Bintang Muslim dalam Piala Dunia Brazil
PIALA Dunia FIFA 2014 baru sahaja bermula pagi tadi. Demam bola sepak ini melanda seluruh dunia melangkaui batas agama, bangsa, dan keturunan. Semuanya akan duduk semeja untuk meraikannya, itulah keunikan sukan ini.
Di sebalik kemeriahannya, terdapat beberapa pemain bintang yang beragama Islam bermain mewakili negara bukan Islam. Perlu diingat juga, terdapat pemain bukan Islam yang mewakili negara Islam. Namun, seperti yang dinyatakan awal tadi, faktor agama bukanlah isu utamanya. Yang penting setiap mereka akan berjuang bersungguh-sungguh memenangkan negara yang diwakili.
Yang berikut beberapa pemain muslim bertaraf bintang yang turut serta dalam Piala Dunia kali ini.
1. Edin Džeko
Džeko dilahirkan pada Mac 1986 di Sarajevo, Bosnia. Sekarang bermain untuk Manchester City. Penglibatannya dalam bola sepak bermula sebagai pemain tengah dalam pasukan remaja Željezničar. Dia dianggap pemain paling berbakat di kelabnya dan pada November 2009, Džeko menjadi pemain Bosnia pertama dilantik sebagai duta UNICEF.
Ketika pusingan kelayakan, Džeko menjadi penjaring terbanyak bagi kumpulan G iaitu 10 gol dan Bosnia mencipta sejarah layak kali pertama ke pusingan akhir di Brazil.
2. Mesut Özil
Mesut Özil, bermain untuk Jerman dan Arsenal. Dia mewakili pasukan remaja Jerman sejak 2006 dan kemudiannya untuk pasukan kebangsaan Jerman sejak 2009.
Kelibat Özil di peringkat antarabangsa mula menyerlah ketika mewakili Jerman semasa Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan – dia dianugerahkan Anugerah Bola Emas– untuk pemian terbaik kejohanan.
Pada tahun lepas ketika berusia 24 tahun, Özil menjadi ahli sukan termuda di Jerman yang dibina patung lilin di Muzium Berlin.
3. Sami Khedira
Sami Khedira, pemain tengah Real Madrid merupakan rakan sepasukan Özil. Dia dilahirkan pada April 1987 dan pernah bermain untuk VFB Stuttgart sebelum pindah ke Real Madrid.
4. Karim Benzema
Karim Benzema merupakan rakan sepasukan Sami Khedira dalam kelab Real Madrid tetapi mewakili Perancis dalam Piala Dunia kali ini.
Ketika usianya 19 tahun, pada 2007, dia menjadi penjaring terbanyak dalam Liga Eropah. Sebelum itu, pada usia 17 tahun dia telah menjaringkan gol yang cantik ketika turun kali pertama mewakili kelabnya Lyon.
Benzema kemudiannya membantu Lyon mempertahankan juara liga bagi tahun 2005, 2006 dan 2007.
Persembahan cemerlangnya ketika piala UEFA 2007 menarik perhatian kelab ternama seperti Real Madrid, Barcelona, AC Milan dan Inter Milan.
5. Mamadou Sakho
Keluarga Mamadou Sakho berasal dari Senegal. Dia kini mewakili Perancis sebagai pemain pertahanan tengah dan bermain untuk Liverpool.
Kerjayanya bermula pada tahun 2003 apabila dipilih bermain dengan kelab Paris Saint-German (PSG) pada usia 12 tahun. Pada tahun 2007, dia memulakan bermain sebagai pemain profesional dengan PSG dan perlawanan pertamanya ialah menentang kelab Valecien yang berkesudahan seri – dan menjadi ketua pasukan termuda dalam liga.
6. Yaya Toure
Pemain tengah Manchester City ini mewakili Ivory Coast dan merupakan kemunculan kali ketiga dalam Piala Dunia. Pertama kali mewakili negara pada tahun 2004 dan telah memenangi pelbagai kejuaran kelab termasuk dua kali juara liga Sepanyol, dua kali juara liga Inggeris, juara Super Greek, dan Piala Juara-juara
7. Kolo Toure
Adik-beradik Yaya Toure ini mewakili kelab Liverpool dan sehingga kini telah mewakili Ivory Coast 107 cap. Kali pertama mewakili negara ialah ketika pertemuan Ivory Coast menentang Nigeria pada Julai 2000. Sebagai pemain pertahanan, keupayaannya menjaringkan 6 gol setakat ini begitu membanggakan.
8. Sulley Muntari
Pemain yang mewakili Ghana ini dilahirkan pada Ogos 1984 dan telah memperoleh 81 cap. Dia turut bermain dalam dua Piala Dunia sebelum ini. Ketika Piala Dunia 2006, dia menjaringkan gol bagi membantu Ghana memperoleh kemenangan pertama dalam Piala Dunia ketika menewaskan Republik Czech. Pada Piala Dunia di Afrika Selatan 2010 dia menjaringkan gol penting ketika menewaskan Uruguay untuk layak ke suku akhir.
Di peringkat kelab, Dia kini bermain untuk AC Milan, Itali.
9. Ahmed Musa
Ahmed Musa dilahirkan di Nigeria pada Oktober 1992 dan mula mewakili negaranya pada September 2010 menentang Madagascar. Dia kini bermain untuk kelab CSKA Moscow. Ahmed memulakan kerjaya profesionalnya pada tahun 2008 dengan kelab Nigeria JUTH F.C. - HARAKAHDAILY, 13/6/2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan