pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Rabu, 13 Disember 2017

TUAN GURU PRESIDEN PAS : ISLAM DAN KOS SARA HIDUP

Kenyataan Media Presiden PAS
ISLAM DAN KOS SARA HIDUP

Firman Allah:
۞وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ ٢٧ وَهُوَ ٱلَّذِي يُنَزِّلُ ٱلۡغَيۡثَ مِنۢ بَعۡدِ مَا قَنَطُواْ وَيَنشُرُ رَحۡمَتَهُۥۚ وَهُوَ ٱلۡوَلِيُّ ٱلۡحَمِيدُ ٢٨ وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَمَا بَثَّ فِيهِمَا مِن دَآبَّةٖۚ وَهُوَ عَلَىٰ جَمۡعِهِمۡ إِذَا يَشَآءُ قَدِيرٞ ٢٩ وَمَآ أَصَٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٖ فَبِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِيكُمۡ وَيَعۡفُواْ عَن كَثِيرٖ ٣٠ الشورى.
“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata. (27) Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsan-Nya), lagi Yang Maha Terpuji. (28) Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki (melakukannya). (29) Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu). (30)” (Surah As-Syura: 27-30)
Tajuk kos sara hidup menjadi perbincangan hangat hari ini, khususnya apabila sangat membebankan kehidupan rakyat sehingga pendapatan tidak mampu menanggung perbelanjaan hidup seharian. Kalaulah yang berpendapatan sederhana yang besar jumlahnya mengeluh, apatah lagi kalangan berpendapatan rendah yang sangat besar juga jumlahnya, penganggur dan golongan kurang upaya. Ia tidak mengira yang bergaji atau berkerja sendiri juga menghadapi bebanan yang sama.
Lebih malang kalangan penduduk bandar dan pinggir bandar. Semakin besar bandar yang dinaik taraf khususnya apabila disebut Bandar Raya, semakin berat bebanannya. Petani dan nelayan pula menghadapi peniaga dan penyangak yang juga membebankan kos sara hidup bagi mendapat keperluan yang bukan kerjanya.
Tanpa mengira pelbagai sebab dan punca yang berlaku sehingga meningkatnya kadar inflasi yang melibatkan apa sahaja barangan, perkhidmatan, kejatuhan nilai mata wang, pengurusan, kuasa membeli dan lain-lain atau melibatkan kerajaan, kalangan rakyat dan penggiat ekonomi, semuanya wajib dilakukan muhasabah yang semestinya ditangani oleh semua pihak supaya melakukan islah dan perubahan.
Banyak pihak telah mengulas dan melakukan analisa, serta mengemukakan pandangan yang lebih dipengaruhi oleh teori barat dalam aspek politik, ekonomi dan kemasyarakatan yang memisahkan semuanya daripada agama yang menegaskan kewajipan menghitung dosa dan pahala di sisi Allah dalam semua kegiatan manusia, seperti yang ditegaskan oleh ajaran Islam, bahawa semua urusan cara hidup ada kaitan dengan agama.
Ayat-ayat Al-Quran yang disebut di atas menegaskan betapa kebijaksanaan Allah mentadbir manusia, bukan sekadar menurunkan hidayah-Nya yang dapat dibaca, bahkan manusia juga dikurniakan akal, pancaindera, ilmu dan kemampuan jasad serta rezeki yang cukup secara saksama dan adil.
Sebenarnya manusialah melakukan kesalahan dalam urus tadbir kehidupan mereka, kerana menggunakan akal semata-mata tanpa moral yang luhur apabila meninggalkan hidayah Allah, khususnya sifat mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan masyarakat, sifat tamak haloba mengejar keuntungan tanpa simpati terhadap pengguna, sifat bakhil terhadap orang lain, sanggup boros dan membazir dalam kalangan orang kaya kerana hidup bermewah-mewah tanpa peduli kesannya terhadap golongan miskin. Semuanya memberi kesan negatif kepada ekonomi berkeluarga dan bermasyarakat, khususnya apabila mengundang kos sara hidup yang tidak saksama dengan pendapatan.
Para ulama Islam yang tersohor seperti Ibnu Khaldun, Al-Syatibi dan lain-lain telah menghuraikan aspek tersebut, bukan sahaja untuk zamannya, bahkan meredah masa hadapan ke zaman kita, sehingga menangani masyarakat manusia seluruhnya dengan rezeki yang melimpah ruah tetapi berlaku kesan yang negatif, apabila tanpa mengira perhitungan iman dan akhlak. Namun, Allah menangguhkan balasan akhirnya di Hari Akhirat dengan didahulukan fenomena hidup di dunia supaya sedar dan insaf. Allah berfirman:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١ الروم
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)
Para ulama telah membahagikan kehidupan manusia dengan pembahagian mengikut konsep Al-Dharuriyyat, Al-Hajiyyat, Al-Tahsiniyyat dan Al-Tarafiyyat yang mencakupi aspek kehidupan manusia dan secara khusus juga sangat mempengaruhi aspek ekonomi dan cara kehidupannya dalam lapangan individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Al-Dharuriyyat adalah perkara asas yang perlu dalam keperluan hidup seperti makanan asasi, pakaian dan rumah kediaman, iaitu sekadar dapat hidup walaupun tanpa kesenangan. Keperluan makanan sekadar mengisi perut untuk meneruskan kehidupan, pakaiannya pula sekadar menahan badan daripada udara dan cuaca yang menganggu kesihatan dan menjaga maruah dengan menutup aurat. Kediaman yang cukup bagi tempat menetap dan beristirehat untuk diri dan keluarga, walaupun tanpa punya kenderaan sendiri kerana sudah ada kemudahan pengangkutan kegunaan umum.
Al-Hajiyyat adalah penambah baikan yang diperlukan bagi memberi keselesaan sekadar yang cukup, seperti keperluan perasa gula dan garam, manis dan pedas kepada makanan. Pakaian tambahan dan mengikut musim cuacanya, ada kemudahan bekalan air, eletrik dan ada kenderaan dan lain-lain sekadar yang dihajati.
Al-Tahsiniyyat adalah penambah hiasan supaya lebih menarik dan menghiaskan dalam semua keperluan di atas, seperti memperbagaikan makanan, pakaian dan menghias rumah dan halamannya.
Al-Tarafiyyat adalah kemewahan yang melampaui batas, seperti makanan dan pinggan mangkuk termahal yang diimport, kediaman istana dan mahligai yang besar dan lebih daripada satu, ada yang berpaip airkan emas, kenderaan paling mahal dan jumlah yang banyak melampau, sehinggalah mengimport pemain bola sepak dari luar negara dengan kos berjuta-juta dalam kegiatan sukan. Aspek ini kurang disebut kerana melibatkan segelintir golongan atasan yang berkuasa dan berpengaruh.
Allah menunjukkan konsep kesederhanaan hidup dalam diri, keluarga dan negara dengan firman-Nya:
وَلَا تَجۡعَلۡ يَدَكَ مَغۡلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومٗا مَّحۡسُورًا ٢٩ إِنَّ رَبَّكَ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقۡدِرُۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرٗا ٣٠ الإسراء
“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil) dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. (29) Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (30)” Surah Al-Isra’: 29-30)
Apa yang menjadi masalah apabila manusia sendiri merungkai tertibnya, sehingga perkara Al-Hajiyyat dan Al-Tarafiyyat sudah diangkat menjadi Al-Dharuriyyat, menyebabkan golongan yang mengejar keuntungan yang besar banyak mengeluarkannya, dan mengurangkan pengeluaran Daruriyat sehingga terpaksa diimport dari luar negara, khususnya melibatkan makanan asasi.
Di samping itu, sumber dalam negara sendiri pula di eksport ke luar negara dan tidak diurus dengan baik, kemudian mengimportnya semula dan dikebas dengan mengenakan cukai oleh kerajaan apabila menangani krisis kewangan, sehingga disalahlakukan oleh para peniaga kerana sifat tamak haloba. Daripada pihak yang pertama sehingga yang menjadi orang tengah memaksa penjual runcit menaikkan harga barang.
Tanggungjawab memperbaiki sikap perangai manusia dan peranan politik yang mentadbir serta penggiat ekonomi sangat mempengaruhi pengeluaran dan pasaran.
Ibnu Khaldun pernah menyebut apabila pihak pemerintah dan kroni terlibat dalam banyak perniagaan akan merosakkan perjalanan ekonomi dan kehidupan rakyat, sehingga sekarang ada yang memiliki bot laut dalam dan pekerja asing yang mengacau nelayan miskin di pesisir pantai.
Kerajaan boleh mengendalikan sumber Daruriyyat dalam perkara yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W.
الناس شركاء في ثلاثة: الماء والنار والكلأ
“Manusia itu bersama dalam tiga keperluan asas: air, api dan rumput (padang ragut).”
Hadis ini disebut oleh para ulama Siyasah Syariyyah berkait dengan sebab, realiti dan situasi mengikut zaman. Zaman terkini sudah berubah kepada keperluan asas makanan, kediaman, pendidikan, kesihatan, perhubungan dan lain-lain.
Ini menunjukkan bahawa teori penswastaan yang dipraktikkan oleh pemimpin sudah usang bagi meringankan bebanan kerajaan, apalagi dimonopoli oleh kroni politik yang boleh menjadi sebab yang mempengaruhi perkembangan negatif terhadap ekonomi seperti kadar inflasi yang meningkatkan harga barangan dan nilai matawang. Maka kerajaan sekarang perlu membuat kajian semula terhadap kesilapan yang lalu, kerana kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.
Islam juga memasukkan aspek rohani dalam mengawal dan menangani kemampuan yang berbeza dalam masyarakat dengan mewujudkan masyarakat yang bertimbang rasa dan bertolong-menolong, berpandukan firman Allah:
 أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢ وَلَوۡلَآ أَن يَكُونَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ لَّجَعَلۡنَا لِمَن يَكۡفُرُ بِٱلرَّحۡمَٰنِ لِبُيُوتِهِمۡ سُقُفٗا مِّن فِضَّةٖ وَمَعَارِجَ عَلَيۡهَا يَظۡهَرُونَ ٣٣ وَلِبُيُوتِهِمۡ أَبۡوَٰبٗا وَسُرُرًا عَلَيۡهَا يَتَّكِ‍ُٔونَ ٣٤ وَزُخۡرُفٗاۚ وَإِن كُلُّ ذَٰلِكَ لَمَّا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَٱلۡأٓخِرَةُ عِندَ رَبِّكَ لِلۡمُتَّقِينَ ٣٥ وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُۥ شَيۡطَٰنٗا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٞ ٣٦ الزخرف
“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad S.A.W): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan Kami juga telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi daripada darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik daripada kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (32) Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga), (33) Dan juga pintu-pintu rumah mereka (dari perak juga) dan kerusi-kerusi panjang yang mereka berbaring di atasnya (dari perak juga), (34) Serta berbagai barang perhiasan (keemasan) dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertakwa. (35). Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.dengan pendapatan). (36)” (Surah Az-Zukhruf: 32-36)
Di antara perangai syaitan itu adalah membazir dalam penggunaan dan perbelanjaan yang boleh mempengaruhi pengeluaran yang tidak seimbang dengan pendapatan golongan sederhana dan rendah yang merupakan paling ramai jumlahnya dalam masyarakat.
Rasulullah S.A.W. juga mengajar akhlak bersimpati di kalangan peniaga yang menjual dan pengguna yang membelinya:
رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً سَمْحًا إِذَا بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى) صحيح البخاري(
“Allah mengurniakan rahmat kepada seorang yang bersikap mudah dan bertimbangrasa apabila menjual, membeli dan mengendalikan tuntutan” (Sahih Bukhari)
Akhlak bertimbang rasa daripada semua pihak berkonsepkan persaudaraan kemanusiaan sangat penting kerana melahirkan simpati yang boleh mewujudkan kesimbangan yang adil di antara pendapatan, keperluan dan pengurusan. Seperti pendapatan, gaji dan upah yang mencukupi sara hidup dan kawalan terhadap kegiatan ekonomi seimbang seluruhnya.
Pihak kerajaan hendaklah campur tangan apabila wujudnya masalah rakyat yang mengganggu kehidupan mereka mengikut nas hukum syariat atau Siyasah Syariayah atau Maqasid Syariah.
Apabila berlakunya inflasi pada zaman Rasulullah S.A.W. dan ada permintaan supaya menghadkan harga barangan:
غلا السعر على عهد النبي صلى الله عليه وسلم. فقالوا يا رسول الله! سعر لنا فقال (إن الله هو المسعرالقابض الباسط الرزاق، وإنى لارجو أن القى ربى وليس أحد منكم يطلبني بمظلمة في دم ولا مال). (روه الخمسة إلا النسائي وقال الترمذي هذا حديث حسن صحيح)
“Telah berlaku kenaikan harga barangan pada zaman Rasulullah S.A.W, lalu mereka mengadu: Wahai Rasulullah! Tetapkan harga barangan. Sabda Rasulullah S.A.W: Allah yang menentukan rezeki, sama ada melimpah rezeki dan mengurangkannya. Dia Maha melimpah rezekinya. Aku mengharapkan bertemu Allah (di Akhirat nanti) tidak siapa yang menuntut terhadapku kerana menzalimi darah dan hartanya).”
Para ulama menegaskan bahawa hadis ini tidak mahu menghadkan harga barangan kerana dalam keadaan masyarakat yang sangat berakhlak. Apabila berlakunya keadaan masyarakat yang tidak berakhlak, maka kerajaan sendiri hendaklah mengambil tindakan yang bijaksana membetulkan keadaan berpandukan kaedah Siyasah Syariah berkonsepkan Maqasid Syariah dalam menentukan maslahah oleh kerajaan termasuk dalam perkara yang tidak dinaskan halal dan haramnya oleh Al-Quran dan Hadis:
عن عثمانَ رضِيَ اللهُ عنه قال: إنَّ اللهَ يزعُ بالسلطانِ ما لا يزعُ بالقرآن
“Sesungguhnya Allah mengizinkan tindakan oleh pihak yang berkuasa dalam perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran”
Juga berpandukan kaedah:
تصرف الإمام منوط بالمصلحة
“Tindakan imam terhadap rakyatnya harus dihubungkan dengan kemaslahatan.”
Islam berbeza dengan teori Liberal Kapitalisma yang membebaskan kegiatan individu sehingga mengganggu kepentingan masyarakat umum. Islam juga berbeza dengan teori Sosialisma dan Komunisma yang menganggu kebebasan individu, kononnya demi masyarakat umum. Islam berbeza dengan semua teori yang lahir daripada Pragmatisma dan Sekularisma yang memisahkan agama daripada urusan kehidupan manusia.
Islam tidak menghalang sesorang mengumpul kekayaan tetapi diwajibkan dengan cara yang halal dan bermoral luhur, namun diwajibkan juga menunaikan hak masyarakat dengan menunaikan zakat dan diwajibkan aktiviti-aktiviti lain yang mengambil harta, cara mengurus dan perbelanjaannya ada kaitan dengan akhlak serta perhitungan dosa dan pahala.
Maka semua langkah yang merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan alam sekitar diharamkan. Bukan sahaja haram zat barangan, bahkan termasuk juga pengurusannya. Bukan sahaja diwajibkan reda meredai dalam muamalat urus niaga dan lain-lain, bahkan diharamkan juga monopoli yang menyusahkan masyarakat seperti juga diharamkan riba, menipu, rasuah dan semua perkara yang membawa mudarat kepada diri, keluarga dan masyarakat umum.
Imam Al Ghazali menegaskan:
الدين أس والسلطان حارس وما أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع
“Agama adalah asas dan pemerintah adalah pengawas. Apa-apa yang tiada asasnya menjadi runtuh dan apa-apa yang tiada pengawasnya menjadi hilang atau terbiar.”
Ini menunjukkan bahawa menegakkan kebajikan dan mencegah kemungkaran bukan sahaja menjadi kewajipan individu, bahkan diwajibkan juga menegakkan kerajaan yang melaksanakan kebajikan dan mencegah kemungkaran dalam semua kelakuan bermasyarakat termasuk gangguan kos sara hidup yang menjadi masalah bersama dan jangan hanya menjaga segelintir manusia demi kepentingan tertentu. Allah menegaskan dalam firman-Nya:
كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧ الحشر
“Supaya harta (hasil negara) itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W) kepada kamu, maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Hasyr: 7)
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANGPresiden PAS
Bertarikh: 23 Rabiul Awal 1439 / 12 Disember 2017

Isnin, 11 Disember 2017

AL- FATIHAH..TAKZIAH DIUCAPKAN KEPADA KELUARGA PAK ADON SG. LANCHANG DARAT

TAKZIAH BUAT PAK ADON SEKELUARGA..AL FATIHAH.

Pihak Dppk Bagan Datoh mengucapkan salam takziah buat En. Saadon b. Hj. Ismail ( Ketua PAS Cawangan Sg. Lanchang Darat ) dan keluarga atas pemergian anakandanya, Almarhum Fadlullah Saadon yang menghembuskan nafas terakhirnya petang 4 Disember 2017 dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sg. Lachang Darat, Bagan Datuk. 

Almarhum adalah merupakan seorang anggota Polis yang sedang bertugas di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur didapati tidak sedarkan diri lalu dimasukan ke wad ICU Hospital Kuala Lumpur dalam tempoh beberapa hari sebelum disahkan telah meninggal dunia. 

Didoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan para solehin. Kepada En. Saadon @ Pak Adon sekeluarga didoakan dan diharapkan redha, sabar dan tabah atas ujian serta ketentuan Allah SWT ini.

" Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.. "

Al-Fatihah - 
. بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞
مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْه وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَناقِّه مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ اْلأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهاِ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِه، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهاُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ [وَعَذَابِ النَّارِ]






PAS BERISTIQAMAH BERSAMA ISLAM : TUAN GURU PRESIDEN PAS

PAS BERISTIQAMAH BERSAMA ISLAM

Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah kesinambungan perjuangan menegakkan Islam yang memerintah, bukan Islam yang diperintah. Islam yang berkuasa, bukan Islam yang dipaksa. Inilah kesimpulan daripada persidangan para ulama dan pemikir Islam yang diadakan di Johor, selepasnya di Selangor dan berakhir dengan penubuhan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) di Seberang Perai pada tahun 1951. Dalam Undang-Undang Tubuh PAS menegaskan bahawa Islam adalah tertinggi.
Seterusnya PAS meluaskan lapangannya ke medan politik negara sehingga hari ini dengan menghidupkan semula syariat Allah yang dilupakan dan menegaskan bahawa politik sebahagian daripada Islam. Walaupun tidak mudah PAS menghadapi kejahilan umat Islam yang tenggelam dalam pengaruh penjajah dan para ulama yang sangat lemah kedudukannya, dan para pemimpin yang dibentuk mengikut acuan penjajah. Rakyat pula tenggelam dalam kejahilan terhadap agama sendiri walaupun masih kasih dan setia kepada Islam tetapi memisahkan urusan duniawi daripada agamanya menyebabkan urusan kehidupan, tindak tanduk dan perilaku khususnya dalam aspek politik tidak dikaitkan dengan dosa dan pahala.
PAS adalah tali arus daripada gelombang kebangkitan Islam sebagai Al-Din yang tidak boleh dimatikan dengan kewafatan Rasulullah SAW. Cahaya Islam yang datang di rantau ini adalah yang sempurna, di Islamkan rakyat dan kerajaannya yang beramal dengan syariat, sehingga tidak boleh dipadamkan ilmunya dengan kejatuhan Melaka tahun 1511, diikuti dengan kedatangan penjajah berbagai bangsa daripada Eropah dengan semangat Perang Salib yang berusaha menghakiskan jati diri umat Islam, sehingga memberi gambaran yang buruk terhadap Islam.
Islam dibangkitkan semula dengan penubuhan kumpulan Islam yang silih berganti apabila penjajah mengharamkannya bertalu-talu. Kumpulan Islam di rantau ini melibatkan para ulama, raja-raja dan rakyat yang tidak berpisah. Perjalanannya menyumbangkan para syuhada dan siddiqin yang setia kepada Islam sehingga kini.
PAS menghidupkan semula hukum politik Islam yang dikuburkan oleh penjajah yang mahu mematikan kuasa Islam di seluruh dunia. Namun cahayanya gagal dimatikan, apabila ilmunya tetap hidup, serta ditubuhkan kumpulan Islam yang menghidupkan syariat politiknya di seluruh pelosok dunia Islam.
PAS adalah mata rantai yang bersambung, walaupun khilafah (pemerintahan Islam) dijatuhkan oleh penjajah itu sejak hampir satu abad dan mereka berjaya memecahkan umat Islam dan tanah airnya yang dibahagi-bahagikan di kalangan mereka.
PAS tetap beristiqamah di atas dasar Islam dalam semua keadaan sama ada ketika pasang dan surut gelombang politik tanah air. PAS menegakkan Islam mengikut sekadar kemampuan kuasa yang ada apabila menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan tahun 1959-1978 dan 1990 sehinggqa kini dan Terengganu tahun 1959-1961 dan 1999-2004 dan memimpin kerajaan negeri Kedah tahun 2008-2013. PAS pernah menyertai kerajaan pusat tahun 1973-1978 dan pernah menjadi pembangkang yang paling sedikit kerusinya, namun terus membawa suara Islam di mana sahaja kerusinya di Parlimen dan DUN, termasuk dalam masyarakat yang tidak ada wakil rakyatnya.
Kerjasama PAS dengan pihak lain tetap bersempadankan Islam. PAS terus tidak berganjak menegaskan Islam, yang tidak boleh ditinggalkan atau dipinggirkan oleh mana-mana pihak, walaupun dengan kuasa yang terhad di peringkat negeri dan bersabar bersama konsep negara federalisma yang dicabul.
PAS menyertai Kerajaan Campuran dan Barisan Nasional (BN) dengan syarat yang tegas supaya tidak diganggu dasar Islam dan perjuangannya, serta diberikan peluang untuk berdakwah dan menerapkan Islam dalam jentera dan institusi kerajaan. Akhirnya PAS dikeluarkan daripada BN pada tahun 1979 apabila kumpulan sekular kuat menguasai Umno dan BN selepas ketiadaan Almarhum Tun Abdul Razak, menyebabkan disingkir beberapa pemimpin yang bersemangat agama di dalam Umno di Semenanjung seperti Tan Sri Jaafar Albar, Datuk Harun Idris dan disingkir pemimpin BN di Malaysia Timur seperti Tun Abdul Rahman Yaakub dan Tun Datu Mustafa serta diikuti PAS ditendang keluar.
Selepasnya pula PAS menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Semangat 46 dengan syarat menerima Islam sebagai Al-Din, sehingga berjaya di Kelantan dan berusaha melaksanakan syariat, lalu diberi amaran keras oleh Perdana Menteri di masa itu sekiranya melaksanakan syariat Islam yang diusahakan dan akhirnya Parti Semangat 46 tiada lagi.
Kemudiannya PAS menyertai Barisan Alternatif (BA) dalam titik persamaan menentang penyelewengan dan salah laku tanpa gangguan terhadap Islam yang menjadi pegangan PAS, namun tetap tegas walaupun DAP keluar daripada BA kerana anti Islamnya. Seterusnya Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan dan akhirnya terkubur apabila hendak dipinggirkan cita-cita Islam dan wujudnya usaha mahu mengugurkannya kerana agenda politik mengatasi kepentingan Islam.
PAS juga menolak segala usaha meminggirkan kuasa umat Islam daripada persada politik Malaysia di atas konsep Malaysian Malaysia, namun PAS tetap menerima hakikat masyarakat majmuk di Malaysia. PAS dengan tegas mendukung konsep Islam itu adil terhadap semua tanpa mengira perbezaan agama dan kaum yang berpandukan Al-Quran.
Firman Allah:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩ النساء
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah An-Nisa’: 58-59)
Inilah ayat-ayat yang mendukung konsep kuasa politik sebagai satu amanah terbesar dan mendukung negara adil terhadap semua bertonggakkan kepimpinan Islam Ulil Amri (kepimpinan ulama dan umara) serta tegak di atas aqidah dan rukun-rukun iman yang paling asas iaitu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Inilah simpulan kukuh yang menjadi pegangan PAS, dipegang oleh pemimpin dan ahli yang setia dan diikat dengan baiah. Adapun yang tidak setia pasti dikeluarkan atau melompat keluar walaupun tiada siapa yang tahu keikhlasannya, namun Allah tetap melakukan penapisannya bagi menyelamatkan perjuangan Islam. Firman Allah:
مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمۡ عَلَيۡهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطۡلِعَكُمۡ عَلَى ٱلۡغَيۡبِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجۡتَبِي مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُۖ فَ‍َٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۚ وَإِن تُؤۡمِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَلَكُمۡ أَجۡرٌ عَظِيمٞ ١٧٩ آل عمران
“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman) dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari kalangan RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-RasulNya dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar).” (Surah Ali-Imran: 179)
PAS melaksanakan usaha politiknya dengan kajian sendiri, mengerahkan tenaga, harta, jiwa raga dan pemikirannya bagi mendapatkan kemenangan dengan keyakinan kepada janji-janji Allah yang memberi kemenangan apabila memenuhi syarat-syaratnya dan boleh mengisi kemenangan dengan beristiqamah, bukan sekadar kemenangan sahaja. Mereka yang tidak yakin kepada kemenangan seperti ini pasti ditinggalkan oleh PAS atau meninggalkan perjuangannya.
PAS menghayati firman Allah:
لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ ٤٢ التوبة
“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu. (Dengan sumpah atau baiah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” (Surah At-Taubah: 42)
Firman Allah:
مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٞ ٢١٤ البقرة
“Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat).” (Surah Al-Baqarah: 214)
Firman Allah:
هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢ الأحزاب
“Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (11) Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja. (12)” (Surah Al-Ahzab: 11-12)
PAS tetap sabar menunggu dan melihat sesiapa sahaja dan bila-bila masa terhadap semua pihak yang boleh menerima Islam yang menjadi perjuangan PAS dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang boleh berbeza pendapat tetapi tidak berpecah, memilih konsep mesra dan damai serta bertaawun dalam perkara kebajikan dan taqwa dan tidak bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan, berpandukan Firman Allah:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢ المائدة
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah Al-Maidah: 2)
Di atas konsep inilah, PAS menyokong walaupun dibawa oleh kerajaan apabila bersifat kebajikan dan taqwa. PAS menentang apabila adanya kemungkaran dan PAS berkecuali apabila bercampur di dalamnya tanpa dipisahkan. Inilah BPMS yang tidak boleh difahami oleh kalangan yang memisahkan politik daripada agama.
PAS tetap berpandukan politik Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W yang beramal dengan Al-Quran apabila mengiktiraf kebaikan dan kebajikan daripada semua pihak termasuk daripada kalangan musuh yang paling jahiliah, begitulah juga menentang kemungkarannya walaupun daripada diri sendiri.
PAS tetap mempertahankan ruang Islam yang masih dipelihara oleh Perlembagaan dengan tafsiran Islam sebagai agama persekutuan dan PAS menentang sesiapa sahaja yang mahu merungkaikannya dan menafsirkannya dalam lingkungan kefahaman warisan penjajah kerana kita sudah merdeka, tidak kira sama ada dalam kalangan Melayu yang sempit atau bukan Melayu. PAS adalah parti Islam yang berasaskan aqidah, bukannya semata-mata ideologi sekularisme, protesme dan oportunisme.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Rabiul Awal 1439 / 9 Disember 2017

Sabtu, 9 Disember 2017

SIRI 2 : PENGIKTIRAFAN DONALD TRUMP TERHADAP AL-QUDS SEBAGAI IBU NEGARA ISRAEL

Kenyataan Media Presiden PAS
PENGIKTIRAFAN DONALD TRUMP TERHADAP AL-QUDS SEBAGAI IBU NEGARA ISRAEL (SIRI 2)

Pengumuman Donald Trump terhadap Al-Quds sebagai ibu negara Israel merupakan suatu ujian ke atas orang-orang beriman. Namun sebaliknya, ia adalah ujian dan badai hebat bagi mereka yang lemah imannya, bahkan mereka akan tunduk menyerah.
Sebelum ini, mereka mengamalkan politik neutral terhadap negara rejim tersebut, malahan ada yang mengikut jejak langkah rejim sedikit demi sedikit. Tindakan itu diibaratkan jika rejim memasuki lubang biawak dhab, mereka juga akan turut sama memasukinya. Hakikatnya, kita sendiri menyedari siapakah yang rela mengikut telunjuk negara haram itu.
Kini sudah tiba masanya menghentikan tangan-tangan mereka yang tidak berperikemanusiaan, menzalimi anak-anak, para wanita dan fakir miskin di khemah-khemah daif. Mereka adalah golongan yang terpaksa berhadapan dengan rejim Zionis dan sekutunya. Bahkan kita melihat orang-orang yang mendiami istana-istana megah serta menara-menara pencakar langit tidak mampu menjadi pemimpin kepada ummah ini.
Justeru, mereka membawa ummah menuju azab dunia, seterusnya menuju azab neraka di akhirat nanti. Pada waktu itu, tiada gunanya penyesalan orang-orang yang berkata: “Wahai Tuhan kami, kami mentaati pemimpin kami lantas mereka menyesatkan kami.”
Telah tiba masanya untuk merobohkan tembok ‘keamanan’ yang dicanang-canangkan, nama yang dipergunakan untuk menundukkan dunia terhadap kezaliman antarabangsa sehingga meletakkan keturunan rejim Zionis di negara haram Israel. Tetapi kita hidup dalam kalangan pemimpin Zionis jadian yang menzahirkan kebencian mereka terhadap perjuangan kononnya atas nama mempertahankan Islam. Bahkan seluruh mazhab dalam agama Islam berlepas diri dari mereka.
Mereka juga kononnya mahu menentang terorisme (keganasan) tetapi merekalah yang mencipta terorisme dan memberi bantuan kepada golongan pengganas dengan pelbagai senjata dan sokongan.
Pengiktirafan ini hakikatnya pukulan hebat yang mampu mengejutkan mereka yang tenggelam dalam tidur lena, sekalipun dalam diri mereka hanya mempunyai iman sebesar zarah yang menyebabkan mereka berdiam diri. Itulah perang dalam diri umat Islam meletus sebelum perang bersenjata yang akan menzahirkan siapakah penyokong-penyokong musuh ini.
Begitu juga, akan zahirlah sekolompok manusia yang berjuang demi kebenaran. Mereka tidak dikalahkan musuh dan pengkhianat sehingga Hari Kiamat. Mereka inilah penjaga-penjaga Baitul Maqdis dan disekitarnya. Bersama-sama mereka adalah saudara yang berganding bahu ibarat jasad yang satu dari Timur mahupun Barat, Utara dan juga Selatan.
Orang-orang zalim akan mengetahui bahawa barisan hadapan kita bermula di Baitul Maqdis dan akan berakhir di Jakarta, Kuala Lumpur, Algeria dan Casablanca. Allah berkuasa terhadap segala urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Rabiul Awal 1439 / 8 Disember 2017

PERPECAHAN UMAT ISLAM PUNCA AL-QUDS TERUS TERJAJAH : AL-MURSYIDUL AM PAS

KENYATAAN MEDIA MURSYIDUL AM PAS 
PERPECAHAN UMAT ISLAM PUNCA AL-QUDS TERUS TERJAJAH

Pengumuman yang dilakukan oleh Presiden Amerika mengenai Baitulmaqdis sebagai Ibu Negara Israel amat mendukacitakan seluruh umat islam dan mereka-mereka yang mempertahankan prinsip keadilan dan kebebasan .
Sebenarnya, kita tidak harus terkejut dengan pengumuman tersebut kerana kita sendiri yang menyebabkan musuh-musuh Islam bertindak demikian.
Disebabkan perselisihan, kita sanggup bergaduh sesama sendiri tanpa merujuk kepada panduan Allah dalam Al-Quran dan ajaran yang terdapat dalam Syariat Islam.
Lihat sahajalah pada hari ini, orang-orang Islam dalam negara kita pun ada yang tidak bersedia untuk bersatu atas dasar Hablillah. Begitu juga negara-negara umat Islam, mereka saling bergaduh sehingga menyebabkan kemusnahan yang amat teruk kepada negara masing-masing.
Kesempatan ini telah diambil oleh barat dan musuh Islam bagi menghapuskan pengaruh Islam di atas muka bumi ini.
Kita tidak sepatutnya menyerahkan kepada keadaan yg berlaku tetapi hendaklah kita merasakan tangunggjawab secara fardhu ain bagi setiap umat Islam melakukan sesuatu yang boleh mengembalikan kemuliaan dan kehormatan Agama Islam serta mendaulatkan syariatnya.
Ayuh Umat Islam, tampillah ke hadapan dan terimalah panduan serta manhaj hidup yang diatur oleh Islam.
“Sejahtera Bersama Islam”


TUAN GURU HJ. HASHIM JASIN
Mursyidul Am PAS
18 Rabiul Awal 1439H / 7 Disember 2017M

PAS MENGECAM TRUMP ISYTIHAR BAITUL MAQDIS IBU NEGARA ISRAEL !

PAS KECAM TRUMP ISYTIHAR BAITUL MAQDIS IBU NEGARA ISRAEL

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang disifatkan mencabar kesabaran umat Islam dan mencemarkan kesucian bumi Al-Quds.
Keberanian Trumph disusuli selepas kejayaan Amerika-Zionis mencampuri urusan negara-negara Arab khususnya kejayaannya mengikat Arab Saudi sebagai rakan karibnya, melalui strategi mengapi-apikan semangat perkauman dan mazhab sehingga berjaya menimbulkan kekacauan dan huru-hara di Asia Barat. Situasi ini lagi membenarkan rahsia pemetaan dunia baru yang sedang berjalan supaya negara-negara Islam disibukkan dengan peperangan sesama sendiri sehingga mengabaikan perjuangan pembebasan Palestin dan Baitul Maqdis.
Sejarah tamadun dunia telah membenarkan hanya Islam sahaja yang berjaya mewujudkan keadilan kepada masyarakat majmuk dengan membenarkan penganut Kristian dan Yahudi untuk beribadat dengan bebas dan aman. Tiada harapan keamanan daripada Amerika dan Zionis yang bergelar ketua pengganas dunia dan pembunuh utama nyawa umat Islam.
PAS mengajak kepada semua umat Islam tanpa mengira kaum, mazhab dan fahaman politik untuk bersatu menentang pengisytiharan Trump ini.
Melalui kerajaan Malaysia, PAS mengharapkan Perdana Menteri menghantar surat bantahan kepada Rumah Putih dan memanggil segera Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan rakyat Malaysia. Baitul Maqdis adalah titik kesatuan umat Islam berpaksikan syariat Islam yang adil.
Justeru itu, PAS mengarahkan semua ahli untuk hadir himpunan aman membebaskan Baitul Maqdis di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur dan di setiap negeri masing-masing pada 8 Disember 2017 serta menjemput NGO-NGO dan mahasiswa untuk turut hadir bersama.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh : 18 Rabiul Awal 1439 / 7 Disember 2017

Ahad, 3 Disember 2017

PRESIDEN PAS : GELARAN KUMPULAN SUCI

Kenyataan Media Presiden PAS
GELARAN KUMPULAN SUCI


Inilah bahasa yang baru diistilahkan dan digunakan untuk memerli atau mengejek ketegasan sesiapa sahaja yang berpegang dengan ajaran Islam yang berdasarkan nas yang qati’e dan thabit di dalam Al-Quran dan Hadis seperti PAS, yang tidak mahu dihanyutkan atau menerima perubahan mengikut selera kumpulan yang dinamakan Islam Liberal dan yang bersekongkol dengannya atau totok bukan Islamnya. Mereka mahu menjadikan Islam seperti agama yang ada ortodoks atau ideologi konservatif dengan tujuan untuk memancing undi pilihanraya.
Setelah mereka gagal meminda Undang-undang Tubuh PAS (Perlembagaan) dengan mahu meletakkan Majlis Syura Ulama sekadar menjadi penasihat yang tidak wajib dipatuhi, khususnya dalam perkara hukum yang thabit bercanggah dengan kemahuan akal fikiran manusia, demikian juga mereka termasuk yang menganggap dirinya sangat bijak.
Setelah mereka gagal dalam usaha meminda asas tersebut dan juga gagal mempengaruhi Muktamar PAS dan mengubah kepimpinan mengikut kemahuannya, lalu bertindak keluar daripada PAS dengan dukungan dan sokongan dalang-dalang di belakangnya.
Mereka juga gagal menolak PAS dari belakang supaya menyertai BN, di mana mereka juga sangat bernafsu menyertainya dengan cara menggunakan PAS menjadi tangganya, kerana mencari jalan mudah setelah menemui kebuntuan. BN pula tidak ada nafsu selera untuk menerima mereka.
Sebenarnya PAS hendak dijadikan kambing hitam untuk dikorbankan bagi pemujaan kemahuan nafsu mereka dengan segala cara yang terdahulu dan diusahakan sehingga kini. Daripada gerakan BERSIH pada namanya dan PAS berundur kerana jenamanya yang diragukan, diikuti pula susulannya menggunakan berbagai pendekatan dan jenama.
Setelah mereka gagal dengan segala umpan, diuar-uarkan PAS yang pelahap mahu menyertai BN, bukannya mereka. Sebenarnya perniagaan politik mereka tidak laris, kerana ditolak BN, ditolak PAS dan ada tanda-tanda awal ditolak rakyat dalam PRU akan datang, Insya Allah.
Apabila mereka merasakan PAS menjadi penghalang kepada mereka untuk ke Putrajaya melalui pintu belakang dan mahu memecahkan pintu hadapan dengan PAS menjadi kapak atau tukulnya, maka PAS tetap menjadi sasaran serangannya melalui lisan dan tulisan, khususnya media sosial di langit terbuka tanpa sempadan yang mudah dipergunakan dan ramai tentera upahannya, walaupun PAS bukan parti kerajaan pusat dan kata mereka PAS sudah lemah, namun dihentam juga habis-habisan.
Apabila peluru fitnah PAS mendapat duit Perdana Menteri sebanyak 90 juta, yang mereka anggap boleh menembusi pengaruh PAS yang terus mara, Insya Allah. Kini mereka menggunakan bahasa yang zahirnya pujian, tetapi hakikatnya perlian, tanpa mereka sedari betapa mereka buta Al-Quran yang lebih bahaya daripada buta huruf.
Bahasa Al-Quran menamakan perkataan kumpulan suci terhadap para Anbiya A.S.W. dan pengikutnya yang berbaiah dengan setia. Allah mengisahkan Nabi Lut A.S. dan pengikutnya yang menentang jahiliah aqidah dan keruntuhan akhlak melalui Firman-Nya:
وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوۡمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓاْ أَخۡرِجُوهُم مِّن قَرۡيَتِكُمۡۖ إِنَّهُمۡ أُنَاسٞ يَتَطَهَّرُونَ ٨٢ الأعراف
“Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.” (Surah Al-Aaraf: 82)
Firman Allah:
۞فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوۡمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓاْ أَخۡرِجُوٓاْ ءَالَ لُوطٖ مِّن قَرۡيَتِكُمۡۖ إِنَّهُمۡ أُنَاسٞ يَتَطَهَّرُونَ ٥٦ النمل
“Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci.” (Surah An-Naml: 56)
Kami sangat gembira apabila mereka mengambil perkataan yang dipakai oleh kaum Lut yang terkenal dengan jenis keruntuhan akhlak, sama ada sengaja atau tidak yang terserah kepada Allah.
Kalangan yang memahami Islam yang sebenar tidak meletakkan diri mereka suci, kerana mengetahui bahawa makhluk yang suci ialah para malaikat, para Rasul dan Anbiya A.S.
Adapun yang lain termasuk para sahabat R.A, para ulama, para wali dan orang-orang yang beriman tidak boleh melepaskan diri daripada ujian maksiat dan dosa, lalu mereka sentiasa bermuhasabah, membetulkan aqidah, memperbaiki amalan mengikut syariat dan akhlak yang mulia. Mereka sentiasa melakukan muhasabah diri, bertaubat, mengikuti setiap dosa dengan istighfar dan menambahkan amal yang soleh dengan sentiasa beristiqamah. Bagi menguatkan istiqamah, diadakan bai’ah.
Apabila seorang sahabat bernama Sufian bin Abdullah R.A bertanyakan Rasulullah S.A.W berkenaan dengan Islam yang terang dan nyata sehingga tidak keliru dan tidak bertanya lagi orang lain, khususnya setelah ketiadaan Rasulullah S.A.W, maka Baginda bersabda:
قل آمنت بالله ثم استقم
“Katakanlah aku beriman kepada Allah dan terus beristiqamah” (Hadis Sahih)
Terus bersama Islam, dengan beramal apa yang boleh diamalkan dan bercita-cita serta berjuang dengan apa yang tidak boleh diamalkan. Islam yang diambil secara yang sebenar daripada guru yang mursyid, walaupun menghadapi berbagai cabaran dan memakan masa yang panjang dan tidak diketahui penghujungnya.
Percayakan kepada janji Allah di dunia dan di akhirat. Kepercayaan kepada Allah ini tidak cukup dengan pengajian, usrah dan kata-kata, bahkan diikat lagi dengan bai’ah di hadapan Allah, bukannya di hadapan manusia yang menjadi pemimpin, berpandukan firman Allah:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا ١٠ الفتح
“Sesungguhnya orang-orang yang memberi baiah (pengakuan taat setia) kepadamu (wahai Muhammad S.A.W. untuk berjuang menegakkan Islam), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya).” (Surah Al-Fath: 10)
Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan bai’ah (janji setianya), maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dibaiah (dijanjikannya) kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.
Mereka yang berbaiah di hadapan Nabi Muhammad S.A.W ada yang mengerjakan maksiat dan dosa, bukannya suci. Lalu mereka bertaubat dan fadilat berbaiah itu diharapkan menghilangkan dosa dengan meneruskan amal yang soleh dan perjuangan. Menyerah kepada Allah dengan harapan disucikan mereka daripada dosa yang menjadi kepunyaan Allah. Ada yang menyelewang menganggap bai’ah hanya cakap manusia yang boleh dipermainkan sewenang-wenangnya, maka hiduplah mereka dengan akibat di dunia sebelum menerima akibat di akhirat.
Amalan bai’ah dilakukan oleh para sahabat, tabi’en dan generasi yang menyambung perjuangan Islam yang bertali arus sehingga kini. Mereka yang berbaiah itu sangat takut di hadapan Allah, hanya dibatalkan baiah apabila ternyata pemimpinnya menentang hukum Allah yang nyata nasnya daripada Allah dan Rasul, bukan kerana berlainan pendapat dan pendekatannya sahaja kerana konsep ketaatan kepada berjamaah adalah wajib dengan syarat-syaratnya.
Mereka bersama Islam di sepanjang zaman tidaklah menganggap diri mereka suci murni daripada dosa dan maksiat kerana Allah berfirman:
فَلَا تُزَكُّوٓاْ أَنفُسَكُمۡۖ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَنِ ٱتَّقَىٰٓ ٣٢ النجم
“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.” (Surah An-Najm: 32)
Mungkin mereka itu terpengaruh dengan konsep para sami yang menentukan kesucian kepada manusia. Konsep yang asing daripada Islam.
Kumpulan Islam itu mengikat diri dengan baiah, apabila mereka merasa tidak cukup dengan sekadar bergantung kepada pengetahuan untuk meningkatkan ilmu dan mentarbiyah diri, setia kepada jamaahnya dan bertawadu’ mengadap Allah bagi mencari keredaannya sahaja, tanpa mengikat diri dengan baiah. Bukan tujuan bai’ah untuk mencari keredaan manusia termasuk menipu, jauh sekali mencari keredaan sesiapa sahaja termasuk yang tidak beriman dan bertujuan semata-mata meramaikan pengikut dan memancing undi kerana mahu menang pilihanraya sahaja.
Sabda Rasulullah S.A.W.
من التمس رضا الله بسخط الناس رضي الله عنه وأرضاه الناس ومن التمس رضا الناس بسخط الله سخط الله عليه وأسخط عنه الناس
“Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dimarahi manusia tetap mendapat reda Allah dan Allah jadikan manusia meredainya dan barangsiapa yang mencari keredaan manusia dengan menempah murka Allah, nescaya dimurkai Allah dan Allah jadikan manusia memarahinya pada akhirnya” (Hadis Sahih Riwayat Ibnu Hibban)
PAS tidak peduli sama ada menang atau kalah pilihanraya, walaupun hatinya sangat mahukan melihat kemenangan di dunia sebelum kemenangan di akhirat. Namun keyakinannya tetap kepada kemenangan adalah kurniaan Allah apabila memenuhi syarat mencapai keredaan dan hidayah-Nya kepada manusia yang meredai perjuangan Islam ini.
Maka PAS mencari sesiapa yang menerima Islam dan menganutnya atau yang menerima pemerintahan Islam tanpa menganutnya, dengan cara terbuka bukannya bersembunyi tanpa kenyataan yang didegar dan dilihat.
Kita mengharapkan kelebihan yang diberi kepada Nabi Lut A.S dan pengikutnya yang diperlikan dengan jenama kaum yang mendakwa dirinya suci. Maka alangkah gembiranya ahli PAS yang membaca cerita perjuangan Nabi Lut A.S bersama kaumnya yang beriman yang diberi nama oleh musuhnya dengan kaum yang menganggap diri mereka suci murni.
Golongan Al-Sabiqun yang awal menyertai PAS lebih yakin, apabila melihat sendiri nasib mereka yang melanggar baiah dan sumpah menjadi calon dan pemimpin, telah menerima akibat di dunia. Adapun akibatnya di akhirat terserah kepada Allah yang menentukannya.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS1
Bertarikh: 13 Rabiul Awal 1439 / 2 Disember 2017

PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA MAULIDURRASUL 1439H

PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA MAULIDURRASUL 1439H

Perjalanan hidup Nabi Muhammad S.A.W adalah qudwah dan contoh untuk umat Islam terutamanya pendekatan dakwah dan politik yang pernah diambil oleh Baginda S.A.W sama ada semasa Islam berada di dalam keadaan lemah atau berada di dalam keadaan kuat. Sirah Baginda bukanlah sekadar mengetahui peristiwa atau sejarah, bahkan tujuan sebenarnya ialah untuk memahami tasawwur Islam yang hakiki.
Salah satu anggapan yang tidak betul apabila ada pihak yang mengatakan bahawa Islam dan gerakannya masa kini tidak mampu menghadapi golongan mustakbirin di dalam dan luar negara, kerana bilangan dan kekuatan musuh mengatasi mereka berlipat kali ganda. Apa yang kita hadapi sekarang itulah juga yang pernah dihadapi oleh Nabi S.A.W dan para sahabat. Kalau hari ini rangkaian musuh Islam diperingkat nasional, maka pakatan dan strategi yang sama telah mereka lakukan ke atas negara Islam pertama di Madinah pada zaman Nabi S.A.W.
Rahsia kejayaan Rasulullah S.A.W dan zaman keemasan Islam adalah keteguhan berpegang pada dasar dan prinsip Islam. Ketika Rasulullah S.A.W didatangi Abu Talib yang membawa hasrat pembesar Makkah dengan ditawarkan kemewahan harta dan takhta bersyaratkan mengekalkan dasar dan sistem jahiliah, lantas Baginda S.A.W dengan tegas menyatakan:
يا عم، والله لو وضعوا الشمسَ في يميني، والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يُظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته. السيرة النبوية لابن هشام (1/ 372)
“Wahai bapa saudara kesayanganku! Sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan (menegakkan Islam) ini sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati sebelumnya (ketika masih dalam perjuangan), nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini.” (Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam: 372/1)
PAS ditubuhkan sebagai mata rantai perjuangan Islam telah meletakkan rujukan tertinggi dalam perjuangannya berpandukan Al-Quran, Sunnah Nabawi beserta Ijma’ dan Qias. Maka PAS membentuk Majlis Syura Ulama’ untuk menjaga perjalanannya supaya berada benar-benar di atas landasan Islam dalam ijtihad politiknya.
Inilah sumber kekuatan PAS untuk terus kekal relevan menghadapi onak duri dan lautan gelora yang masih kekal berada dipentas politik sejak penubuhannya sebelum merdeka di saat parti sezaman dengannya sudah hilang ditelan arus zaman. PAS tidak akan ditipu atau tertipu dengan pihak lawan yang cuba mengubah halatuju perjuangannya selagi terus beristiqamah dengan Islam.
Bersempena Sambutan Maulidurrasul pada tahun ini, kita bukan sekadar menghayatinya seperti cerita-cerita yang disebut atau dinyanyikan pada hari jadi atau memuja umur atau pertabalan atau kewafatan dengan laungan semata-mata atau membentangkan slogan-slogan yang ditulis pada sepanduk-sepanduk, bahkan kita menghayati dan mengambil seluruh kehidupan Baginda S.A.W dalam semua urusan aqidah, syariat dan akhlak, berpandukan Firman Allah S.W.T:
وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ [الحشر/7]
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya, maka patuhilah larangan-Nya, sesungguhna Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)” (Surah al-Hasyr: 7)
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 12 Rabiul Awal 1439 / 1 Disember 2017

jambori amal kuala kangsar 2008