pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 19 Januari 2016

SUDUT SEJARAH : HARI INI DALAM SEJARAH PAS ( 11 - 15 JANUARI )


SUDUT SEJARAH : HARI INI DALAM SEJARAH PAS 
( 11 - 15 JANUARI )



HARI INI DALAM SEJARAH PAS


PRESIDEN PAS NAFI DAKWAAN THE STAR UNTUK MENGELIRUKAN PAKATAN RAKYAT DALAM ISU NEGARA ISLAM 
(11 JANUARI 2011)

PADA hari ini dalam tahun 2011, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menafikan dengan kekesalan terhadap laporan akhbar The Star berkaitan isu negara Islam yang dimanipulasikan untuk mengelirukan rakan-rakan PAS dalam Pakatan Rakyat. Penafian ini dibuat ekoran laporan The Star pada 10 Januari 2011 yang bertajuk "PAS won't bow to presure from any quater, says Hadi" yang dianggap oleh PAS sebagai tersasar dan tidak benar.

Pada asalnya, Presiden PAS dalam ucapannya di Majlis Suai Kasih anjuran PAS Titiwangsa pada 9 Januari 2011, telah menegaskan bahawa PAS melihat perkembangan yang sangat positif di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam memahami maksud Islam yang diperjuangkan oleh PAS. PAS bermaksud untuk melaksanakan Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang dipertahankan oleh semua parti Pakatan Rakyat.

Paradigma ini, menurut Presiden PAS, akan memperkukuhkan lagi kerjasama erat PAS dalam Pakatan Rakyat, bertepatan dengan semangat dalam dasar bersama yang dipersetujui melalui Dasar Bersama Muafakat Rakyat. Penegasan Presiden PAS ini adalah rentetan dari ucapan beliau dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua pada 19 Disember 2010 di Pulau Pinang, di mana PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini.

Walau bagaimanapun, The Star pada 10 Januari 2011 telah mendakwa bahawa PAS tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana parti dalam melaksanakan agenda negara Islam. Ini akan menimbulkan pergeseran parti-parti Pakatan Rakyat. Atas manipulasi media ini, pada 11 Januari 2011, Presiden PAS telah menyatakan kekesalannya dan menafikan laporan yang mengelirukan itu.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS


JAWATANKUASA PENAPIS CALON PAS DIBENTUK UNTUK MENGATASI ISU KHIANAT PARTI 
(12 JANUARI 1969)

PADA hari ini dalam tahun 1969, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Menapis dan Menetapkan Calon-calon PAS yang diberi tanggungjawab "untuk menetapkan calon-calon yang akan bertanding itu secara muktamad." Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Datuk Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS, selain turut dianggotai oleh Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Mohd Taha Kalu, Ustaz Yusof Rawa, Ustaz Amaluddin Darus, Abdullah Akin dan Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah.

Pembentukan Jawatankuasa ini mempunyai dua tujuan utama. Pertama, untuk membolehkan PAS memilih calon-calon berwibawa dan bertanding di tempat selamat di Kelantan dan Terengganu bagi menghantar wakil-wakil yang berkesan di Dewan Rakyat. Kedua, untuk meneliti latar belakang calon-calon yang benar-benar bersih bagi mengelakkan pengkhianatan ke atas parti oleh wakil rakyat.

Isu keberkesanan wakil rakyat PAS di Parlimen telah mendapat perhatian Jawatankuasa Agung PAS kerana ada wakil rakyat yang gagal berfungsi dengan berkesan, sehingga PAS perlu memilih pemimpin terbaiknya untuk dicalonkan di Kelantan atau Terengganu seterusnya menjadi wakil rakyat yang berkesan di Dewan Rakyat.

Sebenarnya, semenjak Ogos 1968, PAS berhadapan dengan isu pengkhianatan wakil rakyat yang hampir menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan setelah beberapa ADUN-nya 'menjual' kerusi mereka. Akibatnya, Umno hampir-hampir dapat membuat usul undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 20 Ogos 1968.

Empat ADUN - Abdul Rahman Mohd Salkeh, Omar Mohammad, Yusof Latif dan Abdullah Yusof - telah keluar PAS, bersama seorang lagi ADUN, Saufi Idris pada 18 Ogos 1968. Tetapi tiga ADUN kecuali Abdullah Yusof telah menyertai semula PAS dalam peristiwa Turn about - About turn.

Kerana adanya isu ketidakberkesanan wakil rakyat dan pengkhianatan wakil rakyat ini, pada 12 Januari 1969, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Menapis dan Menetapkan Calon-calon PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1969.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
12 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS

PAS SEDIA BERMUZAKARAH DENGAN UMNO DALAM ISU-ISU AGAMA 
(13 JANUARI 1987)

PADA hari ini dalam tahun 1987, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dilaporkan oleh Utusan Malaysia bahawa beliau telah menegaskan kesediaan PAS untuk bermuzakarah dengan Umno dalam isu-isu keagamaan. Naib Yang Dipertua Agung PAS itu dilaporkan berkata demikian dalam ceramah pertamanya sejurus pulang dari Amerika Syarikat bersama Cikgu Mustafa Ali, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Isu muzakarah PAS-Umno ini timbul semula selepas isu Debat PAS-Umno pada 1984 ekoran satu forum antara Anwar Ibrahim (Umno) dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (PAS) anjuran MISG di Peoria, Amerika Syarikat pada 24-25 Disember 1986. Ekoran dari forum ini, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad berkata, PAS terbuka untuk bermuzakarah dengan Umno jika kedua-dua parti bersedia mengikuti syariat Islam, yang kemudiannya dijawab oleh Dr Mahathir pada 29 Disember 1986 bahawa Umno sedia berkerjasama dengan PAS jika parti Islam mengikuti Islam yang sebenar.

Anwar Ibrahim sendiri dalam forum tersebut melahirkan keazaman untuk menghidupkan semula muzakarah PAS-Umno sebagai lanjutan dari pada forum anjuran MISG tersebut. Kenyataan Anwar Ibrahim disambut positif oleh Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Nor pada 2 Januari 1987. Pada 3 Februari 1987 Pak Yusof Rawa selaku Yang Dipertua Agung PAS telah mendedahkan bahawa Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 28 Januari 1987 telah bersetuju menyertai muzakarah tersebut, sedangkan Majlis Tertinggi Umno turut bersetuju pada 7 Februari 1987.

Pada pandangan PAS, muzakarah ini dipersetujui kerana umat Islam di negara ini sedang mengalami perpecahan yang serius dan PAS sebagai gerakan Islam bertanggungjawab ke arah perpaduan ummah. PAS bersikap positif dalam menangani gejala perpecahan selepas tragedi Memali pada akhir 1985.

Laporan tentang kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi pada 13 Januari 1987 tentang kesediaan PAS untuk bermuzakarah dengan Umno ini adalah bertolak daripada keyakinan PAS bahawa mereka boleh mengendalikan muzakarah ini bagi membawa Umno ke landasan yang betul mengikut syariat Islam. Hal ini dipertegaskan oleh Pak Yusof Rawa dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS pada Muktamar Tahunan PAS, 11-12 April 1987.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS


JAWATANKUASA POLITIK DITUBUH UNTUK GARISKAN DASAR PAS TENTANG MERDEKA 
(14 JANUARI 1956)

PADA hari ini dalam tahun 1956, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Politik PAS yang mempunyai peranan khusus untuk merangka dasar-dasar politik PAS terutamanya dalam menghadapi perjuangan kemerdekaan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Dr Haji Abbas Alias, Yang Dipertua Agung PAS dan Abdul Hamid Syarif sebagai Setiausaha, manakala Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, Prof Zulkifli Mohamad, Ustaz Othman Abdullah dan Musa Ma Jinu sebagai ahli-ahli.

Selepas Pilihan Raya Umum 1955, Perikatan telah menguasai Majlis Undangan Persekutuan dengan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Ketua Menteri. Usaha menuntut kemerdekaan dipertingkatkan, dan PAS memainkan peranan untuk memastikan kedudukan Islam Dan ketuanan Melayu dijamin oleh Perlembagaan.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat pada 26-28 Disember 1955, Dr Haji Abbas telah menggariskan asas tuntutan kemerdekaan PAS, iaitu:
i. Merdeka tidak lewat dari 1959;
ii. Melayu sebagai kebangsaan tunggal dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi;
iii. Islam menjadi panduan pentadbiran negara berasaskan Al-Quran dan Sunnah; dan
iv. Menghapuskan jawatan Penasihat British

Antara langkah penting yang dilaksanakan terhadap penegasan Dr Haji Abbas dalam memperjelaskan dasar politik tentang kemerdekaan ialah dengan menubuhkan Jawatankuasa Politik PAS. Jawatankuasa ini kemudiannya telah berjaya menyediakan memorandum 18 perkara pada 22 April 1956 bertajuk "Maklumat Jus Soli." Memorandum ini bertujuan untuk membantah tuntutan orang bukan Melayu supaya kerakyatan diberi secara jus soli (berdasarkan tempat lahir) kepada orang asing. PAS menyerahkan pandangannya ini kepada Pesuruhjaya Tinggi British, Penasihat-penasihat Inggeris, Raja-raja Melayu dan ahli-ahli Majlis Undangan Persekutuan.

Kedua, pada 14 Julai 1956, PAS telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Reid berkaitan cadangan PAS dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Cadangan Jawatankuasa Politik PAS ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 1 Jun 1956 sebelum diangkat kepada Suruhanjaya Perlembagaan itu. 

Keberkesanan Jawatankuasa Politik PAS yang ditubuhkan pada 14 Januari 1956 ini telah membolehkan PAS mengemukakan gagasan yang kukuh dalam perjuangan kemerdekaan walaupun pandangan PAS gagal mempengaruhi Suruhanjaya Reid dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS


PAS TUNTUT PERANAN ISLAM LEBIH BESAR DALAM KERAJAAN BN SETELAH KEMATIAN TUN RAZAK 
(15 JANUARI 1976)

PADA hari ini dalam tahun 1976, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil pendirian supaya PAS menuntut peranan yang lebih besar dalam Kerajaan BN bagi memelihara kedudukannya dalam pakatan politik yang dibentuk pasca 13 Mei 1969 itu. Tuntutan PAS ini adalah satu usaha untuk meningkatkan peranan Islam dalam kerajaan selepas kematian Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976.

Antara tuntutan penting PAS ialah supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua diberi kepada PAS, selain tambahan jawatan menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen. PAS turut menolak cadangan perlantikan Ghafar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya mencadangkan supaya Datuk Ghazali Shafie dilantik ke jawatan tersebut. 

Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 11 Mei 1976 selanjutnya mengambil ketetapan supaya PAS mengubah strategi dakwahnya dalam kerajaan pimpinan Datuk Hussein Onn dengan meningkatkan usaha yang lebih berkesan untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan negara ke tahap paling maksimum - iaitu untuk memenuhi tujuan utama penyertaan PAS dalam BN sebelumnya.

Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Mohd Asri Haji Muda turut mempertegaskan tuntutan PAS supaya Perdana Menteri memperkenalkan Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Dalam Ucapan Dasar Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-22 pada 5-6 Ogos 1976 itu, Datuk Mohd Asri turut mempertegaskan cita-cita PAS untuk menegakkan negara Islam.

Hasil dari desakan ini, PAS bukan sahaja mendapat tambahan kerusi dalam kabinet, tetapi juga dapat menerapkan nilai-nilai Islam dalam kerajaan. Bahkan dalam persidangan undang-undang pada 25-27 Julai 1976, Datuk Mohd Asri telah mencadangkan supaya Akta Undang-undang Sivil dipinda bagi membolehkan undang-undang Islam dikembalikan ke tempat asalnya. 

Tuntutan PAS pada 15 Januari 1976 supaya PAS lebih berperanan dalam kerajaan bukan semata-mata untuk meningkatkan peranan politik PAS, tetapi supaya Islam diangkat ke tempat sewajarnya dalam pemerintahan negara.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
15 Januari 2016

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008