pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 25 Julai 2017

TIMBALAN PRESIDEN PAS : INSENTIF KEPADA FELDA SEBAGAI TANDA KIAN HAMPIR PRU 14

INSENTIF KEPADA FELDA PETANDA HAMPIRNYA PRU-14 : TIMBALAN PRESIDEN PAS
PAS menyambut baik pelbagai insentif kerajaan kepada peneroka Felda, dan ia adalah petanda hampirnya pilihanraya umum ke 14.
Sebahagian dari insentif itu akan melegakan peneroka buat seketika, sebelum ianya kembali kepada keadaan asal. Ia ibarat pesakit yang tengah sakit, akan merasa lega apabila diberi ubat penahan sakit.
Pemberian insentif khas sebanyak RM5,000 diterima dengan penuh rasa syukur. Alangkah baiknya kalau pemberian begini dilaksanakan setiap tahun sambutan Hari Peneroka, lebih beruntung kalau ada pilihanraya kecil di kawasan Felda, tentu banyak lagi anugerah yang akan menhujani peneroka.
Manakala sebahagiannya yang lain adalah perisa tambahan bagi menyedapkan makanan. Secara asasnya, budaya menganugerahkan pelbagai pemberian menjelang PRU masih menjadi budaya kerajaan Umno-BN.
Insentif kepada Felda bukanlah lahir dari kajian teliti bagi mengatasi pelbagai masalah rakyat secara mampan. Akibatnya, ia akan hanya menimbulkan pelbagai permasalahan yang lain.
Sebagai contoh, tindakan kerajaan melupuskan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.
Keputusan itu melahirkan suara kekesalan dari sesetengah peneroka yang berjaya melangsai segala hutang mereka. Apakah mereka tidak layak diberi ganjaran sebagaimana kerajaan memberi ganjaran kepada pemimjam hutang pembelian saham FGV?
Kalau kerajaan sanggup memberi kepada 1,626 peneroka yang telah melangsaikan bayaran saham FGV dengan ganjaran tunai RM1,820, bagaimana pula dengan para peneroka yang berjaya melunaskan hutang dengan Felda mengikut jadual?
Memberi anugerah hanya kepada peneroka yang menyerahkannya kepada Felda adalah sesuatu yang sangat tidak adil kerana sekalipun mereka membuat pilihan untuk menanam sendiri, segala hasil ladang mereka juga dihantar ke kilang Felda dan potongan hasil terus dilaksanakan.
Sementara itu, langkah memberi kelulusan kepada warga Felda bagi mendirikan lebih dari sebuah rumah di atas satu tapak adalah satu pengakuan kerajaan secara tidak rasmi akan kegagalannya dalam menyediakan perumahan untuk generasi kedua sebagaimana diwar-warkan sebelum ini.
Apapun, PAS menyokong langkah ini meskipun ia sesuatu yang sepatutnya dibuat dari awal.
Susulan itu, saya menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan tindakan menyekat bekalan eletrik kepada kedai atau rumah kediaman yang berlaku di wilayah Jengka diharap dapat ditarik balik serta-merta. Tindakan zalim ini bukan sahaja menyekat peluang generasi kedua mencari rezeki, bahkan menyebabkan warga asing dilihat menerima layanan dan kemudahan yang lebih baik dari generasi kedua dan ketiga Felda.
Apapun pemberian anugerah ini, PAS percaya ia tidak akan menjadikan warga Felda menjadi penyambung tali hayat Umno. Kebangkitan warga peneroka sejajar dengan majunya teknologi maklumat tidak mampu dibendung lagi dengan pemberian-pemberian sebegini setiap kali menjelang pilihanraya.
Warga peneroka akan bangkit untuk masa depan warga Felda yang lebih berjaya. Dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak didarab dengan kesedaran politik dan semangat perubahan yang kini ditunjukkan oleh warga Felda khasnya generasi kedua dan ketiga, mereka sedar bahawa pelbagai anugerah ini hanya datang apabila Umno berada di dalam keadaan tersepit atau memerlukan undi mereka.
Apakah anugerah terbaik untuk para peneroka? Berdikari, dan diharap berubah ke PAS, dan kita sama-sama membangun dengan Islam.
Seperti kata Almarhum Tuan Guru Dato Nik Aziz, Pas lebih gemar menggunakan pendekatan ilmu dalam mengajak orang ramai berkumpul, sebaliknya Umno didakwa menggunakan pendekatan mengagihkan wang untuk menarik perhatian rakyat.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
24 Julai 2017

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008