetapi dikepung dan dipotong segala kemudahan sehinggalah eletrik. Sebabnya juga kerana Qatar menyokong Ikhwan Muslimin yang menang pilihanraya secara demokrasi di Mesir tetapi dirampas kuasa dan Presidennya Dr. Muhamad Morsi daripada Ikhwan dipenjarakan dan dikenakan hukuman mahkamah bertubi-tubi. Apakah maksud itu semua, sehingga Masjid Al-Aqsa dan Palestin dilupakan?
Malangnya pula, media barat menyebarkan maklumat banyak negara Arab itu sedang mengurat negara haram Yahudi Israel yang menggodanya. Sudah ada perjumpaan secara senyap dan terbuka, bahkan sudah banyak yang telah mengadakan hubungan diplomatik dan ekonomi untuk membina kekayaannya.
Di samping sudah banyak duit yang dihabiskan kerana berperang di Syria, Iraq, Yaman, Libya dan mungkin ada lagi yang akan dinyalakan untuk membakar duitnya. Siapa yang menang menjadi arang dan siapa yang kalah menjadi abu, yang kenyangnya ialah negara barat yang masih menjadi tuan dalam percaturan yang berlaku.
Apakah yang berlaku menyatakan bermulanya sabda Rasulullah S.A.W? 
“Kecelakaan bagi bangsa Arab kerana kejahatan yang menghampiri mereka” (Diriwayatkan oleh Bukhari 138/4 no. 3346, Muslim 2207/4 no. 2880)
Dimanakah Liga Arab yang ditubuhkan kerana menentang penjajah? Dimanakah pula OIC yang ditubuhkan oleh Sidang Kemuncak Negara Islam kerana pelampau Yahudi membakar Masjid Al-Aqsa?
Keadaan terkini lebih besar daripada seorang Yahudi yang membakar Masjid Suci itu, disebabkan kerajaan haram itu menyekat umat Islam dan melindungi pelampau Yahudi yang sebahagiannya bersenjata.
Walaupun kita percayakan janji Allah dan Rasul-Nya bahawa kesombongan Yahudi akan menguburkan mereka dan mereka sedang menggali kuburnya, tetapi kewajipan kita di hadapan Allah wajib ditunaikan.

“Sejahtera Bersama Islam”
 ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 30 Syawal 1438H / 24 Julai 2017M

Isnin, 24 Julai 2017

KUIZM TAWAR PELUANG ISTIMEWA UNTUK LEPASAN TAHFIZ, PONDOK, SPM & SMU UNTUK SAMBUNG DIPLOMA


"KUIZM TAWAR PELUANG ISTIMEWA UNTUK LEPASAN TAHFIZ, PONDOK, SPM & SMU UNTUK SAMBUNG DIPLOMA"
Anda telah dapat keputusan SPM / STPM? Atau anda memiliki sijil akademik seperti SMA / SMU / 4 Thanawi / STAM? Atau mungkin anda pemegang Sijil Syahadah Tahfiz 30 Juzuk / lepasan pondok?
Tidak tahu di mana nak sambung belajar peringkat Diploma yang berkualiti dengan yuran yang berpatutan?
Atau anda menanti panggilan untuk menyambung pengajian dari mana-mana IPT & mencari kursus persediaan untuk mengukuhkan Bahasa Arab & Bahasa Inggeris?

Jangan risau!!

Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak dengan ini membuka peluang kepada anda semua untuk menyambung pengajian peringkat diploma pengambilan sesi Ogos 2017 dan Kursus Persediaan Ke IPT (Bahasa Arab & Bahasa Inggeris).

Tarikh Tutup : 24 Julai 2017
Tarikh Pendaftaran Masuk : 1 Ogos 2017 (Selasa)

KUIZM menawarkan pengajian seperti berikut:
1. DIPLOMA MUAMALAT & KEWANGAN ISLAM
2. DIPLOMA DAKWAH & KOMUNIKASI
3. Kursus Persediaan Ke IPT (Pengukuhan Bahasa Arab & Bahasa Inggeris) / Pra Diploma
------------------------

=>>> NAK DAFTAR SEGERA?
?Whatsapp "DAFTAR KUIZM" ke --> www.wasap.my/60124275616
Atau klik link berikut : www.kuizm.org/diploma

????????

