pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Khamis, 10 Ogos 2017

" 1MDB : KETEPIKAN SENTIMEN & KESEMPATAN POLITIK DEMI KEPENTINGAN NEGARA"


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
10 Ogos 2017 | 17 Zulkaedah 1438

“1MDB: KETEPI SENTIMEN & KESEMPATAN POLITIK DEMI KEPENTINGAN NEGARA”



1. Pertikaian beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap penjelasan dan pendirian PAS berhubung isu 1MDB rentetan dari pertemuan dan sidang meja bulat khas bersama Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda ternyata disengajakan, serta dilihat masih bersikap mahu mempolemikkan keadaan. Sedangkan kematangan dalam menuju kepada solusi seharusnya diwujudkan agar masalah dapat ditangani.

2. Pendirian asas dan semasa untuk menyiasat segala skandal serta menggerakkan langkah penyelesaian menerusi pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan pelan penstrukturan; sewajarnya dipersetujui secara terbuka dan lapang dada demi kepentingan negara, tanpa diemosikan oleh sentimen negatif atau bermotif meraih kesempatan politik.

3. PAS sebagaimana juga pihak lain, turut mengakui bahawa 1MDB adalah antara skandal kewangan terbesar negara sebagaimana perkara seumpama yang banyak terjadi dan menjadi liabiliti kepada rakyat dan negara sebelum ini. Bezanya, 1MDB melibatkan pelbagai agensi dan negara serta jumlah dana sangat besar, sehingga menjadi perhatian kritikal seantero dunia.

4. PAS turut mengambil maklum dan menghormati laporan penyiasatan dari Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, termasuk tindakan-tindakan berkaitan oleh negara asing lainnya, sebagai di bawah bidangkuasa negara berkenaan. Namun, pengadilan dengan undang-undang negara ini mestilah diutamakan sebagai junjungan terhadap kedaulatan yang dimiliki.

5. Semua proses dan bentuk tindakan undang-undang yang di lakukan demi keadilan dan menyelamatkan wang serta ekonomi negara mestilah didokong. Manakala konflik kepentingan melibatkan pihak yang disiasat oleh kekurangan kuasa oleh BNM, SPRM atau PDRM, diteguhkan dengan gesaan supaya RCI dibentuk dan bukannya mengundang pihak luar atau asing.

6. Arul Kanda seharusnya diberi peluang untuk berperanan membetulkan kesilapan dan kepincangan 1MDB dan bersikap tidak memihak, sebaliknya adil, jujur serta amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya. Beliau dan pasukannya perlu berusaha menjayakan pelan rasionalisasi memandangkan hutang yang dijamin oleh Kementerian Kewangan Malaysia secara tidak langsung membabitkan kantung kewangan negara.

7. Kami percaya, usaha dilaksanakan adalah ke arah merungkai kesilapan lalu dari memberi musibah dan kemungkinan lebih buruk, selain kembali untuk bangun semula. Walaupun kami berpuashati dengan penjelasan diberi, namun tetap berpegang kepada prinsip sama bahawa tegas tidak mahu wang mahupun aset negara digunakan lagi bagi menampung operasi mahupun hutang 1MDB.

8. PAS mahu setiap individu yang bertanggungjawab di heret ke muka pengadilan ‘without fear or favour’ dan jika didapati bersalah, dihukum sewajarnya atas perbuatan dilakukan yang sangat memalukan rakyat dan negara. PAS tidak mahu beban 1MDB menjejaskan ekonomi negara dan secara tidak langsung kepada rakyat secara keseluruhannya, apatah lagi di saat ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu.

9. Kewangan negara perlu utuh untuk menampung perbelanjaan mahupun defisit, demi kelangsungan pertumbuhan negara. Kemelut 1MDB secara tidak langsung menjejaskan kepercayaan pelabur luar kepada negara yang turut memainkan peranan di dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan nilai pelaburan cukup besar, di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

10. PAS mahu kemelut ini diselesaikan segera, setelah bebanan lampau warisan BN yang masih terbeban hingga kini, di mana rakyatlah yang membayar semua hutang tersebut melalui pelbagai instrument percukaian. Maka, sewajarnya kerajaan dan parti yang korup ini diturunkan dari tampuk pemerintahan, seterusnya dibina masa depan negara lebih gemilang dengan menggantikan sistem berteraskan Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Selasa, 8 Ogos 2017

Tanskrip Sidang Media Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di De Palma Hotel Ampang, 7 Ogos 2017 jam 1.15 petang.

Tanskrip Sidang Media Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di De Palma Hotel Ampang, 7 Ogos 2017 jam 1.15 petang.

PAS telah mengadakan sidang meja bulat bersama dengan pihak pengurusan 1MDB,yang diketuai oleh Presiden 1MDB, Sdr Arul Kanda. Secara keseluruhannya pembentangan mengambil masa 3 jam setengah dan dihadiri hampir 30 org jawatankuasa drpd PAS Pusat dan tokoh2 yang kita undang pada hari ini.

Secara keseluruhannya bagi pihak kami, kita berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberi oleh Sdr Arul khususnya pelan rasionalisasi yg telah dicadangkan oleh beliau bagi mengatasi kemelut yg dihadapi dalam 1MDB.

Isu yg berlaku hari ini, Kementerian Kewangan telah pun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB.Jadi hasil dari perbincangan tersebut didapati, bila aset diserah kpd MOF Incorporated, maka kita perlu untuk monitoring terhadap isu2 yg melibatkan aset tersebut.Sebab bila aset diambil oleh pihak Kementerian, kita bimbang ia akan mencetuskan masalah baru jika tidak dikawal, dan kita harapkan bahawa isu2 ini mesti dipantau direct di bawah parlimen.

Maknanya pihak Kementerian Kewangan/Menteri perlu melaporkan kepada parlimen supaya ahli2 parlimen kita dapat mengikuti setiap perkembangan supaya tidak timbul masalah baru.

Hasil perbincangan ini juga kita mencadangkan PAS mencadangkan supaya RCI/ Suruhanjaya Diraja diwujudkan bagi menyiasat perkara-perkara yang berlaku yang membawa kemelut dalam isu 1MDB, khususnya sebelum Sdr Arul diterima masuk dan dibuat pelan rasionalisasi tersebut.Jadi cadangan ini sebenarnya telah pun dibawa oleh DS Tuan Guru Presiden pada 13 Oktober 2015, antara yg paling awal mencetuskan idea supaya RCI diwujudkan dalam isu 1MDB.

Diwaktu yg sama kita harapkan supaya 1MDB perlu diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh 1MDB, kerana kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kos faedah/interest yang dikenakan adalah sangat besar, setahun sebanyak 1.9 billion USD, interest sahaja. Jadi kalau kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kadar interest bertambah. Dan bagi kita, tindakan pelan rasionalisasi yang dibuat oleh 1MDB ini berada di atas landasan yang betul setakat ini. Dan kita harap tidak banyak campurtangan politik yang mengganggu pelan yang telah pun dikemukakan oleh beliau. Jadi secara keseluruhannya perbincangan sangat menarik dan terbuka. Beliau juga mengemukakan beberapa dokumen khususnya hasil perbincangan dengan PAC dan dokumen2 tersebut ialah dokumen yg boleh kita akses dan download dari media sosial.

Walau bagaimanapun kepada kami, PAC tidak boleh menyelesaikan masalah, sebab ia hanya satu badan yang dianggotai oleh lapan ahli parlimen BN dan lima daripada pembangkang,dan hanya bidang kuasa menyiasat tetapi tindakannya nampak masih belum ada. Dengan penuh hormat kepada agensi penguatkuasa yang ada di Malaysia, SPRM, Polis, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, Audit Negara, dengan penuh penghormatan pada agensi2 ini, kita lihat bahawa perlunya RCI ditubuhkan. Dan bagi kami, RCI ialah jalan keluar dan kalau ada yang terlibat, kita harap ambil tindakan.Pihak kerajaan perlu ambil tindakan. Dan insya Allah mudah2han dengan penubuhan ini, isu ini ada jalan keluar dalam konteks penglibatan individu2 tertentu, tokoh2 tertentu. Di waktu yg sama negara tidak terbeban dengan bebanan hutang yang dibuat oleh 1MDB. So itu penjelasan yang saya nak buat pada hari ini.

" PERKEMBANGAN POSITIF KES SAMAN SARAWAK REPORT DI LONDON " : SU POLITIK PRESIDEN PAS

KENYATAAN MEDIA
5 Ogos 2017
“PERKEMBANGAN POSITIF KES SAMAN SARAWAK REPORT DI LONDON”

Pada Rabu 2 Ogos 2017, pasukan peguam dari firma Carter-Ruck dan barrister Jacob Dean, yang mewakili Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHA) dalam saman fitnah yang diambil terhadap Clare Rewcastle Brown (CRB), di London Courts, telah menghadiri prosiding mahkamah untuk pendengaran prosiding pengurusan kes.
Saman sivil oleh TGHA itu adalah berkaitan dengan artikel yang ditulis oleh CRB pada Ogos 2016, yang memberi gambaran tuduhan dan difahami dengan jelas adalah satu fitnah, melalui tuduhan bahawa TGHA menerima rasuah dari Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib dengan nilaiannya RM 90 juta.
Pendengaran pengurusan kes pada hari berkenaan adalah untuk menentukan usaha CRB bagi memaksa TGHA untuk mendepositkan sejumlah wang di mahkamah sebagai jaminan keselamatan, sekiranya TGHA kalah dalam kes berkenaan dan terpaksa membayar  kos guaman CRB, di mana CRB menjangkanya dalam lingkungan jumlah keseluruhan £800,000 pound (hampir RM4.5 juta) sehingga kes tamat.
Panel peguam TGHA dari Carter-Ruck berjaya berhujah, dengan dibantu oleh pandangan pakar undang-undang dari Malaysia, bahawa sebenarnya wujud undang-undang yang jelas yang tidak menghalang CRB untuk menuntut kos beliau menerusi mahkamah Malaysia sekiranya beliau menang kes saman ini dan jumlahnya tidak melebihi RM80,000 sahaja. Di atas keyakinan dari awal terhadap kes ini, maka TGHA bersetuju dengan deposit keselamatan dengan jumlah ini yang nyata adalah memadai serta tidak kontroversi.
Hujah CRB bahawa beliau akan gagal membawa kes saman terhadap TGHA di Malaysia adalah kerana Badan Kehakiman, Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri adalah mengamalkan rasuah dan bersekongkol dengan TGHA telah ditolak oleh mahkamah di London. Mahkamah juga mendapati bahawa tuduhan serius ini tidak disokong bukti oleh CRB walaupun beliau mempunyai masa berbulan-bulan untuk berbuat demikian.
Mahkamah juga tidak menerima hujahan CRB tanpa membawa bukti, bahawa sebuah negara luar berdaulat yang mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan United Kingdom telah mengamalkan rasuah.
Mahkamah juga telah menerima tawaran TGHA untuk meletakkan wang sebanyak RM80,000 sebagai deposit keselamatan.
Hasil dari hujah kosong dalam permohonan CRB, mahkamah juga telah mengarahkan beliau membayar 2/3 (dua pertiga) dari kos yang terlibat. CRB mesti membayar £15,000 ( hampir RM84,000) terhadap kos prosiding oleh TGHA, di mana kuantum pembayarannya akan di pantau oleh mahkamah.
Mahkamah juga mengarahkan CRB untuk membuat pembelaan beliau dalam tempoh 21 hari supaya kes ini dapat diteruskan dan beliau tidak lagi berlarutan untuk berdolak dalih.
Permohonan rayuan CRB terhadap keputusan ini juga telah tidak dbenarkan oleh mahkamah.
Perkembangan ini adalah sangat positif, dalam proses TGHA untuk membersihkan nama beliau terhadap tuduhan fitnah melampau oleh CRB dan artikelnya dalam Sarawak Report.
TGHA mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Mr Adam Tudor dan pasukan peguamnya dari Carter-Ruck, London dan di Malaysia.
TGHA juga mengucapkan jutaan terima kasih pada semua ahli PAS dan orang awam  yang berterusan memberikan sokongan melalui berbagai cara dalam kes ini.
TGHA juga sebenarnya dimaklumkan oleh firma Carter-Ruck bahawa Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London juga menghantar wakil dalam prosiding ini, dan telah memaklumkan bahawa kehadiran mereka adalah sebagai pemerhati prosiding kerana banyak tuduhan politik yang dibuat terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia serta Badan Kehakiman di Malaysia  oleh CRB dalam dokumen  beliau yang dikemukakan ke mahkamah.
DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Setiausaha Politik Presiden PAS
**********************
MEDIA STATEMENT
5th August 2017
"CIVIL SUIT AGAINST CLARE REWCASTLE BROWN (SARAWAK REPORT)"
On 2nd August 2017, the lawyers from the legal firm of Carter-Ruck and barrister Jacob Dean, who are representing Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHA) for the civil suit that he brought against Clare Rewcastle Brown (CRB), in the London Courts, attended court in London for the Case Management hearing.
The civil suit was in relation to an article she wrote in August 2016, which would clearly have been understood to allege, falsely, that TGHA had received bribes from Prime Minister Najib to the tune of RM90 million.
This case management hearing was to determine an attempt by CRB to force TGHA to deposit money with the court as security, in the event he was to lose the case and would have to pay CRB’s legal costs, which she estimates to be around £800,000 (or close to RM5 million) in total for the whole hearing till completion.

Carter-Ruck successfully argued, assisted by a legal opinion from a law expert in Malaysia, that there exist well-established laws between the UK and Malaysia that allows for CRB to claim the costs through the law courts in Malaysia, incurring a cost of not more than RM80,000.  Based on his confidence on the case from the beginning, TGHA had already offered to deposit this amount with the court, which was sufficient and uncontroversial.
CRB’s arguments that she cannot successfully bring a legal suit against TGHA in Malaysia as the judiciary, government and the Prime Minister are corrupted and are complicit with him was rejected by the court.  As the court observed, these serious allegations were not supported by any evidence from CRB whatsoever, despite having months to provide some.
The Court made very clear that, absent with any evidence, the court cannot accept that another sovereign state that has good ties and relationship with the UK is corrupt.
The court accepted the offer by TGHA to pay the RM80,000 deposit.
In recognition of the flawed basis of her application, CRB was ordered to pay TGHA two thirds of his costs of the exercise.  She has to pay £15,000 to TGHA now, with the quantum of the balance to be assessed by the Court in due course.
The court also ordered CRB to submit her defence into court within 21 days so that TGHA can proceed with this case and she cannot continue to prevaricate.
A request to appeal this judgment by CRB’s lawyers was disallowed by the court.
This is a very positive development for TGHA in his bid to clear his name of the allegations by CRB and Sarawak Report in their article.
TGHA would like to extend his congratulations, gratitude and appreciation to Adam Tudor and his legal team at Carter-Ruck, London and in Malaysia.
TGHA also would like to extend his gratitude to members of PAS and the members of public who have been supporting him in this very difficult case.
TGHA was also informed by Carter-Ruck that the Malaysian High Commission in London sent representatives to attend, who informed Carter-Ruck that they are there to observe the proceedings as many political allegations were made against the Prime Minister of Malaysia, the government of Malaysia and the judiciary in Malaysia by CRB in documents that she is filing into court.
DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
PAS President's Political Secretary

DR. RIDUAN : SYARIKAT PENERBANGAN MALAYSIA PERLU BEBAS ALKOHOL DALAM PESAWAT

SYARIKAT PENERBANGAN MALAYSIA PERLU BEBAS ALKHOHOL DALAM PESAWAT
(7 Ogos 2017)

1. Pendirian kerajaan untuk tidak menghalang cadangan syarikat penerbangan melarang hidangan minuman minuman beralkohol dalam pesawat seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan dalam satu kenyataannnya di Parlimen membuktikan bahawa kerajaan tidak bertegas dalam usaha mengharamkan alkohol dalam pesawat.

2. Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi alasan bahawa Kementeriannya tiada kuasa untuk mengharamkan hidangan arak dalam syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines serta tidak mempunyai peraturan atau garis panduan mengenai arak dalam penerbangan. Beliau berdalih dengan mendakwa bahawa syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAB) yang beroperasi ke pelbagai destinasi seluruh dunia dan membawa pelbagai jenis penumpang perlu memenuhi kehendak pelanggan mereka, khasnya kelas perniagaan dan kelas pertama.

3. Saya berpendapat, alasan beliau itu sangat lemah dan tidak boleh dijadikan sebab bahawa kerajaan tidak boleh mengambil tindakan tegas terhadap syarikat penerbangan negara. Jika ia sekadar keputusan komersial, dan terletak di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan, maka tugas kerajaan menguatkuasakan larangan tersebut dengan membuat peraturan atau garis panduan mengenai arak dalam penerbangan. Jika ia dijadikan peraturan negara, maka syarikat penerbangan yang beroperasi dalam negara ini perlu mematuhi peraturan tersebut.

4. Sepatutnya, kerajaan Malaysia menunjukkan contoh teladan terbaik kepada negara-negara lain khususnya dunia Islam bahawa Malaysia tidak sesekali boleh berkompromi dalam isu minuman arak terutama dalam pesawat. Terlebih lagi syarikat penerbangan Malaysia pernah mengalami pengalaman perit kehilangan pesawat MH 370 dan nahas MH17 beberapa tahun lalu. Meskipun tidak boleh dikaitkan antara arak dengan nahas atau kehilangan pesawat, namun bagi umat Islam, kita mengetahui kaitannya adalah dengan keberkatan perjalanan penerbangan yang diredhai oleh Allah SWT.

5. Bagi saya, kerajaan tidak perlu takut pelanggan akan lari jika tidak mengikut kehendak dan selera mereka kerana pelanggan melihat kepada servis atau pekrhidmatan yang diberikan. Banyak aspek lain boleh dinilai dalam maksud menyediakan perkhidmatan terbaik seperti seperti ketepatan jadual, pengurusan efisyen, layanan mesra, keselesaan, keselamatan, fasiliti dan lain-lain lagi. Tidak semestinya tanpa arak, pelanggan akan kecewa dan mencari syarikat lain. Bahkan, boleh jadi pelanggan akan lebih menyukai syarikat ini kerana aspek keselamatannya terjamin.

6. Larangan minuman beralkohol dalam pesawat adalah satu pendidikan kepada pelanggan bahawa pesawat bukanlah sebuah pusat hiburan atau kelab malam tempat untuk pelanggan melakukan apa sahaja yang dikehendaki. Pesawat adalah sebuah pengangkutan udara yang menumpangkan pelbagai kelompok penumpang dari bayi, kanak-kanak, wanita, lelaki ataupun warga emas. Ia adalah transit sementara untuk mengangkut pelanggan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Oleh itu, keselamatan penumpang dan pesawat adalah perkara utama yang tidak boleh dikompromi.

7. Lagipun, tiada jaminan minuman beralkohol yang dihidangkan boleh menjamin keselamatan penumpang. Banyak berlaku kes penumpang yang mabuk, mengamuk dan mencederakan atau memudaratkan penumpang lain. Malah, ada pesawat yang tergendala jadual penerbangan, mendarat cemas di lokasi lain yang mengancam penumpang lain.

8. Justeru, melihat kebaikan dan kelebihan bebas alkohol dalam pesawat, Malaysia pasti menjadi destinasi yang diidamkan dan pesawat-pesawat dari syarikat Malaysia menjadi pilihan utama pelanggan seluruh dunia.


DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Sabtu, 5 Ogos 2017

TYDP : AHLI PAS WAJIB HADIR USRAH !

PASTIKAN USRAH MENJADI TUNJANG KEKUATAN AHLI PAS 

Tuan Hj. Mokheri Peringat Ahli PAS Agar Tidak Malas Berusrah, Kerana Di sanalah Kekuatan PAS.


Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh, Tuan Hj. Mokheri Abdul Jalil telah bersama-sama ahli PAS Cawangan Pekan Bagan Datuk dalam satu program Usrah dan Liqa' bulanan cawangan tersebut.

Beliau yang juga merupakan Penyelaras DUN Rungkup mengingatkan kepada ahli PAS di cawangan-cawangan agar tidak memandang remeh terhadap program-program tarbiyah termasuklah usrah dan liqa'. Katanya lagi, ahli PAS mesti melihat agenda tarbiyah menjadi asas penting kerana ianya merupakan benteng kekuatan jemaah Islam.

Dikesempatan itu, beliau turut melakukan rawatan Syifa kepada seorang warga emas di cawangan tersebut.




DR. RIDUAN : LAKSANAKAN PENDAFTARAN PEMILIH AUTOMATIK USIA 21 TAHUN

LAKSANAKAN PENDAFTARAN PEMILIH AUTOMATIK USIA 21 TAHUN
(3 Ogos 2017)

1. Gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada 3.7 juta rakyat Malaysia yang belum mendaftar pengundi supaya mendaftar pengundi disambut dengan cadangan oleh Tan Sri Ramon Navaratnam, Pengarah Insttitut Strategi dan Kepimpinan (ASLI). Beliau mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik untuk rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.

2. Asas cadangan beliau amat bernas memandangkan sejumlah besar rakyat yang belum daftar pengundi terdiri dari kalangan belia yang berusia 21 tahun ke atas. Mereka ini yang dimaksudkan oleh PM dan dipujuk untuk daftar sebagai pengundi sesegera mungkin. Bagi golongan kebanyakan khususnya anak-anak muda, tidak ada faktor tekanan yang mendesak untuk mereka tampil ke pejabat Surunjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendaftarkan diri sebagai pemilih. Lebih lagi buat mereka yang tidak peka terhadap politik negara, mendaftar diri sebagai pemilih bukan suatu pilihan untuk mereka lakukan. Bagi mereka, selagi tidak ada paksaan (meskipun wajib) tidak ada sebab untuk mereka bersusah payah menghabiskan masa untuk mendaftarkan diri.

3. Terlebih lagi dengan kekangan dari parti-parti politik yang dahulunya diberikan kebenaran mendaftarkan pengundi. Sekarang, hanya SPR atau beberapa pihak tertentu sahaja diberikan kebenaran membuka kaunter pendaftaran pemilih. Maka, hanya beberapa tempat sahaja kaunter SPR dibuka dan pada waktu yang sangat terbatas.

4. Idea memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik untuk rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas telah lama dicanang oleh parti-parti politik. Bagi PAS sendiri, idea itu bukan baru, ramai pemimpinnya mengemukakan cadangan ini bagi memberi hak kepada kesemua rakyat Malaysia yang telah layak mengundi.

5. Sekaligus idea ini jika dilaksanakan dapat menyelesaikan masalah anak muda yang tidak daftar mengundi atau sukar daftar mengundi. Tidak timbul nantinya 3.7 juta orang atau lebih selepas ini rakyat Malaysia mengabaikan hak mereka yang utama dalam sebuah negara demokrasi. Paling utama, dengan pelaksanaan sistem ini, akan memudahkan tugas SPR, NGO dan parti politik selain menjimatkan masa, wang ringgit dan tenaga.

6. Meskipun pandangan ini telah diutarakan banyak pihak dan telah lama diangkat ke peringkat nasional, namun tidak pasti mengapa kerajaan masih teragak-agak mahu melaksanakannya. Sedangkan ramai pihak menyatakan kebaikannya, dari segi rakyat Malaysia mahupun kepada agensi yang terlibat.

7. Justeru, jika benar PM mahu mengajak 3.7 juta rakyat Malaysia mendaftar sebagai pemilih, beliau perlu bersikap terbuka dan berlapang dada dengan cadangan ini. Laksanakan idea ini sebelum PRU ke 14 agar kesemua mereka itu layak dan boleh turun mengundi. Maksimumkan kemudahan untuk rakyat menunaikan hak mereka, agar tidak ada alasan buat rakyat untuk tidak turun mengundi dalam PRU 14 nanti.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

POLITIK HIDAYAH BUKAN JIBAYAH : TUAN GURU PRESIDEN PAS


POLITIK HIDAYAH BUKAN JIBAYAH



Allah SWT berfirman:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢ الجمعة

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin (buta huruf), seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (daripada ajaran kesesatan syirik dan kejahatannya), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan dan kebijaksanaan mengenai pelaksanaannya) dan sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Al-Jumuah: 2) 
Apabila Rasulullah S.A.W. membawa Islam menjadi petunjuk dalam semua urusan cara hidup beribadat dan lain-lain kepada seluruh alam, malangnya para pemimpin Makkah yang jahil itu menolaknya. 

Allah merakamkan dalam Al-Quran dengan menyebut:

وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٥٧ القصص 

“Dan mereka berkata: “Kalau kami mengikut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (kerana lain daripada realiti yang ada). Bukankah Kami (Allah) telah melindungi mereka dan menjadikan (Negeri Mekah) tempat tinggal mereka sebagai negeri yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman daripada segala jenis sebagai rezeki pemberian daripada sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan untuk mengetahuinya.” (Surah Qasas: 57)

Masyarakat Jahiliyah Arab berpaksikan kebendaan dan kekuatan. Walaupun mereka berada di sisi Ka’abah yang merupakan lambang aqidah tauhid yang dibina oleh Nabi Ibrahim A.S. tetapi kepercayaan kepada pemujaan kebendaan yang dilihat menjadikan mereka sesat sehingga menyembah berhala batu yang dipahat oleh tangan mereka sendiri. Adapun harta yang dijana melalui kegiatan ekonomi mereka hanya boleh menghidupkan Makkah yang terpencil dengan kegiatan ekonomi dunia dikala itu berpaksikan kekuatan dan kekuasaan. Sesiapa yang kuat dialah yang senang kaya-raya, yang lemah terus ditindas sehingga dihamba abdikan. 

Apabila Islam diterima oleh masyarakat majmuk di Madinah, lalu ditegakkan negara berpandukan hidayah (petunjuk Al-Quran) dan hikmah (kebijasanaan) Rasulullah S.A.W. yang dikawal oleh wahyu. 

Projek Rasulullah SAW bermula dengan pembangunan insan mengikut acuan Allah Tuhan Pencipta Alam mengikut komponen fitrah iaitu jasad, roh, akal, individu dan bermasyarakat madani. Politik dan ekonomi pula adalah sebahagian daripada peranan manusia memakmurkan bumi dalam kawalan syariat Allah Pencipta Alam tanpa bertuhankan manusia dan kebendaan. 

Di masa itu masih ada dua negara besar yang bertamadun. Di Baratnya, Rom yang menganut Kristian yang memisahkan urusan dunia daripada agama. Di Timurnya, Parsi yang menganut Majusi bersama pengaruh ketimuran China dan India yang berkonsepkan keberhalaan. Kedua-dua negara besar itu kaya-raya dan maju dengan tamadun kebendaan yang ditegakkan dengan kuasa menindas rakyat. 

Islam yang dimulakan dengan pembangunan insan mengikut acuan Allah masih dalam keadaan sangat miskin tanpa banyak harta. Ini dinyatakan dalam mesej kepada kedua-dua kuasa besar itu dan ditegaskan risalahnya oleh Rub’ei ‘Aamir yang menjadi utusan menemui Kerajaan Parsi:

الله ابتعثنا لنخرج من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام، ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة. 

“Allah yang menghantar kami supaya mengajak kamu, keluar bebas daripada menjadi hamba kepada sesama makhluk kepada menjadi hamba hanya kepada Allah sahaja, daripada kezaliman berbagai agama dan (teori falsafah) kepada keadilan Islam, dan daripada wawasan dunia yang sempit (sementara waktu sahaja) kepada wawasan yang luasnya daripada dunia sehingga Hari Akhirat (yang kekal selama-lamanya)”. 

Akhirnya Islam yang dibawa oleh generasi awal yang buta huruf dan miskin serta tiada asas tamadun kebendaan telah berjaya menumbangkan kedua-dua kuasa besar yang bertamadun itu kerana kezaliman pemerintahannya sehinggakan rakyatnya sendiri mahukan perubahan. 

Selepas Islam yang sempurna dilaksanakan dengan sepenuhnya dalam negara yang besar, luas dan masyarakat majmuk, akhirnya ramai penduduk yang menganut Islam tanpa paksaan dan masih ramai juga yang berpegang dengan agama masing-masing tetapi lebih redha dan rela berada di bawah pemerintahan Negara Islam yang berkebajikan. 

Pemerintah Islam hanya membuang konsep jahiliyah yang zalim daripada Tamadun Timur dan Barat tetapi menerima segala peninggalan dan warisan ilmu yang bermanfaat daripada Tamadun Timur dan Barat. Mereka membina tamadun baru dengan mengislamkan warisan tamadun lama berkonsepkan hidayah Al-Quran:

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ العلق .

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia dengan qalam (pena). (4)” (Surah al-‘Alaq: 1-4)

Semua ilmu yang bermanfaat hendaklah berkonsepkan aqidah beriman dan beribadat kepada Allah Pencipta Alam, sebagaimana dihuraikan oleh sabda Rasulullah S.A.W.

الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها

“Kebijaksanaan itu kepunyaan orang yang beriman, maka di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah orang yang paling berhak mengambilnya” 

Tamadun Islam juga telah berjaya meneroka asas sains dan teknologi yang memberi manfaat dengan memandu ilmu akal, kajian dan pengalaman yang telah sedia ada dengan hidayah Allah berdasarkan sempadan halal dan haram. 

Dalam aspek politik dan ekonomi pula, Allah menyatakan hidayahnya dalam Al-Quran:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ الحج

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj: 41)

Ayat ini menegaskan tentang konsep kuasa politik dan ekonomi zakat yang mengambil bayaran wajib daripada golongan kaya, memperkenalkan konsep ekonomi yang menjadi mata rantai yang tidak boleh diputuskan dengan ibadat solat dan politik penguatkuasaan undang-undang yang menegakkan perkara kebajikan dan mencegah kemungkaran dengan syariat Allah yang berwawasan Hari Pembalasan di Akhirat. 

Selanjutnya Allah menghuraikan konsep ekonomi dalam pembahagian harta negara melalui firman-Nya:

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ ٧ الحشر 

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) daripada harta penduduk negeri, bandar atau desa (dengan aman damai), maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya daripada kalangan kamu” (Surah Al-Hasyr: 7)

Kedatangan Islam yang sempurna pelaksanaannya dalam sejarah keemasan dialu-alukan oleh semua bangsa untuk menjadi penyelamat bukannya penjajah seperti yang dilakukan oleh kuasa besar yang menguasai dunia sebelum dan selepasnya. 

Di zaman Islam terbukti betapa benarnya firman Allah:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ الأعراف 

“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, daripada langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan” (Surah Al-A’araf: 96)

Di antaranya, hasil negara bertambah tanpa membebankan cukai terhadap rakyat miskin dengan pertambahan yang terus meningkat dengan pesat dan maju. 

Contohnya diwujudkan bandar baru di Zaman Abbasiyyah seperti Baghdad, Mosul dan lain-lain apabila golongan kaya mendirikan Musafir Khanah (Hotel Wakaf Percuma) yang menjadi tempat persinggahan dengan menggunakan harta wakaf dan kerajaan pula membina hospital percuma sehingga menjadikan tempat itu sebagai tempat persinggahan para musafir dan pengunjung. 

Lalu pusat perniagaan berkembang dengan pesat dan meningkatkan hasil zakat perniagaan, pertanian dan lain-lain yang diwajibkan bagi penganut Islam berkonsepkan ibadat harta dan diri. Manakala Jizyah, Kharaj dan Usyur (cukai perniagaan, pertanian dan lain-lain) dikenakan ke atas orang bukan Islam yang akhirnya menambahkan hasil negara. 

Di Andalusia (Sepanyol) pula ada bandar bernama Malaqa (tempat pertemuan) mengamalkan konsep yang sama. Saya teringat betapa Negeri Melaka diwujudkan oleh Islam di Rantau Asia Tenggara adalah satu nama tempat yang masyhur, tetapi malangnya penjajah mengajar sejarah dengan mengatakan Negeri Melaka berasal daripada nama pokok Melaka sahaja. 

Begitulah juga pada hari ini, Islam menyanggah segala teori yang berpaksikan kebendaan yang dianuti oleh ahli falsafah di Timur dan Barat dan anak murid mereka di kalangan umat Islam yang terpengaruh dengannya. Kini ternyata bahawa teori-teori mereka itu menyusahkan negara khususnya rakyat. 

Di antara contohnya ialah apabila berlaku krisis ekonomi, rata-rata rakyat mengadu kenaikan harga barangan, kerajaan pula berhempas pulas membetulkan kedudukan ekonomi, namun rakyat juga yang dibebankan dengan cukai dan kenaikan harga barangan. Semuanya berpunca daripada teori yang berpaksikan kebendaan semata-mata sehingga kebendaan yang ada disekelilingnya juga berkecai tidak mampu diurus.

Walaupun ada kalangan yang membuat kenyataan inginkan Islam tetapi mengikut kenyataan tokoh ulama’ terkenal, Abu Hasan Ali Al-Nadawi R.A. bahawa ada dua pendekatan yang dijadikan panduan sama ada konsep hidayah atau konsep jibayah.

Konsep Hidayah berdasarkan keimanan kepada janji berkat bersama Islam, lalu dilaksanakan dengan berani mengikut batas sempadan halal dan haram dengan tegas dan istiqamah percaya kepada janji Allah.

Konsep Jibayah pula melaksanakan Islam secara terpilih mengikut akalnya yang terus bergayut kepada kebendaan yang menjadi berhala yang dipuja atau kiblat yang dihadap sehingga melanggar batas halal dan haram. 

Percukaian atau konsep Jibayah kekayaan kewangan dipercayai menjadi roh kepada kerajaan sehingga tanpa mengira apakah kesannya. Tetap terpengaruh kepada dua pendekatan yang dikenali di dunia hari ini iaitu Liberal Kapitalisme atau Sosialiasme / Komunisme, kemudian diadakan pula Teori Pragmatisme. Semuanya berkiblat dan berpaksikan kebendaan semata-mata.

Pemimpin negara yang masih hidup dipanjangkan umurnya untuk menyaksikan apa yang diwar-warkan kebijaksanaannya dahulu dalam mengurus negara dengan teori sekali ke Timur dan sekali ke Barat serta teori penswastaan, telah mengakibatkan kerajaan berlumba dalam aspek ekonomi bersama rakyat bagi menjana ekonominya kerana tidak cukup dengan cukai yang sedia ada dan betapa sumber daripada bumi dan tenaga manusia daripada rakyat dan kerajaan dikira tidak mampu. Tiba-tiba kesannya adalah ramai yang dibuang kerja dan menjadi penganggur dengan kesempitan hidup kerana tidak seimbang di antara gaji dan pendapatan dengan kos sara hidup diri dan keluarga dalam negara yang dibarahi inflasi. 

Mangsanya termasuk mereka yang berpendidikan tinggi dan berpengalaman bekerja tetapi tidak mampu diurus dalam bumi yang banyak hasil. Ada pun tenaga manusia tidak mampu dimanfaatkan dan Wawasan 2020 yang digagaskannya tidak sampai ke Hari Akhirat. 

Ibnu Khaldun menyebut di dalam kitabnya المقدمة (Al-Muqadimah) menjelaskan dalam satu fasal yang khusus dengan huraian yang panjang:

الفصل الأربعون في أن التجارة من السلطان مضرة بالرعايا ومفسدة للجباية (مقدمة ابن خلدون 1/ 379)

“Fasal 40 berkenaan penglibatan kerajaan dalam perniagaan membawa mudarat kepada rakyat dan merosakkan sistem percukaian”
Saya telah menyebut dalam tulisan terdahulu betapa pentadbiran British berkonsepkan Negara Kebajikan (Welfare State) terpengaruh dengan Islam, tetapi mereka tidak menganut agama Islam (Konsep Negara Berkebajikan) yang lebih luas dan menyeluruh. Di mana konsep ‘Welfare State’ tiada roh dan wawasan Akhirat. Di awal kemerdekaan, kita menyaksikan pemerintahan negara kebajikan ala British diamalkan apabila kerajaan melaksanakan rawatan perubatan dan pendidikan percuma. Kerajaan hanya mengurus perkara kepentingan umum seperti bekalan air, tenaga eletrik, jalanraya, Telekom dan Pos. Selepas itu dicipta pula Teori Pandang ke Timur, kemudian ke Barat dan sekali sekala ke Timur pula. Saya tidak ingin mengambil masa untuk mengulas lebih panjang kerana telah disaksikan oleh umum, betapa muqadimah dan kesudahannya pada hari ini.

Sebenarnya Allah memberi rezeki yang mencukupi kepada manusia. Apabila berlaku hasil negara tidak mencukupi menunjukkan adanya kesilapan manusia sendiri. 

Firman Allah:

۞وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ ٢٧ الشورى

“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.” (Surah As-Syura: 27)

Mereka yang berfikiran Jibayah tanpa Hidayah adalah paling durjana ketika berkuasa dan tidak berkuasa sekiranya tidak insaf dan bertaubat. 

Benarlah sabda Rasulullah S.A.W.:

لَوْ أَنَّ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
صحيح البخاري - مكنز (21/ 298، بترقيم الشاملة آليا)

“Kalaulah diberi kepada manusia itu satu lembah yang penuh emas, nescaya dia mahu dua lembah yang penuh emas juga, dan tidak boleh memuaskan mulutnya melainkan dipenuhkan tanah (ditimbus ke dalam kubur). Dan percayalah bahawa Allah menerima sesiapa yang bertaubat” 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 11 Zulkaedah 1438H / 4 Ogos 2017


Khamis, 3 Ogos 2017

BERPOLITIK SECARA SIHAT DAN MATANG, ELAK AIBKAN PERIBADI MUSUH POLITIK !


BERPOLITIK SECARA SIHAT DAN MATANG, JANGAN MENGAIBKAN PERIBADI MUSUH POLITIK

(2 Ogos 2017)



1. Setelah pendedahan yang ‘dianggap’ menggemparkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi mengenai nama penuh Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Mahathir a/l Iskandar Kutty, hari ini Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed pula tampil membela bosnya itu dengan mengesahkan pendedahan TPM itu.

2. Mungkin bagi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Nur Jazlan Mohamed, ia pendedahan yang hebat tetapi bagi rakyat kebanyakannya, ia tidak membawa apa-apa implikasi dan kesan langsung. Perseteruan antara pemimpin UMNO dengan bekas pemimpin tertinggi UMNO itu tidak perlu meleret dengan mengheret sama rakyat untuk turut terjebak dengan perangkap politik mereka.

3. Apa faedahnya mendedahkan nama penuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melainkan hanya sekadar untuk memalukan bekas Perdana Menteri paling lama di negara ini. Jika TPM boleh mengaibkan Tun Dr Mahathir, jangan hairan jika beliau pula ‘ditelanjangkan’ pula oleh Tun. Jika ini berterusan, bila polemik politik sempit ini akan berakhir.

4. Apa yang dibimbangkan adalah serangan peribadi menjadi senjata paling ampuh untuk melumpuhkan kerjaya politik seseorang. Ianya menjadi trend supaya orang yang dibenci terus diserang dan dimusuhi segenap penjuru, tanpa mengira halal atau haramnya langkah mereka. Jika serangan itu dilakukan oleh media cyber trooper mana-mana pihak boleh diabaikan, tetapi bagaimana serangan dilakukan oleh pemimpin nombor dua negara melalui majlis rasmi yang dihadirinya?

5. Apakah TPM dan Datuk Nuyr Jazlan tidak fikir, tindakan mereka seperti mengajar rakyat agar menggunakan isu peribadi untuk menyerang musuh politik mereka. Jika TPM boleh menggunakan isu peribadi, rakyat juga boleh menggunakan isu peribadi seperti latar belakang, isu keluarga, bahkan sampai kepada isu sulit yang boleh menjatuhkan maruah diri untuk menjatuhkan sesiapa juga yang dibenci.

6. Sepatutnya pemimpin negara sedar bahawa rakyat sudah jemu dengan politik sempit mainan mereka setiap hari. Pendedahan ini langsung tidak mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, tidak menurunkan harga minyak dan harga barang keperluan, tidak pula menaikkan pendapatan dan gaji rakyat, juga tidak mengurangkan kadar jenayah. Malah isu 1MDB yang menjadi bahan bualan dunia pada hari ini tidak pula dapat diredakan. 

7. Apa yang rakyat mahukan adalah penyelesaian terhadap kemelut yang membelenggu mereka. Persoalan yang menghantui rakyat perlu jawapan, bukan bermain dengan politik yang sempit. Nampaknya semakin hampir dengan PRU ke 14, semakin banyak serangan liar dilemparkan oleh penguasa terhadap sesiapa sahaja yang dirasakan sebagai ancaman. Keadaan ini seolah menggambarkan pemimpin UMNO-BN semakin tersepit dan terdesak bagi memenangi Pru ke 14.

8. Nasihat saya, kepada semua pihak, sama ada pemimpin negara mahupun pembangkang, berpolitiklah secara sihat dan matang. Lawanlah hujah dengan hujah, fakta dengan fakta, kritikan dengan kritikan yang membina. Islam tidak meredhai kemenangan yang diraih dengan cara berpolitik secara kasar dan liar. Kami diajar di dalam PAS untuk berpolitik secara sihat, dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan, bukan menjaga kepentingan diri dengan mengorbankan rakyat dan negara.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

MINDA ANAK MUDA : MULIANYA MELAYU DENGAN ISLAM


Mulianya Melayu dengan Islam



Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia! Kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berpuak-puak dan berqabilah supaya kamu mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa (kepada Allah) di kalangan kamu, sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Mahu mendalam pengetahuanNya. (Al-Hujuraat:13)

Al-Quraan adalah kitab petunjuk daripada Allah kepada manusia. Kesemua isi kandungannya tidak lain tidak bukan melainkan untuk memandu manusia ke jalan yang lurus. Apabila Al-Quraan menyebut kejahatan dan keburukan satu-satu kaum dan bangsa bukan bertujuan untuk menghinanya tetapi sebagai iktibar supaya manusia lain tidak mengikutnya. Inilah manhaj Al-Quraan dalam membina diri manusia supaya berbakti kepada TuhanNya yang mencipta alam ini.  

Kaum dan bangsa yang paling banyak disebut di dalam Al-Quraan ialah kaum Yahudi/Banu Israel. Mereka dimuliakan oleh Allah bukan kerana kebanyakan anbiya dari kalangan mereka akan tetapi kerana mereka mengikut petunjuk Allah yang dibawa oleh nabi-nabi mereka. Setelah mereka menyeleweng, mereka dimurkai dan dihina oleh Allah dengan sehina-hinanya. Sebanyak 50 surah disebut di dalam Al-Quraan tentang kejahatan mereka. Merekalah kaum yang mempersendakan Allah, membunuh anbiya, melakukan kerosakan, penyebab kepada peperangan dan lain-lain lagi. Tujuan ianya disebut bukan untuk menghina dan merendah-rendahkannya akan tetapi sebagai peringatan dan pengajaran. Jikalau tujuannya kerana zat kaum dan bangsa semata-mata masakan Nabi Muhammad s.a.w mengahwini perempuan daripada Banu Israel dan menerima bangsa Banu Israel memeluk Islam seperti Abdullah bin Salaam dan lain-lain lagi.

Samalah juga permusuhan umat Islam dengan bangsa Yahudi di Israel pada hari ini, bukan kerana mereka berbangsa Yahudi tetapi kerana sikap dan tindakan mereka yang menzalimi, merampas dan menindas rakyat Palestin.     

Jikalau begitu kedudukannya dengan bangsa Yahudi maka samalah juga dengan bangsa dan keturunan lain, semua manusia adalah sama daripada Nabi Adam a.s, yang paling mulia ialah yang paling baik perangainya dengan mengikut panduan Islam. Abu Jahal tetap hina walaupun daripada keturunan Arab. Bilal bin Rabah mulia di sisi Allah walaupun dari keturunan Afrika. Mulianya bangsa Arab kerana mereka berpegang dengan Islam sehingga satu pertiga dunia berada di tangan mereka. Akan tetapi pada hari ini mereka berpecah, berperang sesama sendiri dan berbunuhan antara satu sama lain setelah mereka meninggalkan Islam. 

Justeru PAS sebagai sebuah parti Islam sentiasa mengajak semua bangsa dan kaum supaya kembali kepada Islam khususnya bangsa Melayu. Kemulian orang Melayu ialah dengan Islam bukannya dengan zat bangsa Melayu. Inilah beza perjuangan yang berasaskan Islam dan perjuangan yang berasaskan perkauman yang sempit. UMNO yang memperjuangkan kebangsaan Melayu hanya pada kulitnya sahaja bukan pada roh dan jatidirinya. Dimana kedudukan tulisan jawi yang menjadi jatidiri kepada bahasa Melayu setelah ianya dimansuhkan oleh bangsanya sendiri. Dimanakah kedudukan tanah rizab Melayu setelah ianya digadaikan oleh bangsanya sendiri. Dimanakah kedudukan politik Melayu Islam setelah pemimpin-pemimpinnya hanya mementingkan kroni dan orang keliling. Apa yang UMNO lakukan sebelum ini untuk bangsa Melayu yang ketinggalan di Pulau Pinang sehingga hari ini baru hendak berkokok. Negeri-negeri yang majoritinya Melayu tidak ditambahkan kerusi parlimen kerana bimbang akan dimenangi oleh parti seteru yang sebangsa dengannya, dalam masa yang sama menambah kerusi-kerusi di negeri-negeri yang bercampur dengan bangsa dan kaum lain. Tindakan menafikan hak royalti minyak kepada Terengganu dan Kelantan suatu ketika dahulu adalah contoh jelas sifat hipokrit UMNO terhadap negeri-negeri Melayu. Pemimpin UMNO sendiri yang mengakui wujudnya penyakit rasuah kronik dalam diri parti UMNO, dalam masa yang sama menyebarkannya kepada bangsa Melayu demi untuk mendapatkan sokongan. Kita tidak perlu menuding jari terhadap orang lain dengan alasan aku lebih Melayu daripadanya selagimana kita tidak meletakkan Islam sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah-masaalah yang berlaku dalam negara pada hari ini.

PAS bukannya parti perkauman tetapi parti yang meletakkan kaum di tempatnya yang adil. Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu Islam mestilah memegang tampuk pemerintahan kerana itulah keadilannya. Negara Jepun yang paling maju meletakkan bangsa Jepun sebagai ketua negara bukannya bangsa Inggeris. Negara Jerman yang paling terkehadapan di benua Eropah meletakkan bangsa Jerman sebagai ketua negara bukannya bangsa Perancis.

PAS bukannya parti yang menentang individu tetapi sebuah parti yang mahukan perubahan dasar dan polisi untuk kepentingan ugama, bangsa dan negara. Rosaknya fikiran bangsa Melayu bukan kerana Tun Mahathir yang didakwa bukan keturunan Melayu, akan tetapi kerana dasar UMNO yang membela Melayu tertentu dan menzalimi Melayu lain kerana berlainan aliran politik dengannya. Walaupun Tun Mahathir telah meninggalkan UMNO, Melayu tetap rosak jika meneruskan agenda-agenda yang salah dan bercanggah dengan Islam.  

PAS menyeru kepada bangsa Melayu supaya kembali kepada Islam sebagai jalan penyelesaian bukan penyelesaian cara UMNO yang menggula-gulakan bangsa Melayu dengan janji-janji manis kebendaan setiap kali tibanya musim pilihanraya. Seruan ini adalah konsisten sejak daripada penubuhan PAS sehinggalah pada hari ini. Masih belum terlambat kepada bangsa Melayu untuk kembali ke pangkal jalan. 

“Mara Menuju Cita”

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS 2017/19
10 Zulkaedah 1438 bersamaan 2 Ogos 2017

Rabu, 2 Ogos 2017

PRESIDEN PAS : ISLAM BUKAN POLITIK CATUR DAN JUAL UBAT

ISLAM BUKAN POLITIK CATUR DAN JUAL UBAT 


Politik dalam Bahasa Arab disebut ‘Siyasah’, ‘Khilafah’ atau ‘Imamah’ adalah menjadi sebahagian daripada tujuan manusia diciptakan oleh Allah, sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT:



وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠ البقرة 

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan-Mu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah: 30)

Para ulama’ menafsirkan Khilafah itu bermaksud Siyasah (politik) atau Imamah (kepimpinan negara) yang berkait dengan urusan mentadbir negara dengan segala komponennya, memerintah dan mengurus dengan Islam. 

Ayat ini ditafsirkan oleh sabda Rasulullah SAW:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِىٌّ خَلَفَهُ نَبِىٌّ، وَإِنَّهُ لاَ نَبِىَّ بَعْدِى، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ. قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ الأَوَّلِ فَالأَوَّلِ، أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ
صحيح البخاري - مكنز (12/ 168، بترقيم الشاملة آليا)

“Bani Israel di zaman dahulu dipimpin siyasahnya (politik) oleh para Anbiya. Apabila wafatnya seseorang Nabi, Allah menggantikannya dengan nabi yang dilantik (Allah) selepasnya. Akan ada (kalangan kamu) para khalifah (pemimpin) yang ramai”. Lalu para sahabat bertanya: “Apakah suruhan Rasulullah kepada kami?”. Sabdanya: “Tunaikan baiah (janji setia) kamu kepada yang terawal kemudian yang berikutnya. Berilah hak yang wajib ditunaikan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah akan bertanyakan mereka (di Hari Kiamat nanti) berkenaan urusan mereka”.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. meletakkan pemimpin yang adil di tempat pertama daripada senarai mendapat fadilat pada Hari Kiamat dan senarai ahli Neraka terhadap pemimpin yang khianat dan menipu rakyat. 

Al-Quran juga melaporkan semua para Rasul A.S. berdakwah menghadapi kerajaan yang menolak Islam di zaman masing-masing, bukan sahaja menyelamatkan aqidah rakyat. Ada kalangan Rasul A.S. yang sempat menegakkan negara dan memimpinnya seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S. termasuk Rasulullah S.A.W. walaupun ramai yang wafat dalam perjuangan tanpa menyaksikan kemenangan perjuangan mereka. 

Adapun teori pemisahan politik daripada agama bukan daripada Islam. Teori pemisahan ini dibawa oleh penjajah yang menganut agama Kristian yang diselewengkan daripada Kitab Injil yang telah diubah daripada yang sebenarnya dibawa oleh Nabi Isa A.S.

Allah menegaskan betapa Nabi Isa A.S. berkait rapat dengan Kitab Allah yang diturunkan sebelumnya (Kitab Taurat) dan Rasul Akhir zaman Nabi Muhammad S.A.W, ini dinyatakan dalam firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ يَٰبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ إِنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُم مُّصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَمُبَشِّرَۢا بِرَسُولٖ يَأۡتِي مِنۢ بَعۡدِي ٱسۡمُهُۥٓ أَحۡمَدُۖ فَلَمَّا جَآءَهُم بِٱلۡبَيِّنَٰتِ قَالُواْ هَٰذَا سِحۡرٞ مُّبِينٞ ٦ الصف 

“Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah (Rasul) kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad (Muhammad S.A.W).” Maka ketika dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!” (Surah As-Saff: 6)

Pada asalnya ilmu politik Islam dimasukkan dalam pengajian Feqah, namun di zaman mutaakhir dikaji secara khusus. Imam Al-Ghazali meletakkannya dalam Kitab Aqidah (الاقتصاد فى الاعتقاد), Bab Imamah (Kepimpinan negara). 

Ramai kalangan ulama menulis secara berselerak dalam Kitab Tafsir, Hadis dan Feqah, namun ada yang menulis kitab secara khusus, di antaranya para ulama Mazhab Syafi’e seperti Al-Mawardi (wafat pada tahun 450H) mengarang kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah, Imam Al-Haramain Al-Juwaini (wafat pada tahun 476H) mengarang kitab Ghiyats Al-Umam dan para ulama daripada semua mazhab juga menulis kitab panduan politik pemerintahan di zaman dan negeri masing-masing, termasuk Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fatoni meletakkan perkara politik di dalam Kitab Munyatul Musalli dalam Bahasa Melayu Klasik yang terkenal.

Maka mereka yang terlibat dalam politik Islam mestilah mempelajari ilmunya, bukan laksana politik penjual ubat, sekadar mahu melariskan ubat atau sekadar mengumpulkan pelanggan seramai-ramainya berwawasan dunia untuk mendapat kuasa sementara waktu sahaja.

Politik Islam juga tidak boleh dimain catur untuk mencapai matlamat menghalalkan segala cara dan meletakkan Islam sekadar menjadi alat sahaja. Politik Islam bertunjangkan ubudiah kepada Allah, memikul amanah dengan melaksanakan syariat dan berwawasan akhirat, menyelamatkan seberapa ramai manusia dengan petunjuk Allah dan berpaksikan hidayah bukan jibayah. 

Hidayah bermaksud meletakkan petunjuk Al-Quran dan Sunnah menjadi panduan, beristiqamah dalam perkara dasar dan matlamat, di samping anjal dalam menangani masalah dan isu semasa yang sentiasa berubah. Jibayah bermaksud matlamatnya kebendaan dan dunia sahaja sehingga tidak beristiqamah dengan petunjuk Allah atau mempermainkannya demi mencapai matlamat itu. 

Allah mewahyukan di dalam Al-Quran tentang cerita-cerita iktibar daripada para Rasul A.S. dan penentangnya serta dihuraikan pula dalam Peristiwa Isra’ dan Mikraj apabila ditemukan dengan para Rasul A.S. 

Ada kalangan Rasul A.S yang ramai pengikutnya, ada yang bersama pengikut yang sedikit dan ada yang berseorangan tanpa pengikut. Maka Rasulullah S.A.W. menunjukkan ketegasannya kepada Abu Talib (bapa saudara kesayangannya yang sangat berbudi) apabila ditawarkan kerajaan dan harta secara percuma:

"يا عم والله لو وضعوا الشمس في يميني والقمر في يساري على ان أترك هذا الأمر حتى يظهره الله أو أهلك فيه ما تركته ".) السيرة النبوية لابن هشام 2/ 101(

“Wahai bapa saudara yang dikasihi! Kalaulah mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (Islam) atau aku mati kerana perjuangannya, nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini”

Dalam masa yang sama, Rasulullah S.A.W. menunjukkan cara politik matang dan sejahtera terhadap kawan dan lawan. Beristiqamah menghadapi rebah dan bangun, pasang dan surut walaupun memakan masa untuk kejayaan yang dijanjikan oleh Allah, sehingga menguasai dunia yang luas selepas kewafatan baginda, bukan di masa hayatnya. 

Maka generasi PAS kini yang melangsungkan perjuangan ini, jangan melupai generasi terdahulu yang pernah bergayut dengan hanya satu kerusi Parlimen pada tahun 1951 dan kembali satu pula pada tahun 1986 setelah banyak kerusinya dan memerintah negeri yang dijatuhkan pula, pernah bersama Kerajaan Pusat dan beberapa siri tahaluf dengan parti-parti lain. 

Masih banyak pendekatan Politik Islam yang ditulis oleh para ulama’ di dalam kitab mereka dan masih banyak pendekatan yang tersirat di dalam mukjizat ilmu Al-Quran dan kebijaksanaan Sunnah Nabawiyyah. Namun kita mesti teguh dan beritiqamah bersama hidayah dan tidak jumud dengan pendekatan usang tanpa bijaksana dalam menangani perubahan.

Percayalah bahawa PAS tidak mati selagi bersama Islam. Bahkan parti serpihan yang cuba diwujudkan sama ada sudah ditimbus ke liang lahad atau ikan bernyawa yang kekeringan air. PAS bersama Islam yang tidak disembunyikan, tetap teguh dan tidak mungkin dicatur oleh pencatur politik dan dijaja oleh ahli politik penjual ubat. 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 9 Zulkaedah 1438H / 2 Ogos 2017

SETELAH 3 TAHUN, MANA DIA PNTU GERBANG YANG PATUT SIAP LEBIH KURANG SEBULAN SAHAJA ?

RAKYAT NAK TAHU..MANA PINTU GERBANG NYA ?

Penduduk Mahu Penjelasan Tentang Status Sebenar Projek Bina Pintu Gerbang Setelah Hampir 3 Tahun Jangkaan Siap


Jelas tertera di papan tanda yang masih kekal di sini bahawa satu projek membina baru 1 unit pintu gerbang Kg. Parit 1, Sg. Sumun akan dibina oleh nama kontraktor , Shamsuddin bin Nekmat dibawah Projek Mesra Rakyat Tahun 2014 Parlimen Bagan Datoh.
Jika diikutkan rekod di papan tanda tersebut bahawa projek ini bermula pada 18 /7 /2014 dan jangka siap pada 29 /8/ 2014 ( lebih kurang 1 bulan sahaja ).
Namun, hakikat hari ini ialah yang ada dan siap hanyalah sebatang tiang berdiri tanpa pasangan. Sudah hampir 3 tahun lebih projek tersebut yang sepatutnya sudah siap.
Mohon pihak berkenaan jelaskan keadaan sebenarnya agar rakyat tahu.





jambori amal kuala kangsar 2008