pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 11 Mac 2014

HANYA UNDANG CAMPUR TANGAN ASING SELARAN ZAHID KEPADA IMIGRESEN!

KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zaid Hamidi yang secara terbuka menyelar kakitangan Imigresen berhubung kes dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, para pegawai Imigresen sudah cukup tertekan dengan insiden malang yang berlaku dan tindakan Zahid tidak membantu menyelesaikan masalah.
Beliau seterusnya menasihati Zahid agar mencontohi sikap Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang walaupun diasak media antarabangsa namun tetap 'menjaga mulut' agar tidak 'terlepas cakap' sehingga menjejakan imej negara.
"Mengapa Zahid amat mudah menyalahkan kakitangan di bawah kementeriannya sedangkan banyak lagi kementerian dan agensi yang terlibat secara langsung tidak bertindak sedemikian?
"Apakah beliau ingin melepaskan tanggung jawab beliau dan membuat kesimpulan mudah dan meletakkan kesalahan terhadap pegawai tertentu?" ujar Salahuddin.
Salahuddin juga inginkan kepastian sama ada siasatan pihak KDN dan Imigresen sudah selesai sehingga menyebabkan Zahid melepaskan kemarahan melalui media?
Paling utama, ujarnya adakah tindakan Zahid  ini menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) KDN sehingga tidak langsung mengambil kira aspek keselamatan dan maruah negara.

Kenyataan Zahid (gambar), tambah Salahuddin hanya membuka ruang kepada campurtangan langsung pihak asing seperti FBI dan CIA.
"Jika siasatan belum selesai, Zahid harus bertanggungjawab dan berundur dari mengetuai KDN jika beliau sebegini mudah tertekan dan gagal bertindak secara waras," tegas Salahuddin.
Beliau mencadangkan agar prosedur kawalan keselamatan di lapangan terbang diperhalusi ekoran insiden ini.
"Umum mengetahui Imigresen Malaysia amat cekap dalam mengendalikan proses pelepasan masuk dan keluar penumpang di pintu masuk terutama di lapangan terbang.
"Ini sudah pastinya merujuk kepada arahan dari kerajaan untuk kemudahan penumpang terutamanya pelancong apatah lagi negara sedang meraikan Tahun Melawat Malaysia 2014," ujar beliau.
Salahuddin menambah, adakah faktor di atas menyebabkan berlakunya 'kelonggaran' dalam protokol dan SOP untuk memudahkan kemasukan pelancong asing?
KDN juga, tambah beliau perlu menjelaskan sama ada sistem elektronik yang diguna pakai imigresen menepati ciri-ciri keselamatan terkini tanpa menjejaskan dan mengganggu kelancaran proses pelepasan penumpang.
Salahuddin turut mengingatkan bahawa pemalsuan dokumen bukanlah sesuatu yang asing di negara ini dengan merujuk 'Projek IC' membabitkan modifikasi kad pengenalan bermutu tinggi.
Zahid ketika bercakap kepada pemberita semalam memaklumkan satu siasatan dalaman akan dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat MH370 yang dilaporkan hilang.
Siasatan secara terperinci itu akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang daripada radar pada pukul 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.
Pesawat itu membawa penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008