pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Isnin, 1 Februari 2016

SUDUT SEJARAH : HARI INI DALAM SEJARAH PAS ( 21 - 25 JANUARI )

SUDUT SEJARAH PAS : HARI INI DALAM SEJARAH PAS
( 21 - 25 JANUARI )


HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS DEDAHKAN KERJASAMA DENGAN DAP SEBAGAI STRATEGI PILIHAN RAYA KE-10 
(21 JANUARI 1999)
PADA hari ini dalam tahun 1999, Bendahari PAS Pusat yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Abdul Halim Abdul Rahman telah mendedahkan kepada media bahawa PAS akan membentuk kerjasama dengan parti-parti pembangkang termasuk DAP sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-10 yang jangka berlaku dalam tahun 1999. Sebelum ini, PAS tidak pernah membuat kerjasama politik dengan DAP terutama dalam pilihan raya.
Hubungan politik PAS-DAP mula terbentuk secara terbuka apabila PAS menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) pada 22 September 1998 untuk memperjuangkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar kemanusiaan. Melalui hubungan dalam GERAK ini, ahli-ahli PAS mulai menerima DAP sebagai rakan politiknya. Setelah penubuhan Parti Keadilan National (PKN kini PKR) pada 4 April 1999, parti-parti pembangkang terdiri daripada PAS, DAP, PRM dan PKN telah mengatur kerjasama sehingga terbentuk Barisan Alternating (BA) pada 28 April 1999.
Kenyataan peribadi Bendahari PAS pada 21 Januari 1999 ini pada mulanya menjadi polemik kerana manipulasi media yang mempersoalkan kerjasama PAS-DAP, tetapi telah dipertahankan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Menurut Mursyidul Am PAS itu, bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sanggup menerima dasar PAS termasuk DAP, malah dengan syaitan juga. Pandangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz disokong oleh pimpinan pembangkang, tetapi dijadikan isu oleh media kerana PAS kononnya mahu bekerjasama dengan syaitan.
Isu utama yang mencetuskan polemik dalam hubungan PAS-DAP ialah keengganan parti cauvinis Cina itu untuk menerima dasar Islam PAS, terutama matlamat PAS untuk menegakkan Negara Islam. Sejak awal memimpin DAP, Lim Kit Siang menolak konsep Negara Islam PAS sehingga Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor mempertegaskan pada 10 April 1999 bahawa matlamat utama PAS adalah menegakkan Negara Islam. Sedangkan Lim Kit Siang pada 24 April 1999 berkeras supaya kerjasama PAS-DAP hendaklah tidak membawa kepada menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam.
Bagi menjayakan strategi yang didedahkan oleh Bendahari PAS pada 21 Januari 1999 ini, PAS kemudiannya mengambil pendirian bahawa kerjasama BA adalah pakatan politik atas isu kemanusiaan ekoran penindasan politik yang berlaku sejak 1998, bukannya untuk menegakkan Negara Islam dengan mengambil model Half al-Fudhul. Tetapi PAS tetap bertegas bahawa Negara Islam kekal menjadi objektif utamanya, sedangkan pakatan BA hanya strategi jangka pendek PAS ke arah tersebut.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
21 Januari 2016

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS TUBUH CCC SEBAGAI STRATEGI POLITICO-DAKWAH TERHADAP ORANG CINA 
(22 JANUARI 1986)
PADA hari ini dalam tahun 1986, PAS telah menubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC) sebagai satu langkah dakwah melalui politik untuk mendekatkan orang bukan Islam, khususnya Cina kepada Islam. Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menyerahkan kepada Lajnah Perhubungan dan Hal Ehwal Luar PAS yang dipimpin oleh Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman untuk melaksanakan penubuhan CCC ini.
Semenjak Muktamar Tahunan PAS Ke-27 pada 17-19 April 1981, PAS telah mengambil ketetapan untuk meluaskan dakwah kepada orang Cina setelah berbangkit isu kerjasama PAS-DAP menjelang Pilihan Raya Umum 1982. Namun begitu, tiada usaha serius ke arah itu sehinggalah Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 5 Oktober 1985 membincangkan langkah-langkah untuk berdialog dengan orang bukan Islam.
Dalam soal ini, PAS menetapkan empat prinsip dalam rundingan dengan orang bukan Islam, iaitu:
I. Pendekatkan Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah;
II. Perkara-perkara lanjut dan perinci tidak dilibatkan dalam dialog;
III. Isu-isu sensitif yang merugikan perjuangan Islam mesti dielakkan; dan
IV. Hanya pimpinan yang berkeupayaan sahaja boleh mewakili PAS.

Lanjutan daripada ketetapan ini, pada 9 November 1985, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad telah mengemukakan kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS sebuah kertas bertajuk "Laporan Dialog Dengan Orang-orang Cina" yang menggariskan tiga pilihan pendekatan PAS iaitu:
I. PAS memimpin kerjasama dengan parti-parti Cina seperti MCA, Gerakan dan DAP; atau
II. PAS membuka keahlian kepada orang bukan Islam; atau
III. PAS menubuhkan jentera kerja bagi orang Cina untuk membantu PAS dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 1986.

Sebagai langkah untuk melaksanakan dakwah PAS kepada Orang-orang Cina, PAS pada 22 Januari 1986 telah memberi mandat kepada tiga pimpinannya iaitu Ustaz Mohd Nakhaie, Ustaz Hassan Shukri dan Syed Ibrahim untuk mewakili PAS dalam dialog-dialog bersama masyarakat Cina, selain mengambil ketetapan untuk menubuhkan CCC sebagai jentera Kerja PAS bagi orang Cina.
CCC yang ditubuhkan ini dipengerusikan oleh Syed Ibrahim, manakala Penasihat Undang-undang Persatuan Sin Han, Yong Sien menjadi Timbalan Pengerusi CCC. Sedangkan ahli-ahlinya terdiri daripada anggota lajnah tersebut iaitu Ahmad Subky Latif sebagai setiausaha, Ustaz Yahya Othman, Mohd Ridhuan Daniel Oon, Mohd Kamal Koh, Abdul Shukur Harun dan Abdul Razak Ayub sebagai ahli-ahli.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 Januari 2016

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PIMPINAN PAS DITAHAN ISA KERANA BELA PETANI PERJUANGKAN HARGA PADI 
(23 JANUARI 1980)
PADA hari ini dalam tahun 1980, 14 orang ahli PAS termasuk tiga pimpinan PAS Kedah telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa menjadi dalang utama yang membawa kepada berlakunya demonstrasi isu harga padi di Alor Setar pada 19 Januari 1980. Tiga pemimpin PAS Kedah yang ditahan ialah Ustaz Abdul Halim Arshat (Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Setiausaha PAS Kedah), Ustaz Osman Marzuki (Setiausaha PAS Padang Terap) dan Solahuddin Mansur (Setiausaha Kerja PAS Kedah).
Isu harga padi ini telah timbul pada akhir 1979 ekoran dasar baru berkaitan subsidi padi dan sistem kopun yang diperkenal oleh Kerajaan BN. Para petani telah membangkitkan perkara berkait masalah pengangkutan untuk mengangkut padi dan juga operasi waktu pejabat yang menyulitkan urusan mereka.
PAS telah memainkan peranan penting untuk menggerakkan kesedaran petani untuk bertindak menuntut hak mereka, terutama menolak sistem kupon dan mendesak kenaikkan harga padi. Ekoran dari tekanan yang kuat ini, kerajaan terpaksa menghantar Menteri Pertanian, Dato' Shariff Ahmad, Menteri Perusahaan Awam, Dato' Abdul Manan Osman, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Syed Nahar Shahabuddin dan Pengarah Lembaga Padi Negara (LPN), Dato' Mohamad Shafie untuk berunding dengan pemimpin persatuan petani.
Kemuncak kepada tindak balas petani ini, pada 19 Januari 1980, satu demonstrasi besar-besaran diadakan oleh petani padi di Wisma Negeri, Alor Setar hingga memaksa Ketua Polis Daerah Kota Setar mengeluarkan perintah berkurung pada 19 Januari 1980 untuk membendung kebangkitan petani. Akibatnya, pada 23 Januari 1980, 14 orang ahli PAS telah ditahan di bawah ISA atas pelbagai tuduhan termasuk membahayakan keselamatan negara dengan menghasut petani. Perintah berkurung ini telah ditamatkan pada 25 Januari 1980 setelah keadaan reda.
Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda ketika menyampaikan Ucapan Dasar dalam Muktamar Khas PAS pada 2 Mac 1980 kerana isu ISA ini, menjelaskan bahawa penahanan ini adalah satu usaha kerajaan untuk melumpuhkan kebangkitan Islam yang diperjuangkan oleh PAS setelah berlaku revolusi di Iran.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
23 Januari 2016

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
ANGGOTA EXCO KELANTAN DITARIK PINGAT KERANA PERTAHAN TANAH RAKYAT 
(24 JANUARI 2001)
PADA hari ini dalam tahun 2001, dua orang pimpinan PAS Kelantan yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan telah ditarik balik surat tauliah dan darjah kebesaran yang dianugerahkan oleh Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra kepada mereka. Dua pemimpin PAS tersebut ialah Ustaz Mohamad Daud al-Iraqi, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan dan Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.
Isu menarik balik pingat ini timbul ekoran tindakan Kerajaan Kelantan menolak permohonan pihak Istana Kelantan untuk menjadikan tanah di Bukit Camah (Gua Musang), Cabang Tongkat (Machang) dan Hutan Simpan Lebir (Gua Musang) sebagai 'living museum' dan pusat pengeluaran makanan Islam negara. Permohonan ini dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Hashim Wan Daud pada 8 April 1999 atas alasan untuk menghargai sumbangan Sultan-sultan Kelantan terdahulu.
Penolakan ini telah menimbulkan kemurkaan Sultan Kelantan sehingga baginda bertindak menarik balik pingat Setia Mahkota Kelantan dan pingat Ahli Setia Kelantan masing-masing daripada Ustaz Mohamad Iraq dan Takiyuddin Hassan. Dalam kenyataan pihak Istana Kelantan, penarikan ini adalah hak mutlak Sultan Kelantan tanpa diberitahu sebab. Sedangkan di kalangan ahli-ahli politik tersebar berita bahawa ia berkait dengan penolakan terhadap permohonan tanah oleh Istana.
Kedua-dua anggota Exco Kerajaan itu dikatakan telah menentang pemberian tanah kepada Istana Kelantan dalam Mesyuarat Khas Exco Kerajaan pada 7 Januari 2001. Tetapi pihak Istana Kelantan menafikan tindakan tersebut berkait dengan isu permohonan tanah ini.
Sebagai tindak balas terhadap sikap Istana Kelantan, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Mahfuz Omar telah menyifat tindakan ini sebagai memalukan rakyat Kelantan kerana kedua-dua anggota Exco Kerajaan itu menjadi wira yang mempertahankan hak rakyat. Dalam pada itu juga, Takiyuddin selalu Penasihat Undang-undang PAS Kelantan telah mencadangkan pindaan Perkara 15 dan 39 Perkembangan Negeri Kelantan untuk menghadkan kuasa raja dalam urusan pentadbiran sahaja, selaras Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
24 Januari 2016


HARI INI DALAM SEJARAH PAS 

PAS TEGASKAN HANYA ISLAM BOLEH MENJADI ASAS DALAM SEMUA KERJASAMA POLITIK 
(25 JANUARI 1989)

PADA hari ini dalam tahun 1989, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk serpihan Umno, dengan syarat pihak tersebut menerima Islam sebagai asas kerjasama. Ustaz Fadzil berkata demikian sebagai respon terhadap jemputan terbuka pemimpin serpihan Umno, Tengku Razaliegh Hamzah yang telah menubuhkan parti Semangat 46, untuk PAS bekerjasama dengan parti itu.

Isu kerjasama dengan serpihan Umno ini berbangkit setelah Mahkamah Agung pada 8 Ogos 1988 menolak rayuan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengharamkan Umno pada 24 April 1987, dan kegagalan Tengku Razaliegh mendapatkan sokongan Dewan Rakyat untuk meminda Akta Pertubuhan pada 5 Disember 1988. Setelah itu, pimpinan Team B Umno ini mula menghadiri program anjuran PAS termasuk majlis Makan Malam Pemikiran Ummah pada 23 Disember 1988.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 20 Disember 1988 telah menggariskan asas utama kerjasama antara PAS dengan S46 dan Berjasa di mana PAS akan bertanding tidak kurang 38 kerusi Parlimen dan akan memimpin Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah jika menang pilihan raya. Asas kerjasama ini bertolak dari kertas Tahaluf Siasi yang disediakan oleh Ustaz Nakhaie Ahmad pada 13 Julai 1986 dan juga kertas Tahaluf oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang diterima pada 9 Oktober 1988.

Pada 22 Januari 1988, Tengku Razaliegh telah menawarkan kerjasama politik kepada PAS secara terbuka setelah melalui rundingan awal sebanyak 18 kali. PAS menyambut positif tawaran ini, tetapi meletakkan Islam sebagai asas utama kerjasama ini. Menurut Ustaz Fadzil, kerjasama politik ini mestilah dibuat atas dasar syariat melalui konsep tahaluf siasi. 

Pada 4 November 1989, Majlis Syura Ulamak PAS telah memaklumkan kepada semua peringkat PAS bahawa perkara tahaluf ini telah dibincangkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS sejak kertas Tahaluf dikemukakan pada 9 Oktober 1988 dengan kajian yang teliti terhadap soal waqi' (realiti) dan memandang jauh al-masalih al-mursalah untuk menegakkan maqasid syariah. 

Lanjutan daripada penegasan Ustaz Fadzil pada 25 Januari 1989 ini juga, pada 19-20 Mac 1990, Majlis Syura Ulamak PAS, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat bermuzakarah berkait isu tahaluf ini supaya perlaksanaannya sentiasa menepati syarak. 

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
25 Januari 2016

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008