pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Khamis, 17 Oktober 2013

KORBAN SATU TUNTUTAN : HAYATI ERTI SEBENAR PENGORBANAN DALAM PERJUANGAN

IEDUL ADHA 1434 : PAS KAWASAN BAGAN DATOH BERJAYA MELAKSANAKAN PROGRAM SEMBELIHAN IBADAH KORBAN

Sebanyak 7 ekor lembu telah dikorbankan. Penghayatan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S terus menjadi sumber semangat umat Islam dalam berkorban sepanjang hidup.


BAGAN DATOH, Selekoh-15 Okt : PAS Kawasan Bagan Datoh dengan melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatannya, sekali lagi pada tahun ini telah berjaya menganjurkan Program Sembelihan Korban peringkat PAS Kawasan ini sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha.

Program penyembelihan yang melibatkan sebanyak 7 ekor lembu itu telah mengambil masa kira-kira 3 jam bermula seawal jam 10 pagi dan berakhir jam 1 tengahari. Majlis penyembelihan telah dilakukan seusai solat Sunat Hari Aidil Adha yang bertempat di perkarangan Markaz Tarbiyyah PAS Selekoh di sini.

Menurut pengarah program penyembelihan korban kali ini, Ustaz Ahmed Amrozie Imani amat berpuas hati atas kerjasama daripada semua pihak yang menjayakan program hingga akhirnya. Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada seluruh peserta korban kerana memberi kepercayaan kepada pihak PAS Kawasan untuk menguruskan majlis pengorbanan binatang korban kali ini.

Manakala dalam ucapan Yang Dipertua PAS Kawasan di program itu, Ustaz Misbahul Munir Masduki mengingatkan bahawa peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S dan anaknya, Nabi Ismail A.S merupakan satu pengajaran yang hebat serta menjadi inspirasi kepada umat Islam untuk terus berkorban dalam menegakkan agama Islam di muka bumi ini.


Beliau juga menyatakan peristiwa korban itu telah memberi gambaran bahawa umat Islam pada hari ini mestilah sentiasa beringat setiap sesuatu untuk dicapai memerlukan pengorbanan yang tinggi daripada segenap penjuru. Sirah perjuangan Rasulullah S.A.W itu sendiri menunjukkan jihad menegakkan agama suci Islam bukannya suatu perkara yang mudah. Ianya sangat memerlukan pengorbanan sangat tinggi seperti mengorbankan jiwa, harta, masa, tenaga dan segalanya.

Ustaz Misbahul Munir yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menyeru, umat Islam pada hari ini seharusnya memahami konsep sebenar pengorbanan menurut ajaran Islam. Tiada pengertian dan makna jika seseorang itu hanya berseronok menyembelih haiwan ternakan sebagai korban sekiranya hidup masih lagi tidak mengikut akidah, syariat dan akhlak Islam yang sebenar.

Dalam majlis penyembelihan korban itu, Ustaz Misbahul Munir telah mengambil  bahagian untuk menyembelih beberapa ekor lembu daripada 7 ekor tersebut. Beliau juga turut bergotong-royang bersama orang ramai sehingga selesainya pengagihan daging-daging korban dilakukan.


Turut hadir bersama menjayakan program penyembelihan tersebut ialah Kapten ( B ) Tn. Hj. Mohamad Aris Bakri, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Ustaz Mustofa Saifuddin, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Pn. Hjh. Rahimah Samuri, peserta korban dan penduduk setempat.

Rabu, 16 Oktober 2013

WHY..14 AJK WANITA UMNO DI SABAH LETAK JAWATAN SEBAB TAK PUAS HATI ?

14 AJK wanita Umno letak jawatan


TAWAU - Empat belas daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Kalabakan yang menang pada pemilihan parti itu Sabtu lepas mengambil keputusan meletak jawatan sebagai protes berhubung pemilihan itu.
 
Suriyani Lamai, yang mengetuai protes itu, berkata mereka mengambil keputusan itu kerana menganggap banyak perkara meragukan dalam proses pemilihan.
 
"Kami mengambil keputusan meletak jawatan beramai-ramai kerana kami tidak puas hati," katanya pada sidang berita di sini hari ini yang turut dihadiri
kesemua 14 anggota jawatankuasa bahagian itu.
 
Selain Suriyani, yang memperoleh undi terbanyak, turut meletak jawatan ialah Masnah Lama, Hindun Abu Bakar Titingan, Salmah Maidin, Astika Tahir, Nurida Abu
Bakar, Zainab @ Jainab Ali, Shaniah Sampar, Norizan Omar, Juo Amin, Fatimah Abdullah, Sofiah Daud, Asiah Indobeche dan Muliati Engkeng.
 
Sementara itu bekas Ketua Wanita Umno Kalabakan Datuk Hamisa Samat yang turut hadir pada majlis itu berkata pihaknya telah menghantar laporan bantahan
ke ibu pejabat Umno pusat kerana tidak berpuas hati dengan proses pemilihan itu dan berharap Jawatankuasa Pemilihan Umno memberi keputusan secepat mungkin.
 
"Jika boleh, sebelum 19 Okt ini dan pemilihan semula diadakan secara adil," kata Hamisa.
 
Dalam pemilihan itu, beliau tewas kepada Cahaya Sulaiman dengan majoriti 33 undi bagi jawatan Ketua Wanita bahagian dan menurut Hamisa, beliau memperoleh
384 undi berbanding 417 yang diraih Cahaya manakala 10 undi lagi rosak.
 
Wanita Kalabakan, katanya, mempunyai 825 perwakilan yang layak mengundi padakali ini tetapi 764 orang yang hadir pada mesyuarat Sabtu lepas. 
 
"Saya curiga dari mana dapat 47 undi yang lebih itu. Beberapa perwakilan telah pulang dan tidak sempat mengundi," dakwanya.  
 
Beliau turut melahirkan kekecewaannya dengan proses pemilihan kali ini, yang didakwanya dicampuri banyak pihak.
 
"Ketika proses pengundian, ramai yang tidak berkenaan seperti kaum lelaki masuk ke dalam pusat pengundian. Ini tidak sepatutnya berlaku," dakwa Hamisa.
 
Bagaimanapun, Hamisa yang yakin dengan keputusan Umno pusat kelak setelah menghantar bantahan, meminta anggota Wanita Umno Kalabakan supaya bertenang dan meneruskan perjuangan parti. - Bernama

Isnin, 14 Oktober 2013

IBADAH HAJI : PARA JEMAAH MULA BERWUQUF DI ARAFAH

Wukuf di Arafah bermula


MAKKAH - Lembah Mina bergema dengan talbiah Labbaik Allahumma labbaik (Aku sahut panggilan-Mu, ya ALLAH, ku sahut panggilan-Mu) selepas jutaan jemaah haji bermalam di Mina sebelum meneruskan perjalanan sejauh 14 kilometer (km) ke Arafah untuk wukuf pada hari ini.

Wukuf di padang Arafah adalah untuk memperingati peristiwa Nabi Adam AS dan Hawa diturunkan ke bumi dari syurga kerana mengingkari larangan ALLAH selepas terpedaya dengan tipu daya iblis.

Selepas selesai melaksanakan rukun haji kedua itu, jemaah bergerak meninggalkan Arafah untuk bermalam di Muzdalifah, disusuli melontar tiga jamrah di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Jemaah kemudiannya, kembali semula ke Tanah Suci untuk melakukan tawaf dan saei.

Pada tahun ini, kebanyakan jemaah hanya berjalan kaki menuju ke Mina terletak kira-kira 7 km dari Makkah kerana kesesakan teruk di sekitar Jalan Raja Abdul Aziz, berhampiran Masjidil Haram.

Pihak berkuasa memaklumkan, musim haji kali ini disertai kira-kira 2 juta jemaah berbanding 3.2 juta pada tahun lalu.

Difahamkan menurut laporan dipetik dari Saudi Gazette, penurunan jumlah jemaah itu disebabkan kerja pembesaran Masjidil Haram dan penularan virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) di Saudi yang mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

ADAKAH SUDAH MENJADI PERKARA DALAM PEMILIHAN UMNO BIASA APABILA ADA YANG KENA PUKUL ?


Petugas Umno Bahagian Kota Raja dipukul
  • petugas dipukulPetugas calon Ketua Pergerakan Umno Bahagian Kota Raja, SD Mohamad Johari Yasin di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Seksyen 9, Shah Alam membuat laporan polis selepas dipukul calon lawan yang tewas di Kota Kemuning, malam tadi. - Foto Sinar Harian Online Nizam Zain
 1 / 1 
SHAH ALAM - Tidak sampai 24 jam keputusan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno diumumkan, seorang perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kota Raja dipukul bekas calon kawasan itu di hadapan sebuah cafe, di Kota Kemuning, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga petugas calon Pemuda yang menang di kawasan itu mendakwa dipukul oleh dua orang abang kepada bekas calon Ketua Pemuda kawasan itu.

Menurut mangsa, individu berkenaan tidak berpuas hati kerana kekalahannya kerana mendakwa dia difitnah petugas lawannya di peringkat bahagian.

"Bila saya tanya apakah fitnah itu dan siapa saksinya, abang-abangnya tidak dapat menjawabnya lalu terus memukul saya selepas 10 minit bertikam lidah.

"Selepas itu, kedua-dua abang individu itu terus memukul saya dan menumbuk di bahagian muka, badan serta menendang saya," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini, malam tadi.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.45 malam tadi selepas mangsa yang berusia awal 30-an itu bertengkar kerana adiknya tewas pada pemilihan semalam.

Mangsa sebelum itu menerima SMS pada jam kira-kira 7.45 malam semalam daripada abang bekas calon tersebut yang mahu bertemu mangsa di sebuah kafe di Seksyen 33, Shah Alam.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital swasta berdekatan bagi mendapatkan rawatan selepas cedera teruk di bahagian muka dan anggota badan yang lain.

MEMANG NASIB BAIK LAH KU LI TAK JADI LAWAN NAJIB..SEBAB..


Nasib baik Ku Li tak jadi lawan Najib

Shahbudin Husin,14 Okt 2013
Keputusan pemilihan bagi jawatan ketua sayap UMNO semalam yang menyaksikan Shahrizat Jalil, Khairy Jamaluddin dan Mas Ermieyati memenangi jawatan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri bukanlah suatu keputusan yang memeranjatkan. Ia boleh dikatakan keputusan yang sudah diduga oleh kebanyakan orang dan bukan lagi suatu berita besar. 

Sebab itu, kemenangan mereka tidak diraikan dengan meriah sebagaimana selayaknya. Berbanding kemenangan melalui sistem lama, ia lebih jauh nampak gahnya. Kemenangan mereka adalah umpama kita mengetahui berita seekor anjing yang didapati menggigit tuannya. Kemenangan mereka hanya dilaporkan sebagai berita biasa saja. Ia tidak seperti kita mendapat berita mengenai seorang pemilik anjing yang didapati menggigit anjing peliharaannya.

Kemenangan mereka bukanlah kerana mereka cukup bagus, terutama bagi Shahrizat yang begitu dipertikaikan dan merupakan beban bagi UMNO dan BN menghadapi pilihanraya akan datang. Kemenangan mereka adalah kerana sistem pemilihan "electoral college" dipilih kerana ia mampu memberi kelebihan kepada penyandang dan sesiapa yang ada jawatan.

Dalam sistem ini, walaupun lebih ramai yang diberi hak mengundi tetapi akhirnya undi hanya dikira berdasarkan 1 bahagian 1 undi. Ia tidak mengguna pakai undi popular dan ini memang memberi kelebihan kepada calon yang ada jawatan, terutama dalam persaingan jawatan yang memerlukan seorang saja pemenang seperti presiden, timbalan presiden, ketua wanita, ketua pemuda atau ketua puteri.

Dengan 1 bahagian dikira 1 undi, tidak banyak bahagian yang bersedia menunjukkan sikap penentangan secara terbuka, lebih-lebih lagi kepada calon yang ada jawatan. Mereka tidak mahu dicop sebagai penentang kepada kepimpinan kerajaan, lalu ia menyebabkan pimpinan bahagian akan turut berusaha memainkan peranan agar keadaan itu tidak berlaku.

Dengannya juga menyebabkan calon yang ada jawatan lebih mudah menawarkan imbuhan, bantuan atau pemberian projek kepada pemimpin daripada bahagian yang diketahui memberikan undi kepada mereka saja. Kalau pun ada bahagian yang sedia melawan arus, bilangannya tersangat kecil dan mungkin didorong oleh faktor-faktor yang lain yang lebih kuat.

Dalam Pemuda misalnya, walaupun KJ diakui popular tetapi tidaklah bermakna calon-calon pencabarnya bukan pemimpin yang baik. Tetapi melalui sistem electoral college ini, kelebihan nyata memihak kepada KJ yang ada jawatan dalam kerajaan. Walaupun sehingga ini dilaporkan KJ sudah memenangi 97 bahagian tetapi tidak mustahil beliau menyapu bersih kesemua undi daripada 191 bahagian.

Tetapi keadaannya tentu berbeza jika sistem undi popular yang dipakai dan undi dari semua bahagian dicampurkan untuk menentukan pemenang yang sebenar tanpa akhirnya mendedahkan kecondongan sesuatu bahagian itu memihak kepada siapa. Pengiraan berdasarkan undi popular lebih menampakkan keterbukaan, ketelusan dan keadilan.

Begitu juga dengan Wanita, walaupun semua orang tahu Shahrizat adalah beban kepada parti dan sudah digugurkan jawatan menterinya sebelum pilihanraya, tetapi menjelang pertandingan ini di mana Najib melantiknya pula sebagai penasihat bertaraf menteri dan beliau juga asyik mengendeng di sisi Perdana Menteri, tentunya tidak banyak Wanita bahagian yang bersedia menunjukkkan warna penentangannya.

Bukanlah bermakna pencabar Shahrizat iaitu Maznah Mazlan dan Raihan Sulaiman Palestin tidak cukup baik tetapi kegagalan mereka adalah disebabkan sistem baru ini memang direka untuk memberi kelebihan kepada penyandang dan mereka yang ada jawatan dalam kerajaan.

Keadaan yang sama juga sebenarnya akan berlaku jika Tengku Razaleigh dulu membuat keputusan menentang Najib bagi jawatan Presiden UMNO. Beliau bukan saja tidak mungkin memenangi jawatan itu, bahkan undi yang diperolehinya mungkin bakal memalukan dirinya sebagai seorang negarawan dan pemimpin yang banyak berjasa kepada negara. Ia juga bukan kerana Ku Li tidak cukup baik, tetapi memang sistem pemilihan yang memperlihatkan konon adanya transformasi dan keterbukaan Najib ini memang dipilih dan dilaksana untuk memberi kelebihan kepadanya.

Dengan sistem 1 bahagian 1 undi, UMNO bahagian manakah yang bersedia menunjukkan diri mereka sebagai penentang Najib secara terbuka?

Jika dulu Mahathir memperkenalkan sistem kouta pencalonan dan undi bonus untuk menghalang orang lain mencabarnya tetapi Najib memperkenalkan sistem baru ini dengan maksud yang sama. Melalui transformasi politik dengan memberi ruang lebih ramai mengundi serta sesiapa boleh mencabarnya, tetapi dalam masa yang sama berjaya menggambarkan pendekatan politik Mahathir untuk mengekalkan jawatan sebagai sistem yang sangat buruk dibandingkan dengan apa yang diperkenalkannya, keputusan pemilihan sayap ini mula menunjukkan bahawa niat dan matlamat Najib juga adalah sama dengan Mahathir. Beliau mahu dirinya kekal lebih lama lagi sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Walaupun dalam sistem yang diperkenalkan Mahathir ada kouta pencalonan tetapi ketika mengundi semua perwakilan menjadi bebas untuk membuat pilihan kerana undi mereka rahsia dan tidak menyebabkan dicop sebagai mengundi si polan atau si polan yang lain tetapi sistem electoral college ini menyebabkan undi perwakilan tidak lagi rahsia dan UMNO bahagian akan dikenali melalui undi yang diberi serta terbeban untuk membuat sesuatu keputusan menentang arus.

Berbanding dengan Mahathir, jelas bahawa Najib bukan saja lebih cerdik tetapi juga kelingkingnya jauh lebih berkait di sebalik jari telunjuknya yang sentiasa lurus itu.

Sistem electoral colllege ini hanya nampak adil, telus dan terbuka jika ia dikira mengikut sistem undi popular iaitu undi daripada semua bahagian dicampurkan untuk menentukan pemenang mutlak dan UMNO bahagian dibebaskan daripada diketahui pendiriannya selepas pengundian dikira dan diumumkan.

Selagi sistem ini digunakan, sesiapa pun yang cuba mencabar mereka yang ada jawatan dalam kerajaan, peluang untuk menang hampir tidak ada. Kelebihan tetap kepada penyandang, lebih-lebih lagi jika penyandang itu memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Pengerusi Khazanah dan sebagainya dalam masa yang sama.

Jika hari itu Ku Li membuat keputusan menentang Najib, persaingan itu hanya akan digunakan sebagai alasan adanya keterbukaan, kesediaan Najib dicabar, sesiapa saja boleh mencabarnya, transformasi politik telah berjaya dan pelbagai pujian dengan kata-kata yang indah lagi akan kedengaran, walaupun sebenarnya sistem baru menjadikan UMNO lebih tertutup. Tidak ada peluang langsung untuk beliau di bawah sistem baru ini sebenarnya.

Memang keputusan yang tepat bilamana Ku Li memutuskan tidak mencabar Najib. Jika tidak, namanya pasti akan dijaja sebagai alat untuk memuji Najib saja. 
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/

PERUTUSAN EIDUL ADHA DPPK BAGAN DATOH 1434.


PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL ADHA KETUA PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH 1434

EIDUL ADHA : Hayati dan insafi kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail kerana Allah SWT.

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين وعلى آله و صحبه أجمعين

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah sama-sama kita mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah SWT dengan anugerah serta nikmat iman dan Islam yang diberikan, kita mampu mengharungi fasa-fasa kehidupan mengikut garis panduan syarak. Sehinggalah pada malam ini, kita mengecapi anugerah perayaan yang terbesar dalam kehidupan seorang muslim.

Bersyukur tidak terhingga juga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah terdahulu. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia agar mereka menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Sahabat-sahabat pemuda yang dirahmati oleh Allah SWT.

Jika kita sorot kembali sejarah perjuangan Nabi Allah Ibrahim AS, maka kita akan menyaksikan bahawa naluri seorang ayah yang sanggup mengorbankan anak yang tercinta demi semata-mata melaksanakan perintah daripada Sang Pencipta. Ujian seberat itu pasti tidak akan mampu dilaksanakan melainkan dengan ketaatan yang sempurna sehingga mampu mengenepikan perasaan diri dan tuntutan peribadi. Allah SWT sengaja menjadikan sejarah ini berlaku untuk dijadikan sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan. Sebab itulah Islam mengajar umatnya untuk mengorbankan jiwa dan harta demi untuk menegakkan kalimah Allah SWT serta melaksanakan kerja-kerja Islam.

Justeru, intipati daripada Sambutan Hari Raya Eidil Adha, adalah sifat pengorbanan yang perlu wujud dalam jiwa umat Islam demi mengembalikan jati diri dan integriti melawan musuh-musuh Allah SWT. Sesungguhnya sejarah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan pemerintahan Islam suatu ketika dahulu berpunca daripada lenyapnya sifat pengorbanan dan jati diri umat Islam. Memahami sejarah jatuh bangun Islam, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ) menyeru kepada seluruh pemuda khususnya dan seluruh umat Islam untuk menjadikan intipati sambutan hari raya pada kali ini sebagai pemangkin untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Percayalah bahawa kerja-kerja Islam tidak akan terlaksana dengan sempurna apabila sifat berkorban hilang dari jiwa aktivis dan pejuang Islam.

Sahabat-sahabat pemuda sekalian.

Apabila berbicara tentang pengorbanan, maka topik ini memerlukan perhatian yang serius daripada seluruh pemuda yang mengaku sebagai pejuang Islam. Sifat berkorban yang dimaksudkan oleh Islam ialah mengorbankan jiwa dan harta bahkan mengorbankan agenda peribadi demi menjayakan agenda ummah. Terkadang istilah ‘berkorban’ disalahertikan sehingga menyebabkan umat Islam tidak memahami kehendak sebenar Islam. Sebab itulah terdapat segelintir golongan yang tidak sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan agenda ummah. Virus inilah yang perlu dibuang dan diperangi agar ia tidak menular ke seluruh jiwa umat Islam.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ) telah melaksanakan beberapa program tarbiah seperti Usrah dan Muzakarah bagi membentuk pemikiran ahli pemuda PAS yang dikehendaki oleh Islam. DPPK begitu yakin bahawa sifat ‘tadhiyah’ (pengorbanan) akan lahir dari agenda tarbiyah ( pendidikan ). Usrah dan Muzakarah yang berkesan mampu melahirkan jiwa umat Islam yang sanggup berkorban demi melaksanakan kerja-kerja Islam.

Sahabat-sahabat pemuda yang dirahmati oleh Allah SWT sekalian.

Melihat kepada suasana umat Islam masa kini, DPPK begitu bimbang dengan halatuju pembawakan negara Malaysia pada masa hadapan. Manakan tidak, anak-anak muda yang hidup pada hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Golongan tua pasti akan mewariskan tampuk pemerintahan kepada golongan muda.

Masalah sosial dan kerosakan akhlak semakin membarah sejak kebelakangan ini. Statistik yang dilaksanakan oleh pihak berwajib telah menunjukkan, kadar peningkatan yang begitu ketara. Kemelaratan yang tidak dibendung bersama, melayakkan kita untuk terkeluar dari senarai umat yang terbaik pilihan Allah SWT. Syarat umat yang terbaik ialah menjalankan tanggungjawab menyeru kepada ma’ruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan penuh keyakinan.Islam tidak akan tertegak hanya dengan kata-kata. Oleh itu, setiap peringkat perlu memainkan peranan di posisi masing-masing demi membasmi keruntuhan akhlak yang berlaku. Lihatlah bagaimana fahaman sesat dan gejala sosial yang berlaku di Malaysia. Perkara tersebut bertambah buruk dengan sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

Di samping itu, panggung-panggung wayang di Malaysia kini sibuk menayangkan filem-filem yang bertemakan samseng dan pergaduhan serta keganasan. Filem-filem yang telah dan bakal ditayangkan tersebut seolah-olah ingin menonjolkan dan menerapkan budaya samseng dalam masyarakat. Padahal budaya tersebut merupakan cara hidup yang dilarang dan dikeji oleh syarak. Oleh itu, DPPK mengajak seluruh pemuda dan umat Islam mengecam tindakan penayangan filem yang bakal merosakkan identiti umat Islam.

Sahabat-sahabat pemuda-pemudi yang dirahmati oleh Allah SWT.

Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) merupakan gerakan Islam dan politik yang meletakkan antara matlamat utama pembawakan adalah agenda dakwah dan pendidikan. PAS begitu memahami bahawa golongan yang berilmu pasti mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT di akhirat kelak.

Justeru, DPPK menyeru kepada seluruh ahli khususnya dan amnya seluruh umat Islam untuk menjadikan intipati Hari Raya Eidil Adha sebagai batu loncatan untuk terus maju, dengan menjadikan kecemerlangan tarbiyyah ( pendidikan ) sebagai hadiah buat ummah.

Akhirnya, jadikanlah anugerah Allah SWT pada kali ini sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Pastikan sifat berkorban yang dikehendaki oleh Allah SWT mengalir dalam jiwa umat Islam.

MURNIKAN PENGORBANAN MAKNAKAN PERAYAAN.
Selamat Hari Raya Eidil Adha 1434 H. Maaf zahir dan batin.

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

" MANTAPKAN TARBIYYAH, KUATKAN JEMAAH "

Ustaz Mustofa bin Saifuddin,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh sesi 2013-2015.

Ahad, 13 Oktober 2013

TUNGGU SAHAJA SAAT KEMATIAN KALAU TIADA PERUBAHAN WAHAI UMNO..

Kalau tiada perubahan, tunggu sahaja saat kematian

Aspan Alias,13 Okt 2013
Saya amat percaya, setelah selesai pemilihan di peringkat sayap UMNO semalam, UMNO jauh dari penyelesaian dari masalah. UMNO tetap sebuah parti yang memerlukan penyelenggaraan yang rapat kerana terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan. Masalah datang satu persatu dengan cepat sedangkan penyelesaiannya datang dengan begitu lambat dan perlahan. 

Kemenangan Khairy Jamaludin merupakan satu perkara yang baik dan ini sahajalah satu kejadian yang sangat jarang dan payah terlihat di dalam UMNO itu. Kemenangan Khairy macam mana positif pun kepada UMNO ia tidaklah boleh menjamin transformasi itu akan berlaku. 

Transformasi dalam kontek penyelesaian UMNO memerlukan pucuk pimpinan UMNO berkorban untuk memastikan transformasi itu boleh dilaksanakan, kerana penyebab yang mendesak dilakukan transformasi itu adalah hasil kesalahan mereka juga. Pelaku-pelaku kepada kesalahan terhadap negara itu tidak mungkin boleh melakukan transformasi itu.

Itu sebabnya dalam posting semalam saya menyatakan yang tugas dan tanggungjawab Khairy amat berat, malahan lebih berat dari tanggungjawab pemimpin yang lain dalam UMNO itu yang sudah pasti akan terus menghalang apa-apa kemajuan yang dilakukan oleh Pemuda UMNO itu. Malahan, Khairy terpaksa berhadapan dengan masalah barisan kepimpinan Pemuda (Exco) yang ada bersama beliau itu. Khairy akan menghadapi masalah memberikan kefahaman dan semangat untuk perubahan yang perlu dilakukan dan yang perlu dipelopori oleh pemuda itu sendiri.

Sebelum Khairy memberikan dan menyuntikkan semangat untuk melakukan perubahan itu Khairy sendiri mesti terlebih dahulu tahu apa yang hendak diubah itu. Dan sebelum memutuskan apa yang hendak diubah dan diselesaikan itu, Khairy perlu tahu apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh kepimpinan negara kita. Hanya apabila sudah difahami segala apa masalah yang ada yang perlu diselesaikan, barulah Khairy boleh menentukan arah dan cara untuk melakukan perubahan itu.

Kita semua faham yang masalah yang dihadapi oleh pimpinan UMNO itu melibatkan masa depan negara dan tentulah masalah yang hendak difahami itu mesti berkait dengan masalah negara dan rakyat. Negara sedang berhadapan dengan masalah yang besar dan kalau difikirkan dengan halus-halusan masalah yang wujud itu adalah ‘beyond computation’ dan bukannya isu yang semudah ABC untuk penyelesaiannya.

Khairy mesti faham untuk melakukan perubahan ini beliau perlu mencari pihak yang boleh memberikan jalan dan semangat untuk perubahan itu. Secara lojiknya beliau perlu mentelaah segala masalah dengan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO, tetapi ini juga menjadi masalah kepada Khairy. Masalah yang wujud pada hari ini adalah dihasilkan oleh pucuk pimpinan dan pemimpin-pemimpin yang lebih ‘senior’ dari beliau sendiri. Bagaimana orang yang membawa masalah kepada kepimpinan negara itu boleh dibawa untuk melakukan perubahan?

Masalah yang Pemuda mesti fahami ialah krisis keyakinan yang tidak ada tolok bandingnya terhadap kepimpinan negara. Apa sahaja yang dilakukan oleh pucuk pimpinan tidak diyakini oleh semua pihak. Rakyat yang sedang merasakan keperitan hidup hasil dari kenaikkan harga barangan makanan dan perkhidmatan bukan isu kecil. Rakyat kecewa, walaupun ada terasa yang pimpinan hari ini tidak berkemampuan untuk membendung cabaran zaman ini. Rakyat masih memberikan kepercayaan untuk mentadbir negara dengan janji-janji yang manis beserta dengan permohonan maaf dan berbagai-bagai lagi pendekatan palsu yang dilakukan oleh pimpinan sebelum pilihanraya yang lalu. Akhirnya apa yang dirasakan sebelum memberikan mandat itu benar-benar berlaku dan rakyat sedang menghadapi kesusahan hasil dari kepercayaan mereka terhadap kepimpinan negara sekarang ini.

Jika Khairy benar-benar mahu menjadi pemimpin masa depan, beliau wajar melakukan tindakan yang pernah dilakukan sebelum ini. Yang wajar dilakukan ialah mencari sesiapa yang benar-benar mempunyai roh perjuangan UMNO dan yang telah banyak memberikan jasa kepada negara dan UMNO bagi mencapai matlamat perubahan sebenar. Cara untuk membetulkan permasalahan ialah dengan tindakan drastik tanpa takut dan silu. 

Sebagai pemimpin muda Khairy wajar berani kerana sesiapa yang berani bertindak lain dari yang lain untuk kebenaran, maka dialah yang akan menjadi pimpinan utama di masa depan.

Jika Khairy mengambilnya sebagai cabaran untuk membetulkan dan memperkasakan UMNO itu, ia merupakan satu tugas yang teramat berat. Tetapi jika beliau mengambilnya untuk mendapat kedudukan dan ‘glamour’ hidup seperti pemimpin-pemimpin Pemuda dan UMNO yang lazim kita lihat, maka ia bukanlah tugas yang susah. 

Jika politiking peribadi adalah pilihan Khairy, apa yang perlu beliau lakukan, hanya bermain politik ‘kau sokong aku, aku sokong kau’ atau bak kata Najib sebelum pilihanraya dahulu kepada orang Cina, ‘lu tolong gua, gua tolong lu’.

UMNO akan terus bermasalah sementara menunggu mati.
-http://aspanaliasnet.blogspot.com/

TIADA PERUBAHAN BUAT WANITA UMNO APABILA KAK IJAT DIKEKALKAN WALAUPUN BERMASALAH..

Wanita Umno tidak mampu berubah

Harakahdaily,13 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Keputusan yang berulang dalam pemilihan parti Umno di mana Shahrizat Abdul Jalil kekal menjadi Ketua Wanita Umno adalah bukti jelas bahawa Wanita Umno terus-menerus dalam state of denial – dalam keadaan menafikan apa yang dikehendaki oleh rakyat.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail apa yang dikehendaki rakyat supaya parti yang memerintah Malaysia itu melakukan perubahan yang berani, menggantikan kepimpinan yang terpalit dengan korupsi dan nepotisme.

Katanya, Wanita Umno adalah parti yang berpegang pada pemikiran lama dan jumud yang hanya bernilai dalam agenda tanpa perubahan, dengan para pemimpin yang ingin kekal berkuasa dulu, kini dan selamanya untuk menentukan perolehan habuan seperti NFC dan Awan Megah.

“Dengan keputusan pemilihan hari ini, Wanita Umno yang tinggal sekelumit saja harapan, telah terkubur sama sekali dari menjadi sebuah entiti yang boleh dirujuki dan diharapkan untuk menjadikan kenyataan agenda perubahan yang hakiki ke arah mencapai idealisme politik nilai yang menghasilkan keselamatan, keadilan dan kesaksamaan kepada rakyat jelata khususnya wanita.

“Wanita Umno tidak boleh berubah,” tegasnya dalam satu kenyataan sebagai respons kepada Shahrizat yang mengekalkan jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan sayap parti itu yang diadakan serentak di seluruh negara semalam.

KISAH TAULADAN : KISAH HAMBA ALLAH BERIBADAH 500 TAHUN ?

Kisah hamba Allah beribadah 500 tahun

Detik Islam,11 Okt 2013

Dari Jabir RA berkata bahawa Rasulullah SAW. telah memberitahu kami bahawa Malaikat Jibrail telah memberitahu Rasulullah SAW katanya; “Wahai Muhammad, demi Allah yang mengutusmu sebagai nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang lebar, panjangnya bukit itu 30 puluh hasta kali 30 hasta dan disekelilingnya ialah air laut yang seluas 4,000 farsakh dari tiap penjuru.”

Dan di situ Allah SWT mengeluarkan air selebar satu jari dan dari bawah bukit dan Allah SWT juga telah menghidupkan sebuah pohon delima yang setiap hari mengeluarkan sebiji buah delima. Apabila tiba waktu petang hamba Allah itu pun memetik buah delima itu dan memakannya, setelah itu ia pun sembahyang. Dalam sembahyang ia telah meminta kepada Allah SWT supaya mematikannya ketika ia dalam sujud, supaya badannya tidak disentuh oleh Bumi atau apa-apa saja sehingga tibanya hari kebangkitan. Maka Allah SWT pun menerima permintaanya.

Berkatalah malaikat lagi; “Oleh itu setiap kali kami naik turun dari langit kami melihatnya sedang sujud, kami mendapat dalam ilmu bahawa ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah SWT lalu Allah SWT menyuruh Malaikat - masukkanlah hambaku itu ke dalam syurga dengan limpah rahmatku.” Maka berkata orang itu; “Dengan disebabkan amalku?” Maka Allah SWT menyuruh malaikat menghitung semua amalnya dengan nikmat yang Allah SWT berikan. Apabila penghitungan dibuat maka amal yang dibuat oleh orang itu selama 500 tahun itu telah habis apabila dikira dengan sebelah mata, yakni nikmat penglihatan yang Allah SWT berikan padanya, sedangkan nikmat-nikmat lain belum dikira.

Maka Allah SWT berfirman: “Masukkan ia ke dalam neraka”. Apabila ia ditarik ke neraka maka ia pun berkata: “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatmu.” Lalu Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Bawakan ia ke mari”.

Kemudian Allah SWT bertanya orang itu; “Siapakah yang menjadikan kamu daripada tidak ada.” Lalu orang itu menjawab; “Engkau ya Allah.” Kemudian Allah SWT bertanya lagi; “Apakah itu kerana amalmu atau rahmatku?” Jawab orang itu; “Ya Allah, dengan rahmatmu.”

Allah SWT bertanya lagi; “Siaapakah yang memberikan kekuatan sehingga 500 tahun kamu beribadat?” Jawab orang itu; “Engkau ya Allah.”

Allah SWT bertanya lagi; “Siapakah yang menempatkan kamu diatas bukit yang di tengah-tengah lautan, dan siapakah yang mengeluarkan air tawar yang bersih dari tengah-tengah lautan yang airnya sangat masin dan siapakah yang menumbuhkan sebuah pohon delima yang mengeluarkan sebiji delima setiap hari, padahal buah itu hanya berbuah setahun sekali lalu kamu meminta supaya aku matikan kamu dalam sujud, jadi siapakah yang membuat semua itu?”

Lalu orang itu berkata; “Ya Allah, ya Tuhanku engkaulah yang melakukanya.”

Allah SWT berfirman; “Maka semua itu adalah dengan rahmatku dan kini aku masukkan kamu ke dalam syurga juga adalah dengan rahmatku.” Malaikat Jibrail berkata; “Segala sesuatu itu terjadi hanya dengan rahmat Allah SWT.”

Amal yang dibuat oleh seseorang itu tidak akan dapat menyamai walaupun setitik debu sekalipun dengan nikmat yang Allah SWT berikan pada hambanya. Oleh itu janganlah mengharapkan amal kita itu akan dapat memasukkan kita ke dalam syurga Allah SWT sebaliknya memohonlah dengan rahmatnya.

Hanya dengan rahmat Allah SWT sajalah seseorang itu dapat memasuki syurganya. Apabila kita memohon kepada Allah SWT supaya dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatnya maka mintalah supaya Allah SWT memasukkan kita dengan rahmatnya ke dalam syurga Firdaus.

http://detikislam.blogspot.com

BULAN ZULHIJJAH : KELEBIHAN 10 HARI AWALNYA...

Kelebihan 10 hari awal Zulhijjah

Imam muda Asyraf,08 Okt 2013

Apabila tibanya Zulhijjah akan tergambar dalam pemikiran umat Islam ibadah cukup besar dalam syariat iaitu ibadah haji, rukun Islam terakhir wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim yang berkemampuan.

Pada bulan ini juga hati umat Islam semakin terpanggil untuk menunaikan ibadah haji di Baitullah dengan penuh rasa perhambaan kepada-Nya. Sesungguhnya Zulhijjah adalah bulan mulia kerana ia bulan ibadah bagi mereka yang menunaikan haji mahupun tidak.

Jika pada Ramadan, Allah SWT menyediakan 10 malam terakhir untuk hamba memperbanyak ibadah qiyam, maka pada 10 awal Zulhijjah adalah sepuluh hari (siang) terbaik untuk setiap Muslim memperhambakan diri kepada-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi waktu fajar dan demi 10 malam.” Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim berpendapat ‘10 malam’ disebutkan Allah SWT bermaksud 10 hari awal Zulhijjah. Ini juga pandangan sahabat dan tabiin antaranya Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair dan Mujahid.

Lafaz pujian 10 hari awal Zulhijjah

Sepuluh hari awal Zulhijjah juga hari-hari mulia untuk melafazkan puji-pujian kepada Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Surah al-Haj, ayat 27-28)

Ibn ‘Abbas menyatakan, hari tertentu dimaksudkan dalam ayat ini ialah 10 awal Zulhijjah. Pada hari itu syiar Islam terserlah dengan pengucapan lafaz pujian kepada Allah SWT terutama lafaz tahmid dan takbir.

Pada 10 awal Zulhijjah ini umat Islam digalakkan memperbanyakkan kalimah takbir (Allahu Akbar), tahlil (La ilaha illallah) dan tahmid (Alhamdulillah). Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda: “Tiada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan tiada amalan yang lebih disukai-Nya kecuali pada 10 hari ini (awal Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah padanya takbir, tahlil dan tahmid.” (Riwayat Imam Ahmad)

Maka perbanyakkanlah lafaz pujian kepada Allah SWT dengan mengucapkan ketiga-tiga zikir ini. Sahabat dan salaf al-soleh akan memperbanyakkan zikir pada sepuluh hari ini dengan takbir sehingga ia kedengaran jelas di pasar dan premis perniagaan.

Diriwayatkan, Nabi SAW menerangkan secara jelas kelebihan 10 hari awal Zulhijjah. Daripada Ibnu ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amalan pada siang hari yang lebih mulia berbanding hari-hari ini (iaitu 10 awal Zulhijjah). Sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah? Jawab Baginda SAW: “Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) dengan nyawa dan hartanya dan tidak pulang dengan sesuatu pun (daripada kedua-duanya).” (Riwayat Abu Daud)

Detik manis ditunggu jemaah haji


Bagi mereka yang menunaikan ibadah haji, hari-hari terakhir pada 10 awal Zulhijjah adalah detik manis dan amat ditunggu-tunggu. Pada 8 Zulhijjah yang juga dikenali sebagai hari Tarwiyah, jemaah haji akan memulakan perjalanan sama ada ke Mina mahupun Arafah dalam memenuhi tuntutan manasik haji.

Mereka akan mula berangkat daripada tempat penginapan di Makkah al-Mukaramah dengan berpakaian ihram serba putih untuk menyahut seruan Ilahi dengan laungan talbiah memenuhi langit Makkah.

Hari Arafah pada 9 Zulhijjah dipenuhi amal ibadahkepada Allah SWT, tidak kira bagi mereka yang menunaikan haji atau tidak. Hari Arafah antara hari kebesaran bagi umat Islam.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Hari Arafah, Hari al-Nahr (Aidiladha) dan hari-hari Tasyrik adalah hari perayaan kita sebagai umat Islam. Ia hari untuk makan dan minum.” (Riwayat Abu Daud)

Antara kelebihan hari Arafah ialah umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji disunatkan berpuasa. Nabi SAW bersabda: “Dengan berpuasa pada hari Arafah aku berharap padanya supaya Allah ampunkan dosa-dosa tahun yang lepas dan juga tahun akan datang.” (Riwayat Muslim)

Hari Arafah juga diterima setiap doa hamba-Nya yang memohon permintaan dan keampunan. Malah doa dipinta kepada Allah SWT pada hari itu adalah sebaik-baik doa dan semulia-mulia waktu untuk diperkenankan oleh-Nya. Sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat Imam al-Tirmizi).

Gunakanlah sebaik-baiknya sama ada bagi mereka yang menunaikan haji mahupun tidak untuk berdoa menadah tangan kepada Allah SWT dengan penuh rasa perhambaan kepada-Nya.

Hajjatul wada’

Pada hari Arafah juga berlakunya hajjatul wada’, Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Allah SWT menandakan lengkapnya risalah yang dibawa Baginda kepada seluruh umatnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini Aku telah lengkapkan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan ke atas kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam sebagai deen (agama) kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Aidiladha yang diraikan pada 10 Zulhijjah pula hari kebesaran dan kegembiraan bagi umat Islam. Pada hari itu umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban bermula sehingga hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Ibadah korban syiar perhambaan kepada Allah SWT. Malah ibadah korban membuka ruang amal kebajikan bagi mereka yang berkemampuan dengan menyalurkan daging sembelihan kepada fakir miskin, anak yatim, jiran tetangga, rakan taulan dan sanak saudara.

http://imamudasyraf.com

APA LAGI YANG DR. M MAHUKAN ?


Apa lagi Dr. Mahathir mahu?

Surat Terbuka| Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail,13 Okt 2013
MANTAN Perdana Menteri  ini telah pun bersara dengan penuh hormat.


Anak-anak beliau begitu 'menjadi'. Salah seorang daripadanya tersenarai dalam  40 jutawan dari Malaysia oleh majalah 'Forbes' dan 'Asian Week'. Begitu juga apabila seorang anaknya berjaya menjadi Menteri Besar. Ada antara anak-anaknya diberikan jawatan sebagai pengarah berberapa syarikat gergasi di negara ini.

Tun Dr. Mahathir sendiri menjawat Penasihat Petronas, Proton, Perbadanan Putrajaya dan berbagai lagi jawatan penting dalam agensi kerajaan dan swasta.

Beliau nampaknya begitu berjaya. Namun mengapa masih tidak berpuas hati dan mengkritik apa sahaja seolah-olah masih bertaring dan punyai kuasa. Sedangkan dirinya kini  seorang pesara biasa saperti juga pegawai atau menteri lain?

Contohilah mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang lebih banyak masa bersama keluarga tersayang tanpa masuk campur sangat dalam hal ehwal politik.

Tidakkah lebih baik apabila sudah bersara menumpukan masa untuk beribadah sebagai bekalan akhirat?  Buat apa peningkan kepala memikirkan hal-hal politik kerana apabila ada pengganti bermakna ada noktah di situ.

Diharap Tun Dr Mahathir fikirkanlah apa yang terbaik untuk diri sendiri sebelum terlambat.

Khamis, 10 Oktober 2013

IJTIMAK TARBAWI 3.0 DPPM PENUH FAEDAH DAN PENERANGAN

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh turut bersama di program Ijtimak Tarbawi 3.0 Peringkat Pemuda PAS Malaysia di Pagoh, Johor.












Khamis, 3 Oktober 2013

AUDIT NEGARA : UNTUK K-POP RM 1.6 JUTA DEMI BELIA NEGARA ?

RM1.6 juta untuk artis K-Pop?
  • RM1.6 juta untuk artis K-Pop?Kedatangan artis K-Pop ke Himpunan Jutaan Belia sebelum ini mengundang kontroversi.
 1 / 1 
SHAH ALAM – Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan kerajaan membelanjakan RM1.6 juta untuk membawa masuk tiga kumpulan K-Pop dari Korea Selatan sempena Himpunan Jutaan Belia 2012, tahun lalu.

Tiga kumpulan itu ialah U-Kiss, Teen Top dan Dal Shabet.

Laporan itu menyatakan, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada perbelanjaan RM2.94 juta untuk menjayakan program tersebut.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut ditegur oleh Ketua Audit Negara kerana berbelanja terlalu tinggi dan tidak menepati perbelanjaan berhemat yang sepatutnya diamalkan kerajaan.

Laporan Ketua Audit Negara ternyata bercanggah dengan kenyataan Ketua Setiausaha KBS pada masa itu, Datuk Mohid Mohamed yang dilaporkan berkata, tiada wang rakyat digunakan untuk membayar artis berkenaan.

Mohid berkata, persembahan pada Mei 2012 itu yang diuruskan oleh Stadium First Sdn Bhd, dibiayai dengan tajaan swasta.

Menurutnya, KBS menerima tajaan keseluruhan bernilai RM28 juta untuk himpunan itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, KBS terpaksa menanggung pembayaran konsert tersebut setelah penaja menarik diri.

“Kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana ketika itu ada tawaran daripada mereka untuk menaja aktiviti tersebut. Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran.

“Untuk makluman, acara konsert K-Pop dibatalkan untuk Hari Belia 2013 dan seterusnya,” katanya di laman Facebook, semalam.

Khairy berkata, beliau memandang serius pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 melibatkan kementeriannya.

“Jika kita serius melakukan transformasi ke arah kerajaan yang lebih telus dan amanah, laporan tersebut tidak boleh diketepikan. Rakyat tidak mahu melihat pemimpin kerajaan membisu tentang laporan ini.

“Saya juga tidak boleh menggunakan alasan laporan ini melibatkan perbelanjaan di KBS sebelum saya dilantik sebagai menteri. Prinsip kebertanggungjawaban bersama bermakna saya mesti menjawab dan bertindak ke atas apa yang berlaku dalam kementerian saya,” katanya.

Katanya, beliau telah meminta maklum balas daripada pegawai KBS berkaitan perkara lain yang dibangkitkan dalam laporan audit sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

jambori amal kuala kangsar 2008