pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Jumaat, 9 November 2012

KEFAHAMAN : KONSEP ULAMA DAN KEPIMPINANNYA.


Konsep ulama dan kepimpinannya

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil,06 Nov 2012
“Siapa yang dikatakan Ulama? Siapa yang beri dia pangkat Ulama?” pertanyaan begini sering timbul.

“Kalau kita nak lantik Ulama sebagai ketua, apa kriteria yang menentukan seseorang itu Ulama atau tidak?” soalan dikaitkan pula dengan perjawatan dan perlantikan.

Apabila seseorang menggali khazanah Islam untuk mencari takrif Ulama, sempit pula dada memikirkan bahawa Ulama seperti itu hanya seperti sebutir pasir di tepian pantai di hari ini. Terlalu sukar untuk dicari calon yang memenuhi kriteria seperti yang dinukilkan.

Kesulitan itu bertambah lagi apabila Ulama mahu diangkat sebagai pemimpin. Timbul pula persoalan berkaitan kesarjanaan, apakah ia sinonim dengan kepimpinan?

Keluasan Takrif

Mungkin pendapat yang pelbagai tentang takrif Ulama itu, adalah sebagai petanda kepada luasnya cakupan makna bagi kalimah Ulama, yang disebut dua kali di dalam al-Quran, tetapi tidak diperincikan seperti Allah memperincikan perihal harta pusaka atau wanita mahram, di dalam al-Quran. Ruang yang diberikan tanpa perincian itu bertujuan untuk menyediakan unsur keanjalan pada mendefinisikan Ulama sesuai dengan peredaran zaman, tahap keilmuan dan ketamadunan manusia serta keperluan-keperluan yang diperlukan dalam urusan awam merentas masa.

Hanya satu sifat yang melangkaui segala perubahan zaman dan keadaan, bahawa Ulama adalah manusia yang takut kepada Allah:

“Sesungguhnya, yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” [Faathir 35: ayat 28]

Bagaimanakah soal takut kepada Allah ini dapat diukur untuk menentukan siapa yang Ulama dan siapa yang bukan Ulama? Justeru, kita bertemu dengan himpunan definisi yang pelbagai oleh sarjana Islam sepanjang zaman yang kesemuanya menjurus kepada makna komitmen penuh seorang hamba kepada segala kehendak, perintah dan larangan Allah SWT.

Kriteria Nabi

Namun, Ulama sebagai pewaris para Nabi, bagaimanakah kualiti yang ada pada seorang Nabi, untuk pewarisan itu menepati kriterianya?

Allah SWT membantu kita mengungkai persoalan ini melalui dua kisah yang terdapat di dalam al-Quran tentang Musa dan Yusuf.

Tatkala dua orang anak perempuan Nabi Shuaib menemukan Musa dengan bapa mereka berdua, salah seorangnya berkata kepada ayahanda mereka dengan ungkapan yang diabadikan di dalam al-Quran:

“Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang Qawiyy, lagi Ameen” [al-Qasas 28: ayat 26]

Penjelasan tentang kriteria Musa yang menjadikan beliau sebagai manusia yang paling berkelayakan untuk diupah bekerja diungkapkan sebagai Qawiyy dan Ameen. Pembahagian kualiti Musa kepada dua dimensi Qawiyy dan Ameen ini sangat berguna dalam memahamkan kepada kita apakah yang Allah SWT kehendaki daripada seorang hamba berkaitan dengan kelayakan dirinya.

Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.

Qawiyy itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai Kompetensi.

Ameen pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlak seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai Integriti.

Sudah tentulah dalam suatu pekerjaan, kelayakan tertinggi ialah pada seseorang yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang sama tinggi. Namun realitinya, manusia ada pasang surutnya pada kedua-dua dimensi kelayakan ini. Ada tugasan yang memerlukan keutamaan integriti, ada tugasan yang mesti mengutamakan kompetensi.

Bagi tugasan menguruskan gembala kambing seperti yang bakal dilakukan oleh Musa, Qawiyy (kompetensi pada kekuatan fizikal dan kemahiran menggembala) disebut dahulu sebagai yang utama, berbanding sifat Ameen (integriti).

Akan tetapi, bagi tugasan yang bersangkutan dengan menguruskan harta dan wang, integriti dan kompetensi sama penting, dengan keutamaan diberikan kepada integriti berbanding kompetensi. Lalu tatkala Yusuf meminta agar dirinya diposisikan kepada pengurusan perbendaharaan negara, beliau berkata: 

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (Hafeez), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (Aleem)” [Yusuf 12: ayat 55]

Hafeez itu adalah soal integriti manakala Aleem pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda.

Apakah input yang diperlukan untuk mengangkat manusia yang Ulama berada dari kotak 2 dan 3 kepada Quadrant Par Excellence di kotak 4?

Di sinilah jawapan kepada kayu mengukur kriteria Ulama iaitu pada keupayaannya mematuhi seluruh hukum Tuhan pada Syariatullah dan Sunnatullah. Seorang alim yang takutkan Allah bukan hanya takut melanggar hukum Syariat malah juga hukum Sunnatullah. Bukanlah seorang itu dikatakan takutkan Allah apabila dirinya berilmu tinggi tentang halal dan haram, tetapi tidak berasa apa-apa melanggar hukum alam pada pekerjaan dan kehidupannya sedangkan hukum alam itu adalah Sunnatullah yang juga merupakan tuntutan Allah ke atas kita.

Justeru, sebelum Allah SWT mengisytiharkan bahawa manusia yang paling takut kepada-Nya adalah para Ulama, Allah SWT menjelaskan terlebih dahulu senario yang tidak mungkin difahami kecuali oleh manusia yang menjunjung Syariatullah bersama Sunnatullah.

“Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasul-Nya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (Syariat) yang terang jelas.”

“Kemudian Aku timpakan orang-orang kafir itu dengan azab yang membinasakan, maka perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaan-Ku.”

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam.”

“Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Faathir 35: ayat 25-28]

Ya…

Keterangan itu menjelaskan bagaimana seluruh hidupan di alam ini patuh kepada ketetapan Allah SWT. Itulah cara mereka takut dan khusyu’ kepada Allah, iaitu dengan menjalani kehidupan ini sesuai dengan hukum alam iaitu hukum Allah ‘Azza wa Jalla yang Maha Esa. Jika seluruh makhluk di alam ini hidup dengan kepatuhan yang sedemikian rupa, bagaimanakah pula dengan manusia? Kemusnahan kaum yang engkar kepada perintah Allah (melanggar Syaritullah) adalah hukum Allah ke atas manusia (Sunnatullah).

Mampukah dikatakan seseorang itu takutkan Allah, dan dia adalah seorang yang Alim (Ulama), andai dia bersolat khusyuk, menjaga halal dan haram dalam kehidupan tetapi dalam masa yang sama menentang hukum alam?

Dia Syariatik.

Tetapi dia tidak Saintifik.

Dengan ilmu Syariat, dilabelkannya manusia yang menolak Syariat sebagai golongan sekular. Tetapi dalam masa yang sama dia menolak hukum Sains (Sunnatullah) yang sebenarnya menjadikan dirinya juga sekular on the other side of the same coin.

Kesarjanaan Era Othmaniyyah

Hal ini sangat ketara pada kaedah pembinaan tsaqafah (ilmu dan pemikiran) seseorang untuk melayakkan dirinya dianggap sebagai Ulama pada era Othmaniyyah. Taskopruluzade Ahmet (1495 – 1561), seorang encyclopaedist Othmaniyyah yang terkenal dengan kitabnya Shakaik al-Nu’maniya telah menjelaskan klasifikasi ilmu seorang yang diiktiraf sebagai Alim Ulama. Ilmu-ilmu yang perlu dikuasai adalah:

a.The calligraphic sciences: writing implements, styles of writing, etc
b.The oral sciences: the Arabic language amd phonetics, lexicography, etymology, grammar and syntax, rhetoric, prosody, poetry, composition, history and other literary sciences.
c.The intellectual sciences: logic and dialectics.
d.The Spiritual sciences:
e.The theoretical rational sciences: general theology, natural sciences, mathematics.
f.The practical rational sciences: ethics, political sciences.
g.The theoretical religious sciences: the Quran and Sunnah, the sciences devoted to their interpretation – Quranic exegesis, the study of prophetic traditions, Islamic theology and the principles of Islamic law and jurisprudence.
h.The practical religious sciences: practical ethics, etiquette, ihtisab, and all subjects relating to Muslim life and worship.

The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 -1600 by Halil Inalcik (1997), page 165.

Inilah kriteria individu yang dikenali sebagai kelompok Sarjana atau Ulama di era Othmaniyyah. Kriteria inilah yang diletakkan untuk kelayakan seseorang itu mengisi jawatan mudarris, kadi, mufti dan seterusnya Sheikh ul-Islam.

Kesimpulannya, seorang saintis yang menolak hukum Syariat bukan sarjana dan bukan Ulama. Manakala seorang ustaz atau tuan guru yang menolak hukum Sains juga bukan sarjana dan bukan Ulama. Kedua-duanya adalah kelompok songsang yang tidak takut kepada Allah.

Dewan Ulama Dan Intelektual Islam


Al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa dalam kenangan. Kembali ke Rahmatullah pada April 2000

Semasa Muktamar PAS berlangsung pada tahun 1983, Ustaz Yusuf Rawa yang mempelopori konsep Kepimpinan Ulama sebagai reaksi kepada peralihan era Dato’ Asri Muda kepada kepimpinan yang baru, beliau (Ustaz Yusuf Rawa) telah menukar nama Dewan Ulama PAS kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam.

Katanya:

"Pembinaan kembali insan Muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah akan dikendalikan perlaksanaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang akan diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam.

Para Ulama dan intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam dalam kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli dan pimpinan mestilah turut secara aktif bagi membantu para Ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.

Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekali gus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud dalam kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing-masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan!"

-[Kamaruddin Jaafar (ed.) : Memperingati Yusuf Rawa, pp. 55-66]

Sungguh hebat kenyataan Ustaz Yusuf Rawa ini kerana ia sudah pun dibentangkan seawal tahun 1983. Gagasan Kepimpinan Ulama yang diusahakan beliau bukanlah suatu gerakan untuk menghasilkan para Mullah sebagaimana yang dirisaukan oleh Almarhum Ustaz Abu Bakar Hamzah. Sebaliknya gagasan untuk merawat paradigma sekular sama ada sekular pada menolak agama, atau sekular pada menolak intelektual sains. Ulama yang berkelayakan memimpin ialah ulama yang harmoni pada konsep ini.

Yang diperlukan oleh PAS untuk memenangkan Islam, adalah para ideologue yang pemikirannya telah dirawat daripada dualisma sekularisma yang memisahkan di antara ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu tadi.

Tetapi, yang berlaku, hanyalah kepada memadukan golongan Ulama dan intelektual ini dalam kebersamaan mereka bekerja di dalam satu parti, tetapi memadukan pemikiran, paradigma dan pandangan hidup (worldview) masih belum berlangsung dengan baik. Golongan agamawan berjaya duduk semeja dengan golongan profesional tetapi proses memadukan disiplin dan ilmu masing-masing tidak berlaku. Golongan agamawan melihat banyaknya bahagian mereka yang perlu dipelajari oleh golongan profesional, tetapi tidak pula jelas pada melihat apa yang perlu agamawan ini ambil daripada disiplin dan ilmu golongan profesional seperjuangannya itu tadi.

Pergeseran di antara golongan Ulama dan profesional, dalam mendefinisikan kelayakan kepimpinan, menunjukkan bahawa cita-cita Almarhum Ustaz Yusuf Rawa masih jauh daripada realiti yang ada. Golongan profesional yang sekular mungkin tidak akan mendekatkan diri kepada PAS, tetapi masalah yang besar ialah bagaimana pula dengan ustaz sekular yang menolak ilmu aqliyyah, Sunnatullah atau ilmu Sains di dalam PAS?

Justeru, dalam suasana PAS sedang bergerak menuju kepada kepimpinan negara, keperluan untuk menguasai ilmu secara holistik bagi menghasilkan respon yang tepat kepada kemajmukan Malaysia, kecamukan ideologi dalam politik, ekonomi dan sosial serta gelombang globalisasi yang begitu meruncing, sentimen pergeseran antara golongan agamawan dengan profesional, hanya akan mengheret PAS berpatah balik ke belakang, lebih ke belakang daripada 1983 yang telah didefiniskan dengan tepat dan jelas oleh Almarhum Ustaz Yusuf Rawa.

Sesungguhnya kelayakan memimpin bukanlah pada agamawan atau Profesional, tetapi pada kemurnian aqliyyah Islam yang dicernakan dalam kriteria Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang kita warisi perjuangannya itu. Itulah ulama yang hakiki.

Kepimpinan Ulama bukan slogan atau retorik, tetapi satu agenda yang menuntut perubahan. Mengubah pemikiran agar berubah pendekatan dan kaedah perjuangan.

Selamat maju jaya, buat sekalian pejuang agama!

Rabu, 7 November 2012

YDP ZIARAH AHLI DITIMPA UJIAN : UKHWAH ISLAMIAH DALAM PAS


ZIARAH MAHABBAH : PAS KAWASAN ZIARAH WARGA EMAS, PESAKIT KELENJAR BENGKAK DI SG. BURUNG

Hj. Abdullah Hj. Mat Wali, 70, terharu atas sikap prihatin PAS apabila menerima kunjungan Ustaz Misbahul Munir Masduki dan AJK PAS Kawasan ke rumahnya

BAGAN DATOH ( Kg. Sg. Burung ) : Atas sikap prihatin, PAS Kawasan Bagan Datoh melalui Yang Dipertuanya, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Ahli Jawatankuasanya telah menziarahi seorang warga emas yang uzur kerana menghindapi penyakit kelenjar bengkak sebulan lalu, Hj. Abdullah Hj. Mat Wali, 70 di sini kelmarin.

Ustaz Misbahul memberi kata-kata semangat kepada Hj. Abdullah

Menurut Hj. Abdullah, beliau melahirkan rasa terharu dan gembira kerana masih ada lagi pemimpin kawasan yang sanggup hadir menziarahinya. Kehadiran Yang Dipertua PAS tersebut dianggap sebagai satu contoh terbaik kerana di situlah sifat keprihatinan dan tanggungjawab yang mesti ada pada seorang pemimpin. Beliau yang menghidapi penyakit tersebut sejak beberapa lalu terlantar di hospital dan kini telah dibenarkan pulang ke rumah serta akan menerima rawatan susulan.

Manakala Ustaz Misbahul Munir dalam ziarahnya itu, menyatakan perasaan sedih dengan apa yang dihadapi dan nasib yang menimpa oleh Hj. Abdullah tersebut. Namun, beliau berpesan dan memberi kata- kata perangsang serta nasihat agar Hj. Abdullah yang kini masih menetap  di Kg. Sungai Burung, Rungkup itu agar sabar dan tabah menghadapi ujian daripada Allah S.W.T. ini.


Hj. Abdullah yang berusia 70 tahun kini tidak lagi dapat untuk bekerja sepenuhnya kerana keadaannya yang tidak mengizinkan dan kesihatannya yang semakin uzur. Beliau yang kini masih tinggal bersama isteri dan anak bongsunya hanya akan turun ke kebun ketika mana sihat dan mampu untuk melakukan kerja- kerja di kebun. Namun beban hidupnya bersama isteri dan anak bongsunya tersebut sedikit kurang apabila anak-anaknya yang bekerja di luar kawasan akan memberikan wang belanja secara terusan setiap bulanan.


Turut bersama Ustaz Misbahul Munir, beberapa orang Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Bagan Datoh yang turut sama merasai simpati ke atas nasib Hj. AAbdullah sekeluarga.

YDP : PAS DEKATI ANAK MUDA, PASTI ANAK MUDA BERSAMA PAS


ANAK MUDA BERSAMA PAS : YDP SANTUNI ANAK MUDA DALAM ZIARAH SANTAI SEPETANG BERSAMA ANAK MUDA FUTSAL DI RUNGKUP

Kehadiran Ustaz Misbahul Munir ke gelanggang futsal menarik jiwa anak muda rapati PAS, YDP turut sumbang bola futsal untuk anak muda

BAGAN DATOH ( Rungkup ) : Menyedari kebangkitan anak muda seluruh dunia ketika ini, PAS Kawasan Bagan Datoh mengambil kesempatan mendekati anak muda di sekitar kawasan tersebut. Namun pendekatan yang dilakukan adalah lebih santai dan menarik kerana jiwa anak muda itu sendiri mahukan perubahan tersebut.

Ustaz Misbahul beramah mesra dengan anak-anak muda di sini

Tiada perlu timbul rasa kekok apabila bersama anak muda. Demikian yang dilakukan oleh Yang Dipertua PAS Bagan Datoh, Ustaz Misbahul Munir Masduki apabila turun ke gelanggang futsal Rungkup di sini kelmarin untuk bersama anak muda. Dalam ziarah santai tersebut, beliau beramah mesra bersama anak muda yang mahu bermain futsal dan Ustaz  Misbahul Munir turut menyumbangkan sebiji bola futsal kepada anak muda di sini.

Wakil anak muda sedang menerima sebiji bola futsal sumbangan YDP Pas Bagan Datoh.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, bahawa golongan anak muda hari ini memainkan peranan penting dalam konteks masyarakat dan pembangunan Negara. Keadaan seluruh dunia khususnya di Malaysia, tenaga dan pemikiran anak muda adalah menjadi teras kejayaan perubahan sesuatu perkara. Sebagai contoh, beliau menyatakan bagaimana kebangkitan yang didokongi oleh golongan muda di Negara- Negara Arab atau lebih dikenali “Arab Spring” sehingga berjaya menjatuhkan kerajaan zalim sedia ada.

Demikian harapan yang diberikan kepada anak muda di Malaysia, agar perlu ada tahap kesedaran yang tinggi dan ingin membuat perubahan melalui politik Negara. Ujar beliau lagi, dalam program ziarah santai tersebut, beliau mengingatkan bahawa sukan tidak pernah dilarang dalam Islam bahkan digalakkan penganutnya untuk lakukannya. Namun pasti di situ adanya garis panduan mengikut Syariat Islam. Ini kerana, apabila bersukan akan menjadikan  badan yang sihat serta mampu untuk seseorang itu melakukan amal ibadah yang lain. Pastikan niat bersukan adalah kerana Allah S.W.T. bukanlah untuk bergaduh malahan untuk hidup bersatu padu.

Anak muda Rungkup bergambar kenang-kenangan bersama YDP, Ustaz Misbahul Munir

Rata- rata anak muda pada petang itu, amat berbangga dan berbesar hati menyambut kehadiran pimpinan PAS Kawasan tersebut. Mereka tidak menyangka, bahawa pimpinan PAS akan sanggup turun untuk bersama anak muda di sekitar Rungkup kerana mereka melihat PAS sebagai sebuah parti Islam yang menolak sukan sebelum ini. Namun, kata seorang wakil daripada kalangan mereka menyatakan ianya hanyalah sebagai tanggapan tidak benar terhadap PAS selama ini.

Antara pimpinan PAS Kawasan yang bersama YDP sedang menyaksikan anak muda bermain futsal.

Turut hadir bersama beliau, Setiausaha PAS Kawasan, Sdr. Fauzi Hashim, Ketua Lujnah Belia, Riadhah dan Kesenian Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh, Ustaz Amir Hamzah Ibrahim dan beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan yang lain.

TAKZIAH : DPPK UCAPKAN KEPADA UST. MISBAHUL MUNIR , DOA YDP SIHAT SEGERA.


TIMBALAN PESURUHJAYA PAS PERAK KEMALANGAN JALAN RAYA, SELAMAT DAN DI MINTA REHAT OLEH PIHAK HOSPITAL

Ustaz Misbahul Munir, terlibat dalam kemalangan kecil jalan raya ketika mahu pulang ke Ipoh dari Bagan Datoh, namun hanya alami kecederaan ringan.


BAGAN DATOH : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh mengucapkan takziah kepada Ustaz Misbahul Munir Masduki, Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Perak atas musibah yang berlaku ke atas dirinya. Walaupun beliau yang terlibat dalam kemalangan kecil jalan raya, berhampiran lampu isyarat persimpangan empat Jalan Sultan Abdullah menuju ke Ipoh hanya mengalami kecederaan ringan serta dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Teluk Intan kelmarin.


Kemalangan yang berlaku pada jam 11. 00 malam itu, membabitkan kenderaan yang dipandu oleh Ustaz Misbahul Munir sendiri dan sebuah kenderaan lain ketika berhenti di persimpangan jalan raya. Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh didakwa telah hilang kawalan pemanduannya kerana keadaan jalan raya yang licin dan basah akibat hujan pada malam kejadian.

Menurut Setiausaha Lujnah Penerangan PAS Pusat itu lagi, beliau mahu pulang ke rumahnya di Ipoh setelah mengikuti program di Bagan Datoh. Katanya lagi, sudah menjadi jadual harian bagi beliau untuk berulang alik ke kawasannya itu sebagai perjuangan dalam hidupnya.


Sebelum ini, beliau sendiri juga pernah mengalami kemalangan jalan raya di Behrang, Tanjung Malim yang mengakibatkan kecederaan teruk ketika mahu pulang ke rumahnya dari tempat program. Namun kemalangan tersebut tidak sedikit pun menghalang Ustaz Misbahul Munir untuk terus giat dalam bidang dakwah dan politiknya ketika ini.

Dalam kejadian kelmarin, kereta yang dipandu oleh Ustaz Misbahul Munir telah mengalami kerosakkan teruk di bahagian hadapannya dan telahpun di bawa ke bengkel untuk dibaik pulih. Beliau sendiri telah dirawat di Hospital Teluk Intan dinasihatkan oleh pihak doktor untuk berehat seketika waktu bagi mengelakkan kecederaan yang lebih teruk akibat kesan kemalangan lalu.

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh turut mendoakan agar Ustaz Misbahul Munir akan segera sihat dan selamat untuk kembali semula menjalankan tugas dan perjuangannya.

Selasa, 6 November 2012

MUKTAMAR PAS : DI KELANTAN MULA 14 HINGGA 18 NOV.


Muktamar PAS 14 hingga 18 Nov ini di Kelantan

KUALA LUMPUR: PAS akan mengadakan Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 pada 16 November hingga 18 November ini manakala muktamar dewan-dewan akan bermula 14 November.

Muktamar ini yang bertemakan 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' akan diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata muktamar kali ini merupakan muktamar terpenting memandangkan ia yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Memandangkan muktamar ini yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, maka ia merupakan muktamar terpenting yang akan menggerakkan seluruh parti bagi menghadapi pilihan raya umum," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Menyentuh agenda-agenda penting yang akan dibincangkan pada muktamar kali ini, Mustafa berkata ia akan memfokuskan kepada perbahasan ucapan dasar yang disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Katanya, dalam ucapan dasar tersebut, Ustaz Abdul Hadi akan mengupas pelbagai isu di dalamnya, khusus berkaitan persediaan menghadapi pilihan raya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, muktamar kali ini turut menjemput pimpinan Pakatan Rakyat, wakil kedutaan, wakil antarabangsa, dan wakil NGO.

Bagi Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat pula, perasmian muktamar bagi kedua-dua dewan itu akan diadalan pada malam 14 November dan muktamar penuh pada keesokannya.

Manakala perasmian dan muntamar penuh bagi Dewan Ulama PAS Pusat pula diadakan pada 15 November.

Perasmian Muktamar PAS Pusat pula akan diadakan pada 16 Nov, sebelum muktamar penuh keesokannya hingga 18 November.

Pada malam 16 November itu juga, akan berlangsung dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat  peringkat Kelantan iaitu kesinambungan Himpunan Kebangkitan Rakyat, di Senawang, 3 November lalu.

SATU PENJELASAN: HUDUD PAS BERLANDASKAN AL- QURAN DAN HADIS, BUKAN VERSI PAS !


Soi Lek sombong untuk terima hakikat hudud

KUALA LUMPUR: Kenyataan terbaru Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA bagi mempertahankan kenyataannya berkenaan dengan Hudud baru-baru ini menggambarkan kesombongan beliau untuk menerima hakikat kebenaran Hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

Demikian ditegaskan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Kenyataan terbaru Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA bagi mempertahankan kenyataannya berkenaan dengan Hudud baru-baru ini menggambarkan kesombongan beliau untuk menerima hakikat kebenaran Hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

Beliau berkata bahawa penentangannya terhadap Hudud bukan menentang dan menghina agama Islam tetapi apa yang ditentang adalah Hudud PAS.
Jelasnya, beliau tidak boleh menerima penerangan yang diberikan bahawa Hudud yang diperjuangkan oleh PAS adalah undang-undang Syariah yang diambil daripada al-Quran dan as-Sunnah serta ijtihad para Ulamak muktabar. Menghina Hudud adalah menghina Islam kerana Hudud adalah sebahagian daripada Islam. Menghina Hudud juga adalah bermakna menghina Rasululullah yang membawa risalah Hudud.

Datuk Seri Dr. Chua telah silap apabila memahami Islam hanyalah pembinaan masjid, institusi Tabung Haji, penubuhan dan implementasi pusat zakat dan kutipannya, pembinaan sekolah-sekolah agama, perbankan Islam, penerapan dasar-dasar Islam dalam kerajaan dan lain-lain sebagaimana dakwaannya.

Islam tidak sempit sebagaimana dakwaannya tetapi Islam adalah cara hidup yang mengatur kehidupan manusia sama ada dalam bidang sosial, ekonomi mahu pun politik. Termasuk ajaran Islam ialah hukuman Hudud.

Datuk Seri Dr. Chua sebenarnya telah terpengaruh dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang menyempitkan Islam dan melabelkan enakmen Hudud di Kelantan dan Terengganu adalah Hudud PAS. Pemimpin-pemimpin UMNO seharusnya bertanggungjawab di atas kekeliruan yang ditimbulkan ini sehingga menyebabkan Datuk Seri Dr. Chua berani untuk menghina hukuman Hudud. Mereka lebih sanggup untuk menjual agama demi untuk kepentingan politik mereka.

Apa yang lebih dikesali lagi, Ulamak UMNO tidak berjaya menerangkan kepada Datuk Seri Dr. Chua tentang kebaikan hukuman Hudud. Walaupun beliau mengakui bahawa telah berjumpa dan menerima penerangan daripada Ulamak UMNO, nampaknya beliau lebih berani untuk menghina Rasulullah dan Islam melalui Hudud selepas pertemuan tersebut.

Datuk Seri Dr. Chua juga dilihat cuba untuk mengheret sama DAP agar menghina Hudud. Umum mengetahui bahawa DAP tidak dapat menerima perlaksanaan Hudud di Malaysia tetapi tidak bermakna mereka harus menghina Hudud. Mereka menghormati perjuangan prinsip PAS. Hasil kerja dan usaha PAS menerangkan tentang hukuman ini, DAP akhirnya dapat menerima bahawa Hudud adalah sebahagian daripada Islam dan tidak boleh dihina walaupun mereka tidak bersetuju untuk dilaksanakan. PAS akan sentiasa memberikan penerangan agar bukan Islam menerima kewajipan umat Islam untuk beramal dan melaksanakan Hudud dalam kehidupan mereka.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru agar Datuk Seri Dr. Chua tidak sombong untuk meminta maaf terhadap umat Islam terhadap keceluparan beliau menghina Rasulullah dan Islam melalui Hudud.

Beliau perlu menerima bahawa Hudud adalah sebahagian daripada Islam dan Hudud yang diperjuangkan oleh PAS adalah berdasarkan kepada al-Quran, as-Sunnah dan ijtihad para Ulamak muktabar, bukannya Hudud yang direka oleh PAS.

Isnin, 5 November 2012

TG.PRESIDEN : UBAH KEPADA CARA PR !


Ubah kepada cara Pakatan Rakyat - Presiden PAS

SEREMBAN: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak rakyat Malaysia mengubah cara berpolitik di negara ini kepada cara baru iaitu cara yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat.

"Cara BN cara lama. Cara parti dibentuk dari bangsa-bangsa. Berbeza dengan cara Pakatan Rakyat. Parti-parti kita semua berbilang kaum dan agama.

"PAS parti islam dari pelbagai kaum. Ada juga bukan Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS. PKR parti pelbagai kaum dan agama. Begitu juga DAP.

"Berbeza dengan BN. Semua partinya dari parti kaum," kata beliau di Himpunan Kebangkitan Rakyat dekat Taman Seremban Jaya, Senawang malam ini.

Puluhan ribu rakyat pelbagai kaum dan agama berhimpun di sini bagi menyertai perhimpunan yang penuh sejarah itu. Padang usang itu penuh dengan keghairahan rakyat untuk memperjuangkan hak mereka.

Tepukan dan laungan reformasi bersatu dengan teriakan Allahuakbar dari para penyokong PAS, PKR dan DAP.

Pelbagai barangan kempen dijual oleh penyokong PAS, PKR dan DAP di perhimpunan ini. DAP membawa treler dan lori kempennya manakala PKR membawa bas dua tingkat jelajah rakyatnya.

Selain Ustaz Hadi, turut berucap adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Penyanyi Ito yang berasal dari Negeri Sembilan telah diberikan penghormatan untuk melancarkan lagu Pakatan Rakyat bertajuk 'Ubah Sekarang' di perhimpunan ini.

Ustaz Hadi dalam ucapannya menyatakan sekali lagi komitmen Pakatan untuk mematuhi perlembagaan negara tetapi membawa mesej yang berbeza sama sekali dari BN.

"Kita memegang perlembagaan yang sama tetapi penghayatan yang lain dari BN," kata Ustaz Hadi.

Dalam ucapannya juga, Ustaz Hadi berkata, memang PAS bersekongkol dengan DAP dalam Pakatan Rakyat "tetapi kita mentafsirkan Islam secara yang sebenar."

"Kerajaan tidak boleh berlagak sebagai Tuhan, pemimpin bukan juga bukannya manusia suci," tegas beliau ketika mentafsirkan sistem pemerintahan yang dikehendaki Pakatan.

Beliau juga memberitahu, PAS tidak pernah memaksakan Islam kepada orang lain kerana "tiada paksaan dalam agama."

Oleh itu, katanya, tidak berbangkit PAS menjadi kuda tunggangan kepada mana-mana pihak termasuk DAP apabila PAS tidak memaksakan Islam kepadanya kerana ia sememangnya hak yang dberikan oleh Islam.

Beliau juga menegaskan, PAS akan sentiasa komited untuk mempertahankan hak bumiputra kerana mereka sememangnya tertinggal dari segala segi selepas disusun sedemikian rupa oleh penjajah.

"Namun dalam masa yang sama kita juga perlu memberikan hak istimewa kepada kaum Cina dan India yang miskin kerana mereka juga mesti dibela.

"PAS akan memperjuangkan hal ini dan ini adalah tanggungjawab kita," tegasnya dengan disambut teriakan takbir dan tepukan gemuruh dari para hadirin yang pelbagai kaum, agama dan jantina itu.

SAH FATHUL BARI JADI JURU CAKAP CSL !

FATHUL BARI " SOKONG " KENYATAAN PRESIDEN MCA, CHUA SOI LEK KAITAN HUDUD.

Ulama' Umno terus sokong pihak yang hina hukum Allah SWT, tiada istilah hudud versi PAS atau mana- mana pihak, hanya hudud dari Allah.




BAGAN DATOH : Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya apabila beliau seolah - olah menyokong  dakwaan Presiden MCA itu berkaitan hukum hudud yang diperjuangkan PAS.

Kononnya, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebelum ini yang mengecam pelaksanaan hudud adalah berdasarkan kajian dan analisis ke atas enakmen hudud yang mahu dilaksanakan Pas di Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu) itu turut berkata, sebagai bukan Islam, rujukan Soi Lek adalah berbeza kerana beliau merujuk kepada ekonomi, keamanan dan pendapatan negara jika hudud dilaksanakan.

Paling mengecewakan lagi ialah apabila beliau turut percaya dan menyokong bahawasanya terdapat hukum hudud versi PAS. Sedangkan apa yang diperjuangkan oleh PAS adalah berlandaskan Al- Quran dan Hadis sebagaimana terdapatnya hukum hudud tersebut dalam kandungannya. Seolah- olah, Fathul Bari ini tidak faham dan lagi menghairan, sebagai ulama' sewajibnya beliau memahamkan tentang Islam kepada masyarakat bukan Islam seperti Chua Soi Lek itu sendiri.

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh , amat mengecam kenyataan Fathul Bari tersebut sebagai kenyataan " menyokong " dan " menyesatkan " umat Islam dan menjauhkan lagi masyarakat bukan Islam tentang ajaran Islam itu sendiri.

Ahad, 4 November 2012

MAJLIS KONVOKESYEN PASTI 2012 SERENTAK SELURUH MALAYSIA : PASTI BAGAN DATOH MERIAH.


MAJLIS KONVOKESYEN PASTI BAGAN DATOH 2012 : ANAK- ANAK PASTI GEMBIRA DAN SERONOK TERIMA  ANUGERAH , HADIAH

Adik Mohd Idzham Syakir dan Adik Hielya Helwa terima anugerah Tokoh Murid PASTI Bagan Datoh 2012

BAGAN DATOH ( Selekoh ) : Sambutan yang meriah dapat dirasakan di Majlis Konvokesyen PASTI Bagan Datoh 2012 kali ini. Bertempat di Dewan Terbuka Markaz PAS Kawasan Bagan Datoh, telah berlangsungnya majlis penuh gemilang tersebut. Majlis bermula seawal jam 8. 30 pagi itu di mulakan dengan ucapan alu- aluan pengerusi majlis, Ustaz Mohd Shuhaimi Samsuri.

Ustaz Mohd Shuhaimi Samsuri selaku pengerusi majlis.

Majlis yang dirasmikan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perak , Ustaz Ahmed Khairi Jamaluddin itu di buka dengan bacaan doa yang dipimpin sendiri oleh wakil murid PASTI kawasan tersebut. Kelainan itu dianggap satu perkara luar biasa kerana kanak- kanak yang baharu sahaja berusia 6 tahun sudah mampu membacakan doa dalam bahasa arab.


Matlamat majlis adalah untuk meraihkan dan meyambut kejayaan murid- murid PASTI dalam peperiksaan dan pelajarannya di kelas. Menurut pengarahnya, Ustaz Ahmed Najeb Saffar bahawa penganjuran majlis kali ini adalah serentak bagi seluruh PASTI di Malaysia. Beliau yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh melahirkan rasa syukur dan berbangga dengan kejayaan penganjuran majlis tersebut kerana mendapat sambutan hebat daripada ibu bapa dan masyarakat sekeliling.


Selain bertujuan meraihkan kejayaan murid- murid PASTI, penganjuran majlis adalah sebagai langkah terbaik mendekatkan serta memahamkan masyarakat dengan sistem pendidikan Pra Sekolah yang berunsurkan Islamik. Demikian jelas Ustaz Misbahul Munir Masduki selaku Yang Dipertua PAS Kawasan dalam ucapan aluannya apabila ramai kini masyarakat memilih PASTI sebagai pusat asuhan anak- anak mereka. Beliau juga menyarakan agar PASTI menjadi pilihan kerana sistem pendidikannya yang menekankan kesimbangan di antara ilmu- ilmu dunia juga akhirat.

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Perak itu turut menjanjikan sekiranya Pakatan Rakyat memenangi dalam Pilihanraya Umum akan datang, pastinya sistem PASTI akan lebih baik dan bagus. Selain mendapat pelajaran secara percuma, pusat didikan berteraskan Islam pastinya akan dikembangkan sebagai teras utama anak- anak Islam khususnya di Negara ini.


Ucapan perasmian majlis telahpun disempurnakan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmed Khairi Jamaluddin. Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa kesyukuran masih ada lagi masyarakat yang prihatin dengan sistem pendidikan awal anak- anak. Iaitu menekankan pendidikan Islam seratus peratus dalam kehidupannya. Beliau mengulas petikan hadis berkaitan pendidikan anak- anak. Katanya, anak- anak yang dianugerakan adalah sebagai amanah Allah SWT yang perlu dijaga sebaiknya. Demikian itu, anak yang diibaratkan suci dan murni seperti kain putih, maka ibu bapanya adalah penentu corak dan warna kehidupannya.


Majlis penyampaian hadiah dan anugerah telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki. Seluruh murid- murid PASTI telah menerima hadiah dan anugerah dengan gembira sekali. Manakala  bagi anugerah Tokoh Murid PASTI Bagan Datoh bagi usia 5 tahun telah disandang oleh Adik Hielya Helwa Abdul Halim dari PASTI Al Ikhwah dan usia 6 tahun pula telah dinobatkan kepada Adik Mohd Idzham Syakir Sabri dari PASTI Al – Kamaliyyah.

PAS : ORANG MUDE GENG KITE , DEKATI ORANG MUDA!


CERAMAH POLITIK ANAK MUDA MASAKINI : PERJUANGAN PAS SEIRING KEBANGKITAN ANAK MUDA DAN SELURUH RAKYAT

Tahap kesedaran dikalangan rakyat khususnya di kawasan bandar telah bangkit tumbangkan Umno/ BN, rakyat kawasan perkampungan juga perlu bangkit.

BAGAN DATOH ( Kg. Sg. Nipah Baroh ) : Pada 1 November lalu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh telah menganjurkan satu ceramah umum sempena meraihkan sokongan anak muda di sekitar kawasan ini. Bertemakan politik anak muda masakini, lebih menyatakan rasa kebangkitan anak muda dan seluruh rakyat ketika mana menghadapi Umno/ BN dalam pilihanraya akan datang.

Penceramah jemputan utama, Ustaz Riduan Mohd Nor yang merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia menyampaikan ceramahnya dengan bersemangat dan bermaklumat. Selain beliau, sepatutnya seorang penceramah jemputan akan bersama tetapi kerana keadaan tidak mengizinkan, Tn. Hj. Abdullah Omar yang merupakan mantan OCPD Slim River tidak dapat hadir.

 Turut hadir dan berceramah dalam majlis tersebut ialah Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki, Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh. Dalam ucapannya, beliau menyatakan kesediaan PAS bersama – sama Pakatan Rakyat ( PR ) dalam memenagi Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Menjadi strategik utama ialah kerjasama kuat dari parti kompenan dalam PR hari ini.


Menurut beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Perak, ketika ini  petugas dan pemimpin Umno/ BN telah masuk ke kawasan kampung- kampung untuk menyampaikan dakyah dan dakwaan memburukkan PAS dan rakan Pakatan Rakyat lain. Sememangnya, mereka mahu melihat perpecahan di dalam PR itu berlaku untuk memudahkan mereka ( Umno/ BN ) kekalkan kuasa. Fitnah dan tohmahan yang direka cipta mereka kadang kala melampau sehinggakan isu- isu perkauman dan agama dilibatkan.

Ustaz Misbahul Munir turut menjelaskan isu hangat terkini iaitu penghinaan terhadap Islam melalui kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek berkaitan hukum hudud yang didakwanya hanya merugikan apabila di laksanakan. Namun, yang menjadi mangsa keadaan ialah DAP apabila kononnya sebagai parti yang anti Islam. Dakwaan mereka lagi ialah DAP sebagai parti orang Cina sedangkan hakikatnya DAP memiliki ahli juga dari kaum lain iaitu Melayu dan India.

Selain Ustaz Misbahul Munir, turut berucap dan menyampaikan ceramahnya ialah Ketua Cabang PKR Bagan Datoh, Sdr. Madhi Hassan. Beliau juga sama menyatakan bahawa fenomena kebangkitan anak muda hari ini amat penting dalam menentukan corak pentadbiran kerajaan di Negara ini. Selain itu beliau juga menyentuh serta membangkitkan isu- isu tempatan dan Negara.

Ustaz Riduan Mohd Nor telah menyampaikan ceramahnya penuh bermaklumat. Beliau menerangkan bagaimana isu – isu setempat dan Negara hari ini berlaku dan kebangkitan anak muda bukan hanya di Malaysia malahan seluruh dunia. Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat itu menceritakan bahawa bermulanya kebangkitan Islam khususnya anak muda di Negara Arab seperti di Tunisia, Mesir, Libya dan sebagainya.

Beliau juga amat menekankan kepada anak muda agar sentiasa kuat dalam menghadapi cabaran musuh pada hari ini. Perlunya mengamalkan segala perintah Allah SWT serta dalami ilmu-ilmu agama supaya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dunia masakini banyak menyesatkan umat Islam dengan serangan minda dan budaya hidup. Seharusnya kita menolak kepimpinan yang rosak terutamanya dari segi akhlak dan agama.

Ustaz Misbahul Munir juga berkesempatan dalam siri ceramah tersebut untuk menyampaikan sumbangan kepada anak muda setempat yang berupa alatan sukan.




Jumaat, 2 November 2012

USTAZ RIDUAN MOHD NOR : MESTI DALAMI ILMU DAN DEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH, SYARAT KEMENANGAN ISLAM!


TAZKIRAH : UMAT ISLAM JANGAN LUPAKAN SIRAH RASULULLAH S.A.W. KERANA IANYA ADALAH PANDUAN UMAT ISLAM HINGGA KIAMAT.

Al- Quran dan Hadis menjadi pegangan dan di amalkan dalam kehidupan seharian umat Islam pasti kuat serta kekuatan Islam itu digeruni musuh- musuh.

BAGAN DATOH : Tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Riduan Mohd Nor, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia amat menekankan serta meningatkan seluruh umat Islam bahawa jangan sesekali melupakan sirah perjuangan Rasulullah S.A.W. Beliau menyampaikan tazkirah tersebut dalam sebuah majlis selepas solat fardhu Maghrib berjemaah di Markaz Tarbiyyah PAS Selekoh di sini kelmarin.


Ujarnya, umat Islam ketika ini dijahilkan atau diperbodohkan dengan keadaan sistem dunia hari ini. Sebenarnya ianya adalah satu ancaman besar daripada pihak musuh- musuh Islam yang sentiasa merancang untuk menghancurkan umat Islam. Beliau berkata, suasana sekeliling dan kemajuan dunia amatlah menekan umat Islam untuk berdaya maju serta beramal ibadah kepada Allah S.W.T.

Pengisian tazkirah beliau adalah menyebutkan bahawa perjuangan yang di bawa Nabi Muhammad S.A.W  sebagai contoh terbaik kepada umat Islam pada hari ini. Namun, agak malang dan mengecewakan apabila ada golongan umat Islam yang menentang sistem yang di ajar berpandukan wahyu  oleh Rasulullah S.A.W. Malahan ada yang turut memperlekehkan Syariat Islam yang suci lagi benar itu hatta sekalipun pemimpin yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Seruanya lagi, umat Islam perlu berusaha dalam memahami ilmu Islam. Kejahilan akan menghancurkan seseorang muslim kerana ianya menyebabkan amalan dan kelakuan seharian dalam hidup manusia hanya sia- sia. Sistem Negara dan pemerintahan hari ini telah menyekat umat Islam untuk memahami dan mengembangkan syiar Islam itu sendiri.  Pelbagai bukti dapat disaksikan apabila intitusi agama Islam disekat dan dihadkan daripada menganjurkan majlis- majlis ilmu dan ibadah- ibadah lain.

Katanya lagi, bukti dalam sirah Rasulullah S.A.W dalam riwayatnya menunjukkan bahawa Islam akan berkembang dan dilaksanakan segala kandungannya apabila berjaya mempunyai kuasa. Oleh demikian itu, PAS sebagai parti Islam yang memperjuangkan Islam sentiasa konsestan untuk terus berusaha menegakkan Islam di bumi Allah S.W.T . ini.

Diakhir tazkirah beliau mengajak seluruh umat Islam supaya bersama menghayati dan mencontohi perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. Selain itu, umat Islam hendaklah bercita – cita untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Setiap perjuangan yang menuntut kebenaran Allah S.W.T. pastinya golongan ini akan berada di atas jalan Allah S.W.T serta mendapat keberkatan dan keredhaan-NYA.

jambori amal kuala kangsar 2008