- MAR 17, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Setelah mengugut untuk menampar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kerana menempelak ritual yang dilakukannya di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bomoh Ibrahim Mat Zain, 80 muncul pula di perkarangan menara condong Teluk Intan untuk melakukan ritual yang hampir sama.
Menggunakan teropong batang buluh, beliau dilihat meneropong ke arah puncak menara condong di tengah-tengah bandar Teluk Intan dengan ditemani seorang pembantu.
Gelagat beliau dirakam para pengunjung dan orang ramai yang berada di kawasan tumpuan pelancong itu.
Gambar-gambar aksi pelik Ibrahim mula beredar di laman sosial sejak semalam.
'Raja Bomoh' yang menarik perhatian media antarabangsa kerana ritual yang dilakukan di KLIA yang kononnya untuk membantu usaha mengesan kehilangan pesawat MH370, bakal dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata tindakan itu akan dikenakan ke atas Ibrahim jika siasatan Jais mendapati perbuatannya menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
"Jais menerima banyak aduan daripada orang ramai, termasuk melalui laman sesawang dan Facebook JAIS, berhubung perbuatannya.
"Merujuk kepada aduan itu, JAIS sedang meneliti dan menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 7(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor," katanya kepada Bernama.
Pada 12 Mac lalu, Ibrahim dilapor melakukan ritual ala-ala 'tikar terbang' dengan disertai beberapa lelaki memegang dua biji kelapa dan bakul yang tidak diketahui fungsinya.
Dua hari sebelum itu, Ibrahim turut muncul di KLIA melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing.
Beliau juga memberitahu pernah terserempak dengan makhluk hitam di udara ketika menaiki pesawat daripada "Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan singgah di Tawau".
Mengulas lanjut, Ahmad Zaharin berkata pihaknya juga masih melakukan pemantauan di KLIA bagi mengekang kegiatan itu daripada berulang.
Ibrahim (gambar kiri) menggunakan teropong buluh semasa ritual terbarunya dirakam di menara Condong Teluk Intan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan