- MAR 14, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Individu yang menggelarkan dirinya Raja Bomoh mengugut akan menyaman pihak yang menuduh ritualnya di KLIA dalam usaha mengesan kehilangan Pesawat MH370 sebagai melanggar syariat.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Ibrahim Mat Zin berkata, ritual ala menaiki permaidani terbang dengan memegang kelapa, serta menggantung bubu dengan teropong buluh yang dilakukan mereka dibuat berlandaskan syariat Islam.
“Penggunaan barang itu hanya sebagai simbolik atau petua yang diturunkan oleh orang tua dan bukannya untuk dipuja.
“Saya harap orang ramai tidak mudah menuduh saya terpesong daripada ajaran Islam dan tindakan mahkamah akan diambil kepada mereka yang degil,” katanya dipetik akhbar Umno itu.
Tindakan kumpulan pembomohan itu sebelum ini dikecam banyak pihak dan disifatkan sebagai sesuatu yang khurafat dan memalukan umat Islam dan Malaysia yang kini menjadi perhatian dunia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri menyifatkan tindakan tersebut jelas adalah bertentangan dengan Islam.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004 telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.
Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa bahawa raja bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam.
Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menempatkan pegawainya untuk memantau aktiviti pembomohan itu ekoran dua kali kumpulan Raja Bomoh itu membuat ritual mereka di KLIA itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan