pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 8 Ogos 2017

DR. RIDUAN : SYARIKAT PENERBANGAN MALAYSIA PERLU BEBAS ALKOHOL DALAM PESAWAT

SYARIKAT PENERBANGAN MALAYSIA PERLU BEBAS ALKHOHOL DALAM PESAWAT
(7 Ogos 2017)

1. Pendirian kerajaan untuk tidak menghalang cadangan syarikat penerbangan melarang hidangan minuman minuman beralkohol dalam pesawat seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan dalam satu kenyataannnya di Parlimen membuktikan bahawa kerajaan tidak bertegas dalam usaha mengharamkan alkohol dalam pesawat.

2. Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi alasan bahawa Kementeriannya tiada kuasa untuk mengharamkan hidangan arak dalam syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines serta tidak mempunyai peraturan atau garis panduan mengenai arak dalam penerbangan. Beliau berdalih dengan mendakwa bahawa syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAB) yang beroperasi ke pelbagai destinasi seluruh dunia dan membawa pelbagai jenis penumpang perlu memenuhi kehendak pelanggan mereka, khasnya kelas perniagaan dan kelas pertama.

3. Saya berpendapat, alasan beliau itu sangat lemah dan tidak boleh dijadikan sebab bahawa kerajaan tidak boleh mengambil tindakan tegas terhadap syarikat penerbangan negara. Jika ia sekadar keputusan komersial, dan terletak di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan, maka tugas kerajaan menguatkuasakan larangan tersebut dengan membuat peraturan atau garis panduan mengenai arak dalam penerbangan. Jika ia dijadikan peraturan negara, maka syarikat penerbangan yang beroperasi dalam negara ini perlu mematuhi peraturan tersebut.

4. Sepatutnya, kerajaan Malaysia menunjukkan contoh teladan terbaik kepada negara-negara lain khususnya dunia Islam bahawa Malaysia tidak sesekali boleh berkompromi dalam isu minuman arak terutama dalam pesawat. Terlebih lagi syarikat penerbangan Malaysia pernah mengalami pengalaman perit kehilangan pesawat MH 370 dan nahas MH17 beberapa tahun lalu. Meskipun tidak boleh dikaitkan antara arak dengan nahas atau kehilangan pesawat, namun bagi umat Islam, kita mengetahui kaitannya adalah dengan keberkatan perjalanan penerbangan yang diredhai oleh Allah SWT.

5. Bagi saya, kerajaan tidak perlu takut pelanggan akan lari jika tidak mengikut kehendak dan selera mereka kerana pelanggan melihat kepada servis atau pekrhidmatan yang diberikan. Banyak aspek lain boleh dinilai dalam maksud menyediakan perkhidmatan terbaik seperti seperti ketepatan jadual, pengurusan efisyen, layanan mesra, keselesaan, keselamatan, fasiliti dan lain-lain lagi. Tidak semestinya tanpa arak, pelanggan akan kecewa dan mencari syarikat lain. Bahkan, boleh jadi pelanggan akan lebih menyukai syarikat ini kerana aspek keselamatannya terjamin.

6. Larangan minuman beralkohol dalam pesawat adalah satu pendidikan kepada pelanggan bahawa pesawat bukanlah sebuah pusat hiburan atau kelab malam tempat untuk pelanggan melakukan apa sahaja yang dikehendaki. Pesawat adalah sebuah pengangkutan udara yang menumpangkan pelbagai kelompok penumpang dari bayi, kanak-kanak, wanita, lelaki ataupun warga emas. Ia adalah transit sementara untuk mengangkut pelanggan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Oleh itu, keselamatan penumpang dan pesawat adalah perkara utama yang tidak boleh dikompromi.

7. Lagipun, tiada jaminan minuman beralkohol yang dihidangkan boleh menjamin keselamatan penumpang. Banyak berlaku kes penumpang yang mabuk, mengamuk dan mencederakan atau memudaratkan penumpang lain. Malah, ada pesawat yang tergendala jadual penerbangan, mendarat cemas di lokasi lain yang mengancam penumpang lain.

8. Justeru, melihat kebaikan dan kelebihan bebas alkohol dalam pesawat, Malaysia pasti menjadi destinasi yang diidamkan dan pesawat-pesawat dari syarikat Malaysia menjadi pilihan utama pelanggan seluruh dunia.


DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Tiada ulasan:

Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008