pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Sabtu, 16 Januari 2016

SUDUT SEJARAH : HARI INI DALAM SEJARAH PAS ( 1 - 5 JANUARI 2016 )


CATATAN SEJARAH PAS : HARI INI DALAM SEJARAH PAS
( 01 - 05 JANUARI 2016 )

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PEMBENTUKAN KERAJAAN CAMPURAN PAS-PERIKATAN
(1 JANUARI 1973)

PADA hari ini dalam tahun 1973, PAS telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan di peringkat Pusat dan negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pembentukan kerajaan campuran ini adalah bertolak daripada Tragedi 13 Mei 1969 yang menyebabkan kekacauan politik dan terjejasnya kuasa politik Melayu Islam di negara ini. Atas faktor ini, PAS telah menerima jemputan Kerajaan Mageran untuk menyertai Jawatankuasa Perpaduan dan Jawatankuasa Muhibbah sehingga penggantungan aktiviti politik ditamatkan pada 8 Ogos 1970.

Pada 18 Disember 1970, Menteri Muda Penerangan, Abdul Samad Idris telah mencadangkan supaya PAS membentuk kerajaan campuran dengan Perikatan demi kepentingan politik Melayu Islam, yang mendapat reaksi positif para pemimpin politik dan orang-orang Melayu.

PAS telah mengambil langkah mengkaji cadangan ini dengan PAS Kelantan mengemukakan kertas "Kerajaan Campuran PAS-Perikatan" pada 22 Julai 1972, yang diikuti oleh penerimaan Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Mohd Asri Haji Muda memberikan reaksi positif terhadap percampuran ini dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 28-29 Julai 1972. Mesyuarat agung ini kemudiannya memberi mandat kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk mengkaji pembentukan kerajaan campuran ini.

Rundingan PAS-Perikatan telah bermula sejak 16 Ogos 1972 dengan syarat-syarat ketat yang dikemukakan oleh PAS supaya ia menguntungkan Islam dan tidak menjejaskan dasar perjuangan PAS, manakala Dewan Ulamak PAS Pusat atas arahan Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membentuk Jawatankuasa Tarjih bagi mengkaji kedudukan percampuran ini dari sudut hukum syarak, sehingga membawa kepada Perjumpaan Ulamak-ulamak PAS pada 14 Disember 1972 yang akhirnya mengharuskan kerajaan campuran ini.

PAS Pusat pada 22 Disember 1972 telah mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS untuk mendapat mandat percampuran ini dan akhirnya, pada 28 Disember 1972, Yang Dipertua Agung PAS bersama Pengerusi Perikatan, Tun Abdul Razak Hussein telah mengumumkan pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan melibatkan Kerajaan Pusat serta kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah bermula 1 Januari 1973.

Disediakan oleh,

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PENETAPAN TUJUAN PERJUANGAN PAS UNTUK MENEGAKKAN PEMERINTAHAN ISLAM (2 JANUARI 1963)


PADA hari ini dalam tahun 1963, PAS telah mengambil ketetapan dalam Mesyuarat Agung Tahunannya Kali Ke-11 bahawa tujuan utama perjuangan PAS ialah "menjalankan ikhtiar-ikhtiar politik dan perlembagaan untuk mewujudkan di dalam Persekutuan Tanah Melayu akan pemerintahan Islam yang berjalan di dalamnya hukum-hukum Allah, pegangan-pegangan Islam dan pandangan hidup Islam." [Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963, Fasal 2(1)]

Pindaan terhadap Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1954 ini telah diterima dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang diadakan di Dewan Kesatuan Syarikat Guru-guru Melayu, Bandar Melaka pada 31 Disember 1962 hingga 2 Januari 1963. Pindaan ini dibuat untuk menyatakan dengan jelas kepada rakyat Persekutuan Tanah Melayu tentang tujuan perjuangan PAS dalam usaha menegakkan negara Islam di negara ini setelah kejatuhan khalifah pada 1924.

Sebelumnya, pada 1953, PAS telah menetapkan tujuannya adalah untuk melaksanakan hukum-hukum Islam dalam kehidupan individu dan masyarakat, yang kemudiannya disusun semula pada 1954 dengan menyatakan tujuan PAS adalah memperjuangkan cita-cita Islam dalam masyarakat dan pemerintahan negara.

Walau bagaimanapun, pada 26 September 1961, Prof Zulkifli Mohamed, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dalam kertas kerjanya "Kedudukan dan Penyusunan Semula (PAS)" telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk menyusun semula Undang-undang Tubuh PAS bagi menyatakan dengan jelas tujuan perjuangan PAS. Kertas yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26-28 September 1961 ini bertujuan memberi nafas baru kepada PAS pasca Pilihan Raya Umum 1959.

Pindaan ini walau bagaimanapun telah diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-10 pada 5-6 Januari 1962 supaya ia dibawa ke Mesyuarat Agung Khas PAS yang dijadual pada 22 April 1962. Namun begitu, atas faktor teknikal, mesyuarat agung khas itu tidak dapat dilaksanakan, yang menyebabkan usul penetapan tujuan perjuangan PAS adalah untuk menegakkan pemerintahan Islam di dalam Undang-undang Tubuh PAS ini hanya dapat diluluskan sebagai resolusi Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-11 di Melaka yang berakhir 2 Januari 1963.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS

PERJUANGAN KEMERDEKAAN TULEN SEBAGAI RANCANGAN POLITIK PAS (3 JANUARI 1953)

PADA hari ini dalam tahun 1953, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyyah, Kepala Batas telah meluluskan tujuh Rancangan Politik PAS sebagai sebuah pergerakan politik Islam di negara ini setelah Hizbul Muslimin terkubur pada akhir 1948. Agenda utama dalam Rancangan Politik PAS ialah memperkenalkan kemerdekaan tulen kepada rakyat Tanah Melayu, menanamkan semangat dan menjalankan cara-cara untuk mencapainya.

Enam lagi Rancangan Politik PAS ialah:
1. Memperkenalkan demokrasi sejati kepada umat Islam;
2. Menubuhkan Dewan Pemuda PAS yang akan melaksanakan cita-cita merdeka PAS, dan Dewan Ulamak sebagai penasihat keagamaan;
3. Memperkenalkan PAS kepada dunia Islam;
4. Menimbulkan cogan-cogan (syiar) Islam;
5. Menegakkan sebuah negara merdeka berasaskan rakyat; dan
6. Kemerdekaan Malaya dalam lingkungan British 
Commonwealth.

Tujuh Rancangan Politik PAS ini menunjukkan bahawa semenjak awal penubuhannya PAS telah meletakkan perjuangan mencapai kemerdekaan sebagai sasaran yang dinyatakan dengan jelas. Konsep kemerdekaan tulen yang dipegang oleh PAS adalah kemerdekaan yang membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada pengabdian total terhadap Allah, lalu beramal dengan syariat Islam dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara secara syumul.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 3 Januari 1953 ini juga telah memutuskan bahawa "Merdeka!" menjadi cogan kata PAS, manakala bendera perjuangan kemerdekaan Alam Melayu, Sang Saka Merah Putih menjadi bendera PAS dengan memasukkan bulatan hijau di pangkal kiri sebelah atas yang tertulis di dalamnya perkataan "Allah Muhammad."

Mohd Fadli Ghani 
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS

MUZAKARAH ULAMAK SE-MALAYA (4 JANUARI 1953)

PADA hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menganjurkan Muzakarah Ulamak Se-Malaya di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas bagi membincangkan 16 perkara khilafiah yang telah memecahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Perpecahan para ulamak semenjak awal abad ke-20 kerana isu-isu khilafiah telah berjaya disatukan semula oleh PAS pada 1951 apabila ulamak Kaum Muda dan Kaum Tua bersatu pendapat tentang tentang kewajipan memperjuangkan kemerdekaan dan menegakkan negara Islam. Kedua-dua aliran ini bersatu dalam PAS.

Namun begitu, penyatuan para ulamak telah mengancam musuh-musuh Islam, lalu isu-isu khilafiah seperti bilangan rakaat terawih, talkin, bacaan ushalli, cara bayaran zakat, bilangan jemaah solat Jumaat dan lain-lain dimainkan di media-media sehingga berlaku pergeseran di kalangan ulamak kedua-dua aliran ini. 

Di dalam PAS sendiri, pertembungan ini berlaku di antara Sheikh Abdullah Fahim, Ketua Dewan Ulamak PAS yang juga Mufti Pulau Pinang yang mewakili Kaum Tua dengan Sheikh Ibrahim Aqibi, Ketua PAS Cawangan Pulau Pinang yang mewakili Kaum Muda dalam beberapa isu khilafiah. Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ahmad Fuad Hassan dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ghazali Abdullah turut berselisih pendapat dalam isu pihak ketiga menerima wang dari sumber yang haram dalam isu loteri MCA. 

Menyelesaikan pergeseran yang merugikan umat ini, PAS telah menganjurkan Muzakarah Ulamak Se-Malaya untuk mempertemukan ulamak kedua-dua aliran ini dan menyelesaikan kekusutan yang berlaku. 16 perkara khilafiah telah disenaraikan untuk dimuzakarahkan.

Walau bagaimanapun, Muzakarah Ulamak Se-Malaya pada 4 Januari 1953 ini gagal mencapai objektif apabila ulamak Kaum Muda tidak menghadirinya, sebaliknya menganjurkan satu muzakarah yang lain di Chung Ling School, Pulau Pinang pada 2-3 Mei 1953, selain menerbitkan buku "Risalah Penebas Bid'ah di Kepala Batas" tulisan Sheikh Tahir Jalaluddin. Semenjak kegagalan muzakarah ini, ulamak Kaum Muda telah meminggirkan diri dari PAS sehingga kemasukan Dr Burhanuddin al-Helmy pada akhir 1956.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
4 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS

PAS MAHU HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU KEKAL DAN TERJAMIN 
(5 JANUARI 1962)

PADA hari ini dalam tahun 1962, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-10 telah membuat desakan kepada Kerajaan Pusat supaya meminda Perlembagaan Persekutuan untuk "menetapkan hak istimewa orang-orang Melayu kekal dan terjamin selama-lamanya," ekoran dari cadangan penubuhan Malaysia yang dilihat oleh PAS akan memberi kesan buruk terhadap kedudukan politik Melayu Islam di negara ini.

Pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengumumkan cadangan penubuhan Malaysia di Singapura yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura. Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961, PAS telah mengambil pendirian untuk menolak penubuhan Malaysia kerana ia "ibarat menggali kubur politik orang Melayu," sebaliknya PAS mahu sebuah negara Melayu Raya ditubuhkan melibatkan kepulauan Indonesia, Filipina dan seluruh kepulauan Melayu yang boleh menjamin kedudukan politik orang Melayu.

Sebelum ini, PAS telah menolak idea hak istimewa orang-orang Melayu kerana PAS berpegang bahawa orang Melayu patut diberikan hak ketuanan. Namun perjuangan PAS semenjak 1954 ini gagal, kerana Suruhanjaya Reid telah menerima cadangan Umno tentang hak istimewa orang Melayu. Ekoran itu, PAS berusaha menjamin hak ini dapat dipertahankan setelah kemerdekaan dicapai.

Pada 16 Oktober 1961, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah membawa usul persendirian di Dewan Rakyat untuk memasukkan Indonesia, Filipina dan pulau-pulau Melayu dalam cadangan Malaysia. Namun cadangan PAS telah ditolak oleh Dewan Rakyat. PAS tetap berpandangan bahawa kemasukan orang bukan Melayu dari Singapura, Sabah dan Sarawak akan memberi kesan buruk terhadap kestabilan politik Tanah Melayu. Ternyata pandangan PAS terbukti apabila berlaku Tragedi 13 Mei 1969.

Akibat dari kebimbangan ini, PAS melalui Mesyuarat Agung Tahunan di Melaka pada 5-6 Januari 1962 telah membincangkan masa depan politik orang Melayu Islam ekoran cadangan penubuhan Malaysia dan keengganan Kerajaan Perikatan mempertimbangkan pandangan PAS. Pada 5 Januari 1962, PAS telah mengambil pendirian mendesak Kerajaan Persekutuan menjamin kedudukan hak istimewa orang-orang Melayu di dalam Perlembagaan, sekali gus hak ini akan terjamin dari ancaman kemasukan bangsa asing setelah Malaysia ditubuhkan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
5 Januari 2016

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008