pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 26 Mac 2013

SEPETANG BERSAMA TUAN GURU PRESIDEN DI BAGAN DATOH


PRESIDEN : PRINSIP DAN DASAR PERJUANGAN PAS TIDAK PERNAH BERUBAH DALAM USAHA MENEGAKKAN SYIAR ISLAM DI MALAYSIA

Lawatan ringkas Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang ke Bagan Datoh, jelaskan perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat dan hak rakyat sekiranya menang dalam Pilihanraya Umum ke 13.

BAGAN DATOH : Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang tetap menegaskan bahawa perjuangan PAS adalah kekal berdasarkan Al-Quran dan Hadis sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan parti. Jelasnya, adalah nyata dan penting untuk seluruh ahli parti tersebut memahami konsep serta prinsip perjuangan PAS sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam di Malaysia ini.


Beliau yang membuat lawatan ringkas ke Bagan Datoh pada 23 Mac lalu telah disambut kira-kira 1000 orang hadirin serta berucap di Majlis Sepetang Bersama Tuan Guru Presiden yang dianjurkan oleh pihak PAS Kawasan Bagan Datoh pada tarikh tersebut.

Kehadiran Tuan Guru Hj. Abdul Hadi telah disambut oleh barisan pimpinan PAS Kawasan Bagan Datoh dan seluruh ahli yang diketuai Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Tuan Guru Presiden telah menyatakan serta menegaskan bahawa perjuangan PAS selama ini tidak pernah berubah kerana ianya kekal memperjuangkan akidah dan syariat Islam di muka bumi Malaysia ini. Tegasnya, ia ( perjuangan PAS ) telah termaktub dalam perlembagaan parti. Hujah beliau lagi, PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang berada di landasan akidah dan syariat yang suci lagi murni.

PAS TETAP MEMPERJUANGKAN ISLAM

Beliau juga mengingatkan bahawa Islam adalah merupakan agama yang adil untuk semua. Walaupun negara ini mempunyai kepelbagaian masyarakat daripada bangsa dan kepercayaan agama berbeza, Islam tetap akan bersifat adil.Makanya, tidak perlu bimbang dan risau bagi masyarakat yang bukan beragama Islam sekiranya hukuman dan dasar Islam dilaksanakan di negara ini . Bahkan katanya lagi, Islam dan hukum-hakamnya adalah bertepatan dengan fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai manusia yang lemah di dunia .


Berdasarkan sejarah penubuhan PAS, dasar dan perlembagaan sudah tetap bahawa menegakkan sebuah Kerajaan Islam di negara ini adalah matlamat utama. Demikian itu, beliau menyatakan sepatutnya tidak perlu timbul keraguan dan kebimbangan di kalangan ahli dan rakyat terhadap dasar PAS selama ini sesungguhnya ianya kewajipan umat Islam sebagaimana perintah Allah S.W.T di dalam Al- Quran dan Hadis serta Sirah yang dibuktikan melalui perjuangan Nabi Muhammad S.A.W satu ketika dahulu.

TAHALUF SIYASI BERSAMA DAP DAN NEGARA BERKEBAJIKAN

Adapun persoalan yang timbul masakini, bahawasanya PAS yang menyertai gabungan Pakatan Rakyat bersama Parti Keadilan Rakyat ( PKR ) dan DAP mengundang pelbagai reaksi rakyat. Menurut Tuan Guru Presiden, perkara tersebut adalah memerlukan penjelasan yang tepat dan terperinci sebagai mengelakkan pandangan negatif rakyat. Jelas beliau dalam ucapannya, bahawa kerjasama yang dilakukan oleh PAS dengan DAP adalah merupakan satu cara ( wasilah ) mencapai kemenangan Islam di negara ini.

Ianya disebut sebagai Tahaluf Siyasi ( kerjasama politik ) dan sekiranya perkara itu menguntungkan Islam, maka ianya perlu dilakukan berdasarkan keputusan Majlis Syura PAS. Walau bagaimanapun, kerjasama politik tersebut tetap mempunyai batasan mengikut garis panduan hukum-hakam Islam. Dalam perkara-perkara tertentu sahaja selagi mana perkara tersebut tidak bercanggah akidah dan syariat Islam, maka ianya pula memerlukan kerjasama, PAS akan tetap bersama DAP dan juga PKR.

Menjelaskan isu pendekatan “ Negara Berkebajikan “ oleh PAS pula, Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang menyatakan ianya hanyalah sebagai pendekatan dibawa oleh PAS. Perkara tersebut tidak langsung bercanggah dengan dasar PAS selama ini. Berkebajikan itu sendiri adalah salah satu sifat Islam yang menunjukkan kesyumulan dan kemuliaan agama tersebut. Maka, tidak timbul percanggahan dengan istilah tersebut kerana ianya masih berdasarkan Al- Quran dan Hadis.

PASUKAN KESELAMATAN NEGARA ADALAH UNTUK RAKYAT

Rakyat diingatkan bahawa jangan risau dan bimbang berkaitan keselamatan rakyat dan negara ini sekiranya Pakatan Rakyat ( PR ) ditakdirkan untuk mentadbir melalui kemenangan Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Adapun isu ini telah digembar-gembur oleh Umno/ BN melalui medianya sebagai menakut-nakutkan rakyat memilih Pakatan Rakyat dalam usaha membuat perubahan pentadbiran kerajaan hari ini.


Tuan Guru Presiden juga menyatakan kepercayaan dan keyakinan terhadap pasukan keselamatan negara seperti polis dan tentera akan melaksanakan tugasan secara professional kerana mereka bukanlah untuk Umno/ BN tetapi untuk rakyat.

Beliau turut mengulas sedikit berkaitan isu pencerobohan tentera Sulu ke atas Lahad Datu di Sabah yang berlaku kira-kira sebulan lalu. Tuan Guru Presiden mengambil kira isu tersebut sebagai bukti kegagalan kerajaan hari ini dalam menangani permasalahan negara. Pelbagai isu perlu dibangkitkan bagaimana perkara tersebut boleh berlaku di sebuah negara yang berdaulat. Beliau juga dalam ucapannya melahirkan keyakinan bahawa pasti terdapat skandal dan campur tangan tertentu yang akhirnya menyebabkan isu di Lahad Datu ini berlaku.

HUKUMAN HUDUD DAN ISLAM LAIN AKAN DILAKSANAKAN

Tuan Guru Presiden turut menjawab persoalan dan kekeliruan berkaitan hukuman Islam iaitu Hukuman Hudud di majlis tersebut. Persoalannya, mengapakah perlaksanaan hukuman Hudud tidak dimasukkan ke dalam manifesto PAS sedangkan ianya selama ini diperjuangkan PAS ?

Beliau menjawab bahawa hukuman Hudud tetap akan dilaksanakan berdasarkan perintah Allah S.W.T melalui Al-Quran. Bahkan banyak lagi hukum Islam yang berkaitan kehidupan manusia bukan hukuman hudud semata- mata akan dilaksanakan di Malaysia. Maka, berdasarkan perlembagaan negara ini, ianya telah meletakkan perkara-perkara yang berkaitan agama Islam kepada hak kerajaan negeri masing-masing. Demikian itu, beliau menyatakan mengikut garis panduan tertentu nanti, hukuman hudud tetap akan dilaksanakan seadil –adilnya.

Perkara tersebut pula sebenarnya tidak perlu di manifestokan sebagaimana permintaan beberapa pihak yang mungkin masih lagi tidak faham situasi politik dan pentadbiran negara ini.

RAKYAT MESTI TOLAK KEZALIMAN UMNO/ BN DAN PR AKAN TERUS JAGA HAK RAKYAT APABILA MENANG PRU 13

Dalam ucapannya di Majlis Sepetang Bersama Rakyat Bagan Datoh, Presiden PAS juga menyatakan beberapa isu politik dan permasalahan pentadbiran negara ini. Antaranya ialah usaha kerajaan membantu rakyat melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia ( BR1M ) dilihat sebagai “ umpan” meraih simpati serta undi rakyat terhadap mereka ( Umno/ BN ). Sedangkan ianya memang hak rakyat yang perlu diberikan.

Dalam usaha perubahan ini juga, rakyat perlu peka dan prihatin terhadap setiap perkara yang berlaku di sekitar kehidupan rakyat di Malaysia. Sebagai contoh lain, beliau menyatakan kegagalan pimpinan Umno/ BN dalam mentadbir negara ialah mengawal harga barangan keperluan. Walaupun ada sedikit usaha membantu rakyat dengan menaikan elaun polis dan tentera, namun apalah ertinya harga barangan juga melambung tinggi.

Presiden PAS, Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang juga menyatakan beberapa janji dan perkara yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat sebagaimana yang disepakati dalam Buku Jingga dan Tawaran Negara Berkebajikan  kepada rakyat adalah relevan dan seimbang. Maka rakyat perlu faham dan jangan takut untuk membuat pilihan terhadap Pakatan Rakyat ( PR ) kerana hak rakyat tetap akan dijaga. Perlembagaan Negara juga akan dipelihara demi keamanan dan keselamatan negara ini.

1 ulasan:

bong dom berkata...

sila bertukar laman web saya
http://joezuax.blogspot.com/
Terima kasih untuk jenis anda

Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008