pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Sabtu, 5 April 2014

MENGAPA HUDUD TERHALANG DI MALAYSIA ?

1.Negara Islam adalah sebuah negara yang terserlah dan terlaksana padanya hukum-hakam dan undang-undang Islam. Hukum-hakam Islam pula tidak hanya terbatas pada hukum hakam ibadah, munakahat dan muamalat tetapi juga merangkumi hukum-hakam dan perundangan jenayah.

2.Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dalam sesebuah negara umat Islam merupakan satu kewajipan kepada seluruh umat Islam khususnya kepada pemerintah Islam yang telah sabit dalam al-Quran dan Sunah serta disepakati oleh seluruh Ulama dan Sarjana Islam sejak 14 kurun yang lalu hingga sekarang.

3.Atas kesedaran itu maka PAS sebaik berkuasa memerintah negeri dengan kuasa majoriti kuat yang ada telah mengkanunkan undang-undang jenayah Islam menerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 dan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada tahun 2002.

4.Namun, PAS menyedari bahawa pelaksanaan undang-undang yang telah dikanunkan terbatas dan terhalang oleh jadual 9 perlembagaan yang meletakkan kuasa perundangan jenayah adalah di bawah kuasa kerajaan persekutuan dan bukannya kuasa kerajaan negeri.

5.Maka menjadi kewajipan bagi ahli Parlimen Islam di Malaysia berusaha dengan apa sahaja kaedah dan cara di parlimen yang membolehkan pelaksanaan undang-undang tersebut di peringkat negeri.


6.Kita menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di parlimen baru-baru ini yang menegaskan bahawa kerajaan pusat tidak ada halangan untuk mana-mana negeri melaksanakan undang-undang jenayah Islam. Kenyataan itu perlu disusuli dengan tindakan oleh kerajaan pusat untuk membawa sebarang pindaan perlembagaan ke Parlimen atas nama kerajaan yang berkuasa yang membolehkan ia dilaksanakan di peringkat negeri.

7.Kita juga mengharapkan sokongan ahli-ahli Parlimen bukan Islam yang membawa mandat pengundi-pengundi Islam atas kesedaran bahawa undang-undang jenayah Islam adalah satu kewajipan beragama bagi muslim dan hanya dikenakan kepada orang Islam serta  sebagai satu usaha yang telah terbukti berkesan menurut rekod sejarahnya dalam menangani permasalahan jenayah berat melibatkan nyawa, harta dan maruah rakyat yang semakin meningkat dan menggangu kestabilan dan keamanan negara.

8.Juga menyedari bahawa kerajaan sembilan negeri-negeri Melayu beraja sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan negeri-negeri yang meletakkan Islam sebagai asas perundangan dan perlembagaan negeri.

Ust Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008