Mat Sabu sedia debat dengan Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sedia berdebat dengan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu pejuang kemerdekaan, khususnya peristiwa Bukit Kepong.
Beliau berkata, selepas isu kontroversi ucapannya di Tasek Gelugor, 27 Ogos lalu, Muhyiddin banyak ‘menyerang’ beliau dalam ucapannya termasuk meminta supaya ‘bertaubat dan bertakwa’.
“Jadi eloklah saya bertemu dengan beliau sendiri. Tidak kiralah sama ada mahu berdebat, berdialog, atau berbincang, terpulang,” katanya pada sidang media, semalam.
Turut hadir dalam sidang media itu naib presiden, Salahuddin Ayub, setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali dan ketua penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, walaupun Khairy Jamaluddin mencabar beliau berdebat tetapi Ketua Pemuda Umno itu tidak banyak mengecamnya, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Muhyiddin adalah Ahli Parlimen Pagoh, yang mana kawasan itu berdekatan dengan Bukit Kepong.
“Saya pun mahu tanya dia (Muhyiddin) juga, di mana unsur saya perlu bertaubat. Sebab saya nak belajar juga dari tokoh ulama macam Muhyiddin Yassin,” sindir Mohamad.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata beliau akan menghantar surat jemputan berdebat kepada Muhyiddin pada minggu ini juga.
“Perlu ikut taraf, Timbalan Presiden Umno lawan Timbalan Presiden Pas. Jemputan itu akan diberikan dalam masa terdekat ini dan akan diserahkan kepada Ketua Penerangan Umno,” katanya.
Mengulas hasrat Kelantan untuk menganjurkan debat dengan Khairy, Mohamad berkata, beliau setakat ini belum menerima sebarang makluman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan