Pas
BACHOK - Kemelut membabitkan pimpinan Pas dengan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dianggap selesai selepas mereka mengadakan pertemuan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, kelmarin.
 
‘Pertemuan muhibah’ itu juga menyaksikan Hasan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang dilihat mengkritik parti secara terbuka dan mengatakan parti Islam itu telah lari daripada landasan asal dengan memperkenalkan konsep Negara Berkebajikan, walaupun dipersetujui dalam muktamar lalu.
 
Akibat itu, Hasan dikritik secara terbuka oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang mendakwa beliau terperangkap dengan agenda Umno.
 
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau bersyukur kerana Hasan menarik balik kenyataan sensitif dalam pertemuan tersebut.
 
Menurutnya, isu pemimpin Pas yang lantang mengkritik parti itu dianggap selesai dan tidak berbangkit lagi.
 
“Ini tanda kelakian, dia ikhlas menarik balik kenyataan dan memohon maaf, ini ajaran agama dan bukan senang untuk mana-mana individu yang buat salah untuk minta maaf dan menarik balik kata-kata itu,” katanya ketika meninjau Pantai Irama yang terhakis teruk akibat ombak besar di sini, semalam.
 
Pertemuan muhibah itu turut di sertai timbalan mursyidul am, Datuk Dr Haron Din dan presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diadakan di kediaman Nik Aziz.
 
Sebelum ini, Hasan dan Nasharudin mengkritik Pas dengan menyifatkan ia lari daripada perjuangan terutama isu Negara Berkebajikan.
 
Hasan menarik balik kenyataan dibuatnya pada 20 Disember dengan menyifatkan ulasan beliau sebagai keterlanjuran.
 
Katanya, sebagai ahli dan pimpinan dalam parti beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan seperti diputuskan pucuk pimpinan.
 
Bagaimanapun Hasan tetap dengan pendirian bahawa teguran tersebut dibuat untuk memperbetulkan perjuangan Pas yang semakin tersasar dari landasan asal kerana terlalu ‘akomodatif’ demi kepenti-ngan parti komponen. 
 
Manakala bagi Nasharudin, dalam kenyataannya sebelum ini, beliau tetap tidak akan meninggalkan parti itu bagi menyertai UMNO.
 
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, dakwaan kononnya beliau terperangkap dalam agenda UMNO adalah tidak berasas dan terlalu jauh menyimpang dari kebenaran.