- MAR 31, 2014
- DR RIDUAN MOHAMAD NOR
BALING terus melakar nama dengan berlakunya peristiwa Memali pada 19 November 1985. Peristiwa pembunuhan yang tragis, tanpa mendapat keadilan daripada sistem perundangan yang ada, darah yang tumpah seolah darah kerbau tanpa nilai.
Memali berlaku di tengah gejolak kebangkitan Islam yang sedang menyerbu dunia Islam termasuk Malaysia.
Angin kebangkitan Islam menyeruak dinding kejahilan umat, anak-anak muda menjadi peserta barisan hadapan yang mengumandangkan keperluan untuk kembali menghayati Islam sebaga cara hidup.
Tragedi Memali hampir sama dengan apa yang berlaku di Tanjung Periuk, Indonesia pada awal dekad 80-an. Pembunuhan orang awam yang disyaki pengganas oleh pihak keselamatan di zaman Order Baru, bahkan menahan ramai yang lain selepas peristiwa itu termasuk tokoh pemuda Islam Indonesia, A. M. Fatwa yang ditahan apabila berkhutbah selepas peristiwa tersebut.
Gerakan usrah pemuda dan kampus universiti dianggap menggugat pemerintah Indonesia. Gerakan tarbiah seperti yang digerakkan oleh Kiai Rahmat Abdullah diintai oleh unit perisikan regim kerana bimbang mengancam hegemoni daulah, malah ada yang terperosok dalam penjara seperti Abdul Kadir Jelani.
Peristiwa berdarah Memali juga hampir menyerupai peristiwa berdarah Masjid Merah (Lal Mosque) di Pakistan. Sebuah pusat pengajian agama yang dikelilingi kediaman pelajar digempur oleh pasukan keselamatan Pakistan yang pro-Amerika di bawah regim Pervev Musharraf sehingga mengorban nyawa dan mencederakan pelajar.
Muntahan peluru memamah jasad guru dan para pelajar tanpa mengenal ampun. Guru dan pelajar di Lal Mosque ini kononnya penyokong Taliban dan menentang kerajaan dan harganya amat mahal, mereka meregang nyawa di hujung senjata api yang dibekalkan Amerika kepada pihak keselamatan Pakistan.
Sebelum peristiwa ini, pelajar-pelajar di madrasah ini sangat aktif mencegah maksiat termasuk para pelajar wanita yang berburqa yang berani turun ke tempat maksiat dengan rotan di tangan mereka. Media yang sekular menggambarkan pelajar ini diresapi pemujaan terhadap Taliban dan menentang kerajaan.
Perjalanan kisah Tanjung Periuk, peristiwa Talangsari, tragedi Takbai, pembunuhan di Masjid Merah Pakistan, pembantaian di Hamah Syria adalah hampir sama koreografinya, walaupun dalam jangka waktu yang berbeza. Sketsa berdarah merah mewarnai kanvas putih orang beriman, mereka disakiti kerana akidah.
Tuduhlah mereka sebagai pengganas untuk menghalalkan darah yang tumpah. Memali dan peristiwa seumpamanya akan terus berlaku sepanjang zaman di mana-mana sahaja belahan dunia selagi mana dunia belum berakhir.
Memali terus dibohongi sejarahnya oleh regim,termasuk di Muzium Polis di mana mereka tetap digambarkan sebagai penjenayah dan pengganas. Namun kabut hitam sejarah ini mula terungkai satu persatu.
Kini dengan pendedahan Dato Musa Hitam berkaitan Dr Mahathir yang berada dalam negara pada tanggal 19 November 1985 sangat menarik. Mahathir masih menghirup udara ini dan beliau wajib diadili akibat pembantaian Memali yang kejam itu.
Bersihkan sejarah Memali dan Ustaz Ibrahim Mahmud bersama pengikutnya, padamkan noda sejarah versi tirani walau hampir 30 tahun tragedi ini telah berlalu.
Tragedi ini wajib diluruskan sejarahnya dan keadilan wajar berteleku disinggahsananya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan