HUTAN MELINTANG - Akibat terdesak mahukan wang, seorang mekanik bertindak  mengumpil mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di sini, awal pagi semalam.

Cubaan lelaki berusia 31 tahun itu, mencungkil mesin berkenaan menggunakan sebilah parang di sebuah bank di sini, disedari pihak keselamatan premis itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, berdasarkan rakaman CCTV, pihak keselamatan bank yang terletak di Ipoh segera menghubungi polis dan memaklumkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, bertindak berpandukan maklumat, Ketua Balai Hutan Melintang bersama anggotanya bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika kami menghampiri bank itu, suspek cuba melarikan diri menaiki kereta jenis Toyota Vios namun kenderaannya dihalang oleh kenderaan polis.



“Polis turut menemui sebilah parang dipercayai digunakan untuk mengumpil mesin ATM bank di sebelah suspek di dalam keretanya,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, suspek yang berasal dari Taman Perdana Hutan Melintang, di sini, kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk tindakan lanjut.

Katanya, semakan pada CCTV turut mendapati suspek cuba mencungkil mesin ATM menggunakan parang.

"Lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing suspek didapati negatif, dia kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kami juga berusaha mengesan pemilik kereta digunakan suspek sama ada kereta curi atau sebaliknya dan kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Senjata Bahaya 1958,” katanya.