pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Khamis, 7 November 2013

KESALAHAN SUDAH 18 TAHUN NAMUN TIADA USAHA PEMBETULAN ?

Buku Iqra': 447 kesalahan, 18 tahun tiada pembetulan

Harakahdaily,07 Nov 2013


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary, mempersoal tindakan kerajaan yang sehingga kini masih belum membetulkan sejumlah 477 kesalahan dalam buku Iqra' yang diajar kepada pelajar sekolah kebangsaan dalam mata pelajaran pengajian al-Quran di seluruh negara.

Bercakap sewaktu membahaskan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat hari ni, beliau berkata, tindakan itu memperlihatkan sikap tidak serius kerajaan, yang memandang remeh terhadap pendidikan Islam khususnya dalam pengajian al-Quran.

Beliau merujuk kepada satu kajian oleh aktivis pendidikan terhadap Buku Iqra' (cara cepat membaca Al-Quran) Rasm Uthmani, karangan Ustaz Haji As'ad Humam daripada Indonesia, yang didapati mengandungi 447 kesalahan dan kekeliruan.

"Kita kesal dengan sikap kerajaan yang seolah-olah memandang remeh soal pengajian Al-Quran.

"Kenapa buku Interlok ditarik balik hanya kerana ada perkataan 'paria', sedangkan dalam Buku Iqra' ada 447 kesalahan tapi terus dibiar untuk digunakan," katanya pada sidang media selepas itu.

Menurutnya, isu ini pernah dibangkit oleh ahli parlimen PAS ketika penggal lalu, namun sehingga kini, kesalahan dalam buku yang diguna sejak 18 tahun itu, tidak dibetulkan.

"Saya mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya membekukan pengagihan ini bagi mengkaji semula buku modul ini dengan diganti buku modul baru," katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan dengan kuasa Menteri Pendidikan melalui KPM menubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan Khas di bawah Seksyen 127 dan 144, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Peruntukan kewangan KPM bagi tahun 2014 sebanyak RM54,600,593,800 juga katanya diharap boleh dimanfaatkan untuk mengatasi masalah itu. 
Sementara itu, Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan menggesa kerajaan bertindak segera membuat semakan dan pembetulan terhadap dakwaan kesilapan itu.

"Kalau kerajaan gagal tangani isu ini dan memandang remeh, ini satu pengkhianatan besar kepada rakyat negara ini.

"Kita sedia gerakkan bantahan rakyat secara besar-besaran. Ini soal masa depan anak-anak kita khususnya orang Islam," katanya

KARPAL DIGESA SENDIRI UNTUK BERI PENJELASAN : PAS


PAS gesa Karpal sendiri beri penjelasan

Harakahdaily,07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: PAS meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh tampil memberi penjelasan terbuka terhadap tuduhan kononnya beliau mahu pendaftaran PAS dibatalkan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu penting bagi merungkai segala kekeliruan yang timbul akibat laporan media yang memetik kenyataannya sebelum ini.

"Apa yang penting beliau (Karpal) sendiri perlu tampil beri penjelasan, bukan melalui pihak lain.

"Ini untuk kita semua dapat gambaran sebenar," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang semalam yang tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Dalam penjelasannya, Kit Siang berkata, beliau telah bercakap dengan Karpal dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menjelaskan tidak langsung menyeru supaya pendaftaran PAS dibatalkan.

Justeru, Kit Siang meminta semua pihak mesti berjaga-jaga memandangkan ada pihak yang sedang cuba merosakkan kesepaduan Pakatan Rakyat.

Isu ini timbul ekoran laporan kononnya Karpal mahu pendaftaran PAS dibatalkan atas cadangannya agar parti politik atau pertubuhan berasaskan kaum dan agama boleh menghalang perpaduan kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, jika kenyataan itu dimanipulasi media, maka Karpal perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap media terbabit.

"Sebaliknya, kalau laporan itu betul, Karpal harus berlapang dada dan berjiwa besar untuk tampil memohon maaf kepada PAS dan seluruh ahli dan penyokong.

"Kita yakin beliau boleh berbuat demikian kerana beliau adalah seorang ahli politik senior," katanya.

GHANI PERLU SIASAT, APA PUN MUSLIHAT MAHATHIR ITU...

Apa pun muslihat Mahathir, Gani perlu disiasat

Harakahdaily,07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Walau apa pun muslihat politik Tun Mahathir, PAS berpandangan kerajaan perlu membuka suatu fail siasatan secara menyeluruh terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dengan mengkaji kembali kesemua laporan polis dan SPRM dan termasuk juga kesemua dakwaan-dakwaan lain yang pernah dibuat ke atasnya. 

“Negara ini tidak mampu untuk memiliki seorang penasihat undang-undang utama (top legal advisor) yang integritinya dipersoalkan,” ujar Timbalan Pengerusi II Lujnah Undang-Undang PAS, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata, sekiranya siasatan yang dijalankan nanti mendapati tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas Gani adalah berasas dan melayakkannya untuk disingkirkan dari jawatannya, maka suatu Tribunal perlu dibentuk berdasarkan peruntukan Perkara 145 (6) dan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Beberapa portal berita online semalam (6 November) melaporkan berkenaan pertemuan beberapa individu ternama tiga bulan lepas dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad khusus bagi membincangkan kes-kes salahlaku yang membabitkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. 

Dari segi politiknya, tidak susah untuk meneka bahawa sudah tentulah kalangan mereka yang hadir di dalam pertemuan tersebut atau mereka yang rapat dengan Tun Mahathir yang mendedahkan perkara ini kepada media sebagai satu strategi untuk memberi tekanan kepada Gani dan bosnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan pecahnya kisah di sebalik pertemuan tersebut, maka mula kelihatan Peguam Negara akan menghadapi ‘perbicaraan media’ di atas segala dakwaan yang dilemparkan kepadanya. 

Untuk rekod, parti-parti pembangkang seperti PAS dan lain-lain telah dari awal membangkitkan pelbagai pertikaian terhadap tindakan dan perlakuan Gani di dalam menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara. 

Kuasa yang begitu luas yang diberikan oleh Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan terhadap Peguam Negara berkaitan dengan kuasa untuk memulakan pendakwaan jenayah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Gani untuk kepentingan tertentu. 

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat adalah antara mangsa kepada amalan ‘pendakwaan terpilih’ (selective prosecution) yang diamalkan Gani. 

Manakala kumpulan ektremis seperti Perkasa dan lain-lain yang rapat dengan Umno BN seakan kebal dari sebarang tindakan undang-undang meskipun acapkali menimbulkan isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Dalam hal ini, walau apa pun muslihat politik Tun Mahathir, PAS berpandangan kerajaan perlu membuka suatu fail siasatan secara menyeluruh terhadap Gani dengan mengkaji kembali kesemua laporan polis dan SPRM dan termasuk juga kesemua dakwaan-dakwaan lain yang pernah dibuat ke atasnya. 

Negara ini tidak mampu untuk memiliki seorang penasihat undang-undang utama (top legal advisor) yang integritinya dipersoalkan. 

Sekiranya siasatan yang dijalankan nanti mendapati tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas Gani adalah berasas dan melayakkan Gani untuk disingkirkan dari jawatannya, maka suatu Tribunal perlu dibentuk berdasarkan peruntukan Perkara 145 (6) dan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

PANAS : GHANI PATAIL, NAJIB BAKAL KEPANASAN TAK LAMA LAGI ? KENAPA ?

Ghani Patail, Najib Bakal Kepanasan Tak Lama Lagi?



Berikutan pendedahan sebuah portal berita mengenai bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang dilaporan sedang memberi tekanan kepada Peguam Negara, Ghani Patail dengan memanggil bekas pegawai kanan polis, Mat Zain Ibrahim dan peguam kanan, Shafie Abdullah ke rumahnya untuk berbincang isu itu beberapa bulan lalu, penjelasan lanjut daripada bekas Perdana Menteri itu pastinya sedang ditunggu-tunggu sekarang ini.

Selain agen CIA yang didakwa berada di pejabat peguam negara, isu salah laku Ghani dan kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dilaporkan turut menjadi topik perbincangan.

Tambahan pula isu adanya pengintip CIA bertugas di pejabat Peguam Negara ini timbul hampir bertepatan dengan tersebarnya berita bahawa Amerika Syarikat telah melakukan pengintipan di beberapa negara, termasuk Malaysia. Secara langsung ini bukan saja memberi tekanan kepada Ghani Patail, tetapi kepada Perdana Menteri, Najib Razak juga.

Sebagaimana yang dilaporkan, dalam pertemuan dengan Mahathir itu, selain isu salah laku Ghani yang bermula dengan kes mata lebam melibatkan Anwar Ibrahim yang turut menjadi perbincangan, bahkan juga berkaitan kelemahan hujah pihak Peguam Negara sehingga menyebabkan kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Dalam hal yang berkaitan pengintip di pejabat Peguam Negara pula, dilaporkan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi turut dipanggil oleh Mahathir dan ditanya sama ada beliau mengetahui adanya dua orang pengintip yang sedang bekerja dengan pejabat peguam negara sekarang ini. Dalam hal ini, Zahid dikatakan berjanji akan menyiasat mengenainya.

Ghani Patail sejak beberapa tahun kebelakangan ini merupakan sasaran pelbagai pihak yang mengecamnya kerana didakwa mengamalkan pendakwaaan berpilih dan mempunyai kuasa tanpa had dalam menentukan pendakwaan. Selain isu liwat dan rasuah yang melibatkan Anwar Ibrahim, beliau juga dikecam dalam pelbagai kes lainnya seperti kes pembunuhan Altantuya. Susulan daripada itu, desakan agar beliau meletakkan jawatan juga kerapkali kedengaran.

Malangnya, bukan saja beliau menolak untuk meletakkan jawatan, bahkan Najib sendiri seperti mempertahankan kedudukannya dan mahu beliau terus kekal mengetuai jabatan peguam negara itu.

Tersebarnya berita mengenai adanya pertemuan itu yang dianggap sebagai tekanan Mahathir kepada Ghani Patail, ia bukan saja bertepatan dengan hangatnya perbualan orangramai mengenai pengintipan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat kepada beberapa negara termasuk Malaysia, tetapi juga bertepatan dengan iklim politik negara yang menyaksikan anaknya, Mukhriz kecundang sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai sebulan iaitu dalam percubaan merebut jawatan Naib Presiden UMNO dan dalam mengemudi pilihanraya kecil Sungai Limau.

Walaupun keprihatinan Mahathir bertindak dalam menangani isu yang melibatkan pengintipan CIA di pejabat Peguam Negara boleh dipuji meskipun beliau bukan lagi memegang jawatan Perdana Menteri, tetapi kaitannya dengan isu politik semasa yang sedang berlaku, sukar juga ditolak.

Ia seolah-olah tiada kena mengena tetapi dalam masa yang sama macam ada kaitannya pula.

Sebelum ini Mahathir telah membangkitkan tentang politik wang yang masih berlaku dalam UMNO dan kepimpinan Najib yang dianggapnya lemah kerana selalu tunduk kepada tuntutan ekstrem daripada pihak pembangkang. Meski dakwaan Mahathir ini disanggah oleh beberapa pemimpin UMNO yang cuba mempertahankan Najib tetapi ramai yang percaya bahawa dakwaan Mahathir itu banyak kebenarannya.

Dengan timbulnya pendedahan mengenai pertemuan beliau dengan bekas pegawai kanan polis dan peguam kanan ini dan kaitannya dengan tekanan terhadap Ghani Patail, penjelasan Mahathir yang seterusnya pasti sedang ditunggu-tunggu oleh semua orang. Lebih-lebih lagi mengenali cara dan gaya bekas Perdana Menteri itu, beliau tidak akan memulakan sesuatu perkara tanpa asas yang kukuh.

Penjelasan Mahathir selepas ini mungkin bukan saja berkaitan pengintip CIA di pejabat Peguam Negara tetapi barangkali juga melibatkan peranan Apco yang kini menjadi penasihat dan perunding kepada pentadbiran Najib. Apco ini pula sudah pun bertapak dalam pentadbiran kerajaan sebaik saja Najib mengambil alih kepimpinan negara sejak 2009 lagi.

Oleh itu, ditambah dengan adanya pengintip CIA yang sedang bertugas di pejabat peguam negara, adalah mudah dan berasas untuk mengaitkan pentadbiran Najib dengan pengaruh luar, khususnya Amerika Syarikat. Lebih-lebih lagi Najib juga dilihat amat suka dilihat mempunyai hubungan yang baik dan mesra dengan kuasa besar itu.

Tidak dinafikan Ghani Patail mungkin sedang dijadikan sasaran, tambahan pula beliau merupakan individu yang rapat dengan pentadbiran Najib tetapi dalam masa yang sama paling banyak isu. Ghani Patail mungkin dijadikan sasaran tetapi matlamat akhirnya ialah Najib.

Oleh itu, bukan saja Ghani yang sedang kepanasan sekarang ini, dengan desakan mulai kedengaran agar tugasnya sebagai Peguam Negara digantung kerana dakwaan adanya pengintip disisinya adalah dakwaan yang berat dan serius, bahkan bahang kepanasan itu mulai turut dirasakan oleh Perdana Menteri juga.

Kita hanya perlu bersabar sedikit dan menunggu Mahathir bersuara untuk mengetahui "siapa yang kena" dalam isu ini. (SH 06/11/2013)

MUKTAMAR TAHUNAN DPPN PERAK KALI 30 : PERWAKILAN SOKONG PENUH UCAPTAMA " MELESTARI UKHUWAH, MENGUKUH JEMAAH"

MUKTAMAR TAHUNAN DPPN PERAK KALI 30 : PERWAKILAN DPPK BAGAN DATOH HADIR BERSEMANGAT DAN PENUH MAHABBAH

Perwakilan menyokong penuh Ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Zawawi bertemakan “ Melestari Ukhuwah, Mengukuhkan Jemaah”.

IPOH, 3 Nov – Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Perak yang telah berjaya melaksanakan Muktamar Tahunan peringkat dewan tersebut. Muktamar yang bersidang di dewan Hotel Tower Regency, Ipoh tersebut juga telah menyaksikan beberapa perubahan tampuk pimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri.


Bertemakan “ Melestari Ukhuwah, Mengukuhkan Jemaah “ telah membawa semula ahli pemuda PAS kembali kepada asas perjuangan parti tersebut. Berikut kesedaran itu, tema tersebut telah dipilih sebagai mengukuhkan dan memperkuatkan barisan pimpinan serta seluruh pemuda PAS untuk menghadapi cabaran masa mendatang.

Sebanyak 24 kawasan perwakilan telah hadir untuk bermuktamar dan memilih kepimpinan penggal baharu dengan lancar dan baik serta penuh kasih-sayang. Tidak ketinggalan menghantar wakil ke persidangan muktamar tersebut ialah Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ) yang diwakili seramai 8 orang perwakilan.


Antara perwakilan tersebut ialah Ustaz Mustofa Saifuddin ( Ketua ), Ustaz Amir Hamzah Ibrahim ( Timbalan ketua ), Ustaz Hasnizam Hassan ( Naib Ketua ), Ahmad Syukri Md. Suhot ( Bendahari ), Ustaz Mustaid Saifuddin ( Ketua Penerangan ), Hj. Muhammad Haidzir Ajid ( Pengarah Pilihan raya ), Ustaz Khairi Abdullah ( AJK ) dan Muhammad Nizam Khairi ( AJK ).


Perwakilan tersebut juga menyokong penuh ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, YB. Ustaz Zawawi Abu Hassan yang bertemakan “ Melestari Ukhuwah, Mengukuhkan Jemaah “.

Rabu, 6 November 2013

MUKTAMAR TAHUNAN DPPN PERAK KALI KE 30.

MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK KALI KE 30 : SUASANA PERWAKILAN DPPK BAGAN DATOH.

Pada 3 November 2013 ( Ahad ) lalu telah berlangsungnya Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak. Seramai 8 orang perwakilan daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh telah menghadiri muktamar kali ini yang berlangsung bertempat di Hotel Tower Regency, Ipoh. 

Perasmian muktamar kali ini juga telah dirasmikan oleh YB. Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia juga Ahli Parlimen Temerloh.



















ALHAMDULILLAH..INI KEMENANGAN HARI PERTAMA TAHUN HIJRAH- MURSYIDUL AM PAS


Kemenangan hari pertama tahun Hijrah – TG Nik Aziz

Harakahdaily,05 Nov 2013
KUALA LUMPUR:Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai  Limau semalam sebagai “kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H”.


Dalam entri terbaru di laman facebook beliau, Tuan Guru Nik Aziz memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan kemenangan itu dan merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.

“Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kemenangan kepada calon PAS di Dun Sungai Limau Kedah kelmarin (semalam).

“Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi PAS yang ternyata telah menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk kekal istiqamah bersama-sama dengan PAS.



“Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharapkan menjadi langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas politik negara, Insya Allah,” ujarnya.

PAS mengekalkan kerusi Dun Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi.

Calon PAS Ustaz Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi.


Pada PRU ke-13  Mei lalu, Tan Sri Ustaz Azizan Razak (PAS) memenangi kerusi Dun Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.



Keputusan rasmi PRK Dun Sungai Limau diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan kira-kira jam 9.00 malam.



Daripada 23,249 pemilih berdaftar yang keluar mengundi,  145 kertas undi diisytiharkan rosak.



Dengan keputusan ini, PAS mengekalkan kerusi Dun itu sejak pilihan raya umum 1995.

Selasa, 29 Oktober 2013

TOLAK DAN BANTAH GST : KERANA IANYA BEBANKAN RAKYAT- PRESIDEN PAS

PAS tolak GST kerana bebankan rakyat - Presiden

Harakahdaily,29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS dan Pakatan Rakyat menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana ia satu bentuk cukai yang tidak adil dan membebankan rakyat berpendapatan rendah, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berucap membahaskan bajet 2013 di Dewan Rakyat semalam, Tuan Guru Abdul hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun Perdana Menteri mengumumkan barangan seperti  budu, cencalok dan tempoyak tidak dikenakan  GST, namun bahan makanan tradisional itu memerlukan ramuan seperti garam dan  gula serta minyak (petrol dan diesel) untuk pengangkutan.

Tuan Guru Abdul Hadi turut menjelaskan peri pentingnya pemimpin negara bersikap adil dalam proses mengenakan cukai kepada rakyat seperti Khalifah Umar Abdul Aziz yang menolak permintaan seorang gabenor untuk menaikkan cukai bagi menampung kewangan negara. 

"Lalu dia (Khalifah Umar Abdul Aziz) menjawab (surat gabenor tersebut),  'kamu berlaku adil atau kamu akan dipecat'," ujarnya. 

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, cukai boleh dikenakan kepada rakyat tetapi ia mestilah dilaksanakan secara adil seperti zakat yang dikenakan pada golongan kaya dan tidak kepada yang miskin manakala cukai kharaj dikenakan kepada rakyat bukan Islam. 

"Zakat tidak boleh dihapuskan tapi cukai (untuk rakyat) bukan Islam (kharaj) boleh dihapuskan apabila kewangan negara mencukupi. Inilah konsep yang adil," jelasnya.

Sabtu, 26 Oktober 2013

PRK SG. LIMAU : MUHYIDDIN YASSIN BIADAB, KATA MAHFUZ OMAR

Kaitkan Azizan dan harga gula, kempen tidak berakhlak

Salmiyah Harun,26 Okt 2013

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan kempen yang tidak berakhlak dan tidak beradab.

Muhyiddin hari ini cuba mempertahankan pemotongan subsidi gula sebanyak 34 sen dengan mengaitkan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang terpaksa memotong kakinya akibat kencing manis.

Jelas Mahfuz, kenyataan Muhyiddin itu tidak berakhlak khususnya kepada ahli keluarga Allahyarham iaitu isteri dan anak-anaknya.

"Kenapa hendak kaitkan keputusan pemotongan subsidi gula dengan Allahyarham yang potong kaki.

"Jangan guna orang yang dah mati untuk menghalalkan mereka menaikkan harga gula," tegas Mahfuz kepada Harakahdaily.

Katanya, Muhyiddin langsung tidak ada rasa hormatkan isteri dan ahli keluarga Allahyarham.

Justeru, Mahfuz menggesa Muhyiddin memohon maaf kepada isteri dan anak-anak Allahyarham serta seluruh pengundi Sungai Limau yang rata-rata begitu rapat dengan Allahyarham.

Hari ini, Muhyiddin dalam majlis pertemuannya bersama guru dan ibu bapa pelajar sekolah sekitar Yan dan Kuala Muda pagi tadi mempertahankan pengurangan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 semalam dan berkuatkuasa hari ini.

Menurutnya sebagaimana yang dilaporkan Malaysiakini, ia dilakukan untuk manfaat orang ramai dan hadirin yang hadir perlu mengambil iktibar daripada penyakit kencing manis yang dideritai allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

"Ramai meninggal dunia sudah ditakdirkan Allah, tapi di dunia ini disebabkan banyak makan, di samping itu banyak ambil gula sampai tak usahlah saya cerita tentang almarhum (Azizan).

"Sebab itu juga dia terpaksa melalui proses kakinya terpaksa dipotong.

"Jadi kerajaan umum tak ada subsidi umum tak ada gula keputusan tepat hendak menjaga maslahah am - hendak menjaga kesihatan," katanya.

GST : MENGAPA PAS BERSUNGGUH BANTAH GST ?

Mengapa PAS bantah GST?

Harakahdaily,26 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)  untuk meningkatkan pendapatan.

“Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Katanya, pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.

“Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja,” ujarnya lagi.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan langkah baru untuk menambahkan pendapatan negara.

Ia adalah cara mengambil duit daripada rakyat melalui cukai yang dikatakan saksama sebagai pendapatan kerajaan.

Peluasan asas cukai ini mustahak untuk Malaysia, dakwa sesetengah pihak kerana hanya kira-kira 10 peratus daripada penduduk yang bekerja membayar cukai pada masa ini. 

PAS tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, kerana rata-rata rakyat sedang membayar cukai tersembunyi tanpa diketahui mereka.

Umpamanya pembelian kereta, semua rakyat yang mempunyai kereta sudah dikenakan cukai.

Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian.

Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila GST diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus.

Di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.

Ada yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST. Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minimum perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal.

Jangan terlalu gembira dengan pengumumkan pelbagai barangan asas seperti tepung, gula, beras dan garam tidak dikenakan GST. Hakikatnya, apa-apa yang dihasilkan daripada tepung, gula, beras dan garam kepada makanan siap yang sampai ke tangan pengguna boleh dikenakan GST.

Perkara terpenting dalam perlaksanaan GST ialah penguatkuasaan, bab yang kerajaan BN terkenal sebagai kelemahannya.

Untuk memastikan GST berfungsi dengan baik yakni menjana pendapatan yang seharusnya bagi kerajaan, penguatkuasaan kepada semua yang mengenakan GST perlu dilakukan secara saksama dan adil.

PAS terbayang akan berlaku masalah di mana kedai yang tidak layak mengenakan GST, akan sengaja mengenakan GST kepada pelanggannya untuk pendapatan lebih. Lebihan wang hasil daripada peratusan tambahan GST itu pula tidak dilaporkan kepada kerajaan kerana penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah.

Akhirnya, rakyat membayar GST ini bukan untuk pendapatan kerajaan tetapi untuk mengkayakan lagi mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Akibat rasuah yang berleluasa, PAS juga terbayang banyak syarikat yang terlepas daripada hukuman atau denda kerana menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barang yang dikenakan kepada rakyat awam.

Sesungguhnya, dengan masalah penguatkuasaan yang lemah dan juga rasuah yang masih berleluasa, iklim Malaysia masih tidak sesuai untuk pelaksanaan GST, lebih-lebih lagi apabila BN masih berkuasa.

Lihatlah bagaimana kerajaan BN cuba untuk mengurangkan defisit negara. BN tidak mengurangkan perbelanjaan pengurusan, malah perbelanjaan pengurusan meningkat RM15.8 bilion, daripada RM201.9 bilion pada 2013 kepada RM217.7 bilion pada 2014 berbanding peningkatan pendapatan sebanyak RM15.5 bilion daripada RM208.6 bilion pada 2013 kepada RM224.1 bilion pada 2014.

Pengurangan defisit bajet sebenarnya dicapai dengan memotong peruntukan pembangunan sebanyak RM3.2 bilion daripada RM49.7 bilion pada 2013 kepada RM46.5 bilion pada 2014.

Keadaan ini dijangka berterusan sehingga 2015 di mana GST bakal dilaksanakan. Ini bermakna kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan GST untuk meningkatkan pendapatan.

Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST. Pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.

Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja.

Khamis, 24 Oktober 2013

NASIB BEKAS MENTERI JUMAAT INI..

PKFZ: Nasib Liong Sik diketahui Jumaat ini

KUALA LUMPUR - Nasib bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang dituduh menipu kerajaan berhubung projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sama ada dilepas dan dibebaskan atau dipenjara, akan diketahui Jumaat ini.


Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang mendengar kes itu memerintahkan Dr Ling, 70, membela diri pada 9 Mac lalu dan dia selesai memberi keterangan pada 20 Jun lepas.

Sepanjang prosiding itu, sebanyak sembilan saksi dipanggil termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Dia didakwa menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek 'Mega Distribution Hub' yang kini dikenali PKFZ.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1.088 bilion sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan, dalam menentukan nilai itu, telah mengambil kira kadar kupon.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000. 
Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002. - Bernama

Rabu, 23 Oktober 2013

MURSYIDUL AM : PAS DAN UMNO JAUH BERBEZA

Umno dan PAS jauh berbeza

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,22 Okt 2013


Saya membaca kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini di dalam Sinar Harian yang menyebut bahawa PAS dan UMNO banyak persamaan. Kedua-dua katanya mendukung Islam dan ingin membawa kebaikan kepada ummah.

Pada saya, kenyataan ini tidak lain hanyalah kenyataan yang berniat mahu mengumpan undi sahaja khususnya di pilihanraya kecil DUN Sungai Limau nanti. Jika disebut tentang persamaan, bukan sahaja UMNO dengan PAS, bahkan UMNO dan komunis pun ada persamaan. Lihat komunis di China, mereka membangunkan China dengan membina pelbagai infranstruktur untuk rakyat. Jika UMNO mendakwa mereka membawa pembangunan untuk rakyat, maka ada persamaan di antara UMNO dengan komunis.

Saya tidak kata UMNO komunis. Tetapi cara hujah seorang Timbalan Perdana Menteri itu tidak kena letak duduknya. PAS berusaha membawa Islam yang syumul. UMNO mengambil Islam sekerat-sekerat. Ada kerja yang baik dilakukan oleh UMNO tetapi dalam masa yang sama, banyak kerja tidak baik yang turut dilakukan oleh mereka. Kerja baik itu tidak ada nilai jika di dalam masa yang sama mereka menerima Islam secara sekerat-sekerat. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud :

Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. - Surah At-Taubah, ayat 19.

Perhatikan ayat ini di mana Allah SWT mengherdik sikap orang-orang kafir Quraisy yang berbangga dengan amalan mereka memberi minum para jemaah haji. Ya, benar itu amalan yang mulia. Tetapi jika dibandingkan dengan iman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad di jalan Allah SWT, amalan memberi minum para jemaah haji masih jauh rendah nilainya.

UMNO hanya melaksanakan Islam yang kosmetik tetapi meninggalkan roh Islam yang sebenar. Di dalam perundangan, Islam dijadikan tempelan semata-mata dan bukan didaulatkan dengan cara yang sepatutnya. Dalam isu kalimah Allah sebagai contoh, dijadikan tajuk besar kononnya UMNO berjuang habis-habisan agar orang-orang Islam sahaja boleh menggunakan kalimah Allah. Tetapi itu cerita sebelum pemilihan. Adapun selepas pemilihan, baru keluar cerita kecil bahawa keputusan mahkamah yang mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah itu tidak terpakai kepada Sabah dan Sarawak. Dalam erti kata lain, barangkali hanya orang Islam di semenanjung sahaja jatuh murtad jika benarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, adapun orang Islam di Sabah dan Sarawak lain hukumnya.

Hakikatnya, UMNO dan PAS tidak sama. Bahkan jika permimpin UMNO menyatakan sama sahaja di antara kedua-dua part ini, saya persilakan ahli-ahli UMNO untuk mengundi PAS kerana mengambil kira pandangan pemimpin mereka bahawa kedua-duanya hanyalah sama. Adapun ahli dan penyokong PAS tiada pilihan kecuali mengundi PAS kerana pandangan pemimpin PAS yang bertegas bahawa kedua-duanya tidak sama.

Sebenarnya UMNO tidak usahlah memakai topeng. Wajah UMNO terlalu sukar untuk disembunyikan. Sekalipun menjerit mendaulatkan bangsa Melayu, tetapi hak Melayu di Kelantan tetap dinafikan. Pada UMNO, hanya orang-orang UMNO sahaja Melayu, selain mereka tidak boleh bergelar Melayu. Ini bukan perjuangan Melayu, ini sebenarnya perjuangan meruntuhkan Melayu.

Apapun tahniah kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang menang di pemilihan UMNO baru-baru ini. Melihat kepada senarai kepimpinan UMNO yang baru, pada saya ia hanyalah kereta lama yang diketahui bermasalah yang masih terus dipandu oleh pemandu yang lama yang juga bermasalah.

Sekian, wassalam.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh: 17 Zulhijjah 1434H bersamaan 22 Oktober 2013M

Selasa, 22 Oktober 2013

PRK N.20 SG. LIMAU : PAS CALONKAN KETUA PEMUDA JERAI, USTAZ AZAM.

Ustaz Azam Samad calon PAS PRK Sg Limau

Muhammad Faizal,21 Okt 2013
Ustaz Azam berucap pada Majlis Pengumuman Calon N20 Sungai Limau, malam ini.

JERAI: Ketua Pemuda PAS Jerai, Ustaz Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.

Pengumuman dibuat Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kira-kira jam 10 malam ini di majlis pengumuman calon di sini.

Ustaz Azam yang juga bekas guru bakal berdepan calon BN Ahmad Sohaimi Lazim.

Ustaz Azam ketika memberikan ucapan sulung malam ini berkata, beliau akan memikul amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.

Beliau menegaskan, azamnya untuk meneruskan agenda bekas Menteri Besar Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Beliau juga berharap seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS untuk bekerja keras mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.

Ustaz Azam turut menyeru agar semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Razak kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi.


Ahad, 20 Oktober 2013

RASUAH ? EH..SILAP.POLITIK WANG PUNCA SAIFUDDIN TEWAS ?

Politik wang: Apa di sebalik kenyataan Saifuddin?

Harakahdaily,20 Okt 2013

KUALA LUMPUR: Kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah yang bahawa "redha dengan kekalahan kerana beliau tidak mengamalkan politik wang" memberi faham yang jelas apa sebenarnya yang berlaku dalam perebutan jawatan pada pemilihan Umno.

Beliau yang juga Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, mengeluarkan kenyataan itu selepas diumumkan tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh yang disandang beliau sejak 2009 lalu.

Beliau tewas dalam perebutan tiga penjuru kepada Azmi Mat Ludin yang kini dipilih untuk menjawat jawatan itu.

Saifuddin memperoleh undi sebanyak 204 undi berbanding Nor Azmi Mat Ludin 248 serta seorang lagi pencabar Datuk Akbar Abu yang mendapat 188 undi.

Saifuddin melalui laman mikro Twitternya bagaimanapun berkata beliau akur dengan keputusan itu, kerana beliau telah cuba membawa budaya politik baru iaitu berkempen tanpa sogokan dan politik wang.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Azmi Mat Ludin yang dipilih Timbalan Ketua Umno Temerloh yang baru. Saya akur dengan keputusan perwakilan.

"Saya kalah, tapi saya redha sebab saya tak main politik wang," katanya melalui akaun Twitter @saifuddinabd.

Biarpun redha, kenyataannya itu dilihat banyak pihak seperti berbaur kesal dengan sesetengah pemimpin Umno yang masih mengamalkan politik wang membeli undi perwakilan.

Kenyataan itu juga dilihat selari dengan apa yang digambarkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui politik wang masih berleluasa dalam Umno termasuk pada pemilihan kali ini.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau sendiri semasa bertanding di peringkat bahagian Umno terpaksa menyalurkan RM200 seorang kepada perwakilan.

"Saya dapati budaya rasuah masih berleluasa dan mereka yang mengundi dalam pemilihan hanya didorong oleh kerenah politik wang.

"Saya sendiri semasa bertanding di peringkat bahagian Umno terpaksa menyalurkan RM200 seorang. Jadi anda boleh bayangan berapa banyak yang telah dihabiskan sehingga saya menjadi Perdana Menteri," katanya dalam Majlis Sambutan Aidiladha di Kuala Lumpur baru-baru ini.

jambori amal kuala kangsar 2008