• SGMM
 1 / 1 
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan didakwa cuba mengalihkan tumpuan kempen memansuhkan sistem pendidikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan mengatakan tidak ada perancangan untuk mengguna pakai sistem pembelajaran kolej matrikulasi di peringkat sekolah menengah.

Ketua Gerak Kerja Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, kenyataan itu sekadar mengalih tumpuan kempen mansuh PBS yang sebenar.

"Sedangkan matlamat kempen tersebut diadakan kerana mendapati sistem PBS  sudah terlambat untuk dibaiki.

“Tindakan ini sangat memalukan kerana pihak yang mengeluarkan kenyataan itu tidak mengikuti perkembangan kehendak SGMM yang mahu PBS dimansuhkan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lalu, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Mary Yap Kain Ching berkata, banyak perkara perlu diambil kira jika mahu melaksanakan sistem itu.

"Kita belum ada rancangan, tetapi sebagai seorang pendidik saya optimis untuk melihat peningkatan demi peningkatan, namun kita akan mengambil kira semua faktor sebelum melaksanakan sesuatu," katanya.

Ujar Kain Ching lagi, isu PBS timbul kerana pihak yang berkenaan tidak mendapat maklumat lengkap mengenai sistem itu.

Bagi menangani masalah itu, beliau berkata, kementerian mengadakan program penjelasan bagi memberi pemahaman kepada semua pihak berkepentingan tentang PBS dan pelaksanaannya.

Respons kepada kenyataan itu, Nor Izzat turut mendakwa, Kain Ching seolah-olah cuba mengada-adakan cerita supaya tumpuan SGMM dalam kempen mansuhkan PBS disalah erti.

“Saya tegaskan bahawa jika beliau tidak tahu isu, lebih baik dapatkan nasihat pegawai KPM sebelum mengeluarkan kenyataan yang akan memalukan diri sendiri.

“Sebagai timbalan menteri, beliau sepatutnya tidak cuba menipu rakyat dengan memanipulasi cerita yang tidak pernah disebut oleh SGMM. Saya malu ada timbalan menteri yang suka putar belit cerita dan cuba mengada-adakan cerita,” katanya.

Dalam pada itu, SGMM merancang untuk mengadakan himpunan aman di Putrajaya 22 Februari depan bagi menyuarakan bantahan terhadap kepincangan PBS.