=>>> KENAPA ANDA PERLU SAMBUNG DI KUIZM??
1) Kecemerlangan Akademik
===> Anda akan dihidangkan dengan sistem pembelajaran yang syumul merangkumi pengajian teori dan praktikal menggabungkan manhaj turath dan kontemporari.
2) Pembentukan Syakhsiah & Jati Diri
===> Anda akan menjalani proses pembinaan jati diri, akhlak dan syakhsiah. Oleh itu, disiplin dan komitmen anda dalam setiap aktiviti dan program akan diberi perhatian dan dinilai untuk memastikan objektif membina insan kamil tercapai.
3) Penerapan Tarbiah & Nilai Kepimpinan
===> Semua pelajar KUIZM diwajibkan mengikuti program tarbiah seperti usrah mingguan, ijtimak thalabah, tamrin, kem jati diri dan kepimpinan.
4) Kemahiran Tambahan Melalui Aktiviti Ko-Kurikulum
==> Anda akan dapat menyertai pelbagai aktiviti ko-kurikulum dijalankan untuk memberi nilai tambah istimewa kepada pelajar KUIZM seperti kelab IT, Seni Khat, Seni Silat, Perubatan Islam, Jabatan Amal dan banyak lagi.
5) Bimbingan Berterusan Daripada Profesional Industri
==> Anda juga diberi ruang sebagai pelajar KUIZM untuk terus ke medan untuk menerima nasihat dan bimbingan daripada profesional sama ada bidang Muamalat & Kewangan Islam juga bidang Dakwah & Komunikasi.
6) Peluang Melanjutkan Pengajian Ijazah Sarjana Muda
==> Para graduan Diploma KUIZM berpeluang menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda sama ada di TAZKIA University College of Islamic Economic Indonesia (Program 3 + 2) atau di Universiti Islam Negeri Raden Fatah, Palembang (Program 3 + 2). Selepas itu, mereka juga berpeluang menyambung MA & PhD di IPT dalam & luar negara.

????????

=>>> INFRASTRUKTUR KUIZM
Bilik kuliah yang selesa & kondusif
? Dewan Utama
? Asrama Lelaki & Perempuan
? Perpustakaan
? Surau
? Kafeteria
? Dataran Ilmu KUIZM
? Bilik Kegiatan Pelajar
????????
===>>> APA KATA IBU/BAPA GRADUAN & PELAJAR KUIZM?
:: Jom saksikan video temuramah Ibu/bapa yang telah membuat keputusan menghantar anak mereka di KUIZM.
(1) Bersama A-Fadhilah Ustazah Norhafizah Musa (Pendakwah/Personaliti TV) yang telah menghantar anak beliau di KUIZM pada pengambilan pelajar sesi Ogos 2016 lalu. Kini anak beliau berada di semester 2 pengajian Diploma Dakwah & Komunikasi dan sedang menghadapi peperiksaan bersama para pelajar lain.
Sila klik link ini : www.youtube.com/watch?v=k2OrF2N5IfI
(2) Bersama Al-Fadhil Ustaz Mokhtar Senik (Mudir Pondok An-Nur/Pendakwah). Anak beliau Saudari Mukminatul Hasanah, telah menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Dakwah & Komunikasi KUIZM dan kini sedang menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UIN Raden Fatah, Palembang.
Sila klik link ini : https://www.youtube.com/watch?v=HdY8B12J3hs&feature=youtu.be
(3) Bersama Al-Fadhil Ustaz Zakaria Nasirudin (Pengasas Kaedah Haraki : Belajar Al-Quran 7 Jam). Anak beliau Saudari Hananul Mardiah, telah menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Muamalat & Kewangan Islam KUIZM dan kini sedang menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Sekolah Tiggi Ekonomi Islam TAZKIA, Bogor, Jakarta, Indonesia.
Sila klik link ini : www.youtube.com/watch?v=YmmtZ6OJ7AM
(4) Bersama Ketua Jabatan Muamalat & Kewangan Islam KUIZM, Ustaz Azhar Yahya yang juga turut mempunyai anak iaitu saudara Ashraf Rifaie yang sedang dalam pengajian di semester 3 di KUIZM.
Sila klik link ini : www.youtube.com/watch?v=whUAf7pi8q0

==>> TESTIMONI ALUMNI KUIZM
1. Mohamad Helmi Bin Ismail, Graduan Diploma Muamalat & Kewangan Islam KUIZM 2013, Graduan Ijazah Sarjana Muda UIN Raden Fatah, Palembang. Kini bertugas sebagai Assistant Manager, Finance & Business Operation Division di syarikat Creztinno Technophiles Sdn Bhd.
“Sistem pendidikan KUIZM menggabungkan teori & praktikal ekonomi Islam serta mempunyai suasana yang baik dalam membentuk peribadi muslim sejati. Sungguh KUIZM merupakan tempat yang amat baik untuk membina generasi masa depan negara.”
2. Mohd Fikri B Sarzali, Graduan Diploma Dakwah & Komunikasi KUIZM 2014. Sekarang bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak.
"KUIZM memberikan saya kefahaman dakwah dan teknik komunikasi yang baik melalui pendekatan dan penyampaian para pensyarah. KUIZM membuatkan saya sedar betapa pentingnya Islam perlu disampaikan kepada masyarakat.”
3. Nurul Asyikin bt Md Azli, Graduan Cemerlang Diploma Dakwah & Komunikasi KUIZM 2015. Telah menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UIN Raden fatah, Palembang.
“Bukan hanya sekadar akademik yang ditekankan di KUIZM, malah saya dididik menjadi insan yang berilmu dan belajar bagaimana cara yang terbaik untuk mengaplikasikan ilmu tersebut.”
4. Nur Hannani Binti Ahmad, Graduan Diploma Muamalat & Kewangan Islam KUIZM 2014. Sekarang bertugas sebagai SUK Pasti Negeri Melaka.
"Sekarang adalah zaman perkembangan ekonomi Islam yang amat pesat. Di KUIZM, dengan pengalaman dan keikhlasan para pensyarah ditambah dengan kesungguhan para mahasiswa, pastinya akan menghasilkan para ilmuwan ekonomi Islam yang berkualiti pada masa akan datang.”
5. Fadhil Bin Ramli, Graduan Diploma Dakwah & Komunikasi KUIZM 2014. Bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir di KUIZM dan menjadi imam di Masjid Saad Abi Waqas.
"Di KUIZM bukan hanya diajar teori Dakwah dan Komunikasi di dalam bilik kuliah, malah bimbingan berterusan juga diberikan oleh badan-badan dakwah profesional kepada para mahasiswa”.

=>> BAGAIMANA UNTUK MEMOHON??
(1) Mohon secara online di www.kuizm.net/daftar
(2) Dapatkan borang permohonan di Pejabat Pendaftar KUIZM.
????????
NAK DAPATKAN MAKLUMAT LANJUT :
Sila klik link berikut : www.kuizm.org/diploma
TEL : 012-4275616 (Hotline), 03-61865616 (Pejabat)
FAKS :03-61857790
EMEL : info@kuizm.org
WEB : www.kuizm.org
????????

=>>> NAK DAFTAR SEGERA?
Whatsapp "DAFTAR KUIZM" ke --> www.wasap.my/60124275616

Atau klik link berikut : www.kuizm.org/diploma
"Generasi Murabbi Pemacu Ummah"

RAIKAN MAJLIS JAMUAN HARI RAYA PASTI TANJUNG BAYAN DAN JPRD HUTAN MELINTANG

RAIKAN MAJLIS JAMUAN AIDILFITRI PASTI TANJUNG BAYAN DAN JPRD HUTAN MELINTANG

Pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan ( DPPK ) Bagan Datoh Penuhi Jemputan Raikan Majlis Jamuan Aidilfitri 1438/ 2017

Walaupun sudah dipenghujung bulan Syawal, namun suasana dan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih meriah di sana sini. Tidak ketinggalan bagi PASTI Tanjung Bayan dan Jabatan Pilihanraya DUN Hutan Melintang untuk mengadakan majlis jamuan sempena Aidifitri pada tahun ini.






Pihak DPPK Bagan Datoh telah memenuhi jemputan majlis tersebut yang telah diadakan di PASTI Tanjung Bayan, Parit 24 Hutan Melintang pada petang semalam ( 23 Julai 2017 ).

Turut hadir sama meraikan majlis ialah Timbalan YDP, Tuan Hj. Mokheri Abdul Jalil, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Tuan Hj. Ata' Muniem Hasan Adli, Ketua DPPK, Ustaz Khairi Abdullah al-Ijie dan beberapa orang lagi pimpinan PAS Kawasan dan DPPK / DMPK.

Pelbagai juadah/menu dihidangkan buat para tetamu yang hadir. Tetamu adalah terdiri daripada ibu bapa murid PASTI, guru PASTI, masyarakat setempat dan juga para pimpinan peringkat cawangan dan JPRD Hutan Melintang.

Antara menu istimewa ialah kambing golek, nasi impit, nasi beriyani, kuih-muih, soto sup dan lain-lain lagi.






Sabtu, 22 Julai 2017

PAS KAWASAN BAGAN DATUK RAIKAN BAKAL JEMAAH HAJI

PAS RAIKAN PARA BAKAL JEMAAH HAJI 1438

Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan, Ustaz Yazid Antara Bakal Jemaah Haji Pada Tahun Ini

PAS Kawasan Bagan Datuk pada hari telah mengadakan sebuah majlis bagi meraikan para bakal jemaah haji yang berangkat ke Tanah Suci Kota Mekah tidak lama lagi. Majlis diadakan bertujuan meraikan para bakal jemaah disamping mendoakan kemudahan, kesejahteraan dan keselamatan sepanjang melakukan ibadah di Mekah dan Madinah.


Turut hadir pimpinan PAS Kawasan, Tuan Hj. Mokheri Abdul Jalil ( Timbalan YDP ), Tuan Hj. Shaarani Imani ( Naib YDP ), Ustaz Ahmad Jailani Abdul Hamid ( Bendahari ), Tn. Hj. Ata' Muniem Hasan Adli ( Ketua Penerangan ) dan beberapa lagi pimpinan PAS di peringkat DPPK dan DMPK.

Antara bakal jemaah haji yang hadir diraikan ialah Ustaz Mohd Yazid Abdul yang juga merupakan Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan, Ustaz Mohd Abdoh Sukrimun ( AJK PAS Kawasan ), Sdr. Azmi Hamdan, Sdr. Zulfa Abdul Malek ( AJK DPPK ), dan beberapa orang lagi.








jambori amal kuala kangsar 2008