SUATU ketika Khalifah Harun ar Rashid telah meminta nasihat daripada sufi Syaqiq al - Bakhi lalu dinasihati dengan pelbagai pengajaran dan diakhiri nasihatnya Syaqiq memberi perumpamaan.
" Wahai Amirul Mukminin! Seandainya tuanku sedang berada di tengah padang pasir, lalu merasa amat haus dan sekiranya tidak mendapat air, tuanku akan binasa. Lalu datang orang menawarkan secawan air. Berapakah harga yang sanggup tuanku bayar? Tanya Syaqiq. Harun ar - Rashid menjawab " Sudahlah tentu aku akan bayar sebanyak mana yang dia mahu." " Jika orang itu meminta setengah daripada kerajaan tuanku, apakah tuanku sanggup juga?" tambah Syaqiq. " YA" jawab khalifah.
Syaqiq bertanya lagi" Setelah tuanku mendapat secawan air tersebut tiba - tiba datang musibah lagi iaitu air yang telah berada di dalam perut tuanku tidak dapat keluar dan tuanku tidak dapat kencing sehingga ia menjadi satu penyakit. Dalam keadaan demikian berapakah bayaran yang tuanku sanggup bayar kepada seorang doktor pakar yang dapat menyelesaikan masalah tuanku itu? " " Aku sanggup membayarnya berapa sahaja yang dia minta" Jawab Khalifah. " Jika dia meminta setengah daripada kerajaan tuanku, adakah tuanku bayar?" soal Syaqiq lagi. Khalifah menjawab " YA ".
Setelah mendengar jawapan Khalifah Harun ar - Rashid itu Syaqiq berkata " Nah, sekarang tuanku telah tahu berapa nilai kerajaan yang sedang tuanku tadbir ini. Mengapa tuanku masih membanggakan diri dengan sebuah kerajaan yang harganya sama seperti secawan air yang tuanku minum dan upah untuk mengeluarkannya setelah menjadi kencing?" Khalifah tertunduk mendengar nasihat tersebut. Terbayang oleh beliau betapa besar nilai nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan