pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 21 Januari 2014

WAHAI MAHATHIR..SAYANGNYA SEMUA SUDAH TERLAMBAT !


SUKA atau tidak, sama ada diturunkan atau turun dengan sendiri, Najib Razak akan menyertai Abdullah Badawi dalam senarai Perdana Menteri terburuk dalam sejarah negara ini.  Jika diwujudkan juga kategori Perdana Menteri paling tidak memberikan apa-apa sumbangan, maka senarai tersebut juga turut mengandungi mereka sebagai dua entri tunggal.
    
Dalam sejarah politik Malaysia, tidak ada Perdana Menteri yang tidak dikritik oleh pembangkang.  Fungsi pembangkang adalah untuk tujuan ‘semak dan imbang’ dan itulah yang dilakukan oleh semua parti pembangkang sejak pilihan raya umum (PRU) pertama lagi.

Namun apabila seseorang Perdana Menteri bukan sahaja dikritik oleh pembangkang tetapi turut mendapat kecaman dari majoriti rakyat termasuk dari mereka yang menyokong dan mengundi parti kerajaan sendiri, maka orang  tersebut (bukannya tokoh) sesungguhnya tidak layak menjadi pemimpin politik dan apatah lagi menjadi seorang Perdana Menteri.

Lebih buruk lagi ialah apabila seseorang Perdana Menteri dikecam dan dibalun oleh seorang bekas Perdana Menteri sebagaimana Dr. Mahathir Mohamad mengecam Pak Lah kerana gagal menunjukkan sebarang prestasi dan sama sekali tidak bijak dalam mengurus tadbir negara.


Tentu sekali Pak Lah merupakan orang pertama diabadikan dalam senarai disebut itu.  Kini bakal menyertainya tentulah tidak lain dan tidak bukan dari Najib Razak.

Lupakan tentang kangkung.  Bolehkah sesiapa menamakan  10 manfaat yang telah diberikan oleh Najib kepada rakyat dan negara.  Jika tak boleh sepuluh, mungkin boleh beri lima.

Rasanya lima pun susah.  Tapi sekiranya hendak disebut kelemahan dan mudarat kepada rakyat akibat keputusan yang dibuat atau tidak dibuat oleh Najib, rasanya bila-bila masa sahaja seseorang rakyat Malaysia yang waras boleh menyebut sepuluh, atau malah lebih dari itu.

Tidak dapat dipastikan apakah sifat atau perwatakan ‘menjanjikan’ yang dilihat oleh Dr. Mahathir ke atas Najib ketika meninggalkan wasiat kepada Pak Lah ketika mana mengambil alih jawatan Perdana Menteri.  

Dr. Mahathir mahukan Najib ditabalkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan mahukan Pak Lah menduduki pejabat utama Putrajaya untuk satu penggal sebelum menyerahkan pejabat tersebut kepada Najib.

Juga tidak dapat dipastikan juga dalam kesibukan membuat komen itu dan ini dan memfalsafahkan itu dan ini,  Dr. Mahathir sedar atau tidak betapa hirarki dan tradisi  penyokongan ke atas seseorang dalam Umno lebih banyak bersifat mengampu dari menilai kemampuan dan daya kepimpinan seseorang secara hakiki.

Jika dilihat sejarah penglibatan baik Pak Lah dan Najib dalam kerajaan (dan juga dalam Pemuda Umno dalam kes Najib) apakah ciri-ciri kepimpinan menyerlah yang telah dicatatkan oleh mereka berdua?  Tidak perlulah dibincangkan betapa tradisi mengampu yang sebati dalam Umno kini merosakkan bukan sahaja parti itu sendiri, malah juga orang Melayu, rakyat  dan negara Malaysia.

Sayang Dr. Mahathir tidak nampak hal seperti ini walaupun telah menjadi Presiden parti tersebut selama lebih dua dekad. Sekira nampak sekalipun, ia adalah sebagai satu ‘afterthought’ atau difikiran setelah sesuatu yang buruk berlaku.  Dalam lain perkataan sudah terlambat.

Akhir-akhir ini sudah mula kedengaran suara Dr. Mahathir mengkritik Najib sama ada selaku seorang Perdana Menteri mahupun sebagai seorang Menteri Kewangan.  Walaupun mantan Perdana Menteri itu sudah melakukan hal demikian secara lebih sederhana sejak 2011 lagi, namun sejak akhir-akhirnya kritikan beliau semakin lantang apabila Najib gagal memperolehi prestasi lebih baik dari Pak Lah dalam PRU lalu, dan apabila Najib gagal mengawal ekonomi negara dan pelbagai lagi.

Dr. Mahathir sering memetik kata-kata novelis Sepanyol  George Santayana, “Mereka yang gagal belajar dari sejarah akan berkali-kali dihukum oleh sejarah”.   

Persoalannya mengapakah beliau sendiri tidak pernah mahu mempelajari dari sejarahnya sendiri bermula dari perlantikan Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri?  

Bukankah apa yang berlaku kini dan Malaysia terpaksa diterajui oleh dua Perdana Menteri terburuk secara berturut-turut adalah akibat dari kegagalan Dr.Mahathir belajar dari sejarah?

Tiada ulasan:

Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008