pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Isnin, 24 September 2018

TIMB. MA : BERSAMA MEREALISASIKAN ISLAM MEMIMPIN

BERSAMA MEREALISASIKAN ISLAM MEMIMPIN

Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia”. [Al-Anfal: 74]
1. Alhamdulillah, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Kuala Terengganu berlangsung dengan jayanya dengan tema ‘Islam Memimpin’. Tahniah dan syabas kepada seluruh Jawatankuasa Panitia Muktamar pada kali ini.
2. Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden PAS menekankan tentang paksi utama PAS dalam membangun negara serta menegaskan bahawa sistem-sistem yang sedia ada masih gagal untuk memimpin ummah. Justeru, Islam mesti memimpin dan mengisi ruang tersebut dengan membuktikan kepada rakyat dan masyarakat secara praktikal dan realiti. Peluang yang diberi untuk mentadbir Negeri Kelantan dan Terengganu mesti dizahirkan sebagai negeri model kepimpinan Islam.
3. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) mesti menjadi pegangan serta amalan kepada ahli PAS terutamanya melibatkan ketinggian akhlak sebagai ahli gerakan Islam. Hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran PAS mesti terjalin dengan harmoni dan sejahtera mengikut lunas-lunas perlembagaan.
4. PAS akan menyokong apa sahaja perkara baik yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan. Manakala sebagai pembangkang yang berperanan sebagai agen semak dan imbang, sudah pastinya PAS akan menegur dan menasihati Kerajaan dalam perkara-perkara yang salah serta bertentangan dengan Islam dan perlembagaan negara.
5. Dalam ucapan dasar juga memberi fokus kepada beberapa fiqh yang perlu dihadami seperti Fiqh Aulawiyyat, Fiqh Muwazanat dan Fiqh Siasah yang perlu digunakan sebagai asas pertimbangan dalam menentukan hala tuju dan pendirian PAS dalam menghadapi cabaran politik semasa. Tuntasnya, setiap pimpinan dan ahli PAS harus sedar, segala keputusan yang diambil oleh parti adalah berdasarkan pertimbangan ilmu dan hikmah kebijaksanaan, bukannya diputuskan dengan sewenang-wenangnya.
6. Setiap ahli PAS mesti terus bekerja keras dalam usaha membawa dan melebarkan pengaruh perjuangan Islam di bumi Malaysia ini. Insya-Allah, dengan gerak kerja yang teratur dan sistematik serta pertolongan Allah akan membuka hati-hati rakyat untuk menerima perjuangan PAS dan merealisasikan Islam memimpin ummah dan negara.
Salam hormat.
USTAZ DATO’ HJ AHMAD YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)



Timbalan Mursyidul Am PAS / Menteri Besar Kelantan

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008