pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 17 September 2013

USTAZ MISBAH KEKAL SEBAGAI YDP PAS KAWASAN BAGAN DATOH, PERWAKILAN BERIKAN KEPERCAYAAN.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN : YDP DAN KETUA URUSAN ULAMA’ KEKAL, TIMBALAN DAN NAIB BERUBAH SERTA BEBERAPA MUKA BAHARU TERPILIH SEBAGAI AJK PAS KAWASAN BAGAN DATOH PENGGAL 2013-2015

Ustaz Misbah mengekalkan jawatannya sebagai Yang Dipertua setelah pencabarnya, Ustaz Mohd Yazid menarik diri yang juga merupakan Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan dalam pemilihan kali ini.


BAGAN DATOH, Selekoh-14 Sept : PAS Kawasan Bagan Datoh telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 30 baru-baru ini yang bertempat di Dewan Besar PAS Bagan Datoh, Selekoh. Mesyuarat pada kali ini telah dihadiri seramai 150 orang perwakilan daripada 33 cawangan PAS bagi kawasan Bagan Datoh dan 50 orang pemerhati daripada pelbagai pihak.

Majlis perasmiannya telah pun disempurnakan oleh YB. Ustaz Abu Bakar Hussin selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Perak juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Titi Serong. Kehadirannya bersama isteri ke majlis perasmian tersebut telah disambut oleh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan dan para perwakilan yang telah hadir.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki menyatakan pendirian PAS tetap dalam memperjuangkan Islam berlandaskan demokrasi yang diamalkan di dalam Negara ini. Demikian itu, beliau mengingatkan supaya seluruh ahli dan penyokong PAS terus bekerja keras serta berusaha selain berdoa dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. dalam memenangkan PAS dalam pilihan raya.


Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu juga lagi beryakinan bahawa Islam akan menang pada suatu hari nanti kerana itu telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. Cumanya perjuangan ini memerlukan kesabaran dan strategik yang mantap sebagaimana yang pernah diperlihatkan oleh Rasulullah S.A.W.

“ Kita juga perlu ingat, bahawa kekuatan PAS adalah Islam. Makanya, seluruh ahli mestilah kuat dan bersatu dengan memahami dasar perjuangan PAS. Tidak perlu bersangka buruk dan melebalkan golongan-golongan tertentu dalam PAS.” Peringatannya kepada seluruh perwakilan mesyuarat pada kali ini.

Manakala dalam ucapan perasmian oleh Ustaz Abu Bakar Hussin lebih memberikan motivasi dan kata-kata semangat kepada seluruh perwakilan agar terus bekerja dan berusaha dalam langkah memenangkan PAS dan Islam itu sendiri melalui sistem pilihan raya di negara ini. Menurut beliau sememangnya dalam perjuangan Islam pastinya akan menghadapi pelbagai ujian dan cabaran sama ada daripada luaran mahupun dalaman PAS itu sendiri. Demikianlah hakikat perjuangan Islam sebagaimana yang pernah dihadapi oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat terdahulu yang lebih hebat tekanannya.


Ustaz Abu Bakar juga berpendapat dalam ucapannya, kesukaran untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 13 lalu perlulah dimuhasabahkan oleh pihak PAS dalam semua peringkat. Bukan sahaja para pimpinan bahkan seluruh pendokong PAS perlulah mengambil kira kekalahan tersebut sebagai pengajaran dan panduan untuk lebih berusaha dalam masa hadapan. Walaupun hakikatnya PAS dan rakan dalam Pakatan Rakyat gagal membentuk kerajaan di Perak juga di peringkat persekutuan bukanlah bererti PAS itu kalah tetapi pastinya ada hikmah disebalik kekalahan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Titi Serong itu juga mengajak seluruh ahli PAS terutamanya supaya mendekatkan diri kepada Allah SWT dan tidak sesekali meninggalkan tuntutan wajib di dalam Islam. Selain itu, beliau juga mengharapkan kepada seluruh pendokong dan ahli PAS memahami dan mendalami sebenar perjuangan PAS dengan menghadirkan diri ke program-program pentarbiah dan pencerahan fikrah.

Dalam mesyuarat kali ini juga telah berlangsungnya pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan bagi penggal 2013-2015 sebagaimana yang telah ditetapkan dalam perlembagaan PAS itu sendiri.


Ustaz Misbahul Munir yang sebelum ini memegang jawatan Yang Dipertua berjaya mengekalkan jawatan tersebut dengan memenanginya tanpa bertanding setelah pencabarnya Ustaz Mohd Yazid Abdul Hamid menarik diri. Walau bagaimana pun, Ustaz Mohd Yazid masih mampu untuk mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan setelah mengetepikan lawanya, Ustaz Ahmed Najeb Saffar dengan majoriti nipis.

Manakala bagi jawatan Timbalan dan Naib Yang Dipertua memperlihatkan persaingan hebat apabila berlaku pemilihan empat penjuru bagi jawatan Naib Yang Dipertua. Begitupun bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua telah dimenangi oleh Kapten ( B ) Tn. Hj. Mohamad Aris bin Bakri dengan tanpa bertanding setelah 2 calon lagi bagi jawatan tersebut telah menarik diri lalu memberi laluan kepada beliau menyandang jawatan tersebut.

Adapun bagi jawatan Naib Yang Dipertua telah disandang oleh Tn. Hj. Ariffin @ Ramlee bin Husein setelah mengalahkan 3 pencabarnya yang lain dengan majoriti sedikit. Manakala bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja seramai 16 orang adalah terdiri daripada muka lama seperti Ustaz Mohd Abduh Sukirman, Ustaz Dzahrullail Dardiri, Ahmad Zakaria, Hj. Nor Zaman Samuri, Ahmad Tarmizi Mansor , Baharudin Mat Yit, Ahmad Fauzi Hashim, Zulkaifle Ariffin, Zulkifli Mohamad, Fathillah Hj. Salleh, Dr. Nurul Huda Jaid, Nafiaton Khailani dan Ustaz Ahmed Najeb Saffar.

Manakala muka baharu terdiri daripada Rosilawati Mahyuddin dan Azam Sood. Bagi jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap telah disandang oleh Mohd Yaakob Mohd Nasir dan Mokri Abdul Jalil. Mengisi jawatan sebagai Pemeriksa kira-kira ialah Kapten ( B ) Ustaz Hj. Muhamad Umar  Hj. Md. Nor dan Hj. Ibnu Fajar Abd. Kadir Jailani.


Turut hadir ke mesyuarat kali ini ialah wakil Badan Perhubungan PAS Negeri daripada PAS Kawasan Pasir Salak, YB. S.Kesavan ( ADUN Hutan Melintang ) dan En. Shamsul ( AMK Bagan Datoh ) bertindak selaku pemerhati mesyuarat. 

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008