Pakatan jumpa KPN bincang Himpunan 12 Jan
Nazri Abdullah, | 02 Jan 2013 |
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara berhubung penganjuran Himpunan 1 Juta Rakyat di Stadium Merdeka pada 12 Januari ini.
Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Mohamad Sabu, berkata pertemuan itu akan disertai pemimpin utama ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP dalam masa terdekat.
"Pertemuan itu bagi membincangkan agar pihak polis memberi kerjasama supaya himpunan itu nanti berjalan dengan baik.
"Kita memberi jaminan bahawa himpunan itu nanti akan berlangusung aman," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di sini.
Turut serta pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Biro Pakatan Rakyat DAP Teng Chang Kim serta anggota jawatankuasa pemandu HKR Hishamuddin Rais.
Selain itu kata Mohamad, pihak jawatankuasa induk sekretariat HKR pula, akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Wilayah Persekutuan bagi memaklumkan berhubung penganjuran himpunan itu.
Najib tunai janji
Sementara itu, Mohamad memberitahu, sehingga kini pihaknya belum menerima jawapan dari pihak pengurusan stadium terhadap surat permohonan yang dihantar 26 Disember lalu.
Ketika ditanya sama ada penganjur mempunyai alternatif lain jika stadium itu tidak dapat digunakan, beliau bagaimanapun melahirkan keyakinan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengotakan janji untuk membenarkan himpunan tersebut diadakan di stadium itu seperti yang dinyatakan ketika himpunan Bersih 3.0 tahun lalu.
"Buat masa ini hanya Stadium Merdeka. Saya yakin Perdana Menteri akan menepati janji," katanya.
Pada himpunan yang akan berlangsung dari jam 2 hingga 5 petang itu juga nanti, satu deklarasi rakyat yang dinamakan sebagai 'Deklarasi 12 Jan' akan dibentangkan.
Beliau juga memaklumkan himpunan serupa akan diadakan rakyat Malaysia di luar negara seperti himpunan Bersih lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan