pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Khamis, 7 November 2013

GHANI PERLU SIASAT, APA PUN MUSLIHAT MAHATHIR ITU...

Apa pun muslihat Mahathir, Gani perlu disiasat

Harakahdaily,07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Walau apa pun muslihat politik Tun Mahathir, PAS berpandangan kerajaan perlu membuka suatu fail siasatan secara menyeluruh terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dengan mengkaji kembali kesemua laporan polis dan SPRM dan termasuk juga kesemua dakwaan-dakwaan lain yang pernah dibuat ke atasnya. 

“Negara ini tidak mampu untuk memiliki seorang penasihat undang-undang utama (top legal advisor) yang integritinya dipersoalkan,” ujar Timbalan Pengerusi II Lujnah Undang-Undang PAS, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata, sekiranya siasatan yang dijalankan nanti mendapati tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas Gani adalah berasas dan melayakkannya untuk disingkirkan dari jawatannya, maka suatu Tribunal perlu dibentuk berdasarkan peruntukan Perkara 145 (6) dan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Beberapa portal berita online semalam (6 November) melaporkan berkenaan pertemuan beberapa individu ternama tiga bulan lepas dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad khusus bagi membincangkan kes-kes salahlaku yang membabitkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. 

Dari segi politiknya, tidak susah untuk meneka bahawa sudah tentulah kalangan mereka yang hadir di dalam pertemuan tersebut atau mereka yang rapat dengan Tun Mahathir yang mendedahkan perkara ini kepada media sebagai satu strategi untuk memberi tekanan kepada Gani dan bosnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan pecahnya kisah di sebalik pertemuan tersebut, maka mula kelihatan Peguam Negara akan menghadapi ‘perbicaraan media’ di atas segala dakwaan yang dilemparkan kepadanya. 

Untuk rekod, parti-parti pembangkang seperti PAS dan lain-lain telah dari awal membangkitkan pelbagai pertikaian terhadap tindakan dan perlakuan Gani di dalam menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara. 

Kuasa yang begitu luas yang diberikan oleh Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan terhadap Peguam Negara berkaitan dengan kuasa untuk memulakan pendakwaan jenayah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Gani untuk kepentingan tertentu. 

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat adalah antara mangsa kepada amalan ‘pendakwaan terpilih’ (selective prosecution) yang diamalkan Gani. 

Manakala kumpulan ektremis seperti Perkasa dan lain-lain yang rapat dengan Umno BN seakan kebal dari sebarang tindakan undang-undang meskipun acapkali menimbulkan isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Dalam hal ini, walau apa pun muslihat politik Tun Mahathir, PAS berpandangan kerajaan perlu membuka suatu fail siasatan secara menyeluruh terhadap Gani dengan mengkaji kembali kesemua laporan polis dan SPRM dan termasuk juga kesemua dakwaan-dakwaan lain yang pernah dibuat ke atasnya. 

Negara ini tidak mampu untuk memiliki seorang penasihat undang-undang utama (top legal advisor) yang integritinya dipersoalkan. 

Sekiranya siasatan yang dijalankan nanti mendapati tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas Gani adalah berasas dan melayakkan Gani untuk disingkirkan dari jawatannya, maka suatu Tribunal perlu dibentuk berdasarkan peruntukan Perkara 145 (6) dan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan:

Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008