- MAR 17, 2014
- SALMIYAH HARUN
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan insiden kehilangan pesawat MAS MH370 pada 8 Mac lalu telah menyatukan seluruh umat manusia tidak kira agama, bangsa dan negara.
Ahli Parlimen Marang itu ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong berkata, hikmah kehilangan pesawat itu telah membuat manusia bergantung kepada Tuhan tidak kira Islam ataupun bukan Islam.
"Sama ada yang percaya atau tidak kepada agama sama-sama berusaha untuk memohon kepada Allah, atas satu matlamat iaitu selamatkan kru kabin dan penumpang MH370.
"Pada zaman Rasulullah kemarau yang dahsyat menyebabkan binatang mati, ada hamba yang jahil tetapi berdoa kepada Allah untuk selamatkan binatang yang hampir mati. Akhirnya Allah terima doa dia dan turunkan hujan, rumput pun tumbuh," katanya yang juga Presiden PAS.
Tambahnya, insiden yang berlaku ini juga turut mendedahkan bahawa banyak kelemahan dalam mengesan pesawat MAS itu dan ianya perlu dikaji oleh kerajaan.
"Kita perlu siasat kenapa kita lemah dalam perkara ini. Jangan sombong dengan kelemahan kita yang dipertikaikan banyak pihak," katanya.
Namun katanya, sekiranya kehilangan MH370 hari ini disebabkan ada unsur-unsur keganasan maka semua pihak wajar mengutuk perbuatan itu kerana ia melibatkan nyawa manusia termasuklah wanita dan kanak-kanak.
"Kalau ada unsur ini seluruh dunia perlu berkerjasama tidak kira siapa, kita kena kutuk perbuatan itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan