Bersabarlah, ada hikmah di sebaliknya
WAHAI anakku,
Allah boleh segera membersihkan Aisyah r.a. bila mana ia difitnah, namun sengaja Allah biarkan selama tiga bulan baharulah ayat membersihkan beliau diturunkan.
Wahai anakku, kenapa Allah lakukan demikian? Al-Quran menjelaskan tujuan-Nya untuk Baginda dan para sahabat mengenali siapa yang beriman dan siapa yang munafik.
Aku tidak akan kata demikian kepada apa yang berlaku, namun aku kata siapa yang sabar dan taat dan siapa sebaliknya.
Wahai anakku,
Aku juga ingin mengingatkan kamu betapa sewaktu bani Israel yang beriman dengan Nabi Musa mendesaknya untuk menyatakan dengan jelas ke manakah mereka harus lari bagi menyelamatkan diri daripada tentera Firaun yang mengejar mereka.
Lalu, mereka diarahkan lari ke tepi lautan. Pada saat itu, andainya mereka tidak sabar dengan perintah Nabi Musa tentulah mereka meninggalkan Nabi Musa lalu mereka akan dihancurkan oleh Firaun.
Akan tetapi, kesabaran dan ketaatan telah menyelamatkan mereka daripada musibah yang besar, bila mana Allah memerintahkan Nabi Musa memukul lautan, bagi membuka jalan untuk menyelamatkan mereka.
Lihatlah dengan mata hati, anak kesayanganku, pada saat yang genting itulah datangnya ujian Allah kepada kita.
Hendak diuji sama ada kita akan membelakangi jamaah atau meninggalkan jamaah. Aku mohon kita semua diberi perlindungan Allah daripada petaka itu.
Oleh itu wahai anakku, apa payah bagimu bersabar seketika sementara menunggu jawapan bersama jamaah?
Janganlah kerana engkau bimbang keputusannya tidak selaras dengan kehendakmu, lalu engkau tidak sabar dan tergopoh melakukan sesuatu yang dilihat seolah-olah memaksa jamaah menuruti kehendakmu.
Jangan pula kamu merasai hebatnya tindakanmu kerana tindakan kamu ini akan membangkitkan serangan yang sedang tidur ke arah kamu. Aku cukup bimbang harga yang perlu dibayar oleh kamu hanya kerana ketidaksabaranmu menunggu jawapan jamaah. –
HARAKAHDAILY 15/8/2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan