Nasrudin Hassan
SHAH ALAM – Pemuda Pas menyelar kenyataan Ikatan Muslim Malaysia (Isma) yang mendakwa Pas menghadapi krisis identiti dan mengalami kekeliruan terhadap hala tuju parti. 
 
Ketua Pemudanya, Nas­rudin Hassan berkata, kenyataan Isma itu adalah berpunca dari salah faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan Pas dalam pelan membentuk Negara Berkebajikan.
 
Beliau berkata, sudah jelas penubuhan Pas adalah berasaskan kepada agama Islam dan Negara Berkebajikan yang dirancang adalah komponen asas dalam merealisasikan hasrat berkenaan.
 
“Dokumen negara Islam yang diterbitkan adalah pelan induk Pas bagi menjayakan hasrat mendaulatkan syariat ALLAH dan fasa kedua pula akan memastikan ia bergerak dengan lebih praktikal.
 
“Ia adalah pengisian dan pelaksanaan yang bakal menjawab pelbagai tohmahan kononnya negara Islam adalah negara hukum semata-mata,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
 
Nasruddin berkata, Isma perlu membuka dan melihat pelan lengkap projek Pas bagi memahami keseluruhan fasa yang dirancang.
 
Katanya, Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi pengukuhan identiti. Justeru ia dapat memantapkan lagi pengenalan dan jati diri Pas dalam usaha membina sebuah negara Islam yang adil.
 
“Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat Islam, sementara elemen utama dalam syariat Islam ialah adil, telus, integ­riti dan amanah selain ubudiyyah pengabdian diri kepada ALLAH . 
 
“Ini menepati pembentukan pentadbiran baik yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh Pas,” katanya.