pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Isnin, 1 Februari 2016

SUDUT TAZKIRAH : CATATAN DHUHA OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD, MP BUKIT GANTANG

CATATAN DHUHA : YB. USTAZ IDRIS BIN AHMAD 
( NAIB PRESIDEN PAS )
( 15 RabiulAkhir - 21 RabiulAkhir 1437 )

Catatan Dhuha
Alhamdulillah, 90 peratus yang hadir himpunan Bantah TPPA ahli Pas. Mereka hadir kerana wala' kepada arahan parti dan pimpinan. Ingat kami yang bergelar pemimpin, ahli wala' selagi pemimpin wala' kepada Allah, Rasul dan perjuangan. Jika pemimpin lari, kami tidak akan wala' sama sekali. 


Ustaz Idris Hj Ahmad 15 Rabiul Akhir 1437 /25 Januari 2016 Isnin.

Catatan Dhuha
Dua hari Parlimen bersidang untuk meminta ahli parlimen bersetuju supaya Malaysia menerima TPPA. InsyaAllah Pas istiqamah menentang TPPA. Ahli parlimen Pas yang diamanahkan, akan berucap menentang TPPA dan akan undi menentang. Doakan semoga Ahli Parlimen Pas diberi kekuatan dan kesihatan untuk menggalas amanah ummah dan negara. 


Ustaz Idris Hj Ahmad 16 Rabiul Akhir 1437 /26 Januari 2016 Selasa.

Catatan Dhuha
Jangan hanya pandai mengkritik tetapi tidak pandai melaksana. Jangan pandai meruntuh, tetapi tidak pandai membina. Jangan hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai membuat. Jangan nampak kesalahan orang, tetapi tidak nampak kesalahan diri sendiri. Jangan nampak kelemahan orang tetapi tidak sedar mengenai aib diri sendiri. Satu peringatan untuk diri saya. 


Ustaz Idris Hj Ahmad 17 Rabiul Akhir 1437 /27 Januari 2016 Rabu.

Catatan Dhuha.
Walau pun tewas dalam undian TPPA, biar sejarah terpahat kita adalah penentangnya. Penentangan Pas atas prinsip kedaulatan negara dan maruah negara tidak boleh dicampur oleh kuasa asing setelah 58 tahun merdeka. Pas bukan anti pelabur asing, tetapi yang kita tentang ialah tatacara dan urus tadbir negara ditentukan oleh orang lain. 


Ustaz Idris Hj Ahmad 18 Rabiul Akhir 1437 /28 Januari 2016 Khamis.

Catatan Dhuha
Ketika MP BN berbahas menyokong TPPA sama seperti mereka membahas GST dahulu. Kononnya GST barang tidak naik, ringgit akan kukuh, harga kereta akan turun, ekonomi akan melonjak. Seolah-olah GST suci dalam debu. Apabila GST dilaksanakan berlaku sebaliknya. Kes yang sama juga akan terjadi pada TPPA nanti. 


Ustaz Idris Hj Ahmad 19 Rabiul Akhir 1437 /29 Januari 2016 Jumaat.

Catatan Dhuha
Kalau semua sepakat menjalankan tugas jamaah tidak ada lagi masa hendak mengkritik dan nampak kelemahan orang lain. Lumrah manusia memang begitu, bila sibuk fasal orang lupa tentang diri sendiri Sibukkan diri kita dengan amalan dan zikir yang mendekatkan diri kepada Allah dan kerja jamaah. InsyaAllah inilah terapi yang mujarab. 


Ustaz Idris Hj Ahmad 20 Rabiul Akhir 1437 /30 Januari 2016 Sabtu.

Catatan Dhuha
Jangan bazirkan masa dan tenaga yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Gunakanlah sebelum Allah menarik kembali nikmat ini daripada diri kita. Apabila kita terlantar sakit dan tidak bermaya, baru kita menyesal kerana selama ini kita bazirkan tenaga kita. Kita akan mengalir air mata kerana kudrat yang ada pada diri kita sudah lemah tidak mampu untuk membantu kepada perjuangan. 

Ustaz Idris Hj Ahmad 21 Rabiul Akhir 1437 /31 Januari 2016

SUDUT SEJARAH : HARI INI DALAM SEJARAH PAS ( 21 - 25 JANUARI )

SUDUT SEJARAH PAS : HARI INI DALAM SEJARAH PAS
( 21 - 25 JANUARI )


HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS DEDAHKAN KERJASAMA DENGAN DAP SEBAGAI STRATEGI PILIHAN RAYA KE-10 
(21 JANUARI 1999)
PADA hari ini dalam tahun 1999, Bendahari PAS Pusat yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Abdul Halim Abdul Rahman telah mendedahkan kepada media bahawa PAS akan membentuk kerjasama dengan parti-parti pembangkang termasuk DAP sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-10 yang jangka berlaku dalam tahun 1999. Sebelum ini, PAS tidak pernah membuat kerjasama politik dengan DAP terutama dalam pilihan raya.
Hubungan politik PAS-DAP mula terbentuk secara terbuka apabila PAS menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) pada 22 September 1998 untuk memperjuangkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar kemanusiaan. Melalui hubungan dalam GERAK ini, ahli-ahli PAS mulai menerima DAP sebagai rakan politiknya. Setelah penubuhan Parti Keadilan National (PKN kini PKR) pada 4 April 1999, parti-parti pembangkang terdiri daripada PAS, DAP, PRM dan PKN telah mengatur kerjasama sehingga terbentuk Barisan Alternating (BA) pada 28 April 1999.
Kenyataan peribadi Bendahari PAS pada 21 Januari 1999 ini pada mulanya menjadi polemik kerana manipulasi media yang mempersoalkan kerjasama PAS-DAP, tetapi telah dipertahankan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Menurut Mursyidul Am PAS itu, bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sanggup menerima dasar PAS termasuk DAP, malah dengan syaitan juga. Pandangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz disokong oleh pimpinan pembangkang, tetapi dijadikan isu oleh media kerana PAS kononnya mahu bekerjasama dengan syaitan.
Isu utama yang mencetuskan polemik dalam hubungan PAS-DAP ialah keengganan parti cauvinis Cina itu untuk menerima dasar Islam PAS, terutama matlamat PAS untuk menegakkan Negara Islam. Sejak awal memimpin DAP, Lim Kit Siang menolak konsep Negara Islam PAS sehingga Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor mempertegaskan pada 10 April 1999 bahawa matlamat utama PAS adalah menegakkan Negara Islam. Sedangkan Lim Kit Siang pada 24 April 1999 berkeras supaya kerjasama PAS-DAP hendaklah tidak membawa kepada menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam.
Bagi menjayakan strategi yang didedahkan oleh Bendahari PAS pada 21 Januari 1999 ini, PAS kemudiannya mengambil pendirian bahawa kerjasama BA adalah pakatan politik atas isu kemanusiaan ekoran penindasan politik yang berlaku sejak 1998, bukannya untuk menegakkan Negara Islam dengan mengambil model Half al-Fudhul. Tetapi PAS tetap bertegas bahawa Negara Islam kekal menjadi objektif utamanya, sedangkan pakatan BA hanya strategi jangka pendek PAS ke arah tersebut.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
21 Januari 2016

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PAS TUBUH CCC SEBAGAI STRATEGI POLITICO-DAKWAH TERHADAP ORANG CINA 
(22 JANUARI 1986)
PADA hari ini dalam tahun 1986, PAS telah menubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC) sebagai satu langkah dakwah melalui politik untuk mendekatkan orang bukan Islam, khususnya Cina kepada Islam. Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menyerahkan kepada Lajnah Perhubungan dan Hal Ehwal Luar PAS yang dipimpin oleh Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman untuk melaksanakan penubuhan CCC ini.
Semenjak Muktamar Tahunan PAS Ke-27 pada 17-19 April 1981, PAS telah mengambil ketetapan untuk meluaskan dakwah kepada orang Cina setelah berbangkit isu kerjasama PAS-DAP menjelang Pilihan Raya Umum 1982. Namun begitu, tiada usaha serius ke arah itu sehinggalah Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 5 Oktober 1985 membincangkan langkah-langkah untuk berdialog dengan orang bukan Islam.
Dalam soal ini, PAS menetapkan empat prinsip dalam rundingan dengan orang bukan Islam, iaitu:
I. Pendekatkan Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah;
II. Perkara-perkara lanjut dan perinci tidak dilibatkan dalam dialog;
III. Isu-isu sensitif yang merugikan perjuangan Islam mesti dielakkan; dan
IV. Hanya pimpinan yang berkeupayaan sahaja boleh mewakili PAS.

Lanjutan daripada ketetapan ini, pada 9 November 1985, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad telah mengemukakan kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS sebuah kertas bertajuk "Laporan Dialog Dengan Orang-orang Cina" yang menggariskan tiga pilihan pendekatan PAS iaitu:
I. PAS memimpin kerjasama dengan parti-parti Cina seperti MCA, Gerakan dan DAP; atau
II. PAS membuka keahlian kepada orang bukan Islam; atau
III. PAS menubuhkan jentera kerja bagi orang Cina untuk membantu PAS dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 1986.

Sebagai langkah untuk melaksanakan dakwah PAS kepada Orang-orang Cina, PAS pada 22 Januari 1986 telah memberi mandat kepada tiga pimpinannya iaitu Ustaz Mohd Nakhaie, Ustaz Hassan Shukri dan Syed Ibrahim untuk mewakili PAS dalam dialog-dialog bersama masyarakat Cina, selain mengambil ketetapan untuk menubuhkan CCC sebagai jentera Kerja PAS bagi orang Cina.
CCC yang ditubuhkan ini dipengerusikan oleh Syed Ibrahim, manakala Penasihat Undang-undang Persatuan Sin Han, Yong Sien menjadi Timbalan Pengerusi CCC. Sedangkan ahli-ahlinya terdiri daripada anggota lajnah tersebut iaitu Ahmad Subky Latif sebagai setiausaha, Ustaz Yahya Othman, Mohd Ridhuan Daniel Oon, Mohd Kamal Koh, Abdul Shukur Harun dan Abdul Razak Ayub sebagai ahli-ahli.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 Januari 2016

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PIMPINAN PAS DITAHAN ISA KERANA BELA PETANI PERJUANGKAN HARGA PADI 
(23 JANUARI 1980)
PADA hari ini dalam tahun 1980, 14 orang ahli PAS termasuk tiga pimpinan PAS Kedah telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa menjadi dalang utama yang membawa kepada berlakunya demonstrasi isu harga padi di Alor Setar pada 19 Januari 1980. Tiga pemimpin PAS Kedah yang ditahan ialah Ustaz Abdul Halim Arshat (Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Setiausaha PAS Kedah), Ustaz Osman Marzuki (Setiausaha PAS Padang Terap) dan Solahuddin Mansur (Setiausaha Kerja PAS Kedah).
Isu harga padi ini telah timbul pada akhir 1979 ekoran dasar baru berkaitan subsidi padi dan sistem kopun yang diperkenal oleh Kerajaan BN. Para petani telah membangkitkan perkara berkait masalah pengangkutan untuk mengangkut padi dan juga operasi waktu pejabat yang menyulitkan urusan mereka.
PAS telah memainkan peranan penting untuk menggerakkan kesedaran petani untuk bertindak menuntut hak mereka, terutama menolak sistem kupon dan mendesak kenaikkan harga padi. Ekoran dari tekanan yang kuat ini, kerajaan terpaksa menghantar Menteri Pertanian, Dato' Shariff Ahmad, Menteri Perusahaan Awam, Dato' Abdul Manan Osman, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Syed Nahar Shahabuddin dan Pengarah Lembaga Padi Negara (LPN), Dato' Mohamad Shafie untuk berunding dengan pemimpin persatuan petani.
Kemuncak kepada tindak balas petani ini, pada 19 Januari 1980, satu demonstrasi besar-besaran diadakan oleh petani padi di Wisma Negeri, Alor Setar hingga memaksa Ketua Polis Daerah Kota Setar mengeluarkan perintah berkurung pada 19 Januari 1980 untuk membendung kebangkitan petani. Akibatnya, pada 23 Januari 1980, 14 orang ahli PAS telah ditahan di bawah ISA atas pelbagai tuduhan termasuk membahayakan keselamatan negara dengan menghasut petani. Perintah berkurung ini telah ditamatkan pada 25 Januari 1980 setelah keadaan reda.
Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda ketika menyampaikan Ucapan Dasar dalam Muktamar Khas PAS pada 2 Mac 1980 kerana isu ISA ini, menjelaskan bahawa penahanan ini adalah satu usaha kerajaan untuk melumpuhkan kebangkitan Islam yang diperjuangkan oleh PAS setelah berlaku revolusi di Iran.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
23 Januari 2016

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
ANGGOTA EXCO KELANTAN DITARIK PINGAT KERANA PERTAHAN TANAH RAKYAT 
(24 JANUARI 2001)
PADA hari ini dalam tahun 2001, dua orang pimpinan PAS Kelantan yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan telah ditarik balik surat tauliah dan darjah kebesaran yang dianugerahkan oleh Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra kepada mereka. Dua pemimpin PAS tersebut ialah Ustaz Mohamad Daud al-Iraqi, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan dan Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.
Isu menarik balik pingat ini timbul ekoran tindakan Kerajaan Kelantan menolak permohonan pihak Istana Kelantan untuk menjadikan tanah di Bukit Camah (Gua Musang), Cabang Tongkat (Machang) dan Hutan Simpan Lebir (Gua Musang) sebagai 'living museum' dan pusat pengeluaran makanan Islam negara. Permohonan ini dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Hashim Wan Daud pada 8 April 1999 atas alasan untuk menghargai sumbangan Sultan-sultan Kelantan terdahulu.
Penolakan ini telah menimbulkan kemurkaan Sultan Kelantan sehingga baginda bertindak menarik balik pingat Setia Mahkota Kelantan dan pingat Ahli Setia Kelantan masing-masing daripada Ustaz Mohamad Iraq dan Takiyuddin Hassan. Dalam kenyataan pihak Istana Kelantan, penarikan ini adalah hak mutlak Sultan Kelantan tanpa diberitahu sebab. Sedangkan di kalangan ahli-ahli politik tersebar berita bahawa ia berkait dengan penolakan terhadap permohonan tanah oleh Istana.
Kedua-dua anggota Exco Kerajaan itu dikatakan telah menentang pemberian tanah kepada Istana Kelantan dalam Mesyuarat Khas Exco Kerajaan pada 7 Januari 2001. Tetapi pihak Istana Kelantan menafikan tindakan tersebut berkait dengan isu permohonan tanah ini.
Sebagai tindak balas terhadap sikap Istana Kelantan, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Mahfuz Omar telah menyifat tindakan ini sebagai memalukan rakyat Kelantan kerana kedua-dua anggota Exco Kerajaan itu menjadi wira yang mempertahankan hak rakyat. Dalam pada itu juga, Takiyuddin selalu Penasihat Undang-undang PAS Kelantan telah mencadangkan pindaan Perkara 15 dan 39 Perkembangan Negeri Kelantan untuk menghadkan kuasa raja dalam urusan pentadbiran sahaja, selaras Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
24 Januari 2016


HARI INI DALAM SEJARAH PAS 

PAS TEGASKAN HANYA ISLAM BOLEH MENJADI ASAS DALAM SEMUA KERJASAMA POLITIK 
(25 JANUARI 1989)

PADA hari ini dalam tahun 1989, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk serpihan Umno, dengan syarat pihak tersebut menerima Islam sebagai asas kerjasama. Ustaz Fadzil berkata demikian sebagai respon terhadap jemputan terbuka pemimpin serpihan Umno, Tengku Razaliegh Hamzah yang telah menubuhkan parti Semangat 46, untuk PAS bekerjasama dengan parti itu.

Isu kerjasama dengan serpihan Umno ini berbangkit setelah Mahkamah Agung pada 8 Ogos 1988 menolak rayuan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengharamkan Umno pada 24 April 1987, dan kegagalan Tengku Razaliegh mendapatkan sokongan Dewan Rakyat untuk meminda Akta Pertubuhan pada 5 Disember 1988. Setelah itu, pimpinan Team B Umno ini mula menghadiri program anjuran PAS termasuk majlis Makan Malam Pemikiran Ummah pada 23 Disember 1988.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 20 Disember 1988 telah menggariskan asas utama kerjasama antara PAS dengan S46 dan Berjasa di mana PAS akan bertanding tidak kurang 38 kerusi Parlimen dan akan memimpin Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah jika menang pilihan raya. Asas kerjasama ini bertolak dari kertas Tahaluf Siasi yang disediakan oleh Ustaz Nakhaie Ahmad pada 13 Julai 1986 dan juga kertas Tahaluf oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang diterima pada 9 Oktober 1988.

Pada 22 Januari 1988, Tengku Razaliegh telah menawarkan kerjasama politik kepada PAS secara terbuka setelah melalui rundingan awal sebanyak 18 kali. PAS menyambut positif tawaran ini, tetapi meletakkan Islam sebagai asas utama kerjasama ini. Menurut Ustaz Fadzil, kerjasama politik ini mestilah dibuat atas dasar syariat melalui konsep tahaluf siasi. 

Pada 4 November 1989, Majlis Syura Ulamak PAS telah memaklumkan kepada semua peringkat PAS bahawa perkara tahaluf ini telah dibincangkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS sejak kertas Tahaluf dikemukakan pada 9 Oktober 1988 dengan kajian yang teliti terhadap soal waqi' (realiti) dan memandang jauh al-masalih al-mursalah untuk menegakkan maqasid syariah. 

Lanjutan daripada penegasan Ustaz Fadzil pada 25 Januari 1989 ini juga, pada 19-20 Mac 1990, Majlis Syura Ulamak PAS, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat bermuzakarah berkait isu tahaluf ini supaya perlaksanaannya sentiasa menepati syarak. 

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
25 Januari 2016

Isnin, 25 Januari 2016

SUDUT SEJARAH : CATATAN SEJARAH HARI INI DALAM PAS ( 16 - 20 JANUARI )


CATATAN SEJARAH PAS : HARI INI DALAM SEJARAH PAS
( 16 - 20 JANUARI )



HARI INI DALAM SEJARAH PAS

PAS KELANTAN DAN TERENGGANU MENYUSUN LANGKAH MENGUASAI TERENGGANU 
(16 JANUARI 1957)

PADA hari ini dalam tahun 1957, Badan Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu yang dipimpin oleh Mohd Asri Haji Muda selaku Pesuruhjaya telah mengadakan mesyuarat bagi menyusun dan merancang pergerakan organisasi PAS yang sekali gus meluaskan pengaruh PAS di Terengganu. Sebelum ini, semenjak 1954, Mohd Asri telah memimpin PAS Daerah Pantai Timur yang meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang, tetapi PAS belum berkembang di Terengganu.

Setelah PAS berjaya menyertai Pilihan Raya Umum 1955 di Kelantan dan Pahang, PAS telah mengecilkan wilayah pentadbiran Mohd Asri kepada Kelantan dan Terengganu sahaja mulai 1956. Hasilnya, pada 6 Julai 1956, PAS berjaya menubuhkan cawangan yang pertama di Terengganu dengan tertubuhnya PAS Cawangan Dungun pimpinan Tuan Guru Haji Zainal Abidin Aman. Berbeza dengan negeri lain, Terengganu adalah negeri yang terakhir di Semenanjung yang menerima pengaruh PAS. Tetapi pada akhir 1956, Terengganu telah menerima penghijrahan beberapa pimpinan utama PAS seperti Dr Haji Abbas Alias, Ustaz Zabidi Ali dan Ustaz Ahmad Azam Hanifah yang bertugas di Terengganu. Turut bersama PAS ialah beberapa bekas pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) seperti Tuan Guru Haji Abbas Mohamad dan Mohd Daud Abdul Samad, selain Su Mahmud Dato' Amar, anak bekas Menteri Besar Terengganu.

Bertolak dari perkembangan ini, Badan Perhubungan PAS Terengganu menyusun langkah meluaskan pengaruh PAS sehingga dapat ditubuhkan PAS Cawangan Kuala Terengganu (1956), Kemaman (1957), Besut (1957), Kuala Berang (1958) dan Kuala Terengganu Utara (1959). Perkembangan PAS berlaku dengan pesat mulai 1957 sehingga PAS mempunyai cawangan dan cabang di seluruh Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum 1959.

Kesan dari perkembangan pesat ini, dalam Pilihan Raya Umum 1959, PAS telah berjaya memenangi 13 dari 24 kerusi DUN Terengganu, sedangkan Perikatan dan Parti Negara (PN) masing-masing mendapat tujuh dan empat sahaja. Ini membolehkan PAS membentuk kerajaan yang diketuai Mohd Daud Abdul Samad yang diangkat sebagai Menteri Besar pada 29 Jun 1959. PAS juga turut menguasai kerusi Dewan Rakyat di Terengganu apabila tokoh-tokoh utama PAS seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Khadijah Sidek dan Ustaz Hassan Adli yang masing-masing telah memenangi kerusi Parlimen Besut, Dungun dan Kuala Terengganu. Turut menang dengan kerjasama PAS ialah memimpin PN, Dato' Onn Jaafar di Kuala Terengganu, selain seorang lagi calon PAS, Harun Pilus yang menang di Hulu Terengganu.

Perancangan Badan Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu pada 16 Januari 1957 untuk meluaskan pengaruh PAS di Terengganu melalui gerakan pengukuhan organisasi ini telah berjaya mengembangkan pengaruh PAS sehingga Terengganu menjadi kubu terkuat PAS semenjak 1959 hingga kini.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
16 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS

PAS SETUJU BEKERJASAMA DENGAN DAP DAN PSRM UNTUK MENENTANG ISA 
(17 JANUARI 1988)

PADA hari ini dalam tahun 1988, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil persetujuan untuk membentuk kerjasama politik dengan DAP DAN Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) bagi menentang penyalahgunaan ISA oleh Kerajaan BN ekoran dari Operasi Lalang yang dilakukan pada 27 Oktober 1987. Operasi ini telah menahan 107 memimpin pembangkang, NGO dan ahli-ahli akademik ekoran daripada pergeseran politik antara Umno dan MCA ketika itu.

Pada mulanya, para memimpin politik Cina dari MCA, Gerakan dan DAP telah membangkitkan isu perkauman dengan mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu, yang kemudiannya membawa kepada perhimpunan besar-besaran anjuran Pergerakan Pemuda Umno yang dipimpin oleh Datuk Mohd Najib Tun Razak di Stadium TPCA, Kampung Baru pada 17 Oktober 1987 yang hampir menceruskan semula rusuhan kaum.

Bertindakan atas isu perkauman ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987 di mana pimpinan PAS, PSRM dan DAP adalah antara yang ditahan, walaupun PAS pada 10 Oktober 1987 telah mengadakan ahli-ahlinya supaya tidak terlibat dengan isu perkauman. Ekoran itu, pada 19 November 1987, PAS telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamed untuk menjelaskan ketidakterlibatan PAS dalam isu perkauman, sebaliknya Umno dan MCA yang bergeser sehingga mencetuskan krisis.

Pada pandangan PAS, penahanan ISA ini adalah bukan semata-mata isu perkauman, tetapi lebih untuk menjamin kelangsungan politik BN selepas perpecahan Team A dan Team B Umno dalam pemilihan parti itu yang diikuti oleh perselisihan antara Umno dengan MCA dan Gerakan. Pada 22 November 1987, PAS telah menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Hanif Omar untuk membincangkan isu penyalahgunaan ISA ini.

Bagi mengukuhkan lagi gerakan menentang ISA ini, PAS telah mengambil langkah membentuk kerjasama dengan parti-parti pembangkang terutama DAP dan PSRM mulai 17 Januari 1988 sebagai satu kerjasama atas dasar kemanusiaan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
17 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS

AHLI PAS DIBUNUH DALAM PILIHAN RAYA KECIL PADANG TERAP 
(18 JANUARI 1985)

PADA hari ini dalam tahun 1985, seorang ahli PAS, saudara Othman Talib telah dibunuh oleh penyokong BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Padang Terap, Kedah. Othman Talib dan beberapa ahli PAS telah diserang dalam keganasan penyokong BN yang membunuh dan mencederakan ahli-ahli PAS.

Pilihan Raya Kecil Padang Terap diadakan pada 19 Januari 1985 setelah perlantikan Ahli Parlimen Padang Terap, Tan Sri Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabuddin, yang juga bekas Menteri Besar Kedah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka pada 4 Disember 1984. PAS telah meletakkan Ustaz Abdul Halim Arshat sebagai calonnya menentang calon BN, Baharom Abu Bakar dan dua calon Bebas yang dimenangi oleh calon BN dengan majoriti 5,702 undi.

Pilihan raya kecil ini diadakan dalam suasana tegang kerana Umno terpalit dengan isu BMF, isu Mantoya yang menjatuhkan Datuk Syed Nahar dan perbalahan Umno dengan MCA yang menyebabkan Umno menyerang PAS dengan isu kafir-mengkafir. Suasana politik diwarnai dengan isu Debat PAS-Umno yang terakhir dengan perisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 8 November 1984 yang membatalkan debat tersebut. 

Pada 9 November 1984, kerajaan membentangkan kertas putih bertajuk 'Ancaman Kepada Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara' di Dewan Rakyat yang secara langsung mengaitkan PAS sebagai ancaman kepada Perpaduan umat.
Pada 3 Disember 1984, Majlis Raja-raja telah memperakukan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan perbuatan mengkafirkan sesama Islam yang berlaku antara PAS dan Umno. Dalam konflik inilah berlakunya pilihan raya kecil tersebut.

Tragedi berdarah yang berlaku pada 18 Januari 1985 ini terjadi di Felda Lubuk Merbau yang membunuh Othman Talib dan mencederakan Ibrahim Tahir, Nasir Muhamad, Shamsuddin Sulaiman, Ayub Mat Shah dan Ahmad Tahir akibat diserang oleh 200 penyokong BN. Menurut Ustaz Fadzil Mohd Noor, Pengarah Pilihan Raya Kecil Padang Terap yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, tragedi ini berlaku kerana serangan penyokong BN yang bertindakan ganas dan menggunakan kekerasan, sedangkan polis membiarkan sahaja kejadian tersebut untuk kepentingan BN.

Tragedi 18 Januari 1985 ini menurut Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Kalu Ke-31 pada 14-16 April 1985 akan membakar semangat jihad ahli-ahli PAS dalam perjuangan menegakkan Islam. 

Kematian Othman Talib menurut beliau adalah satu syahid, dan ini menunjukkan PAS telah sampai ke tahap mengorbankan nyawa dalam perjuangannya, iaitu satu tuntutan dalam mencapai kemenangan Islam.

Mohd Fadli Ghani 
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
18 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS

PAS BERKECUALI DALAM ISU IMUNITI RAJA-RAJA MELAYU 
(19 JANUARI 1993)

PADA hari ini dalam tahun 1993, PAS telah mengambil sikap berkecuali di Dewan Rakyat dalam isu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan imuniti Raja-raja Melayu. Krisis Raja-raja Melayu ini berlarutan dari pergeseran Istana Kelantan dengan Kerajaan BN Kelantan yang membawa kepada kemenangan PAS-APU pada 21 Oktober 1990, diikuti oleh isu kereta Lambogini Diablo yang diimport oleh Sultan Kelantan pada 19 Mac 1992, hinggalah meletus isu antara Istana Johor dengan jurulatih hoki, Douglas Gomez pada akhir 1992.

Pergeseran antara Umno dengan Raja-raja Melayu ini telah menyebabkan wujud usaha untuk melucutkan kekebalan (imuniti) Raja-raja Melayu, yang kemudiannya dipersetujui oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulamak PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz atas asas imuniti tidak selari dengan hukum Islam. Namun begitu, Presiden Semangat 46, Tengku Razaliegh Hamzah menentangnya kerana menganggap ia akan melemahkan kedaulatan raja dan menjejaskan ketuanan Melayu.

Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 12 Disember 1992 telah menyokong usaha menghapuskan imuniti ini kerana Islam tidak membezakan sesiapa. Walau bagaimanapun, pada 13 Januari 1993, Majlis Syura Ulamak PAS dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil pendirian bahawa PAS menyokong penghapusan imuniti ini dan mengarahkan ahli-ahli Parlimen PAS supaya mengemukakan pandangan Islam di Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 18 dan 19 Januari 1993. Tetapi PAS juga mengambil sikap untuk mengundi di Dewan Rakyat mengikut pendirian Majlis Raja-raja yang bersidang pada 16 Januari 1993, di mana Sultan Kelantan telah menolak usul ini, begitu juga sikap Semangat 46.

Ekoran sikap Sultan Kelantan ini, pada 18 Januari 1993, Timbalan Presiden PAS telah berucap di Dewan Rakyat untuk menyokong usul tersebut menurut pandangan Islam, tetapi ketika Undian Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 pada 19 Januari 1993, PAS telah mengambil sikap berkecuali untuk menjaga hubungan baik PAS dengan Raja-raja Melayu dan juga Semangat 46, terutama dalam konteks Kerajaan Kelantan yang diperintah oleh PAS. 

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
19 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS

PAS TERIMA LAPORAN NEGATIF TENTANG KERJASAMA DENGAN PMS46 (20 JANUARI 1996)

PADA hari ini dalam tahun 1996, PAS Pusat menerima laporan daripada Jawatankuasa Post Mortem Pilihan Raya Umum 1995 yang melaporkan bahawa wujudnya kesan negatif kepada PAS dalam kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), dan laporan tersebut telah mencadangkan supaya PAS bersendirian dalam Pilihan Raya akan datang. Jawatankuasa Post Mortem ini telah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 7 Mei 1995 untuk mengkaji secara menyeluruh prestasi PAS dalam Pilihan Raya Umum 1995 dengan diketuai oleh Cikgu Mustafa Ali.

Menurut laporan yang bertajuk "PAS dan Pilihan Raya: Satu Strategi," bahawa dalam Pilihan Raya Umum 1995, kerjasama PAS-PMS46 untuk memenangkan calon PAS bukan sahaja merosot, tetapi hampir tidak wujud di sesetengah negeri kerana parti serpihan Umno itu bukan sahaja tidak mempunyai jentera, tetapi mereka telah 'memperkudakan' PAS untuk kepentingan calon mereka.

Atas sebab itu, kebanyakkan PAS Negeri berpandangan lebih baik kerjasama ini ditamatkan dan menganggap PMS46 adalah liabiliti kepada PAS. Antara negeri yang PAS tidak mendapat kerjasama PMS46 kerana ketiadaan jentera ialah Pahang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Pulau Pinang. Pada umumnya, PMS46 hanya mempunyai pimpinan di peringkat Pusat dan Negeri sahaja, sedangkan organisasi Bahagian dan Cawangan telah lumpuh. Namun PMS46 tetap bertanding lebih banyak kerusi termasuk di tempat mereka tidak mempunyai jentera sama sekali, sekali gus menjadikan PAS sebagai jentera mereka.

Sebaliknya, di kerusi yang ditandingi oleh PAS, mereka tidak membantu dan tidak mempunyai jentera. Keadaan ini menyebabkan ahli-ahli PAS merasakan kerjasama ini telah membolehkan rakan politik memperalatkan PAS dan menjadi liabiliti kepada PAS.

Berasaskan dapatan kajian yang dibuat oleh Jawatankuasa Post Mortem ini, pada 20 Januari 1996, mereka mengemukakan laporan tersebut kepada PAS sebagai usulan dalam merangka strategi untuk Pilihan Raya Umum akan datang. Jawatankuasa ini mencadangkan supaya PAS menamatkan hubungan dengan PMS46 atas asas politik tersebut, tetapi Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Nor mempertegaskan bahawa kerjasama ini dibentuk berdasarkan syariat, dan dirombak juga berdasarkan syariat. Namun, kerana isu-isu yang berbangkit kemudiannya, pada 14 Julai 1996, hubungan dengan PMS46 telah diputuskan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS Pusat 
20 Januari 2016

TAZKIRAH : CATATAN DHUHA YB. USTAZ IDRIS AHMAD.

SUDUT TAZKIRAH : CATATAN DHUHA OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD, NAIB PRESIDEN PAS ( MP BUKIT GANTANG )
8 RabiulAkhir -14 RabiulAkhir 1437
( 18 - 24 Januari 2016 )


Catatan Dhuha
Tahniah dan terima kasih kepada penganjur program bantah TPPA, Jabatan Amal dan semua peserta yang menjayakan himpunan tersebut. Sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk menentang perjanjian yang akan mencabul kedaulatan negara. Allah tidak tanya kamu berjaya atau tidak, tetapi akan ditanya kamu berusaha atau tidak. 


Ustaz Idris Hj Ahmad 
14 Rabiul Akhir 1437 /24 Januari 2016 Ahad.

Catatan Dhuha
TPPA satu pencabulan terhadap negara kita yang berdaulat. Sia-sia setelah 58 tahun negara merdeka. Sebelum merdeka, khazanah dan hasil alam dipunggah ke negara mereka dengan cara paksa sebagai kuasa penjajah. TPPA berselindung disebalik undang-undang dan pasaran bebas tetapi mempunyai agenda jahat yang tidak pernah padam. Anda sayangkan negara, ayuh kita bantah TPPA. Biar sejarah terpahat bahawa kita adalah penentangnya. 

Ustaz Idris Hj Ahmad 
13 Rabiul Akhir 1437 /23 Januari 2016 Sabtu.

Catatan Dhuha
Semua kita ada kelebihan dan potensi diri masing-masing. Kelebihan antara kita tidak sama. Ada yang pandai bercakap, pandai menulis, pandai mengurus, pandai mencari wang, pandai membuat kerja amal, pandai melakukan kerja lasak, pandai mengajar, pandai mentarbiah, pandai mengurus kebajikan. Anda di tahap mana? 

Ustaz Idris Hj Ahmad 
12 Rabiul Akhir 1437 /22 Januari 2016 Jumaat.

Catatan Dhuha
Tidak ada istilah menganggur dalam kerja jamaah. Terlalu banyak kerja yang boleh dilakukan, hendak atau tidak sahaja. Apa yang penting kita memposisikan diri kita di tempat yang sepatutnya. Allah memberi kepada kita potensi diri yang boleh dimanfaatkan oleh Islam dan jamaah. Jangan bazirkan potensi dan kelebihan masing-masing. 

Ustaz Idris Hj Ahmad 
11 Rabiul Akhir 1437 /21 Januari 2016 Khamis.

Catatan Dhuha
Kita rasa gembira dan tidak penat jika kita buat sesuatu itu ikhlas kerana Allah. Kerja kita menjadi rancak dan aktif kerana yang kita buru ialah keredhaan Allah. Kita menjadi lesu dan tidak bermaya dan keluh kesah kerana yang kita buru ialah keredhaan makhluk semata-mata. 

Ustaz Idris Hj Ahmad 
10 Rabiul Akhir 1437 /20 Januari 2016 Rabu.

Catatan Dhuha
Mungkin kita sibuk dengan urusan kehidupan dan jamaah, tetapi jangan lupa kita kepada Allah. Takut nanti Allah lupa kepada kita. Sekiranya Allah lupa kepada kita, kepada siapa lagi kita mahu memohon bantuan dan pertolongan. Jika ada manusia yang lupa kepada kita, masih ada lagi manusia lain yang ingat kepada kita. 

Ustaz Idris Hj Ahmad 
9 Rabiul Akhir 1437 /19 Januari 2016 Selasa.

Catatan Dhuha
Kita perlu mengadakan hubungan dengan Allah melalui amalan sunat, qiamullail, amar makruf nahyu anil munkar, kerana ini merupakan tali pengikat kita dengan Allah SWT. Jika kita tidak mengikat diri kita dengan Allah, bagaimana Allah SWT hendak membantu kita di jalan dakwah dan perjuangan yang penuh dengan ranjau dan duri. 

Ustaz Idris Hj Ahmad 
8 Rabiul Akhir 1437 /18 Januari 2016 Isnin.

Selasa, 19 Januari 2016

SUDUT SEJARAH : HARI INI DALAM SEJARAH PAS ( 11 - 15 JANUARI )


SUDUT SEJARAH : HARI INI DALAM SEJARAH PAS 
( 11 - 15 JANUARI )



HARI INI DALAM SEJARAH PAS


PRESIDEN PAS NAFI DAKWAAN THE STAR UNTUK MENGELIRUKAN PAKATAN RAKYAT DALAM ISU NEGARA ISLAM 
(11 JANUARI 2011)

PADA hari ini dalam tahun 2011, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menafikan dengan kekesalan terhadap laporan akhbar The Star berkaitan isu negara Islam yang dimanipulasikan untuk mengelirukan rakan-rakan PAS dalam Pakatan Rakyat. Penafian ini dibuat ekoran laporan The Star pada 10 Januari 2011 yang bertajuk "PAS won't bow to presure from any quater, says Hadi" yang dianggap oleh PAS sebagai tersasar dan tidak benar.

Pada asalnya, Presiden PAS dalam ucapannya di Majlis Suai Kasih anjuran PAS Titiwangsa pada 9 Januari 2011, telah menegaskan bahawa PAS melihat perkembangan yang sangat positif di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam memahami maksud Islam yang diperjuangkan oleh PAS. PAS bermaksud untuk melaksanakan Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang dipertahankan oleh semua parti Pakatan Rakyat.

Paradigma ini, menurut Presiden PAS, akan memperkukuhkan lagi kerjasama erat PAS dalam Pakatan Rakyat, bertepatan dengan semangat dalam dasar bersama yang dipersetujui melalui Dasar Bersama Muafakat Rakyat. Penegasan Presiden PAS ini adalah rentetan dari ucapan beliau dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua pada 19 Disember 2010 di Pulau Pinang, di mana PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini.

Walau bagaimanapun, The Star pada 10 Januari 2011 telah mendakwa bahawa PAS tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana parti dalam melaksanakan agenda negara Islam. Ini akan menimbulkan pergeseran parti-parti Pakatan Rakyat. Atas manipulasi media ini, pada 11 Januari 2011, Presiden PAS telah menyatakan kekesalannya dan menafikan laporan yang mengelirukan itu.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS


JAWATANKUASA PENAPIS CALON PAS DIBENTUK UNTUK MENGATASI ISU KHIANAT PARTI 
(12 JANUARI 1969)

PADA hari ini dalam tahun 1969, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Menapis dan Menetapkan Calon-calon PAS yang diberi tanggungjawab "untuk menetapkan calon-calon yang akan bertanding itu secara muktamad." Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Datuk Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS, selain turut dianggotai oleh Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Mohd Taha Kalu, Ustaz Yusof Rawa, Ustaz Amaluddin Darus, Abdullah Akin dan Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah.

Pembentukan Jawatankuasa ini mempunyai dua tujuan utama. Pertama, untuk membolehkan PAS memilih calon-calon berwibawa dan bertanding di tempat selamat di Kelantan dan Terengganu bagi menghantar wakil-wakil yang berkesan di Dewan Rakyat. Kedua, untuk meneliti latar belakang calon-calon yang benar-benar bersih bagi mengelakkan pengkhianatan ke atas parti oleh wakil rakyat.

Isu keberkesanan wakil rakyat PAS di Parlimen telah mendapat perhatian Jawatankuasa Agung PAS kerana ada wakil rakyat yang gagal berfungsi dengan berkesan, sehingga PAS perlu memilih pemimpin terbaiknya untuk dicalonkan di Kelantan atau Terengganu seterusnya menjadi wakil rakyat yang berkesan di Dewan Rakyat.

Sebenarnya, semenjak Ogos 1968, PAS berhadapan dengan isu pengkhianatan wakil rakyat yang hampir menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan setelah beberapa ADUN-nya 'menjual' kerusi mereka. Akibatnya, Umno hampir-hampir dapat membuat usul undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 20 Ogos 1968.

Empat ADUN - Abdul Rahman Mohd Salkeh, Omar Mohammad, Yusof Latif dan Abdullah Yusof - telah keluar PAS, bersama seorang lagi ADUN, Saufi Idris pada 18 Ogos 1968. Tetapi tiga ADUN kecuali Abdullah Yusof telah menyertai semula PAS dalam peristiwa Turn about - About turn.

Kerana adanya isu ketidakberkesanan wakil rakyat dan pengkhianatan wakil rakyat ini, pada 12 Januari 1969, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Menapis dan Menetapkan Calon-calon PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1969.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
12 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS

PAS SEDIA BERMUZAKARAH DENGAN UMNO DALAM ISU-ISU AGAMA 
(13 JANUARI 1987)

PADA hari ini dalam tahun 1987, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dilaporkan oleh Utusan Malaysia bahawa beliau telah menegaskan kesediaan PAS untuk bermuzakarah dengan Umno dalam isu-isu keagamaan. Naib Yang Dipertua Agung PAS itu dilaporkan berkata demikian dalam ceramah pertamanya sejurus pulang dari Amerika Syarikat bersama Cikgu Mustafa Ali, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Isu muzakarah PAS-Umno ini timbul semula selepas isu Debat PAS-Umno pada 1984 ekoran satu forum antara Anwar Ibrahim (Umno) dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (PAS) anjuran MISG di Peoria, Amerika Syarikat pada 24-25 Disember 1986. Ekoran dari forum ini, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad berkata, PAS terbuka untuk bermuzakarah dengan Umno jika kedua-dua parti bersedia mengikuti syariat Islam, yang kemudiannya dijawab oleh Dr Mahathir pada 29 Disember 1986 bahawa Umno sedia berkerjasama dengan PAS jika parti Islam mengikuti Islam yang sebenar.

Anwar Ibrahim sendiri dalam forum tersebut melahirkan keazaman untuk menghidupkan semula muzakarah PAS-Umno sebagai lanjutan dari pada forum anjuran MISG tersebut. Kenyataan Anwar Ibrahim disambut positif oleh Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Nor pada 2 Januari 1987. Pada 3 Februari 1987 Pak Yusof Rawa selaku Yang Dipertua Agung PAS telah mendedahkan bahawa Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 28 Januari 1987 telah bersetuju menyertai muzakarah tersebut, sedangkan Majlis Tertinggi Umno turut bersetuju pada 7 Februari 1987.

Pada pandangan PAS, muzakarah ini dipersetujui kerana umat Islam di negara ini sedang mengalami perpecahan yang serius dan PAS sebagai gerakan Islam bertanggungjawab ke arah perpaduan ummah. PAS bersikap positif dalam menangani gejala perpecahan selepas tragedi Memali pada akhir 1985.

Laporan tentang kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi pada 13 Januari 1987 tentang kesediaan PAS untuk bermuzakarah dengan Umno ini adalah bertolak daripada keyakinan PAS bahawa mereka boleh mengendalikan muzakarah ini bagi membawa Umno ke landasan yang betul mengikut syariat Islam. Hal ini dipertegaskan oleh Pak Yusof Rawa dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS pada Muktamar Tahunan PAS, 11-12 April 1987.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS


JAWATANKUASA POLITIK DITUBUH UNTUK GARISKAN DASAR PAS TENTANG MERDEKA 
(14 JANUARI 1956)

PADA hari ini dalam tahun 1956, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Politik PAS yang mempunyai peranan khusus untuk merangka dasar-dasar politik PAS terutamanya dalam menghadapi perjuangan kemerdekaan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Dr Haji Abbas Alias, Yang Dipertua Agung PAS dan Abdul Hamid Syarif sebagai Setiausaha, manakala Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, Prof Zulkifli Mohamad, Ustaz Othman Abdullah dan Musa Ma Jinu sebagai ahli-ahli.

Selepas Pilihan Raya Umum 1955, Perikatan telah menguasai Majlis Undangan Persekutuan dengan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Ketua Menteri. Usaha menuntut kemerdekaan dipertingkatkan, dan PAS memainkan peranan untuk memastikan kedudukan Islam Dan ketuanan Melayu dijamin oleh Perlembagaan.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat pada 26-28 Disember 1955, Dr Haji Abbas telah menggariskan asas tuntutan kemerdekaan PAS, iaitu:
i. Merdeka tidak lewat dari 1959;
ii. Melayu sebagai kebangsaan tunggal dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi;
iii. Islam menjadi panduan pentadbiran negara berasaskan Al-Quran dan Sunnah; dan
iv. Menghapuskan jawatan Penasihat British

Antara langkah penting yang dilaksanakan terhadap penegasan Dr Haji Abbas dalam memperjelaskan dasar politik tentang kemerdekaan ialah dengan menubuhkan Jawatankuasa Politik PAS. Jawatankuasa ini kemudiannya telah berjaya menyediakan memorandum 18 perkara pada 22 April 1956 bertajuk "Maklumat Jus Soli." Memorandum ini bertujuan untuk membantah tuntutan orang bukan Melayu supaya kerakyatan diberi secara jus soli (berdasarkan tempat lahir) kepada orang asing. PAS menyerahkan pandangannya ini kepada Pesuruhjaya Tinggi British, Penasihat-penasihat Inggeris, Raja-raja Melayu dan ahli-ahli Majlis Undangan Persekutuan.

Kedua, pada 14 Julai 1956, PAS telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Reid berkaitan cadangan PAS dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Cadangan Jawatankuasa Politik PAS ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 1 Jun 1956 sebelum diangkat kepada Suruhanjaya Perlembagaan itu. 

Keberkesanan Jawatankuasa Politik PAS yang ditubuhkan pada 14 Januari 1956 ini telah membolehkan PAS mengemukakan gagasan yang kukuh dalam perjuangan kemerdekaan walaupun pandangan PAS gagal mempengaruhi Suruhanjaya Reid dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Januari 2016



HARI INI DALAM SEJARAH PAS


PAS TUNTUT PERANAN ISLAM LEBIH BESAR DALAM KERAJAAN BN SETELAH KEMATIAN TUN RAZAK 
(15 JANUARI 1976)

PADA hari ini dalam tahun 1976, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil pendirian supaya PAS menuntut peranan yang lebih besar dalam Kerajaan BN bagi memelihara kedudukannya dalam pakatan politik yang dibentuk pasca 13 Mei 1969 itu. Tuntutan PAS ini adalah satu usaha untuk meningkatkan peranan Islam dalam kerajaan selepas kematian Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976.

Antara tuntutan penting PAS ialah supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua diberi kepada PAS, selain tambahan jawatan menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen. PAS turut menolak cadangan perlantikan Ghafar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya mencadangkan supaya Datuk Ghazali Shafie dilantik ke jawatan tersebut. 

Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 11 Mei 1976 selanjutnya mengambil ketetapan supaya PAS mengubah strategi dakwahnya dalam kerajaan pimpinan Datuk Hussein Onn dengan meningkatkan usaha yang lebih berkesan untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan negara ke tahap paling maksimum - iaitu untuk memenuhi tujuan utama penyertaan PAS dalam BN sebelumnya.

Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Mohd Asri Haji Muda turut mempertegaskan tuntutan PAS supaya Perdana Menteri memperkenalkan Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Dalam Ucapan Dasar Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-22 pada 5-6 Ogos 1976 itu, Datuk Mohd Asri turut mempertegaskan cita-cita PAS untuk menegakkan negara Islam.

Hasil dari desakan ini, PAS bukan sahaja mendapat tambahan kerusi dalam kabinet, tetapi juga dapat menerapkan nilai-nilai Islam dalam kerajaan. Bahkan dalam persidangan undang-undang pada 25-27 Julai 1976, Datuk Mohd Asri telah mencadangkan supaya Akta Undang-undang Sivil dipinda bagi membolehkan undang-undang Islam dikembalikan ke tempat asalnya. 

Tuntutan PAS pada 15 Januari 1976 supaya PAS lebih berperanan dalam kerajaan bukan semata-mata untuk meningkatkan peranan politik PAS, tetapi supaya Islam diangkat ke tempat sewajarnya dalam pemerintahan negara.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
15 Januari 2016

jambori amal kuala kangsar 2008