Ambang merdeka platform dakwah Pemuda PAS Perak
Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
IPOH: Sudah menjadi kelaziman setiap tahun, malam detik ambang kemerdekaan iaitu 31 Ogos akan ditunggu-tunggu oleh masyarakat.
Di Negeri Perak terdapat beberapa buah lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat antaranya Dataran Ipoh, Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz dan Dataran Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Ipoh.
Di kesempatan itu, pada tahun ini Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah menganjurkan program Malam Malaysia Tanah Airku Merdeka sebagai alternatif hiburan masyarakat.
Program yang diadakan di Dataran KTMB Ipoh itu telah menyajikan pelbagai aktiviti dan pengisian yang menarik serta bermanfaat antaranya edaran risalah dakwah, persembahan sajak, pidato, hiburan kerohanian dan sebagainya.
Program itu telah menampilkan selebriti, Wahid Senario disamping kumpulan Ipoh Buskers bagi memeriahkan program tersebut.
Wahid atau nama sebenarnya Abdul Wahid Mohd ternyata mencuri tumpuan masyarakat apabila telatahnya berjaya menarik minat hadirin yang berada disitu untuk mendekati program tersebut.
Ia turut dimeriahkan lagi dengan ucapan santai para pimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri yang diketuai oleh ketuanya, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin.
Ketika ditemui, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, pihaknya terpanggil dan berasa tanggungjawab untuk mengambil kesempatan menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat.
Menurutnya, lazimnya tiada program bermanfaat yang dianjurkan oleh mana-mana pihak termasuklah kerajaan sebaliknya ia hanya diisi dengan hiburan-hiburan sementara menantikan detik jam 12.00 tengah malam.
"Kami merasakan satu peluang untuk melebarkan risalah dakwah kepada masyarakat pada malam seperti ini.
"Dakwah secara santai seperti ini sangat diterima oleh masyarakat yang sememangnya dahagakan program-program atau hiburan bermanfaat," katanya kepada Harakah.
Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS Malaysia itu sangat berpuas hati dengan sambutan dan penerimaan masyarakat terhadap program yang dianjurkan itu.
Katanya, dakwah adalah aspek terpenting di dalam gerak kerja PAS dan ia harus digiatkan dengan pelbagai pendekatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan